Sehinggakan ada pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai sarjana cuba menakutkan umat Islam
dari melakukan amalan di bulan Rejab. Alasannya, hadis yang berkaitan dengan kelebihan Rejab adalah
palsu. Sedangkan kepalsuan yang didakwa hanya berdasarkan kepada pendapat satu riwayat hadis dan
pandangan seorang ulama tertentu sahaja.
Bandingkan definisi, tafsiran dan keistimewaan Rejab yang dikemukakan ini dengan dakwaan golongan
yang menentangnya. Penulis menghidangkan hakikat Rejab dan keistimewaannya menerusi kitab al-
Ghunyah li Thalib Thariq al-Haq karangan Syeikh Abd Qader al-Jaylani. Beliau adalah sultan para wali dan
terkenal sebagai seorang ulama yang menghimpunkan ilmu zahir dan batin. Beliau juga terkenal dengan
pakar hadis di zamannya. Keilmuan dan keimaman beliau turut diperakui oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn
Qayyim al-Jauziyah dan seluruh cendekiawan Islam.
Rejab adalah salah satu bulan haram (suci dan mulia) sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah
SAW.
Allah SWT berfirman berkaitan bulan haram ini yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi
(hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan
langit dan bumi, ada di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah
agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan
melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka
memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa." (Surah
at-Taubah: 36)
Kelebihan Rejab disebutkan oleh Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Beliau menukilkan pendapat Ibn
Abbas RA yang menjelaskan setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan haram ini, dosanya lebih
besar berbanding bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan pada bulan ini adalah lebih besar
(pahala) berbanding bulan yang lain. (Tafsir Ibn Kathir, 4:130)
Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber hadis, didapati Rejab ada keistimewaan yang tersendiri.
Maka tidak hairanlah intisari (matan) hadis: "Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan
umatku..." disokong oleh ramai ulama muktabar. Antaranya Imam Hibbatullah bin Mubarak. Beliau
meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh
Syeikh Abd Qader al-Jaylani di dalam al-Ghunyah.
Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyifatkan Nabi SAW sendiri pernah menegaskan Rejab itu adalah
bulan Allah. Iaitu bulan Ahlullah. Dan dikatakan penduduk (Mukmin) Tanah Haram itu Ahlullah kerana
Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka. (al-Qurtubi, Jami' Ahkam al-Qur'an, hlm
326 juz 6)
Imam Abu Daud pula membawa intisari hadis yang menampakkan kesaksian yang jelas mengenai lafaz
Syaaban bulanku. Buktinya beliau meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Qais dari Aisyah RA: "Bulan yang
paling disukai Rasulullah SAW ialah berpuasa di bulan Syaaban. Kemudian Baginda menyambung
puasanya hingga ke Ramadan." (Sulaiman bin al-Asy'at al-Sijistani, Sunan Abu Daud, t.th, Dar al-Fikr :
Beirut , hlm 323 juz 2)
Imam al-Thabrani pula meriwayatkan dari Anas bin Malik RA bahawa apabila tibanya Rejab, Baginda
mendoakan: "Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami
kepada bulan Ramadan." (al-Thabrani, Mu'jam al-Ausath, 1415H, Dar al-Haramain: Qaherah, hlm 189 juz
4, no hadis: 3939)
Hadis ini turut dipersetujui Imam Ahmad di dalam Musnadnya m/s 259 juz 1, hadis bernombor 2346.
Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan dari Uthman bin Hakim al-Ansari beliau (Uthman) pernah
menanyakan Said bin Jubayr RA mengenai puasa Rejab. Said RA menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas
RA mengatakan: "Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka
(terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa." (Muslim bin Hajjaj,
Sahih Muslim,t.th, Dar Ihya Thuras al-Arabi : Beirut, hlm 811 juz 2)
Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: "Di dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi SAW
menggalakkan kita untuk berpuasa di bulan haram. Dan Rejab adalah salah satu darinya." (Abu Thayyib
al-'Azhim, Aun al-Ma'bud bi Syarh Sunan Abi Daud, 1415H, Cetakan Kedua, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah:
Beirut, hlm 60 juz 7)
Adapun hadis yang menunjukkan Nabi SAW melarang umatnya berpuasa di bulan Rejab bukanlah satu
yang bersifat mutlak. Bahkan ia bertentangan dengan anjuran berpuasa sunat dalam bulan suci Islam.
Tambahan pula, hadis itu diriwayatkan oleh Daud bin 'Atha al-Madani. Beliau adalah perawi hadis yang
dhaif. Ulama bersepakat mendhaifkan periwayatannya termasuk Imam Ibn Jauziy menerusi kitabnya
al-'Ilal al-Mutanahiyah (Ahmad bin Abu Bakar al-Kinani, Misbah al-Zujajah, 1403H, Dar al-'Arbiah: Beirut,
hlm 78 juz 2)
Imam al-Zahabi memperakui hadis puasa Rejab sebagai hadis marfuk. Hadis itu berbunyi: "Barangsiapa
yang berpuasa satu hari dalam bulan Rejab Allah SWT akan menulis baginya pahala puasa bagaikan
setahun. Dan barangsiapa berpuasa dua hari dalam bulan Rejab Allah SWT akan menulis baginya pahala
puasa bagaikan dua tahun." (Al-Zahabi, Mizal al-I'tidal Fi Naqd al-Rijal, 1995, Cetakan Pertama, Dar al-
Kutub al-Ilmiyyah: Beirut, hlm 417 juz 4)
Imam Ibn Hajar al-Asaqalani juga membentangkan pertikaian ulama terhadap hadis kelebihan puasa
Rejab yang bersumberkan riwayat Abd Malik bin Harun bin 'Antarah. Katanya: "Darulquthni memandang
Abd Malik dan ayahnya (Harun) sebagai dhaif. Begitu juga Imam Ahmad. Tetapi Yahya (Ibn Ma'in)
menghukumnya sebagai pendusta. Abu Hatim menghukumnya sebagai matruk (ditinggalkan) hadisnya.
Ibn Hibban menganggap dia sebagai pereka hadis..." (Ibn Hajar al-Asqalani, Lisan al-Mizan, 1986,
Cetakan ke-3, Muassasah al-A'lami : Beirut, hlm 71-72 juz 4 no ind: 213)
Adapun berkenaan Ibn Jahdham, pengkritik periwayatannya tidak memperincikan siapa sebenarnya Ibn
Jahdam yang dimaksudkan Ibn Qayyim al-Jauziyah. Kitab biografi mencatatkan beberapa nama Ibn
Jahdham. Antaranya: Muhammad bin Jahdham, Jahdham bin Abdullah, Abu Muadz Jahdham bin Abd
Rahman, Ubaidillah bin Jahdham dan Abu Hassan Ali bin Abdullah bin al-Hassan al-Hamazani.
Penjelasan Perawi
Imam Ibn Hibban meriwayatkan lima hadis dari Muhammad bin Jahdham yang dimaksudkan penulis.
(Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, hlm 443 juz 2, hlm 582 juz 4, hlm 194 juz 7, hlm 96 juz 8, hlm 193 juz 11)
Manakala al-Hakim meriwayatkan empat hadis di dalam kitab Mustadrak daripada Muhammad bin
Jahdham dan satu hadis lagi bersumberkan Jahdham bin Abdullah al-Qaisiy. (al-Hakim, al-Mustadrak ala
sahihain, hlm 573 juz 4)
Imam Abu Daud meriwayatkan satu hadis dari Muhammad bin Jahdham berkenaan dengan zakat fitrah.
Kenyataan boleh dirujuk hadis yang bernombor 1612 melalui Sunannya. (Abu Daud, Sunan Abu Daud,
t.th, Dar al-Fikr: Beirut, hlm 112 juz 2)
Imam al-Tirmidzi meriwayatkan pula meriwayatkan dua hadis dari Jahdham bin Abdullah menerusi
Sunannya. Perhatikanlah hadis bernombor 1563 dan 3235 di dalam Sunannya (al-Tirmidzi, Sunan al-
Tirmidzi, t.thn, Dar Ihya' Thuras al-Arabiy: Beirut, hlm 132 juz 4 dan hlm 368 juz 5)
Ibn Jauziy al-Hanbali (bukan Ibn Qayyim al-Jauziyyah) ketika mengulas hadis berkenaan solat al-Raghaib
(periwayatan) Ibn Jahdham mengatakan: "Hadis ini direka-reka dan mereka (ulama hadis) menuduh Ibn
Jahdham melakukannya dan menisbahkan beliau dengan berdusta." (al-Zahabi, Mizan I'tidal fi Naqd al-
Rijal, hlm 162 juz 8)
1) Sekadar menyebut nama seorang perawi (Ibn Jahdham) belum cukup membuktikan hadis itu palsu.
Ini kerana nama Ibn Jahdham terdiri daripada beberapa orang perawi yang tsiqah dan meriwayatkan
hadis dari kitab sahih mahupun sunan.
2) Jika kita ingin menghukum sesuatu hadis maka perawi yang dipertikaikan perlu diperincikan secara
tepat biodatanya. Tidak adil jika kita menyebut: hadis ini palsu dengan sekadar membawa makna,
terjemahan hadis atau matan semata-mata.
3)Perawi yang dikritik dalam kes hadis palsu keistimewaan Rejab ialah Abu al-Hassan Ali bin Abdullah Ibn
Jahdham. Beliau adalah seorang tokoh sufi. Mengaitkan tokoh sufi dengan amalan memalsukan hadis
adalah satu contoh permainan tulisan sarjana liberal yang tidak bertanggungjawab. Perlu diketahui
Imam Fudhail bin 'Iyadh pernah meriwayatkan dari beliau.
4) Walaupun kedudukan beliau dipertikaikan. Sebahagian ulama hadis mengatakan beliau tidak tsiqah.
Tetapi beliau ditsiqahi di kalangan ulama Qazwin. Sebahagian Ulama pula mentadh'ifkan
periwayatannya. Sebahagian lagi menuduhnya sebagai pemalsu hadis. Justeru, beliau bukanlah seorang
perawi yang dimuktamadkan sebagai pemalsu hadis.
Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid,
qiyam, bersedekah, berselawat dan lain-lain kebaikan di bulan haram (suci) ini. Semoga amalan Rejab
ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.
Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Justeru, sucikan
suapan, pakaian dan perbuatan kita. Insya-Allah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara
hakikatnya.