Anda di halaman 1dari 4

NABI ZAKARIA

Nabi Zakaria, ayahnya Nabi Yahya sedar dan mengetahui bahawa anggota-anggota
keluarganya, saudara-saudaranya, sepupu-sepupunya dan anak-anak saudaranya adalah
orang-orang jahat Bani Israil yang tidak segan-segan melanggar hukum-hukum agama dan
berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa keagamaan mereka belum meresap betul didalam
hati mereka, sehingga dengan mudah mereka tergoda dan terjerumus ke dalam lembah
kemungkaran dan kemaksiatan. Ia khuatir bila ajalnya tiba dan meninggalkan mereka tanpa
seorang waris yang dapat melanjutkan pimpinannya atas kaumnya, bahawa mereka akan
makin rusak dan makin berani melakukan kejahatan dan kemaksiatan bahkan ada
kemungkinan mereka mengadakan perubahan-perubahan di dalam kitab suci Taurat dan
menyalah-gunakan hukum-hukum agama.
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran Zakaria disamping rasa sedih hatinya
bahawa ia sejak kahwin hingga mencapai usia sembilan puluh tahun, Tuhan belum
mengurniakannya dengan seorang anak yang ia idam-idamkan untuk menjadi penggantinya
memimpin dan mengimami Bani Isra'il. Ia agak terhibur dari rasa sedih dan kekhuatirannya
semasa ia bertugas memelihara dan mengawasi Maryam yang dapat dianggap sebagai anak
kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa sedihnya dan keinginanya yang kuat untuk memperolhi
keturunan tergugah kembali ketika ia menyaksikan mukjizat hidangan makanan dimihrabnya
Maryam. Ia berfikir didalam hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil di dalam kekuasaan
Allah. Allah yang telah memberi rezeki kepada Maryam dalam keadaan seorang diri tidak
berdaya dan berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan bila Dia kehendaki
walaupun usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah penuh uban.
Pada suatu malam yang sudah larut duduklah Zakaria di mihramnya menghiningkan
cipta memusatkan fikiran kepada kebesaran Allah seraya bermunajat dan berdoa dengan
khusyuk dan keyakinan yang bulat. Dengan suara yang lemah lembut berucaplah ia dalam
doanya: "Ya Tuhanku berikanlah aku seorang putera yang akan mewarisiku dan mewarisi
sebahagian dari keluarga Ya'qub, yang akan meneruskan pimpinan dan tuntunanku kepada
Bani Isra'il. Aku khuatir bahawa sepeninggalanku nanti anggota-anggota keluargaku akan
rusak kembali aqidah dan imannya bila aku tinggalkan mati tanpa seorang pemimpin yang
akan menggantikan aku. Ya Tuhanku, tulangku telah menjadi lemah dan kepalaku telah
dipenuhi uban sedang isteriku adalah seorang perempuan yang mandul namun kekuasaan-Mu
adalah diatas segala kekuasaan dan aku tidak jemu-jemunya berdoa kepadamu memohon
rahmat-Mu mengurniai kau seorang putera yang soleh yang engkau redhai."
1
Allah berfirman memperkenankan permohonan Zakaria: "Hai Zakaria Kami memberi
khabar gembira kepadamu, kamu akan memperoleh seorang putera bernama Yahya yang
soleh yang membenarkan kitab-kitab Allah menjadi pemimpin yang diikuti bertahan diri dari
hawa nafsu dan godaan syaitan serta akan menjadi seorang nabi."
Berkata Zakaria: "Ya Tuhanku bagaimana aku akan memperolehi anak sedangkan
isteri adalah seorang perempuan yang mandul dan aku sendiri sudah lanjut usianya."
Allah menjawab dengan firman-Nya: "Demikian itu adalah suatu hal yang mudah
bagi-Ku. Tidakkah aku telah ciptakan engkau padahal engkau di waktu itu belum ada sama
sekali?"
Berkata Zakaria: "Ya Tuhanku, berilah aku akan suatu tanda bahawa isteri aku telah
mengandung." Allah berfirman: "Tandanya bagimu bahawa engkau tidak dapat berkata-kata
dengan manusia selama tiga hari berturut-turut kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah nama-Ku
sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah diwaktu petang dan pagi hari."
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. tidak banyak dikisahkan oleh Al-Quran kecuali bahawa
ia diberi ilmu dan hikmah selagi ia masih kanak-kanak dan bahawa ia seorang putera yang
berbakti kepada kedua ora ng tuanya dan bukanlah orang yang sombong durhaka. Ia terkenal
cerdik pandai, berfikiran tajam sejak ia berusia muda, sangat tekun beribadah yang dilakukan
siang dan malam sehingga berpengaruh kepada kesihatan badannya dan menjadikannya kurus
kering, wajahnya pucat dan matanya cekung.
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai soal-soal keagamaan, hafal
kitab Taurat, sehingga ia menjadi tempat bertanya tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki
keberanian dalam mengambil sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang dan tidak pula
menghiraukan ancaman pihak penguasa dalam usahanya menegakkan kebenaran dan
melawan kebathilan.
Ia selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar bertaubat dari dosanya.
Dan sebagai tanda taubatnya mereka dipermandikan { dibaptiskan } di sungai Jordan,
kebiasaan mana hingga kini berlaku di kalangan orang-orang Kristian dan kerana Nabi Yahya
adalah orang pertama yang mengadakan upacara itu, maka ia dijuluki "Yahya Pembaptis".
Dikisahkan bahawa Hirodus Penguasa Palestin pada waktu itu mencintai anak
saudaranya sendiri bernama Hirodia, seorang gadis yang cantik, ayu, bertubuh lampai dan
ramping dan berhasrat ingin mengahwininya. Sang gadis berserta ibunya dan seluruh anggota
keluarga menyentujui rencan perkahwinan itu, namun Nabi Yahya menentangnya dan
mengeluarkan fakwa bahawa perkahwinan itu tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan
dengan syariat Musa yang mengharamkan seorang mengahwini anak saudaranya sendiri.
2
Berita rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa Nabi Yahya yang
melarangnya tersiar di seluruh pelosok kota dan menjadi pembicaraan orang di segala tempat
di mana orang berkumpul. Herodia si gadis cantik calon isteri itu merasa sedih bercampur
marah terhadap Nabi Yahya yang telah mengeluarkan fatwa mengharamkan perkahwinannya
dengan bapa saudaranya sendiri, fatwa mana telah membawa reaksi dan pendapat dikalangan
masyarakat yang luas. Ia khuatir bahawa bapa saudaranya Herodus calon suami dapat
terpengaruh oleh fatwa Nabi Yahya itu dan terpaksa membatalkan perkahwinan yang sudah
dinanti-nanti dan diidam-idamkan, bahkan bahkan sudah menyiapkan segala sesuatu berupa
pakaian mahupun peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan yang telah disepakati itu.
Menghadapi fatwa Nabi Yahya dan reaksi masyarakat itu, Herodia tidak tinggal diam.
Ia berusaha dengan bersenjatakan kecantikkan dan parasnya yang ayu itu mempengaruhi
bapa saudaranya calon suaminya agar rencana perkahwinan dilaksanakan menurut rencana.
Dengan merias diri dan berpakaian yang merangsang, ia pergi mengunjungi bapa saudaranya
Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara. Bertanya Herodus kepada anak saudaranya
calon isterinya yang nampak lebih cantik daripada biasa : "Hai manisku, apakah yang dapat
aku berbuat untukmu. Katakanlah aku akan patuhi segala permintaanmu, kedatanganmu
kemari pada saat ini tentu didorong oleh sesuatu hajat yang mendesak yang ingin engkau
sampaikan kepadaku. Sampaikanlah kepadaku tanpa ragu-ragu, hai sayangku, aku sedia
melayani segala keperluan dan keinginanmu."
Herodia menjawab: "Bila Tuan Raja berkenan, maka aku hanya mempunyai satu
permintaan yang mendorongku datang mengunjungi Tuanku pada saat ini. Permintaanku
yang tunggal itu ialah kepala Yahya bin Zakaria orang yang telah mengacau rencana kita dan
mencemarkan nama baik Tuan Raja dan namaku sekeluarga di segala tempat dan penjuru.
Supaya dia dipenggal kepalanya. Alangkah puasnya hatiku dan besarnya terima kasihku, bila
Tuanku berkenan meluluskan permintaanku ini".
Herodus yang sudah tergila-gila dan tertawan hatinya oleh kecantikan dan keelokan
Herodia tidak berkulik menghadapi permintaan calon isterinya itu dan tidak dapat berbuat
selain tunduk kepada kehendaknya dengan mengabaikan suara hati nuraninya dan panggilan
akal sihatnya. Demikianlah maka tiada berapa lama dibawalah kepala Yahya bin Zakaria
berlumuran darah dan diletakkannya di depan kesayangannya Herodia yang tersenyum tanda
gembira dan puas hati bahawa hasratnya membalas dendam terhadap Yahya telah terpenuhi
dan rintangan utama yang akan menghalangi rencana perkahwinannta telah tersingkirkan,
walaupun perbuatannya itu menurunkan laknat Tuhan atas dirinya, diri rajanya dan Bani
Isra'il seluruhnya.
3
Cerita tentang Zakaria dan Yahya terurai di atas dikisahkan oleh Al-Quran, surah
Maryam ayat 2 sehingga ayat 15, surah Ali Imran ayat 38 senhingga ayat 41 dan surah Al-
Anbiya' ayat 89 sehingga ayat 90

Anda mungkin juga menyukai