Anda di halaman 1dari 3

Masalah gejala sosial semakin meruncing di negara kita sejak akhir-akhir ini.

Dalam
           
surat khabar sering dipaparkan berita tentang golongan remaja yang terlibat dengan gejala
sosial ini. Gejala sosial dapat ditakrifkan sebagai satu kemelut sosial dan kekeliruan yang
timbul dalam kalangan remaja akibat daripada perkembangan sosial, ekonomi dan politik
yang pesat di negara ini. Contoh gejala sosial yang berlaku ialah ponteng sekolah, remaja lari
dari rumah, penagihan najis dadah, vandalisme gengsterisme dan melepak. Masalah gejala
sosial ini telah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemimpin sehingga menimbulkan
kebimbangan tentang masa depan para remaja. Menurut Hujatul Islam, Imam Al-Ghazali
dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, sekiranya kita ingin melihat masa depan negara, maka
lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja maka baiklah masa depan negara.
Sebaliknya, buruk diri remaja maka hancurlah masa depan sesebuah negara. Persoalannya,
apakah punca-punca yang menyebabkan gejala sosial ini dan apakah cadangan-cadangan
untuk menangani gejala sosial ini?

            Salah satu punca yang menyebabkan gejala sosial ialah ibu bapa yang terlalu sibuk
dengan kerjaya dan urusan seharian. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak dapat
memberikan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. Keadaan ini menyebabkan anak-
anak berasa dirinya kurang diambil berat dan kurang diberi perhatian oleh kedua-dua ibu
bapanya. Sebagai contoh, ibu bapa tidak mempunyai masa untuk bertanya masalah anak-
anak sama ada di sekolah ataupun di rumah. Apa yang menyedihkan, terdapat ibu bapa yang
tidak bekesempatan langsung untuk berbual-bual mesra dengan anak kerana semasa keluar
untuk bekerja terlalu awal dan apabila balik dari kerja, hari sudah malam dan ada
kemungkinan anak-anak telah memasuki untuk tidur. Ibu bapa mungkin bertembung sebentar
semasa bersarapan. Keadaan ibu bapa yang sibuk boleh mewujudkan kerenggangan antara
ibu bapa dengan anak-anak kerana anak-anak tidak mendapat sepenuh belaian kasih sayang
daripada ibu bapa. Menurut pakar psikologi, remaja yang tidak mendapat belaian kasih
sayang daripada ibu bapa mudah terlibat dalam masalah gejala sosial seperti ponteng
sekolah, melepak dan menonton video lucah. Jelasnya anak-anak berbuat demikian untuk
mendapatkan perhatian ibu bapa.

            Selain itu, masalah gejala sosial berlaku kerana ibu bapa tidak memberikan didikan
agama yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini berlaku disebabkan oleh ibu bapa tidak
mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak. Terdapat sesetengah ibu bapa
yang mengharapkan pihak lain terutamanya pihak sekolah dan guru memberikan didikan
agama kepada mereka. Pengabaian pendidikan agama akan menyebabkan remaja tidak
mempunyai asas panduan hidup dengan kukuh. Sebagai contoh, remaja mungkin hidup
dalam keadaan terumbang-ambing. Mereka tidak dapat menilai baik buruk sesuatu perkara
yang dilakukan oleh mereka. Remaja  juga sanggup melakukan apa-apa  sahaja dan mudah
terpengaruh dengan situasi yang kurang sihat. Kecetekan ilmu agama ini menyebabkan
remaja kurang kesedaran  dan keinsafan diri sehingga menyebabkan  mereka mudah
terjerumus dalam gejala sosial. Jelasnya, ibu bapa yang tidak memberikan didikan agama
yang sempurna kepada anak-anak turut menyumbang berlakunya masalah gejala sosial.

Di samping itu, ibu bapa yang sering bergaduh dan bertengkar di hadapan anak-anak turut
menyumbang kepada kepincangan institusi keluarga sehingga menyebabkan gejala sosial
dalam kalangan remaja. Ibu bapa yang sering bergaduh di hadapan anak-anak boleh
menyebabkan anak-anak berasa bosan dan menghadapi tekanan di rumah. Rumah bagi
anak bagaikan neraka kerana anak-anak tidak dapat menikmati kedamaian atau ketenangan
di rumah. Anak-anak akan menganggap ibu bapa tidak lagi mengambil berat  tentang
keadaan diri mereka. Suasana ketegangan seperti ini menyebabkan wujudnya kerenggangan
hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila
kedua-dua ibu bapa bercerai-berai. Apatah lagi sekiranya, ibu bapa tersebut telah berkahwin
lain dan telah mempunyai anak dengan pasangan lain. Anak-anak hasil perkahwinan yang
pertama ini akan menjadi mangsanya. Mereka kehilangan kasih sayang ibu bapa dan hidup
tanpa belaian kasih sayang seorang ayah atau ibu. Keadaan inj boleh menyebabkan jiwa
anak-anak memberontak dan sebagai jalan keluar, anak-anak  mungkin mencari seseorang
untuk meluahkan perasaan dan melepaskan tekanan yang dihadapinya. Sebagai contoh
anak-anak yang kehausan kasih sayang daripada ibu bapa ini akan mudah terpengaruh oleh
ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Keadaan ini boleh membawa anak-anak atau remaja
terjerumus dalam kancah gejala sosial. Tegasnya, kehidupan rumah tangga yang tidak aman,
sering bergaduh dan  berpecah-belah turut menyebabkan anak-anak terlibat dalam masalah
gejala sosial.

            Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang turut mempengaruhi
remaja terlibat dalam masalah gejala sosial. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya
biasanya tidak ada tumpuan terhadap keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa
kesunyian kerana tidak ada tempat untuk mengadu atau menceritakan masalah yang
dihadapi oleh mereka. Oleh sebab itu, anak-anak akan mencari seseorang teman atau rakan
sebaya untuk menceritakan masalah mereka. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang
daripada ibu bapa dan tidak mendapat asas didikan agama akan lebih mudah terpengaruh
oleh ajakan rakan sebaya. Menurut pakar psikologi, anak-anak remaja lebih mudah meniru,
mencontohi dan terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya kerana mereka mempunyai nilai,
sikap, identiti dan perasaan yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya ini biasanya
mempunyai prinsip dan setiap ahli kumpulan akan akur dan patuh kepada kumpulan tersebut.
Kebanyakan remaja berasa bimbang kerana disingkirkan daripada kumpulan rakan sebaya.
Oleh sebab itu, remaja sanggup melakukan apa-apa sahaja kehendak anggota kumpulan
rakan sebaya. Sebagai contoh, seandainya rakan sebaya mereka melepak atau ponteng
sekolah, remaja tersebut sudah pasti mencontohi kelakuan tersebut. Dalam hal ini, nasihat
ibu bapa tidak akan ambil peduli. Sekiranya, ibu bapa memarahi mereka, remaja ini sanggup
lari dari rumah mengikuti rakan sebaya mereka. Jelasnya pengaruh rakan sebaya yang tidak
baik turut menjerumuskan remaja dalam masalah gejala sosial.

            Untuk menangani masalah gejala sosial ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh
perhatian dan tumpuan terhadap rumah tangga dan anak-anak. Ibu bapa perlulah
memberikan kasih sayang dan mengambil berat tentang anak-anak. Ibu bapa juga perlulah
selalu berhubung dengan pihak sekolah untuk menanyakan perkembangan diri anak-anak
dan pelajaran mereka di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana rumah
tangga yang aman damai agar anak-anak dapat menyatakan “rumahku syurgaku”. Ibu bapa
juga perlulah mengelakkan pergaduhan di hadapan anak-anak supaya anak-anak akan
menghormati mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak agar anak-
anak dapat mencontohi kelakuan ibu bapa mereka. Bak kata pepatah “ bagaimana acuan,
begitulah kuihnya”. Apabila wujud kasih sayang terhadap anak-anak,anak-anak akan berasa
diri mereka dihargai dan diambil berat. Ibu bapa yang berjaya memahami jiwa anak-anak dan
ditambah pula dengan kemahiran keibubapaan mampu wujudnya sebuah rumah tangga yang
bahagia. Suasana ketenangan dan dilimpahi kasih sayang dapat menjadi tarikan kepada
anak-anak agar tidak terjerumuskan diri dalam gejala sosial atau terpengaruh oleh ajakan
rakan sebaya yang tidak sihat.

            Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memberi didikan agama yang secukupnya
kepada anak-anak sejak kecil. Bak kata pepatah “ melentur buluh biarlah dari rebungnya” dan
“ asas pendidikan bermula dari rumah”. Anak-anak ibaratkan seperti sehelai kain putih dan
ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain putih tersebut. Oleh sebab itu, ibu bapa
perlulah memberi didikan agama kepada anak-anak agar anak-anak dapat menghayati ajaran
agama dan nilai murni dalam kehidupan. Didikan agama yang sempurna mampu membentuk 
keperibadian dan budi pekerti yang mulia kepada anak-anak. Sebagai contoh, anak-anak
akan sentiasa menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kerana mereka
memiliki keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi. Anak-anak akan sentiasa bertutur dengan
cara lemah lembut dan penuh hormat terhadap ibu bapa dan orang yang lebih tua. Anak-
anak yang ada asas didikan agama sentiasa akan menjaga tindak- laku dan tidak akan
meninggalkan solat dan mereka akan membesar sebagai seorang remaja yang mempunyai
pinsip dan jati diri serta tidak akan terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat.
Jelasnya, didikan agama yang sempurna mampu melahirkan anak-anak yang keperibadian
mulia dan mereka akan berasa malu sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh
mencontengkan arang ke arah muka ibu bapa.

            Seterusnya, ibu bapa juga perlulah mengambil berat persahabatan anak-anak mereka
dengan rakan sebaya. Hal ini demikian kerana ibu bapa boleh mengawal disiplin mereka. Ibu
bapa perlulah memastikan anak-anak  bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui tujuan dan sebab-sebab anak-anak mereka keluar
rumah dan balik lewat ke rumah. Ibu bapa juga jangan terlalu memberi kebebasan yang
keterlaluan dalam bergaulan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan
anak-anak yang bermasalah di sekolah atau di luar sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah
selalu berhubung dengan guru-guru kelas atau guru pelajaran anak-anak mereka di sekolah
untuk mengetahui tingkah laku dan prestasi akademik mereka di sekolah. Menurut seorang
Ahli Fikir Islam, Ibn Sina, “hendaklah setiap ibu bapa meletakkan anak-anak mereka dalam
kalangan anak-anak kelakuannya yang berakhlak mulia”. Anak-anak yang sentiasa dikawal
oleh disiplinnya dan pergaulannya oleh ibu bapa sejak kecil, anak-anak ini akan membesar
dalam suasana yang baik dan berbudi pekerti mulia.

            Berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa masalah gejala sosial


memang merupakan salah satu masalah yang meruncing dan perlu ditangani segera oleh
semua pihak terutamanya ibu bapa. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah
bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anaknya. Saya berharap anak-anak
juga perlulah mempunyai kesedaran dan keinsafan serta tahu menghargai segala
pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tegasnya, masalah gejala sosial
perlu ditangani daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi barah dalam masyarakat
sehingga menjejaskan nama baik negara di persada masyarakat.