Anda di halaman 1dari 2

TUTORIAL

ANALISIS JURNAL
Menurut Fuller (1969), keprihatinan dapat ditakrifkan sebagai tanggapan guru terhadap
sesuatu yang dianggap sebagai masalah atau sesuatu yang selalu difikirkan dan guru ingin
membuat sesuatu terhadapnya.
OBJEKTIF KAJIAN
Berdasarkan pemahaman terhadap jurnal yang diberikan, didapati terdapat 3 objektif utama
yang dinyatakan oleh pengkaji iaitu mengenal pasti tahap pengetahuan dan tahap keprihatinan
guru-guru yang terlibat dalam pelaksanaan kurikulum baru, mengenal pasti hubungan antara
faktor pengetahuan guru dengan faktor keprihatinan guru terhadap pelaksanaan KSSR dan untuk
mengenal pasti sama ada pengalaman mengajar guru berpengaruh ke atas pengetahuan dan
keprihatinan guru terhadap pelaksanaan KSSR. Apabila diteliti dapat difahamkan bahawa objektif
yang dinyatakan hampir sama dengan peringkat-peringkat yang dinyatakan oleh Fuller (1969) iaitu
peringkat pertama adalah keprihatinan terhadap diri, peringkat kedua adalah keprihatinan
terhadap tugas dan ketiga keprihatinan terhadap impak.
KAJIAN LITERATURE
Pengetahuan merupakan kebolehan seseorang dalam mengingat atau mengenali bahan-
bahan yang dipelajari tanpa perlu memahami, mengguna atau menukarkannya. Aspek
pengetahuan guru merupakan aspek yang paling dominan dalam mempengaruhi inovasi
pendidikan. Dalam beberapa kajian didapati bahawa tahap pengetahuan guru adalah berbeza-
beza kerana terdapat guru yang mempunyai pengetahuan yang tinggi, sederhana dan rendah
dalam inovasi Pendidikan yang berbeza. Hal ini kerana disebabkan oleh tempoh perkhidmatan
dan pengalaman guru yang berbeza memberikan kesan terhadap pengetahuan guru. Perkara ini
dapat dikaitkan dengan teori Fuller (1969) dimana pada peringkat awal guru tidak yakin dengan
diri sendri kemudian apabila telah lama dan berjaya mengatasi maka guru akan fokus dalam
melaksanakan tugas dan apabila berjaya guru akan memfokuskan terhadap impak pengajaran
yang diberikan. Pengetahuan dan keprihatinan adalah saling bergantung antara satu sama lain
bagi memastikan peringkat kemandirian diri bergerak dari satu peringkat ke peringkat seterusnya.
Pengetahuan yang kurang boleh menyebabkan kegagalan atau melambatkan pergerakkan
perkembangan guru.
DAPATAN KAJIAN
Melalui jurnal ini didapati bahawa, tahap pengetahuan guru-guru terhadap pelaksanaan
KSSR adalah pada tahap tinggi serta pengetahuan kandungan pedagogi dan pengetahuan
pedagogi am guru-guru terhadap pelaksanaan KSSR juga berada pada tahad tinggi. Maka
dengan ini menunjukkan bahawa pengetahuan guru terhadap KSSR adalah tinggi. Selain itu,
didapati juga bahawa guru-guru berada pada tahap yang sederhana pada aspek keprihatinan
berkaitan diri, keprihatinan berkaitan tugas dan keprihatinan berkaitan impak. Oleh itu dapat
dikaitkan bahawa pengetahuan guru dan keprihatinan guru adalah dua aspek yang berlainan yang
tidak berkait antara satu sama lain. Namun begitu, dengan pengetahuan yang dimiliki oleh guru ia
mampu untuk mempertingkatkan kemandirian diri serta mampu untuk menjalankan sesi
pengajaran yang berkualiti kepada murid-murid. Setiap guru praperkhimatan akan merasai
kebimbangan terhadap keboleh diri untuk mengajar namun dengan pengetahuan yang ada ia
mampu untuk fokus terhadap tugas yang diberikan dan semakin lama dalam perkhidmatan maka
guru dapat meneliti impak terhadap pengajarannya serta mampu untuk melakukan
penambahbaikan untuk memperkembangkan potensi murid-muridnya.
RUMUSAN KAJIAN
Berdasarkan kajian yang diberikan, pengkaji menyatakan bahawa guru harus mempunyai
pengetahuan dan keprihatinan dalam melaksanakan KSSR namun ia tidak dipengaruhi oleh
pengalaman mengajar guru-guru tersebut. Malah turut menyatakan bahawa untuk menambahbaik
perlaksanaan KSSR, pelbagai program dan kursus perlu diadakan kepada guru-guru. Pada
pendapat saya, cadangan yang diberikan adalah wajar dengan mengadakan program dan kursus
tambahan bagi menambah ilmu para guru terutama pada guru praperkhidmatan. Hal ini kerana,
menurut Fuller (1969) pada peringkat keprihatinan terhadap diri guru praperkhidmatan berasa
bimbang dengan kebolehan diri sendiri maka dengan perlaksanaan program dan kursus
tambahan dapat memberikan persediaan yang cukup kepada guru praperkhidmatan.
(528 patah perkataan)