Anda di halaman 1dari 21

EMBARGO

12 DISEMBER 2020

JAM 10.00 PAGI

PUTRA BERSIH BERMORAL

UCAPAN DASAR DATO' PADUKA DR. IBRAHIM ALI


PRESIDEN PARTI BUMIPUTERA PERKASA MALAYSIA (PUTRA)

SEMPENA

PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN PERTAMA PUTRA

2020 - 2023

BALLROOM HOTEL REGENCY, KUALA LUMPUR

12 DISEMBER 2020
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarokatuh,

Yang Dihormati Dato' Pengerusi Tetap,

Yang Berbahagia Tan Sri Timbalan Presiden PUTRA,

Yang Berbahagia Dato' Naib-Naib Presiden PUTRA,

Ketua Wira, Wiranita, Wirawati PUTRA Malaysia,

Ahli-Ahli Dewan Tertinggi PUTRA,

Wakil-wakil Kedutaan Asing,

Presiden dan Wakil-wakil NGO,

Para Perwakilan,

Dif-dif Jemputan Khas,

Para Petugas Media,

dan hadirin yang dihormati sekalian.

Pengerusi Tetap dan sidang perwakilan,

1. Selamat datang ke Persidangan Agung Tahunan Pertama Parti


Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), bagi penggal 2020-2023. Parti
terbaharu - berusia setahun lebih yang lahir bagi memenuhi tuntutan
kesinambungan Perjuangan Bangsa Pribumi, yang makin derita di bumi
sendiri, walaupun sudah Merdeka 63 tahun.
2. Parti PUTRA bukan dilahirkan melalui tulang rusuk mana-mana parti yang
berpecah akibat perebutan kuasa tetapi kelahirannya adalah
kesinambungan daripada roh perjuangan NGO Perkasa - yang resah
gelisah dengan perkembangan politik negara yang terus berkecamuk,
ekonomi Bangsa Pribumi terus terhimpit, Islam terus dihina, perpecahan
kaum yang semakin ketara serta muncul berbagai fahaman-fahaman
karut dalam pelbagai angkara seolah-olah Malaysia kini seperti ‘telur di
hujung tanduk’.

3. Sebelum itu, sama-samalah kita mengucapkan tahniah kepada Sayap-


sayap Parti PUTRA iaitu Pergerakan Wira, Wiranita dan Wirawati yang
telah berjaya melaksanakan Persidangan Agung Pertama masing-masing
- yang dirasmikan oleh Tan Sri Timbalan Presiden pada malam 10
Disember di Dewan Wisma Sejarah dan Persidangan penuh keesokan
harinya. Selaku Presiden, tentunya saya amat berbangga dengan
semangat juang serta nilai patriotismae Sayap-sayap Parti PUTRA
walaupun usianya juga baru setahun lebih. Syabas!!!

Para Perwakilan yang dihormati sekalian,

4. Meskipun dalam usia yang masih muda ini, Parti PUTRA sudah
memperolehi kelulusan sebanyak 162 Bahagian setakat 11 Ogos 2020
oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Jumlah
Bahagian yang sudah mengadakan mesyuarat penubuhan dan telah
diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan adalah sebanyak 118
Bahagian. Bahagian yang sudah menerima sijil pendaftaran daripada
Pendaftar Pertubuhan sebanyak 92 Bahagian, manakala 26 Bahagian
lagi sedang menunggu sijil daripada Pendaftar Pertubuhan. InsyaAllah,
baki 44 daripada 162 Bahagian yang telah menerima kelulusan akan
dapat disempurnakan penubuhannya dalam masa yang terdekat.
Memandangkan sekarang rakyat akar umbi kepada Parti PUTRA makin
terserlah dan meningkat yang amat memberangsangkan.

5. Disebabkan Persidangan Agung Tahunan Pertama PUTRA ini diadakan


dalam suasana ancaman pendemik Covid-19, kita terpaksa mematuhi
SOP serta syarat-syarat yang ditetapkan oleh JPPM dan Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM). Oleh itu, tidak dapat kita mengadakan
persidangan ini secara besar-besaran. Malah, Perayaan Setahun PUTRA
juga terpaksa ditangguhkan yang sepatutnya diadakan pada 8 Mei 2020
lalu.

6. Sepatutnya, Perwakilan Persidangan Agung Pertama PUTRA hari ini


dihadiri sekitar 1,200 Perwakilan berdasarkan Bahagian yang telah
mendapat sijil kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan dan layak
menghantar perwakilan. Namun Pendaftar Pertubuhan menetapkan
perwakilan yang boleh hadir hanyalah seramai 250 orang sahaja dan
yang dijemput adalah pemimpin-pemimpin kanan. PUTRA tiada pilihan
lain selain dari mematuhi SOP dan PKPB. Tetapi, Persidangan Tahunan
wajib diadakan atas kehendak Perlembagaan dan arahan Pendaftar
Pertubuhan.

Para Perwakilan yang dihormati sekalian,

7. Saya tidak bercadang untuk menyampaikan UCAPAN DASAR


PERTAMA selaku Presiden PUTRA seperti membaca khutbah atau
seperti membentangkan kajian ilmiah dan berfalsafah ataupun sekadar
beretorik yang disusuri laungan ‘Hidup Melayu!’ atau takbir
‘Allahuakhbar!’. Saya memilih tajuk PUTRA BERSIH BERMORAL
sebagai intipati ucapan dasar saya yang pertama bagi Parti PUTRA yang
baru ditubuh. Saya tidak memilih tajuk-tajuk hebat dengan perkataan
bombastik atau dalam bahasa Arab seperti setengah-setengah pihak
sekadar untuk menunjuk-nunjuk kononnya mereka begitu islamik. Apa
guna jika sekadar nak menunjukkan kehebatan tetapi akhirnya
mengelirukan dan mengecewakan rakyat. Saya bukan seorang seniman
politik atau pelakon Hollywood ataupun Bollywood. Saya tetap kekal
sebagai pejuang kerdil dan sentiasa berterus terang.

8. Presiden PUTRA hanyalah manusia kerdil dengan ilmu tidak seberapa


dan serba kekurangan, tetapi mungkin kaya dengan pengalaman dan
semangat juang yang tidak pernah lesu. In Shaa Allah, dulu kini dan
selamanya. Saya hari ini secara tegas dan berterus-terang akan
menyampaikan keresahan Bangsa Pribumi kita ini dalam bahasa yang
mudah, telus dan bertanggungjawab.

9. Saya terjun dalam gelanggang perjuangan sejak menjadi pemimpin


pelajar di awal 70-an. Namun, saya tidaklah bercadang nak meriwayat hal
diri yang kerdil dalam Persidangan Agung Tahunan Pertama PUTRA ini.
Cuma saya sekadar mahu berkongsi komitmen perjuangan saya tanpa
noktah.

10. Pada tahun 2003, saya disingkirkan dari parti yang dilabel sebagai parti
keramat. Tersingkirnya saya kerana kelantangan. Saya dilabel sebagai
'gedebe', 'kasar' dan 'ekstremis'. Selepas tersingkir, saya mencari
platform baharu dan dari situlah saya dituduh katak. Walhal saya tidak
bertukar parti demi mencari makan seperti sebahagian pemimpin-
pemimpin politik sekarang. Bertahun lamanya saya diejek, pemimpin yang
dahulunya mengejek saya katak tetapi sekarang mereka pula beramai-
ramai melompat dan ada yang melompat berkali-kali, sehingga layak
dipanggil lompat beruk atau lompat monyet. Kerana, mereka mencari
buah kelapa ataupun pisang.

11. Ketika itu, saya dituduh tidak berprinsip tetapi sebenarnya prinsip
perjuangan ini bukanlah soal bertukar parti. Prinsip perjuangan yang tulen
ialah apabila sikap dan perilaku kita tidak berubah sebelum dan selepas
berkuasa - tidak rasuah - tidak terlibat dengan perilaku tidak bermoral -
kalau dapat bertahan dengan ujian ini barulah boleh digelar sebagai
pemimpin yang berprinsip dan berakhlak mulia, tidak kira di mana kita
berada walaupun ‘dilambung ombak’, ‘penuh duri dan ranjau’ di
sepanjang jalan.

12. Bukan bertukar Parti yang menjadi ukuran berprinsip atau tidak berprinsip
serta kehebatan seseorang pemimpin. Sebelum berkuasa dan sebelum
ada jawatan, semuanya hebat tetapi selepas itu seperti 'beruk mendapat
bunga'. Mungkin disebabkan sikap sebegitulah timbulnya persepsi masa
kini ramainya pemimpin yang berperangai hipokrit dan munafik.

Para Perwakilan yang dihormati sekalian,

13. Parti PUTRA ini lahir pada 8 Mei 2019, genap 9 bulan selepas
permohonan dibuat oleh Jawatankuasa Penaja PUTRA kepada
Pendaftaran Pertubuhan. Ini bermakna PUTRA lahir secara sempurna
seperti tempoh sorang ibu yang mengandung dan melahirkan anak
bilamana cukup 9 bulan.
14. Alhamdulillah, tentunya apabila lahir selepas cukup 9 bulan, InsyaAllah
ianya tidak hilang akal dan cacat malah kelihatan sempurna dan cantik.
Bukan seperti parti yang lahir tidak cukup bulan. Malah, ada juga parti
yang lahir secara tidak normal. Belum cukup 2 tahun sudah berpecah
belah, berebut jawatan dan pangkat, dan Perjuangan Pribumi yang
diagung-agungkan kini terbuka untuk semua kaum.

15. Mungkin ada pihak yang tidak sedar nama PUTRA adalah singkatan di
hujung nama Bapa Kemerdekaan Negara kita iaitu Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj. Pasti nama PUTRA membawa berkat dan penuh nostalgia
dan kita lihat di mana-mana terpapar nama PUTRA di merata tempat
seluruh Malaysia. Sebab itu, demi kepentingan dan masa depan Bangsa
Pribumi, PUTRA lah yang layak berada di Putrajaya. Tanjak yang
merupakan simbol Parti PUTRA adalah tanda budaya dan kepahlawanan
Melayu. Bila lihat tanjak pasti kita teringat pejuang-pejuang dan pahlawan-
pahlawan Melayu masa silam seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Dato'
Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Rosli Dhobi dan ramai lagi.

Para Perwakilan yang dihormati sekalian,

16. Ucapan retorik, berfalsafah ataupun berbentuk membaca khutbah tiada


gunanya, kerana pada akhirnya sekadar membawa kepada ‘Menang
Sorak Kampung Tergadai’. Inilah yang sedang berlaku sekarang terhadap
Bangsa Pribumi setelah 63 tahun Merdeka.

17. Justeru, Pimpinan Parti PUTRA mengambil sikap ‘Biar Berputih Tulang,
Jangan Berputih Mata’ dengan menjunjung tinggi 7 Wasiat Raja-Raja
Melayu dalam setiap tindak-tanduk Perjuangan Parti PUTRA sebagai
pewaris pejuang-pejuang bangsa sebelum ini. Biar apa pun PUTRA
dituduh seperti ekstremis, rasis dan tidak mengikut peredaran zaman
namun PUTRA rela menghadapi apa jua cabaran demi ‘survival’ Bangsa
Pribumi. Untuk itu, PUTRA akan melakukan apa sahaja mengikut ruang
lingkup perundangan negara yang sedia ada bagi memastikan Tanah
Rezab Melayu dikembalikan ke tahap 50 peratus. Tanah Rezab Melayu
yang asalnya berjumlah 3 juta hektar sewaktu negara mencapai
kemerdekaan pada 1957, berkurangan kepada 1.7 juta hektar pada tahun
1995 dan pasti ianya makin berkurangan pada tahun 2020 ini. Tanah
Rezab Melayu yang diambil untuk projek-projek awam tidaklah menyakiti
hati sangat, tetapi wajib juga diganti. Yang paling menyedihkan ada Tanah
Rezab Melayu bertukar status untuk projek komersial dan akhirnya
menjadi milik bukan bumiputera dan tidak digantikan. Ini perbuatan
golongan haprak yang mengejar kekayaan tanpa memikirkan ‘survival’
bangsa.

18. Orang Melayu dan Bangsa Pribumi harus sedar tentang hal ini kerana jika
Bangsa Pribumi hilang buminya, maka hilanglah ‘di mana bumi dipijak, di
situ langit dijunjung’ walaupun Laksamana Hang Tuah pernah berkata
bahawa ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia’. Jangan kita lupa, umat Palestin
juga tidak hilang di dunia, Melayu Singapura juga tidak hilang di dunia
tetapi mereka telah hilang buminya. Dulu nama Temasik, sekarang
Singapura. Lupakah cerita Singapura dilanggar Todak dan kanak-kanak
bernama Hang Nadim. Akhirnya, dibunuh kerana memberi cadangan
kepada Raja bagaimana cara menyelamatkan diri dari serangan Todak.

19. Begitu juga dalam soal pendidikan. Perjuangan PUTRA tidak akan
bersifat APOLOGETIK dan MALU ALAH. Tegas dan tidak akan bertolak
ansur selagi mana Pendidikan Sekolah Satu Aliran tidak dilaksanakan,
selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memartabatkan
Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di bawah
Perkara FASAL 151 DAN 152 Perlembagaan Persekutuan. Sekolah Satu
Aliran adalah asas bagi membentuk Perpaduan Kaum dan Integrasi
Nasional.

20. Jika Perpaduan Nasional tidak direalisasikan melalui Sistem Pendidikan


bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, Malaysia pasti akan
menjadi sebuah negara yang sentiasa berada seperti ‘telur di hujung
tanduk’ atau ‘ibarat api dalam sekam’. Negara boleh musnah sekelip mata
dan semua pihak akan mengalami kerugian. Peristiwa 13 Mei adalah
pengajarannya.

21. Begitu juga, PUTRA akan terus berjuang untuk mengembalikan


sepenuhnya biasiswa yang merupakan Hak Keistimewaan Orang Melayu
dan Bangsa Pribumi, sebagai langkah untuk mengangkat martabat
Bangsa Pribumi ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan
Kaum Minoriti di bumi sendiri.

Para Perwakilan yang dihormati sekalian,

22. Sejak 10 tahun ke belakangan ini, timbul pelbagai isu penghinaan


terhadap kesucian Agama Islam, Hak-hak Keistimewaan Orang Melayu
dan Bangsa Pribumi dipersoalkan secara berniat jahat, Institusi Diraja
dicaci serta dihina sehingga menyakitkan hati bagi mereka yang berdarah
patriotisme. Ada pihak ingin mendaulatkan dasar sama rata manakala
Bangsa Pribumi masih merempat di bumi sendiri. Pemikiran rakyat juga
makin bercelaru - jati diri dan semangat patriotik Bangsa Pribumi turut
terhakis hari demi hari. Anak-anak muda pula terperangkap dengan
fahaman liberalisme dan pluralisme hingga mengancam pegangan akidah
secara sedar ataupun tidak disedari, malah ada melayu caci melayu.

23. Jika sebelum ini, Bangsa Pribumi begitu gelisah selepas PRU-14
disebabkan perubahan landskap politik negara, namun selepas kerajaan
yang memenangi PRU-14 pula jatuh setelah 22 bulan berkuasa - dan
kerajaan baharu dibentuk - yang kononnya merupakan kerajaan Melayu
Islam, keresahan Bangsa Pribumi tidak juga reda. Apa yang berlaku ibarat
kata sifir 2x5 dan 5x2 jawapannya sama iaitu 10. Inilah puncanya bila
Pemimpin-pemimpin Melayu Islam sudah hilang roh semangat patriotisme
yang lansung tidak menghayati iltizam politik kepentingan Bangsa Pribumi
tetapi sekadar sarat dengan nafsu kebendaan untuk diri sendiri.

24. Pendek kata, sama sahaja. Hanya masing-masing menggunakan Melayu


dan Islam sebagai modal retorik politik untuk meraih sokongan orang
Melayu setelah hilang kuasa untuk kembali mendapatkan kuasa. Semasa
berkuasa, mereka bersifat rakus, lupa bangsa serta tidak mengikut ajaran
kepimpinan Islam yang dilaung-laungkan. Bila jatuh barulah menangis
tidak berlagu. Namun, apabila berkuasa semula, budaya yang sama
kembali terserlah. Di manakah ketegasan Kepimpinan Melayu Islam untuk
mempertahankan dan memartabatkan ketuanan Bangsa Pribumi yang
sememangnya termaktub di dalam Perlembagaan Negara seperti FASAL
153.

25. Oleh itu, saya mengajak para perwakilan melihat hebatnya pemimpin lain-
lain kaum. Jika desakan mereka tidak dihirau atau tidak diberi layanan,
mereka akan bertempik, mereka menerjah tanpa rasa segan-silu atau
rasa takut tetapi bila hak Bangsa Pribumi yang sememangnya terjamin
dalam Perlembagaan diberi keutamaan seperti program-program
affirmative, ianya dikecam dan dipersoalkan atas pelbagai alasan seperti
hak asasi manusia, pendemokrasian, kepentingan hak kaum minoriti dan
101 alasan. Kaum Minoriti mahu Bangsa Pribumi tidak diberi layanan
istimewa walaupun hak Bangsa Pribumi terjamin dalam perlembagaan.
Cuba lihat aksi Ahli-ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negeri bukan
bumiputera dengan secara angkuh dan adakala biadap tanpa segan silu
bila berbahas di Dewan Rakyat bila menyentuh hak kepentingan kaum
mereka.

26. Kelebihan pemimpin Melayu Islam hanya hebat untuk bertolak-ansur


kononnya atas kepentingan negara, ajaran Islam dan sebagainya. Umat
Melayu Islam dan Bangsa Pribumi mudah dicatur, cukup dengan
permohonan maaf, maka Bangsa Pribumi sedia memaafkannya walaupun
sudah beberapa kali dikencing dan dihina. Saya yakin jika bumi Malaysia
dirampas daripada milik Bangsa Pribumi, maka perampas akan berkata
“Wahai Orang-orang Melayu Islam, maafkanlah kami”. Maka jawapan
nanti, “Kami memaafkan, kerana kami baik”. Inilah yang menakutkan
pengasas-pengasas Parti PUTRA.

27. Kelemahan inilah yang dieksploitasi oleh orang-orang bukan Melayu dan
parti bukan Melayu manakala pemimpin Melayu Islam ibarat kata
‘harapkan pegar, pegar makan padi’. Semangat Nasionalisme Melayu
hanya sekadar di bibir mulut manakala bagi pimpinan yang menggunakan
modal agama akan terus mengeluarkan fatwa-fatwa yang diubah suai
mengikut kepentingan semasa sekadar bagi menghalalkan cara. Inilah
nasib Bangsa Pribumi, orang Melayu dan umat Islam di Malaysia.

Para Perwakilan yang dihormati sekalian,


28. Mutakhir ini pula, ekonomi negara yang pernah suatu ketika dahulu
dianggap ‘Harimau Asia’ sedang dalam keadaan tenat. Hutang negara
melebihi RM1 trillion - tertinggi dalam sejarah. Defisit juga meningkat -
manakala peluang pekerjaan semakin sukar dan di tambah pula dengan
pandemik COVID-19 yang tidak tahu berapa lama dan bila
kesudahannya.

29. Padahal, Malaysia diakui sebagai negara yang mempunyai dasar terbaik,
tetapi gagal dalam soal pelaksanaan - yang berpunca daripada amalan
rasuah, salah guna kuasa serta tiada integriti. Semuanya kerana
‘pemimpin kencing berdiri, murid pastinya kencing berlari’. Bila pemimpin
tidak bersih dan tidak bermoral, maka pasti ianya tidak boleh menjadi
tauladan kepada kakitangan kerajaan dan rakyat amnya.

30. Bidalan orang-orang tua selalu menasihatkan agar ‘jangan menilai buku
sekadar pada kulitnya’. Sebenarnya penampilan yang baik belum tentu
menjamin seseorang itu BERSIH DAN BERMORAL. Ada yang berbaju
sut tetapi dialah perosak bangsa, ada yang berjubah serta berkopiah
tetapi dialah pula yang menjual dan merosakkan Agama Islam. Bersih dan
Bermoral tidak boleh diukur dengan taraf pendidikan semata-mata atau
pakaian semata-mata, kerana yang haprak dan menyalahguna kuasa
seperti rasuah dan menjual agama adalah mereka yang di kalangan
berpendidikan tinggi. Berhati-hatilah dengan ulama’-ulama’ yang
berpolitik kerana jelas modal mereka adalah memperalatkan agama.

31. Dalam soal ekonomi, kedudukan Bangsa Pribumi sebenarnya makin jauh
ketinggalan. Saya tidak perlu menghuraikan statistik kerana para
perwakilan boleh membuat penyelidikan sendiri. Jangan kita lupa,
golongan B40 dan M40 yang paling ramai adalah Bangsa Pribumi.
Hakikatnya, kehidupan rakyat terutamanya Bangsa Pribumi terhimpit di
bumi sendiri setelah 63 tahun merdeka. Apa ertinya kemerdekaan
walaupun negara mempunyai pencakar langit tetapi Bangsa Pribumi
terpaksa melutut menyembah bumi sendiri. Sedih dan memalukan.

32. Jika saya baca statistik yang lengkap dalam semua aspek ekonomi
termasuk pemilikan hartanah, ia cukup menyakitkan hati dan boleh
menitiskan air mata. Bangsa Pribumi seperti merempat di bumi sendiri.
Bangsa Pribumi hanya layak menunggu Rumah Mampu Milik dan PPRT
sahaja. Menanti subsidi seperti peminta sedekah. Berbaris panjang
berjam-jam untuk menerima agihan wang tunai hanya sekadar RM500 -
RM1,000.

33. Sebaliknya, bangunan pencakar langit, gedung perniagaan, rumah


mewah semuanya menjadi milik orang lain. Meskipun begitu Bangsa
Pribumi tetap juga sekadar mengikut laungan pemimpin Melayu yang
berteriak, ‘Hidup Melayu!’ dan bertakbir, ‘Allahuakhbar’ tetapi
kesudahannya, ‘Menang Sorak Kampung Tergadai’.

34. Masalah ditambah lagi dengan kemasukan pendatang asing yang kini
jumlahnya melebihi jutaan, sama ada yang masuk secara halal atau
haram. Tentu sekali ia perkembangan yang menakutkan untuk masa
depan Bangsa Pribumi. Bukan sahaja peluang-peluang ekonomi direbut
kumpulan pendatang ini tetapi kehadiran mereka juga menyumbang
kepada peningkatan berbagai jenayah sosial dan mengancam
keselamatan negara. Ini perkara yang amat berat kerana ia membabitkan
soal Kedaulatan Negara.
Para Perwakilan yang dihormati sekalian.

35. Di sebalik semua masalah ini, Malaysia yang dahulu buminya dimiliki oleh
Raja-raja Melayu sehinggalah terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu,
Merdeka tahun 1957 dan terbentuknya Malaysia pada tahun 1963
merupakan sebuah bumi pemberian Allah yang cukup hebat dan
teristimewa. Tiada tolok bandingnya negara kita Malaysia, dengan lain-
lain negara diseluruh dunia. Malaysia mempunyai kelebihan dan
kehebatan tersendiri. Sebuah negara walaupun tidak besar tetapi kaya
dengan pelbagai sumber asli, dengan cuaca tropika dan dengan tanahnya
yang subur.

36. Bumi yang hampir tiada malapetaka. Jika ada bencana pun, itu pun
sekadar banjir dan adakala banjir menjadi pesta. Ada minyak, ada gas,
dahulu pengeksport getah dunia dan kini kelapa sawit yang terbesar di
dunia, pengeksport kayu-kayan, timah dan emas. Sebut apa sahaja
sumber asli, hampir kesemuanya Malaysia ada. Alam semula jadi dengan
pantai-pantai yang indah, sungai-sungai, bukit-bukit dan gua-gua
semunya hebat-hebat dan luar biasa. Cuma Malaysia tidak mempunyai
pemimpin yang bersifat jujur, bermoral dan benar-benar berjiwa rakyat.
Namun, Malaysia kaya dengan pemimpin dan kakitangan kerajaan awam
yang tidak sedikit terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ada
yang menjadi pelakon rakaman lucah.

37. Manakala penduduk Malaysia sekitar 32 juta buat masa ini dengan 68%
adalah Bumiputera, manakala penganut Islam hanya sekitar 52%.
Dengan kekayaan negara yang luar biasa dan jumlah penduduknya yang
kecil, mengapa Bangsa Pribumi masih terus merempat di bumi sendiri?

38. Sepatutnya, setelah 63 tahun merdeka tiada lagi yang miskin di Malaysia
malah bagi semua kaum. Sepatutnya semua rakyat hidup dalam
kesejahteraan jika Malaysia ini ditadbir oleh pemimpin yang bersih dan
bermoral, tetapi sebaliknya gagal, mengecewakan dan negara pula
terhutang lebih RM1 trillion. Sepatutnya negara ada lebihan simpanan
RM1 trillion bukan hutang 1 trillion. Tengoklah negara-negara lain yang
tidak mempunyai apa-apa tetapi hebat dan mempunyai simpanan dengan
jumlah yang luar biasa. Kenapa? Sebab mereka mempunyai pemimpin
yang bersih dan bermoral. Lihat contoh Singapura, Finland, Norway dan
banyak lagi negara bukan Islam yang tersangat hebat.

39. Tidakkah ini senario yang memalukan? Kenapa terjadinya perkara ini?
Malaysia yang dahulunya menjadi negara contoh bagi negara ketiga,
negara Islam contoh dan banyak lagi gembar-gembur sebelum ini tapi
sekarang Malaysia sekadar 'Indah Khabar Dari Rupa'.

Para Perwakilan yang dihormati sekalian,

40. Apa yang berlaku berpunca daripada kerosakan iman dan jati diri
pemimpin Melayu Islam sendiri. Kepimpinan Melayu Islam diberi
tanggungjawab dan berjanji kepada rakyat dengan pelbagai slogan
namun hakikatnya Bangsa Pribumi dikhianati oleh Pemimpin Melayu
Islam sendiri. Sejarah kejatuhan Melaka ke tangan Portugis dahulu yang
disebabkan Si Kitol rupanya berterusan sehingga ke hari ini, yang
bezanya ialah jalan cerita. Semangat Melayu dan slogan Islam hanyalah
lakonan demi kepentingan peribadi dan parti.
41. Parti-parti politik Melayu Islam berjuang untuk pangkat, kekayaan dan
kepentingan diri mengatasi kepentingan rakyat. Kalau tidak mengapa
bercelaru seperti sekarang? Orang kata ‘Sudah Terang Lagi Bersuluh’.
Kononnya membela Melayu dan kononnya memperjuangkan syariat
Islam tetapi tindak-tanduk pemimpinnya membawa persepsi hipokrit dan
munafik. Pemimpin seperti ini bukan sahaja mempermainkan rakyat tapi
membohongi Allah SWT.

42. Padahal, saban tahun kita menyambut Maulidul Rasul dengan menyebut
kepimpinan Baginda Rasulullah SAW sebagai kepimpinan yang patut
dicontohi. Saya merasakan seolah-olah kita mempermainkan contoh
kepimpinan Rasulullah SAW hanya sekadar untuk kosmetik sahaja. Jika
dilihat pemimpin-pemimpin bukan Islam, kehidupan dan kepimpinan
mereka juah lebih islamik dibanding pemimpin Melayu Islam. Tengok cara
hidup pemimpin negara Finland, Norway, New Zealand, Sweden,
Switzerland, Jepun dan Korea Selatan. Tengok kesederhanaan Cansellor
Jerman (Angela Merkel) dan Perdana Menteri New Zealand (Jacinda
Ardern) berbanding pemimpin dari negara Islam. Mereka pula wanita.

43. Pemimpin negara kita, pakai baju pun berharga ribuan ringgit. Di
Malaysia, bila jadi pemimpin sahaja pakai sut jenama Dolce Gabbana,
baju Linen, kasut seperti Belly dan lain-lain jenama, rumah macam
mahligai, kereta hebat-hebat bersusun, malah ada yang lebih hebat
daripada Sultan. Sebenarnya kalau nak pakai barangan berjenama boleh
beli di Golok, Thailand sebelah Pasir Mas banyak yang murah.
Bayangkan, pemimpin politik ada rumah bernilai puluhan juta, tidak sebiji
malah ada juga yang memiliki rumah mewah di luar negara. Manakala
majoriti Bangsa Pribumi yang dipimpinya hanya menunggu rumah PPRT
ataupun Rumah Mampu Milik sahaja.

44. Walhal, jika ajaran dan tauladan Nabi Muhammad SAW diikuti, kalau tidak
sepenuhnya pun, mungkin Malaysia tidak terbeban dengan pebagai
masalah yang dihadapi sekarang termasuk hutang yang sebegitu besar.
Kalau negara ditadbir dengan bersih oleh pemimpin politik dan penjawat-
penjawat kerajaan dengan cara yang telus, tidak rasuah, tidak membazir,
melaksankan projek-projek yang memberi faedah kepada rakyat, maka
sudah tentu negara Malaysia telah menjadi negara paling tersohor di
dunia. Malah, pendidikan dan perubatan adalah sepenuhnya percuma di
Malaysia jika diambil kira dengan bersih dan bermoral dari segi kekayaan
negara Malaysia.

45. Sepatutnya kita merasa malu kepada masyarakat bukan Islam. Ada satu
parti bukan Islam yang dikecam bertubi-tubi. Saya pun tidak suka dengan
parti itu tetapi kehidupan pemimpin mereka secara umum tidak seburuk
jika dibandingkan dengan sebahagian pemimpin-pemimpin yang
mendakwa memperjuangkan Islam dan Melayu. Malu tapi inilah
hakikatnya, pelik tapi benar.

46. Kalau disusun pelbagai fatwa yang keluar dari mulut pemimpin yang
memperjuangkan Islam. Nauzubillah!!! Mereka berani mengubah suai
hukum agama mengikut waktu dan keadaan semasa, ada ketika haram
ada ketika halal. Kehidupan mereka semakin mewah, sekarang ini ada
pemimpin bergelar ulama’ boleh menyebut ianya rezeki yang datang dari
Allah SWT. Rezeki yang mereka sendiri luluskan dari dana kerajaan
kerana mereka sudah mempunyai kuasa. Tidak boleh lagi dipersoal
walaupun sifat membazir jika dilihat dengan kaca mata Islam. Kita tak
mampu nak berbahas dengan mereka sebab mereka berjubah,
berketayap dan adakala berserban.

Saudara-Saudari Perwakilan Sekalian,

47. PUTRA lahir atas kehendak hukum alam - iaitu di tengah-tengah


kegelisahan Bangsa Pribumi, di tengah-tengah kerosakan negara
disebabkan pemimpin tidak bersih dan tidak bermoral. Inilah yang
mencetus gelombang, semangat dan kelahiran PUTRA. Parti yang akan
menjadi benteng dan bahtera mungkin yang terakhir bagi menongkah
gelombang derita dan keluh-resah orang Melayu, umat Islam dan Bangsa
Pribumi.

48. Parti PUTRA akan mengisi kesinambungan Perjuangan Nasionalisme


Melayu Islam tulen dengan penuh patriotik sebagaimana semangat nenek
moyang kita ketika bangkit untuk menuntut kemerdekaan dahulu untuk
umat Melayu Islam dan Bangsa Pribumi yang bergantung harap. Dalam
perjuangan ini, parti PUTRA berpegang teguh kepada prinsip BERSIH
DAN BERMORAL. Tegas dan tidak malu alah.

49. PUTRA lahir untuk menjadi kuasa ketiga (third force) bagi memainkan
peranan SEMAK DAN IMBANG. PUTRA selaku wadah third force tidak
akan beretorik atau sekadar menipu rakyat demi untuk mendapatkan undi
pilihan raya semata-mata tetapi PUTRA akan bersikap dengan penuh
keberanian serta iltizam politik untuk merealisasikan impian Bangsa
Pribumi supaya ‘Pisang Tidak Berbuah Dua Kali’. Cukuplah Bangsa
Pribumi dan jangan lagi mengulangi pengalaman sebelum ini 'sudah
Terhantuk Baru Hendak Terngadah'.
Para Perwakilan yang dihormati sekalian,

50. Ketika ini, landskap politik negara sudah berubah. Saya meramalkan
PRU-15 nanti tiada mana-mana parti akan menjadi dominan dan tidak
mustahil akan berlakunya kerajaan campuran. PUTRA buat masa ini tidak
akan menyertai mana-mana blok politik supaya PUTRA tidak terikat
dengan mana-mana pihak bagi membolehkan PUTRA bersuara lantang
dalam isu-isu membabitkan kepentingan Bangsa Pribumi.

51. Sehubungan itu, jika kita hendak mengembalikan semula maruah negara
kita; membaiki segala kepincangan yang berlaku dalam semua aspek ini;
meletakkan kembali Malaysia sebagai negara berdaulat dengan kekuatan
ekonomi sebagai digelarkan Harimau Asia dahulu, formulanya ialah
rakyat kena pilih parti yang bersih, bermoral, berani dan tegas. Rakyat
mesti menolak pimpinan seperti ‘Ayam Berkokok Tetapi Hari Tak Siang’.

52. Saya penuh yakin semua isu ini dapat diselesaikan termasuk perpecahan
umat Melayu, perpecahan antara kaum dan ekonomi yang merudum
kalau negara dipimpin oleh pemimpin yang bersih dan bermoral dan inilah
yang sering diingatkan oleh ulama-ulama muktabar serta pemikir-pemikir
tersohor agar menghayati tauladan kepimpinanan Baginda Rasulullah
SAW sebagai contoh.

53. Kalau rakyat berterusan menyokong pemimpin yang hipokrit, munafik,


rasuah, cara hidup mewah dan ego maka sudah tentu tiada ada apa yang
boleh kita harapkan maka terimalah hakikat Bangsa Pribumi akan kekal
‘Melukut Di Tepi Gantang’ dan ‘Menang Sorak Kampung Tergadai’ akan
berterusan.

54. Kepimpinan PUTRA dan ahli-ahli PUTRA hendaklah wajib berpegang


teguh kepada prinsip bersih dan bermoral ini jika PUTRA mahu mendapat
sokongan rakyat malah dari lain-lain kaum. Hakikatnya rakyat mahu
pemimpin bersih dan bermoral, this is the bottom line. Kita parti walk the
talk. Hasilnya nanti jika diberi sokongan oleh rakyat dan menang dalam
PRU-15, wakil-wakil PUTRA yang menang akan bersikap lantang dan
tidak malu alah dalam memperjuangkan hak kepentingan Bangsa Pribumi
di Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri.

55. Cukuplah ‘Allahuakhbar’ itu disebut dalam zikir kita. Dalam perhimpunan
politik, tak payah lagi sebab bila kita lakukan, namun dalam amalan, kita
bersifat hipokrit dan pasti tidak akan mendapat keberkatan Allah.

56. Kepada masyarakat bukan bumiputera pula, mereka tidak perlu salah
faham dengan PUTRA. Jika PUTRA dan pemimpinnya yang mempunyai
sifat bersih dan bermoral dipilih, maka orang bukan Islam dan kaum-kaum
lagi juga akan mendapat nikmat keharmonian. Islam itu adil dan Islam
akan dipandang mulia jika pemimpinnya bersih dan bermoral.

Saudara-Saudari Perwakilan sekalian,

57. Sebelum terlewat dan sebelum Nasi Menjadi Bubur, sebelum Bangsa
Pribumi hilang bumi sendiri seperti nasib Bangsa Palestin, Melayu
Singapura dan lain-lain maka Bangsa Pribumi khususnya umat Melayu
Islam wajib istiqamah bagi menentukan kelangsungan kepimpinan negara
yang hendak diangkat mestilah BERSIH DAN BERMORAL.

Jangan memilih seperti ‘Ayam Berkokok Tetapi Hari Tidak Siang’,

Jangan memilih ‘Bunyi Guruh Di Langit Tetapi Hujan Tak Turun’,


Jangan memilih pemimpin seperti ‘Pisang Berbuah Dua Kali’,
Jangan memilih pemimpin seperti ‘Menang Sorak Kampung Tergadai’.

Demi kelangsungan Bangsa Pribumi di bumi sendiri, saya mengajak


pejuang-perjuang PUTRA biarlah kita ‘Berkayuh Dengan Lidi’ sekalipun,
namun kita akan ‘Genggam Bara Api Biar Menjadi Arang’, ‘Alang-Alang
Menyeluk Pekasam Biar Sampai Ke Pangkal Lengan’, ‘Membujur Lalu
Melintang Patah’ – InsyaAllah, perjuangan kita akan diberkati Allah SWT.

Ayuh marilah kita semua bangkit dengan semangat nasionalisme Bangsa


Pribumi bersama PUTRA.

‘Disini bumi dipijak di sini langit kita junjung’.

PUTRA PERKASA NEGARA | INGAT PRIBUMI INGAT PUTRA,


RAKYAT SEJAHTERA, NEGARA SELAMAT BERSAMA PUTRA.
SEKIAN, TERIMA KASIH…

12 DISEMBER 2020

Anda mungkin juga menyukai