Anda di halaman 1dari 4

LANGKAH MENANGANI STRES

Menurut National Institute for Occupational Safety and Health (NIOSH), stres merupakan
tindak balas yang merbahaya ke atas fizikal dan emosi yang wujud apabila keperluan
pekerjaan tidak selaras dengan keupayaan, sumber atau kehendak pekerja. Stres boleh
dikatakan perlu dalam membantu individu mencapai matlamat sama ada matlamat personal
atau matlamat dalam sesebuah pekerjaan. Ia mampu menggalakkan individu untuk
menyesuaikan diri dan meningkatkan tahap kemahiran dayasuai serta meningkatkan
kesedaran individu tersebut terhadap ruang masalah. Namun begitu, jika terlalu tinggi tahap
stres seseorang, ia boleh membuatkan matlamat sukar untuk dicapai di mana ia memberi
kesan yang negatif kepada tingkah laku dan mewujudkan masalah fizikal sehingga
menjejaskan sistem badan seseorang. Sehubungan dengan itu, tahap stres seseorang dapat
dikurangkan dengan beberapa langkah yang efektif.

Antara langkah yang boleh dilakukan ialah dengan mengambil makanan yang sihat di
mana pengambilan makanan sihat merupakan elemen teras kepada keperluan tubuh badan.
Seseorang boleh memulakan teknik pemakanan sihat dengan melihat kepada piramid
makanan yang mengandungi panduan kuantiti yang betul bagi setiap kumpulan makanan. Hal
ini demikian kerana pemakanan yang baik mampu menyumbang kepada fizikal luaran dan
dalaman yang lebih baik. Hal ini turut mengelakkan seseorang daripada menghidapi penyakit
berisiko seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan keadaan para gula meningkat (S.M.
Nursyakirin, 2015).

Langkah yang kedua pula adalah seseorang perlu melakukan senaman secara berkala
di mana senaman boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali seminggu. Senaman
secara berkala membantu mencapai tahap optimum fizikal dan mental seseorang itu. Secara
spiritual, senama menggalakkan seseorang bergaul sesama sendiri melalui aktiviti yang
disertai dan secara tidak lansung kehidupan sosial seseorang juga lebih berkualiti dan
menghindari stress melampau. Bukan itu sahaja, bersenam dapat meningkatkan pengeluaran
hormon endorphin yang membantu mengurangkan ketegangan otot dan stres. Antara jenis
senaman yang boleh dilakukan adalah berjalan atau bersenam-robik bersama rakan-rakan.

Stress boleh disebabkan kekurangan rehat atau waktu tidur yang telah dikurangkan
daripada enam hingga lapan jam sehari. Apabila seseorang tidak mendapat waktu tidur yang
mencukupi, ia akan menjejaskan tahap kesihatan dan seterusnya mengundang tekanan dalam
diri yang lebih tinggi. Rehat yang cukup mempersiapkan kita untuk menjalani aktiviti hari-hari
seterusnya dengan lebih baik.

Tambahan lagi, apabila seseorang mengalami stress yang berterusan, tindakan diluar
jangkaan boleh berlaku pada bila-bila masa. Oleh itu, adalah penting untuk seorang muslim
menjaga hubungan yang baik dengan Maha Pencipta kerana sesungguhnya Tuhan itu Maha
mendengar lagi Maha Mengasihani hamba-hambanya. Setiap individu perlulah sentiasa
berdoa dan tidak berputus asa memohon petunjuk dan bantuan dari-Nya. Hal ini demikian
kerana usaha dan ikhtiar yang tidak disertai dengan doa itu adalah kesombongan, manakala
doa yang tanpa usaha adalah sia- sia. Firman Allah dalam Surah Al-Bawarah (2) : 155, “Allah
menguji seseorang itu dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, nyawa dan hasil-
mahsul yang tidak menjadi dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar”
(S.M. Nursyakirin, 2015). Justeru itu, setiap ujian yang diterima perlulah dihadapi dengan
penuh rendah diri dan sentiasa bersabar dengan setiap ketentuan-Nya.

Antara langkah seterusnya yang boleh diambil ketika sesorang merasakan dirinya
berada dalam keadaan stress ialah mendapatkan sistem sokongan dari kenalan sekeliling
sama ada keluarga, rakan rapat mahupun pasangan (MyHealth, 2012). Luahan emosi dan
bebanan kepada orang lain membantu seseorang mengurangkan stres dalam dirinya dan
secara tidak langsung memberi ruang kepada diri sendiri untuk menerima pandangan atau
penyelesaian daripada pihak lain. Perasaan adalah sesuatu yang tidak seharusnya dipendam
sebaliknya harus dikongsi dengan orang yang dipercayai. Perkongsian perasaan akan
melegakan dan mengurangkan tekanan.

Seterusnya adalah berurut di mana ketika seseorang mengalami stress, otot-otot di


bahagian leher dan bahu akan tegang dan membuatkan kita merasa tidak selesa dengan
keadaan diri sendiri. Oleh hal yang demikian, urutan leher dan bahu boleh melegakan otot dan
melancarkan perjalanan darah. Bukan itu sahaja, urutan kaki juga boleh mengurangkan stress
seseorang.

Stres juga dapat dikurangkan apabila seseorang itu sentiasa berfikir secara positif
dengan melihat kebaikan dalam mana-mana situasi yang bersifat negatif. Pemikiran yang
dapat positif membantu seseorang menumpukan perhatian kepada perkara yang baik dan
dapat memikirkan penyelesaian dengan cara yang terbaik (Izzat Hazmir bin Ismail. (2017). Hal
ini demikian kerana apabila diri seseorang berada dalam keadaan tenang, otak kita dapat
berfungsi dengan baik dan berfikiran waras untuk membuat sesuatu keputusan.

Aspek pengurusan masa adalah penting bagi pelajar Institut Pendidikan Guru kerana
terdapat pelbagai subjek yang mengandungi bermacam tugasan yang perlu disiapkan dalam
waktu yang ditetapkan. Sehubungan dengan itu, seseorang perlulah bijak menguruskan masa
dengan memerhatikan jangka masa yang diambil untuk melakukan sesuatu tugasan tersebut.
Setelah itu, seseorang itu perlulah merancang jadual tugas yang membolehkannya untuk
menyiapkan tugas harian tanpa tekanan perasaan. Hal ini boleh dilakukan dengan
menyenaraikan tugas mengikut keutamaan dan memeastikan terdapat waktu rehat di antara
setiap tugasan tersebut. Elakkan sikap mengangguh kerja kerana ia boleh menjadi punca
utama stres.

Seterusnya, apabila seseorang berada dalam keadaan stress, kaedah regangan atau
menggeliat dan latihan pernafasan merupakan salah satu cara untuk mengurangkan stress
tersebut. Hal ini boleh dilakukan dengan mencari kedudukan yang selesa dan meletakkan
tangan di atas perut serta memejamkan mata. Kemudian, Tarik nafas melalui hidung dan
rasakan abdomen bergerak ke atas dan setelah itu hembus nafas melalui mulut. Langkah ini
diulang berkali-kali sehingga diri seseorang berasa relaks dan tenang (Izzat Hazmir bin Ismail.
(2017)..

Yang terakhir, stres dapat ditangani dengan konsep IDEAL iaitu Identify, Describe,
Evaluate, Act dan Learn (MyHealth, 2012). Bermula dengan Identify iaitu mengenalpasti
masalah sebenar atau punca yang menyebabkan seseorang itu tertekan. Kemudian,
menerangkan cadangan penyelesaian yang ada untuk dinilai bagi setiap kebaikan dan
keburukan setiap cadangan tersebut. Setelah memilih penyelesaian, seseorang perlu
bertindak berdasarkan pilihan yang ditetapkan kemudian belajar dari pengalaman sama ada
tindakan tersebut adalah berjaya atau sebaliknya.

Sebagai kesimpulannya, keadaan stress mampu memudaratkan diri sehingga


mengganggu emosi seseorang. Apabila emosi seseorang terganggu, ia akan mempengaruhi
perjalanan aliran darah di mana ketika stress, sel darah akan bergerak terlalu laju dan
berjauhan di antara satu sama lain. Sel darah juga akan berbentuk seperti titisan air mata
berbanding bentuk sel darah yang normal. Oleh itu, setiap pelajar seharusnya menghindari
stres dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menguruskan masa dengan
sewajarnya.

RUJUKAN

S.M. Nursyakirin bin S.M. Amin. (2015). Pengurusan Stres : Pusat Pembangunan Karier UKM.
Didapatkan pada 18 Februari 2021 daripada http://www.ukm.my/rosh/wp-
content/uploads/2015/12/Slot-6-Pengurusan-Tekanan-di-Tempat-Kerja.pdf

Izzat Hazmir bin Ismail. (2017). Stres dan Kesihatan : Pegawai Perubatan PKU UTMKL.
Didapatkan pada 18 Februari 2021 daripada
https://kl.utm.my/pendaftar/files/2017/10/Stress-dan-kesihatan-Dr.-Izzat-Hazmir-bin-
Ismaal.pdf
MyHealth. (2012). Pengurusan Stres. Didapatkan pada 18 Februari 2021 pada
http://www.myhealth.gov.my/pengurusan-stres/

Anda mungkin juga menyukai