Anda di halaman 1dari 6

Contoh Laporan Temu Bual Peranan Guru sebagai Pemimpin Profesional dalam Pelbagai

Aspek Pembelajaran dan Pemudahcaraan

- Julai 19, 2019

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Pada 28 Februari 2019, saya telah menjalankan sesi temu bual bersama dengan salah

seorang guru di Sekolah Kebangsaan Batu 4 Jalan Apas, Tawau. Tujuan saya melakukan

sesi temu bual tersebut adalah untuk mengetahui berkenaan dengan peranan guru

sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan pemudahcaraan di

dalam bilik darjah. Perkara tersebut bertepatan dengan keperluan tugasan kursus asas

pendidikan iaitu EDUP3083 Asas Kepemimpinan dan Pembangunan Profesionalisme Guru

yang mana memerlukan saya untuk menjalankan sesi temu bual terhadap guru di sekolah

pilihan saya semasa menjalani internship. Guru yang ditemu bual merupakan Ketua Panitia

Matematik di sekolah tersebut dan mempunyai pengalaman mengajar selama 27 tahun

bermula pada tahun 1992. Bentuk temu bual yang telah saya laksanakan adalah temu bual

separa berstruktur untuk membolehkan saya melakukan penyoalan lebih lanjut

berdasarkan jawapan yang dikemukakan oleh responden. Temu bual tersebut telah

dilaksanakan pada 28 Februari 2019 di bilik guru sekolah bermula pukul 10:00 am

sehingga 11:00 am.

Semasa melaksanakan temu bual, saya telah mengajukan beberapa soalan yang

merangkumi kefahaman responden terhadap konsep profesionalisme keguruan, peranan

guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan

pemudahcaraan serta beberapa soalan lanjutan. Berlandaskan perspektif responden,

profesion keguruan dianggap profesional kerana , kerjaya sebagai guru dianggap sebagai

profesional kerana memberikan perkhidmatan yang penting iaitu mendidik anak bangsa,

memerlukan keupayaan intelek dalam melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan,


memerlukan latihan khusus dalam bidang perguruan dan mempunyai kod etika tersendiri.

Berdasarkan temu bual yang telah saya jalankan, terdapat beberapa peranan guru

sebagai pemimpin profesional dalam konteks pembelajaran dan pemudahcaraan dalam

pelbagai aspek kepemimpinan yang telah saya kemukan. Menurut Syed Ismail Syed

Mustapa dan Ahmad Subki Miskon (2010), kepimpinan profesional dalam kalangan guru

dapat diklasifikasikan kepada empat iaitu perancangan, pengelolaan, pengarahan dan

pengawalan. Dalam temu bual yang telah dilaksanakan, responden telah menyatakan

peranan responden sebagai ketua panitia secara terperinci berdasarkan aspek-aspek

kepemimpinan profesional dalam konteks guru seperti yang telah saya nyatakan pada

awal sesi temu bual berlangsung.

Perancangan merupakan antara aspek kepemimpinan profesional dalam konteks guru.

Secara amnya, perancangan merujuk kepada penentuan matlamat jangka panjang dan

jangka pendek (Ragbir Kaur Joginder Singh, 2013). Berdasarkan temu bual tersebut,

peranan responden dari aspek perancangan sebagai ketua panitia di sekolah tersebut

adalah mengadakan mesyuarat untuk panitia matematik. Dalam mesyuarat tersebut,

perkara yang dibincangkan oleh responden bersama dengan guru panitia matematik ialah

pembahagian tugas dari segi kurikulum. Responden juga menyatakan bahawa

pembahagian tugas tersebut dilakukan secara adil untuk memastikan guru dalam panitia

matematik dapat melaksanakan tugas yang telah diberikan dengan efektif. Semasa

mesyuarat juga, responden bersama dengan guru panitia matematik berbincang

berkenaan dengan penghasilan rancangan pengajaran tahunan, rancangan pengajaran

tahunan, rancangan pengajaran mingguan dan rancangan pengajaran harian untuk

membolehkan guru panitia matematik melaksanakan proses pembelajaran dan

pemudahcaraan dengan efektif dan sistematik. Responden turut menyatakan bahawa

panitia matematik turut membincangkan berkenaan dengan aktiviti yang menjurus ke

arah peningkatan pencapaian murid dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi

mata pelajaran Matematik seperti kelas tambahan dan bengkel menjawab soalan-soalan

Matematik UPSR untuk mendedahkan murid dengan format soalan Matematik UPSR
untuk meningkatkan pencapaian Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi mata pelajaran

tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh panitia

matematik sekolah tersebut.

Aspek kepemimpinan profesional yang seterusnya adalah pengelolaan. Berdasarkan

konsep yang dikemukakan oleh Wong Kiet Wah et al. (2018), pengelolaan merujuk kepada

peningkatan penyempurnaan perancangan untuk mencapai matlamat. Menurut responden,

peranan responden dalam aspek pengelolaan sebagai ketua panitia ialah mengelola

pelbagai program berasaskan akademik dan bukan berasaskan akademik untuk

mengembangkan potensi murid dalam pelbagai aspek. Perkara ini bertepatan dengan

hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan rakyat Malaysia yang

seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (Noriati A. Rashid e tal.,

2012). Dalam konteks akademik, responden mengelolakan pelaksanaan kelas tambahan

untuk murid Tahun 6 untuk membolehkan mereka memahami kaedah menjawab soalan

kertas Matematik UPSR dengan mudah. Responden turut menyatakan bahawa

pelaksanaan kelas tambahan tersebut adalah untuk meningkatkan kefahaman murid

terhadap soalan aras tinggi yang telah mula diperkenalkan dalam UPSR bermula pada

tahun 2016 (Raja Noraina Raja Rahim, 2018). Untuk aktiviti bukan berasaskan akademik

pula, responden bersama guru dalam panitia matematik menganjurkan kuiz Matematik

untuk memilih murid yang akan mewakili sekolah dalam pertandingan Kangroo Math

Competetion. Responden juga turut menyatakan bahawa beliau merupakan penyelaras

dalam pengelolaan pertandingan Kangroo Math Competetion tersebut. Perkara ini adalah

untuk memberi peluang kepada murid menyerlahkan potensi diri masing-masing menerusi

penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Menerusi pengelolaan aktiviti sedemikian,

kepimpinan seseorang guru dapat ditingkatkan.

Pengarahan merupakan salah satu aspek kepimpinan profesional guru yang merujuk

kepada cara memimpin melaksanakan tugas dan mempengaruhi individu yang dipimpin

untuk mendapatkan kerjasama mereka bagi melaksanakan tugas (Omar Abdul Kareem
dan Khuan Wai Bing, 2005). Dalam temu bual yang telah dilaksanakan, responden

menyatakan bahawa guru sentiasa menerima arahan daripada pihak atasan signifikan

dengan transformasi bidang pendidikan. Hal ini bertepatan dengan Sufean Hussin

(2004) yang menyatakan bahawa bidang pendidikan bersifat dinamik mengikut

perubahan semasa. Perubahan kurikulum yang berlaku menerusi pelaksanaan Kurikulum

Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada tahun 2011 telah menyebabkan responden yang

juga merupakan ketua panitia menghadiri kursus pelaksanaan KSSR yang dianjurkan oleh

Kementerian Pendidikan Malaysia. Responden sebagai ketua panitia juga menyampaikan

input yang diperoleh semasa kursus tersebut kepada guru matematik sekolah tersebut.

Menerusi penyampaian tersebut, guru panitia matematik di sekolah dapat meningkatkan

kefahaman mereka terhadap pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan

berdasarkan KSSR.

Pengintegrasian elemen Pembelajaran abad ke-21 kini kian diberi penekanan oleh

Kementerian Pendidikan Malaysia sejajar dengan transformasi yang berlaku dalam

sistem pendidikan negara (Badrul Hisham Alang Osman, 2016). Dalam merealisasikan

hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengintegrasikan pembelajaran abad ke-

21, responden juga telah mengarahkan agar guru matematik di sekolah tersebut

melaksanakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang mengintegrasikan elemen

pembelajaran abad ke-21 tersebut. Menurut responden juga, penekanan yang diberikan

oleh pembelajaran abad ke-21 adalah seperti peranan guru sebagai fasilitator,

penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, pembelajaran berpusatkan murid dan

juga pembelajaran kolaboratif. Hal ini amatlah penting untuk memastikan penglibatan

aktif murid semasa berlangsungnya proses pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam

bilik darjah. Dalam hal ini, responden telah mengikuti kursus berkenaan dengan

pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan.

Untuk meningkatkan kefahaman guru matematik terhadap pengintegrasian elemen

pembelajaran abad ke-21 tersebut, responden sebagai ketua panitia mengadakan sesi

perkongsian untuk meningkatkan kefahaman guru matematik di sekolah berkenaan


dengan kaedah pengimplementasian elemen pembelajaran abad ke-21 dalam

pembelajaran dan pemudahcaraan. Oleh yang demikian, sesi perkongsian yang dilakukan

oleh responden membantu guru matematik yang lain untuk meningkatkan kefahaman

mereka terhadap elemen pembelajaran abad ke-21.

Selain daripada mengarahkan guru matematik melaksanakan proses pembelajaran

berasaskan pembelajaran abad ke-21, responden turut mengarahkan guru matematik

Tahap 1 untuk melaksanakan pentaksiran bilik darjah dalam pembelajaran dan

pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Perkara ini selaras dengan arahan yang dikeluarkan

oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang mana menyatakan bahawa pelaksanaan

pentaksiran bilik darjah dalam kalangan murid Tahap 1 bermula pada tahun 2019.

Menurut Luqman Arif Abdul Karim (2018), pentaksiran bilik darjah telah mula

dilaksanakan di sekolah rendah bagi murid Tahap 1. Tambah responden, pentaksiran bilik

darjah memerlukan peranan guru sepenuhnya dalam melaksanakan pentaksiran terhadap

murid. Murid yang dinilai secara berterusan dalam pelbagai bentuk pentaksiran yang

merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan pemudahcaraan iaitu dari

aspek penilaian merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai. Untuk memastikan

perkara tersebut berjalan dengan lancar, responden menyatakan bahawa beliau

memberikan penerangan kepada guru matematik untuk meningkatkan kefahaman mereka

terhadap pelaksanaan pentaksiran bilik darjah. Bagi memastikan perkara tersebut

berlaku, responden meminta guru matematik Tahap 1 di sekolah tersebut untuk

menghantar laporan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah.

Aspek kepemimpinan profesional yang selanjutnya adalah pengawalan iaitu proses

untuk menentukan dan menjamin agar kegiatan individu yang dipimpin terarah pada

pencapaian matlamat yang telah ditetapkan (Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad

Subki Miskon, 2010). Berdasarkan temu bual, responden menyatakan bahawa dalam

aspek pengawalan, responden yang juga ketua panitia melakukan cerapan terhadap guru

matematik untuk menilai prestasi pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan


guru tersebut. Menerusi cerapan yang dilakukan, responden dapat membantu guru untuk

melakukan penambahbaikan terhadap amalan pedagogi guru tersebut ke arah

merealisasikan aspirasi sistem pendidikan negara. Hal ini sejajar dengan Zuraidah

Abdullah et al. (2016) yang menyatakan bahawa penyeliaan membantu meningkatkan

kualiti amalan pedagogi guru. Untuk meningkatkan kefahaman amalan pedagogi yang

berkesan, responden menyatakan bahawa beliau turut melaksanakan konsep komuniti

pembelajaran profesional yang mana responden berperanan sebagai mentor kepada guru

matematik yang lain. Dalam hal ini, responden menyatakan bahawa antara strategi

komuniti pembelajaran profesional yang beliau laksanakan adalah bimbingan rakan guru,

pembelajaran rancangan pengajaran harian dan sesi perkongsian guru. Perkara tersebut

amat penting untuk meningkatkan kefahaman guru terhadap pelaksanaan aktiviti

pembelajaran dan pemudahcaraan yang berkesan.

Secara holistik, terdapat pelbagai peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam

pelbagai aspek pembelajaran dan pemudahcaraan berdasarkan temu bual yang telah

dijalankan. Berdasarkan pernyataan tersebut, peranan guru sebagai pemimpin

profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan pemudahcaraan dapat

diklasifikasikan kepada perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan. Aspek-

aspek tersebut memainkan peranan yang fundamental dalam konteks guru sebagai

pemimpin yang profesional. Perkara tersebut amatlah penting kerana keberkesanan

proses pembelajaran dan pemudahcaraan bergantung kepada kepimpinan yang dimiliki

oleh guru.

Anda mungkin juga menyukai