Anda di halaman 1dari 1

GUNA TENAGA

GUNA TENAGA
 Penggunaan sumber-sumber ekonomi seperti tanah, buruh, modal dan pengusaha, oleh firma-firma untuk kegiatan pengeluaran
barang dan perkhidmatan. Secara khusus, guna tenaga lebih merujuk kepada penggunaan buruh dalam kegiatan ekonomi.

GUNA TENAGA PENUH


 Keadaan apabila semua sumber ekonomi iaitu buruh, tanah, modal dan usahawan, yang ada dalam sesebuah negara
digunakan sepenuhnya.
 Dalam realiti, keadaan guna tenaga penuh tidak boleh dicapai.
 Walau bagaimanapun, secara praktiknya ahli ekonomi mengatakan sesebuah negara telah mencapai guna tenaga penuh
sekiranya terdapat kadar pengangguran yang rendah, iaitu kira-kira 3% hingga 5% dan pengangguran yang berlaku merupakan
pengangguran geseran dan kadang-kadang pengangguran struktur yang sentiasa ada dalam jangka pendek.

GUNA TENAGA TAK PENUH


 Keadaan apabila pekerja yang bekerja belum lagi mencapai tahap yang sepatutnya atau kemahiran mereka tidak digunakan
secara optimum dalam bidang kemahirannya.
 Oleh itu pencapaian usahanya jauh lebih rendah daripada gaya pengeluaran potensinya.
 Misalnya, graduan universiti membuat tugas seorang kerani, atau jurutera membawa teksi kerana kerja yang setaraf dengan
kelulusan dan pengalamannya tidak ada.
 Keadaan ini biasanya berlaku semasa ekonomi negara mengalami kemelesetan dan kekurangan pelaburan untuk mencipta
pekerjaan baru.

PENGANGGURAN
PENGANGGUR
 Individu yang dalam lingkungan umur yang layak bekerja tetapi tidak bekerja.
 Di Malaysia, penganggur ialah individu yang tidak bekerja yang berumur 16 tahun ke atas.
 Penganggur meliputi mereka yang diberhentikan kerja sementara, yang mengalami keuzuran dan yang tidak melebihi 55 tahun.

PENGANGGURAN BERMUSIM
 Pengangguran yang berpunca daripada kehilangan pekerjaan dalam suatu industri tertentu apabila suatu musim tertentu tiba.
 Misalnya kehilangan kerja menangkap ikan pada musim tengkujuh, atau bersawah apabila musim menuai berakhir.
 Biasanya masalah pengangguran bermusim dapat diatasi dengan merancang program-program kerja seblum tiba musim
berkenaan.

PENGANGGURAN GESERAN
 Pengangguran yang berpunca daripada perubahan dalam ekonomi yang menyebabkan pekerja-pekerja tidak sempat
menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan yang baru.
 Biasanya pengisian pekerjaan mengambil masa yang lama, menyebabkan berlakunya pengangguran geseran.

PENGANGGURAN KITARAN
 Pengangguran yang berlaku semasa kemelesetan dalam kitaran perniagaan. Biasanya pengangguran kitaran dicirikan oleh
pemberhentian kerja sementara.

PENGANGGURAN STRUKTUR
 Pengangguran yang berpunca daripada perubahan sektor ekonomi, iaitu apabila suatu sektor ekonomi menjadi kurang penting
berbanding dengan sektor lain. Akibat perubahan ini, pekerja daripada sektor yang kurang penting terpaksa menganggur di
sektor yang berkembang.

PENGANGGURAN SUKARELA
 Pengangguran yang berpunca daripada keengganan individu bekerja pada kadar upah yang ditawarkan.
 Semasa ekonomi dijangka berkembang, pekerja menjangkakan upah yang lebih tinggi dan oleh itu, tidak bersedia untuk
menerima pekerjaan yang menawarkan upah yang rendah.
 Di setengah negeri yang memberi bantuan atau faedah pengangguran, penganggur sukarela mungkin lebih ketara.

PENGANGGURAN TAK KETARA


 Pengangguran yang berlaku apabila pekerja tidak bekerja pada jumlah jam yang sepatutnya atau pada tingkat keupayaan yang
sebenar.
 Pengangguran tak ketara biasanya berlaku dalam sektor pertanian apabila sumbangan pekerja adalah pada aras yang rendah,
sehinggakan sektor tersebut tidak terjejas jika pekerja dikeluarkan pada sektor itu.

PENGANGGURAN TEKNOLOGI
 Pengangguran yang berpunca daripada penggantian input buruh kepada input modal dalam operasi pengeluaran yang
dilakukan untuk meningkatkan daya pengeluaran , taraf hidup dan upah.
 Biasanya pengangguran teknologi dialami oleh pekerja yang tidak mahir dan separuh mahir.
 Pengangguran teknologi akan berlanjutan sekiranya buruh baru menganggur atau tidak diberi latihan yang sesuai dengan
perkembangan teknologi moden.

PENGANGGURAN TERBUKA
 Pengangguran yang berpunca daripada ketiadaan pekerjaan (pengangguran terpaksa) atau keengganan buruh menerima
pekerjaan yang ada (pengangguran sukarela).
 Pengangguran terbuka kerap wujud di bandar-bandar negara membangun.

PENGANGGURAN TERPAKSA
 Pengangguran yang berpunca daripada tingkat permintaan agregat yang rendah, menyebabkan pekerja sanggup menerima
kadar upah yang rendah.
 Pengangguran terpaksa boleh diatasi dengan meningkatkan permintaan agreagat dalam masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai