Anda di halaman 1dari 28

KEBERKESANAN DIDIK HIBUR DALAM PROSES PENGAJARAN DAN

PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM.

Pauziah Binti Othman

(Guru Cemerlang DG 44)

Sekolah Kebangsaan Bukit Beringin, Masjid Tanah, Melaka

ABSTRAK

Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam yang berkesan merupakan suatu isu yang
diperbincangkan dan menjadi cabaran kepada guru Pendidikan Islam. Tugas Guru semakin
mencabar dan sebagai seorang pendidik adalah menjadi tanggungjawab untuk membantu
setiap pelajar itu meningkatkan prestasi mereka dalam pembelajaran. Oleh yang demikian,
pendidik memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran
yang berkesan. Pendidik haruslah bijak serta kreatif dalam memilih dan merancang kaedah
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. P&P yang dilaksanakan haruslah sesuai
serta dapat menarik minat pelajar untuk mengikutinya. Kaedah pengajaran yang dipilih juga
haruslah mengambil kira kecenderungan, kebolehan serta kemampuan peringkat kematangan
pelajar berdasarkan peringkat umur dan kemampuan berfikir. Kaedah pengajaran yang baik
akan dapat membantu pelajar mengikuti pengajaran dengan baik di samping memperoleh
ilmu pengetahuan, kemahiran serta memupuk minat yang mendalam dalam diri pelajar.
Sehubungan dengan itu kaedah pengajaran hendaklah dipelbagaikan serta disesuaikan
mengikut tajuk serta tema yang dipilih oleh pendidik. Artikel ini cuba mengupas keberkesan
didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam. Didik Hibur merupakan
satu pendekatan P&P yang semakin popular dalam era ini. Justeru, guru Pendidikan Islam
wajar beralih daripada pengajaran pasif kepada pengajaran yang berkonsepkan fun learning
agar dapat mewujudkan pembelajaran yang berkesan. Kajian ini juga diharapkan dapat
mencapai matlamat bagi mempelbagaikan kaedah pengajaran pendidikan serta menarik minat
pelajar mengikuti kursus pendidikan Islam dengan lebih berkesan.

Kata kunci :
Pembelajaran Berkesan & minat pelajar; Didik Hibur; Pendidikan Islam; Pengajaran &
Pembelajaran.

1
PENGENALAN

Pendidikan Islam merupakan mata pelajaran yang penting dalam memupuk generasi yang
beriman, bertakwa, berakhlak mulia dan berketerampilan. Pendidikan Islam juga merupakan
satu proses pengisian jiwa atau kerohanian bagi setiap individu dalam usaha ke arah
menjadikan diri sebagai insan kamil. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi satu kewajiban
kepada guru Pendidikan Islam memilih dan merancang kaedah pembelajaran yang kreatif,
inovatif serta mampu menarik minat pelajar dan meninggalkan kesan yang berkekalan dalam
diri pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan haruslah mengambil kira
kebolehan, kecenderungan serta kemampuan pelajar berdasarkan kepada peringkat umur dan
kemahiran berfikir. Kaedah pengajaran yang baik akan membantu pelajar mengikuti
pengajaran dengan sebaiknya di samping memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran dan
memupuk minat yang mendalam dalam diri pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan
Islam. Guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran yang disesuaikan mengikut tajuk dan
tema yang dipilih oleh guru supaya dapat menarik perhatian pelajar dan seterusnya
memberikan impak yang maksimum terhadap pengajaran dan pembelajaran yang
dipelajarinya.

Didik hibur adalah merupakan salah satu alternatif yang diperkenalkan kepada pendidik
dalam usaha untuk menarik minat pelajar. Tujuan didik hibur diperkenalkan supaya sesi
pembelajaran sesuatu mata pelajaran itu mendatangkan keseronokan, minat dan memberikan
kesan yang positif kepada pelajar. Selain dari itu, secara tidak langsung sebenarnya ia dapat
mencungkil bakat semula jadi pelajar. Menurut Zailah Zainudin (2012), didik hibur adalah
pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid. Walaupun murid
seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti yang
ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran agar isi kandungan
mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.
2
LATAR BELAKANG DIDIK HIBUR

Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran bermula apabila
keputusan Kabinet pada 8 Julai 2009 memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata
pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di sekolah
kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil
menjelang tahun 2012. Keputusan ini dibuat berasaskan pertimbangan objektif berdasarkan
kajian empirikal dan saintifik, iaitu penemuan-penemuan atas dasar kajian yang khusus yang
telah dilaksanakan (KPM 2012).

Kementerian Pendidikan Malaysia (2012) berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur


dan apresiasi bahasa bagi merealisasikan hasrat transformasi berkenaan. Manakala di
peringkat sekolah menengah pula, transformasi kurikulum akan memberi penekanan kepada
penghayatan dan apresiasi aspek penyampaian pengajaran. Kaedah pengajaran akan lebih
interaktif, iaitu berkonsepkan didik hibur supaya pengajarannya lebih mudah dihayati dan
difahami. Berdasarkan Standard Jemaah Nazir ada menyatakan dalam Elemen 9.13,
pengajaran dan pembelajaran yang menyentuh disposisi guru telah menyatakan kepentingan
amalan pembelajaran menyeronokkan dalam kalangan guru sekolah. Seterusnya, elemen
9.13(a) (vi) tentang sumbangan guru terhadap suasana pembelajaran yang kondusif, dan
standard ini menggariskan bahawa guru perlu mewujudkan suasana riang dan merangsang
pembelajaran (Jemaah Nazir Sekolah, 2004).

Walaupun dalam hasrat yang dinyatakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bahawa
fokus utama diberikan tumpuan kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa dalam
kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik
merangkumi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan
tatabahasa dan seni bahasa, namun hasrat ini tidaklah bermakna bahawa didik hibur itu hanya
perlu diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa semata-mata. Penulis
ingin menegaskan di sini bahawa kemahiran didik hibur boleh dilaksanakan dalam semua
mata pelajaran termasuk Pendidikan Islam.

Oleh hal yang demikian, suasana ceria di dalam bilik darjah adalah merujuk kepada amalan
pembelajaran menyeronokkan. Guru yang cenderung kepada sikap autokratik atau serius
boleh menimbulkan konflik antara guru dengan murid. Tidak dapat dinafikan bahawa peranan
guru amat penting sebagai individu yang menjadi pemangkin dalam proses murid

3
mencari ilmu. Tanpa kehadiran guru, proses pembelajaran yang berlaku mungkin tidak
efektif. Guru yang berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang efektif adalah guru yang
cemerlang. Oleh yang demikian guru perlulah sedar tentang peri pentingnya didik hibur.

Langkah Kementerian Pendidikan menambah baik KBSR kepada KSSR memang tepat pada
masanya, kerana ia menjadikan pembelajaran dan pengajaran lebih menarik. Walaupun
sebenarnya didik hibur telah lama digunakan oleh guru, namun pelaksanaan daripada pihak
Kementerian Pendidikan menjadikan ia sebagai satu transformasi dalam bidang pendidikan
agar ia lebih menyeluruh dan sampai kepada semua murid dengan lebih teratur dan terancang.

DEFINISI DIDIK HIBUR

Didik hibur bermaksud mendidik sambil menghibur. Kamus Dewan (2000) mentakrifkan
didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud
menyenangkan atau menggirangkan hati. Didik hibur juga boleh ditakrifkan sesuatu aktiviti di
mana pelajar melakukannya untuk melepaskan tekanan, merehatkan minda, menghiburkan
hati dan menenangkan jiwa setelah melalui proses pengajaran dan pembelajaran.

Oleh yang demikian, dapatlah dirumuskan bahawa didik hibur merupakan satu pendekatan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur dengan
penekanan pelaksanaannya terhadap empat komponen asas iaitu nyanyian, bercerita, lakonan,
puisi dan lain-lain aktiviti sokongan. Yahya (2012) mengaitkan humor dengan kelucuan yang
boleh menyebabkan seseorang menjadi seronok apabila mendengarnya.

Menurut Shafie et al. (2011), amalan jenaka guru pelatih dapat mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang menyeronokkan. Guru perlu kreatif dalam merancang langkah-langkah
pengajaran yang berkesan melalui kepelbagaian didik hibur.

Dalam situasi ini, penulis ingin mengaitkan definisi didik hibur atau hiburan dalam proses
pembelajaran menurut persfektif Islam. Berdasarkan kepada maksud hiburan itu sendiri
menurut Sheikh Mahmud Shaltut (tahun), bekas Sheikh al-Azhar berpendapat bahawa
mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat
atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan
4
untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selagi perkara itu tidak melalaikan daripada kewajipan
agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia
diharuskan. Oleh itu, keseronokan murid secara keseluruhannya dalam mempelajari sesuatu
subjek itu akan dapat direalisasikan secara terancang dan bersistematik.

Selain itu, didik hibur juga berkait rapat dengan penggunaan bahan bantu mengajar.
Penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik akan mewujudkan suasana pembelajaran
yang menggembirakan.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM

Menurut Shabuddin Hashim dan Rohaizab Yaakub (2004), pengajaran ialah proses yang
merangkumi aktiviti-aktiviti perancangan, pelaksanaan, penilaian dan maklum balas yang
mana melibatkan antara guru dengan pelajar. Manakala Mok Soon Sang (2000)
mendefinisikan pengajaran dan pembelajaran dalam konteks masa kini sebagai proses,
komunikasi, sains dan seni. Pengajaran ialah proses yang berkait dengan penyebaran ilmu
pengetahuan atau kemahiran supaya pelajar supaya pelajar dapat mempelajari dan menguasai
dengan berkesan. Rahil Mahyuddin et al. (1997) pula menakrifkan pengajaran sebagai proses
melakukan aktiviti dengan tujuan menghasilkan pembelajaran atau perubahan dalam tingkah
laku pelajar. Sebagai contohnya, daripada individu itu tidak pandai kepada pandai, daripada
tidak tahu kepada tahu, daripada mengetahui kepada memahami, daripada memahami kepada
mengaplikasi, daripada analisis kepada sintesis dan seterusnya kepada penilaian.

Berdasarkan kepada definisi-definisi yang dikemukakan di atas dapatlah dirumuskan bahawa


pengajaran merupakan suatu bentuk dua hala interaksi antara guru dengan murid yang
melibatkan komunikasi dan integrasi yang dinamik dan mempunyai objektif tertentu yang
telah ditetapkan. Oleh yang demikian proses pengajaran yang berkesan harus dilaksanakan
secara sistematik berlandaskan prinsip, teori, kaedah, teknik dan pendekatan yang sesuai
mengikut keadaan dan tahap murid. Menurut Higher (1986) dalam Mok Son Sang (2000)
selain ciri sains, pengajaran juga mengandungi ciri seni kerana ia juga melibatkan emosi, nilai
dan tingkah laku manusia. Justeru, dalam proses pengajaran berkesan guru perlu pandai
menyesuaikan diri di samping berbakat dan berseni dalam merancang pengajaran dan
menyampaikan kepada pelajar.
5
ISU BERKAITAN METODOLOGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENDIDIKAN ISLAM

Walau bagaimanapun terdapat isu yang sering dibangkitkan dalam kaedah pengajaran
Pendidikan Islam iaitu berkaitan dengan kaedah Pengajaran yang disampaikan oleh guru-guru
Pendidikan Islam. Antaranya apakah benar guru-guru Pendidikan Islam masih terlalu
menekankan pendekatan dogmatik dan jumud dalam pengajaran mereka yang dominan?
(Abdul Halim & Nik Mohd Rahimi 2010).

Hasil kajian yang dijalankan oleh Ab. Halim et al )2012) menunjukkan masih ramai guru
Pendidikan Islam menggunakan kaedah pasif dalam pengajaran mereka di dalam bilik darjah.
Keadaan ini berlaku kerana Guru Pendidikan Islam mengambil jalan mudah dalam
menyampaikan pengajaran dan pengajaran mereka ataupun mereka kurang mahir dalam
memahami dam melaksanakan kaedah didik hibur dalam pembelajaran Pendidikan Islam.

Masa depan masyarakat dan bangsa adalah bergantung penuh kepada kecemerlangan dan
kemajuan generasi pelajar pada hari ini. Kesungguhan pendidik untuk mendidik pelajar akan
membolehkan pelajar tersebut menjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan Muhammad
Shatar Sabran et.al (2006), kegagalan Guru Pendidikan Islam merancang mewujudkan situasi
pembelajaran yang menyeronokkan akan memberikan satu impak yang negatif kepada
Pendidikan Islam itu sendiri. Ini kerana kualiti pendidikan yang dicapai oleh murid sekolah
banyak bergantung kepada kualiti guru, kerana guru merupakan individu utama dalam
mengimplementasikan kurikulum. Seorang pendidik hendaklah mempunyai pengetahuan
tentang asas pendidikan yang telah ditetapkan dan seterusnya menjalankan tugas mendidik
dan mengasuh mengikut lunas-lunas ajaran al Quran, contoh tauladan Rasulullah s.a.w dan
para sahabat (Abdullah Nasih „Ulwan t.t).

Menurut Allen (1992) dalam Abdul Halim dan Muhammad Azman Ajuhary (2010) kaedah
dan teknik pengajaran yang baik boleh menyumbang kepada mutu pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Manakala Ahmad (1997) menjelaskan kepentingan pemilihan
sesuatu teknik mestilah berasaskan sesuatu bergantung atas asas-asas pengkaedahan dan
pendekatan yang kukuh, mantap dan boleh dipercayai. Demikianlah hendaknya penggunaan
didik hibur dalam Pengajaran dan pembelajaran mestilah sejajar dengan objektif pelajaran
yang hendak dicapai.

6
CIRI-CIRI DIDIK HIBUR DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENDIDIKAN ISLAM

Jika diteliti kaedah-kaedah pengajaran yang telah diguna pakai, sebenarnya Rasulullah dan
para cendekiawan Islam seperti Ibnu Khaldun, Al Qabisi, Al Farabi, Ibnu Sinna, Ibn Taufail,
Al Ghazali, Imam Shafie dan Imam Malik telah mendahului pelbagai strategi pengajaran
yang ada pada masa kini. Baginda telah mempelopori dan menunjukkan contoh strategi
pendekatan pengajaran yang amat sesuai dengan kehendak pelajar. Antara kaedah pengajaran
yang telah diamalkan adalah kaedah penceritaan, latih tubi, penerangan dan penjelasan,
percambahan idea, Taqdim al targhib (mengutamakan kegembiraan daripada ancaman),
dialog, al adwan (main peranan) dan Inkuiri. (As Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah t.t).

Penerapan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam adalah
merupakan satu langkah yang wajar diambil perhatian oleh Guru Pendidikan Islam. Sesi
pembelajaran menyeronokkan yang mengandungi unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik,
permainan muzik, lakonan dan sebagainya boleh diterapkan dalam komponen pembelajaran
Pendidikan Islam iaitu sirah, akhlak, aqidah ibadah dan jawi.

Mengutamakan Kegembiraan dan Mengurangkan Tahap Kebimbangan

Mewujudkan suasana pembelajaran yang mengutamakan kegembiraan dan mendatangkan


keseronokan kepada pelajar adalah merupakan kaedah pengajaran yang telah lama diamalkan
semenjak zaman Rasulullah dan cendekiawan Islam lagi. Dengan mengutamakan
kegembiraan ianya dapat mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada
guru seperti yang dijelaskan sebelum ini bahawa didik hibur berkonsepkan santai dan
berhibur (Zailah 2012). Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang
positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.

Guru Pendidikan Islam mestilah bijak mewujudkan sesi pembelajaran yang penuh dengan
pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Contohnya dalam pengajaran dan pembelajaran
Tilawah al Quran dan Tajwid, suasana didik hibur juga boleh diwujudkan. Pelajar bukanlah
sebagai pendengar atau pencatat nota semata. Malahan Guru boleh mewujudkan suasana
pembelajaran menyeronokkan dengan aktiviti seperti meneroka hukum
7
tajwid ataupun nilai murni yang terdapat dalam ayat al-Quran yang dibaca. Peranan guru
hanya mengurangkan penerangan atau kuliah dan sebaliknya menggalakkan pelajar meneroka
dan menemui sendiri bahan pembelajaran sambil bekerjasama dengan pelajar lain bagi
memahami bahan ilmiah yang diperoleh (lorenzen dalam Esah, 2004).

Mewujudkan Suasana Pembelajaran Yang Aktif

Begitu juga dalam pembelajaran sirah, akhlak, aqidah ataupun jawi. Suasana pembelajaran boleh
dilibatkan dengan pelbagai aktiviti didik hibur seperti berdialog, bersajak, bercerita, bersyair
bernasyid, menyanyi, berpantun, kuiz, jejak maklumat dan sebagainya. Kaedah pembelajaran
yang melibatkan segala bentuk, kaedah, suasana dan faktor yang dapat membuatkan pelajar
berperanan secara aktif dalam proses pembelajaran, sama ada melibatkan interaksi sesama pelajar
ataupun interaksi dengan guru. Kaedah ini berupaya mewujudkan suasana pembelajaran yang
aktif. Menurut Mayer & Jone (1993), pembelajaran aktif adalah berlakunya aktiviti berbincang,
mendengar, menulis, membaca dan membuat refleksi yang bermakna mengenai isi pelajaran, idea
dan pelbagai hal yang berkaitan dengan tajuk yang sedang dipelajari. Situasi ini sememangnya
mampu diwujudkan oleh Guru Pendidikan Islam.

Bersandarkan kepada dua situasi ini iaitu melalui kaedah pembelajaran didik hibur dan
pembelajaran aktif penulis beranggapan bahawa ianya mempunyai hubung kait yang sangat
memberikan kesan positif kepada pelajar. Melalui proses pembelajaran seperti ini, objektif
aktiviti didik hibur seharusnya cenderung kepada pelbagai ganjaran atau dendaan serta latihan
dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Istilah salah atau
tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai
mungkin pelajar dan aktivitinya bersahaja dan santai. Aktiviti yang dipilih lebih menjurus
kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan,
kerjasama dan toleransi. Aktiviti seperti ini boleh dilaksanakan dengan jaya dalam mana-
mana bidang pembelajaran pendidikan Islam.
8
Kebebasan memberi pendapat dan idea

Melalui kaedah pembelajaran ini pelajar bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea
secara logik dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.
Dalam situasi ini Guru Pendidikan Islam memainkan peranan yang penting dalam
memberikan ruang dan peluang kepada pelajar. Guru Pendidikan Islam perlu bersikap
terbuka. Menurut Ramlan Hamzah (2005), Guru atau pensyarah perlu mempunyai sifat
mendidik dan membimbing yang penuh dengan kemesraan dan kasih sayang. Tugas guru di
sekolah bukan sahaja untuk mendidik, malahan mereka juga boleh memberikan motivasi
kepada anak-anak didik mereka. Bersandarkan kepada pendapat ini, penulis merumuskan
bahawa kasih sayang dalam menyalurkan pendidikan itu sangat penting dan amat
memberikan kesan yang cukup bermakna kepada pelajar.

Dengannya adanya didik hibur yang dijalankan dalam Pengajaran Pendidikan Islam inilah
pelajar bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.
Secara tidak langsung dapat mengenal pasti bakat-bakat terpendam pelajar yang boleh
diketengahkan dalam pertandingan-pertandingan tilawah al Quran, Bercerita Kisah Nabi dan
Rasul (MTQ) yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan pada setiap tahun.

Menerusi pernyataan yang dikemukakan di atas dapat dirumuskan bahawa melalui aktiviti
nyanyian lakonan, bercerita dan seumpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan
menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Apa yang penting ialah arahan guru perlu jelas
dan ringkas, serta kawalan disiplin di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik
penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.

Secara umumnya di sini penulis ingin menyatakan bahawa dalam menerapkan didik hibur
melalui pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam perlulah diingat bahawa ianya tidak
melalaikan ataupun melekakan sehingga membawa kepada hukum haram.

Syeikh Yusuf al Qardawi menyimpulkan dalam fatwanya bahawa, “Nyanyian secara zatnya
adalah halal berdasarkan kaedah asal pada sesuatu adalah halal selagi mana tidak datang bukti
nas yang betul mengenai pengharamannya.” Selain dari itu Ibnu Juraij juga menyatakan
bahawa hukum harusnya lagu itu mengambil kira kepada niat. Oleh yang demikian
berdasarkan kepada pernyataan ini penulis mengambil keputusan bahawa niat itu

9
penting dalam usaha kita menerapkan didik hibur dalam proses pengajaran dan pembelajaran
pendidikan Islam. Guru boleh meletakkan niat, selain untuk berhibur ianya juga sebagai satu
kaedah pembelajaran iaitu untuk memudahkan mengingat sesuatu yang baru dipelajari.
Contohnya dalam mengingat nama-nama Allah (Asmaul Husna), nama-nama nabi, nama
malaikat, rukun Islam dan rukun Iman dan sebagainya lagi. Sememangnya kita tidak dapat
menafikannya bahawa pembelajaran berserta dengan didik hibur lebih merangsang minda dan
deria pelajar untuk lebih aktif dan mudah menghafal dan mengingat.

OBJEKTIF DIDIK HIBUR DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Menurut Zailah (2012), guru perlu tahu dan memahami kehendak yang perlu dicapai dalam
melaksanakan didik hibur. Terdapat tiga objektif pelaksanaan pendekatan didik hibur dalam
pengajaran di sekolah rendah dan menengah, iaitu mengguna dan memahami sesuatu
pelajaran secara didik hibur, mengguna dan memahami bahasa yang indah atau bahasa badan
dalam aktiviti, dan mengguna serta memahami sesuatu kemahiran yang ditunjukkan secara
didik hibur.

Berdasarkan pernyataan objektif di atas penulis merumuskan bahawa peranan guru


Pendidikan Islam dalam merancang objektif pembelajaran yang hendak disampaikan melalui
aktiviti didik hibur, mestilah arif dalam penguasaan isi kandungan bidang yang hendak
disampaikan kepada pelajar. Al Kailany (1986) menyenaraikan sedikit panduan kepada guru
sebelum mengaplikasikan sesuatu kaedah pengajaran. Melalui kaedah pembelajaran guru
mampu merancang objektif yang hendak dicapai dalam pembelajaran mereka. Kaedah yang
diperkenalkan ini juga boleh juga diguna pakai dalam melaksanakan kaedah didik hibur.
Antaranya ialah: Kaedah mestilah sesuai dengan tujuan dan maklumat pelajaran. Kaedah juga
mestilah sejajar dengan objektif pelajaran yang hendak dicapai.

PERANAN GURU PENDIDIKAN ISLAM DALAM PELAKSANAAN DIDIK HIBUR

Kebijaksanaan Guru Sebagai Pengurus dan Perancang PdP


10
Kenyataan Lori Malaguzzi (1994) menunjukkan bahawa pengajaran adalah dirancang oleh
guru secara sistematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah, teknik yang sesuai
dengan disokong oleh media massa atau motivasi. Oleh yang demikian, kejayaan sesuatu sesi
pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus
dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Dalam proses pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah guru adalah segala-galanya yang akan menjalankan pelbagai
peranan dalam bilik darjah. Syed Lutfi (1994). Ini bermakna kejayaan sesuatu sesi pengajaran
dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan
perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Oleh yang demikian guru adalah
penyumbang utama dalam menjayakan pelaksanaan didik hibur dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.

Guru sebagai Pembentuk Nilai

Tingkah laku guru adalah contoh teladan kepada murid. Menurut Mok Soon Sang (2013)
guru haruslah mempunyai sifat-sifat yang terpuji yang boleh menjadi teladan kepada murid-
murid untuk dicontohi. Guru haruslah berkelakuan seperti guru, berpakaian seperti guru,
berjalan seperti guru dan bertutur seperti guru. Nilai moral yang baik, wajar dan diingini
boleh dibentuk dengan pelbagai cara, iaitu melalui contoh tauladan, norma, adat resam dan
kepercayaan masyarakat, peraturan dan undang-undang, hukuman dan ganjaran, dan proses
pendidikan.

Oleh yang demikian, Guru Pendidikan Islam sewajarnya mempunyai perwatakan yang
menarik sesuai dengan peredaran zaman namun tidak menyalahi hukum hakam Islam.
Perwatakan menarik dan berketerampilan sebenarnya boleh mempengaruhi minat dan
kecenderungan pelajar untuk mengikuti pembelajaran yang akan di sampaikan oleh guru
mereka. Perwatakan menarik yang dimaksudkan di sini hendaklah menampilkan ciri-ciri
keislaman yang sebenarnya. Seperti penampilan cara berpakaian, cara bertutur, kecindan,
tidak menakut atau menggerunkan murid dan cara bergaul mengikut syariat Islam.
11
Dapatan Kajian Ab. Halim Tamuri (2010) menunjukkan daripada 27 pelajar yang ditemubual:
25 pelajar menyatakan aspek negatif guru Pendidikan Islam: garang, suka memarahi pelajar
tanpa usul periksa, suka menghina dan mengutuk pelajar, tidak memberi jawapan bila
ditanya dan ego dengan diri sendiri. Situasi dan tanggapan sebegini yang perlu kita
hindarkan kerana disebabkan segelintir Guru Pendidikan Islam yang bersikap demikian tapi
akibatnya seluruh Guru Pendidikan Islam yang lain terbabit. Ibarat pepatah “kerana nila
setitik habis susu sebelanga.”

Penggunaan bahasa yang sesuai dengan tahap murid juga memainkan peranan yang sangat
penting dalam proses menyampaikan ilmu. Guru hendaklah sentiasa menjaga air muka murid
atau pun tidak memalukan murid di khalayak sekalipun murid melakukan kesilapan.
Tanggapan murid bahawa Guru Pendidikan Islam yang garang, ego, sombong, membosankan
harus ditebus semula dengan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan
berkesan. Dalam situasi ini guru perlu menghormati pelajar walaupun status guru lebih tinggi.
Sebagaimana pepatah Melayu ada mengatakan “ular yang menyusur akar tidak akan hilang
bisanya.” Semakin merendah diri seorang pendidik itu sebenarnya ia semakin dihormati oleh
pelajar. Menurut Muhammad Shatar Sarban et al (2006), menghormati pelajar membawa
pengertian bahawa pendidik memahami kelakuan dan permasalahan yang dihadapi pelajar,
tidak lokek dengan senyuman, dan mudah untuk didekati oleh pelajar.

Dengan menghormati pelajar, secara tidak langsung pelajaran dan sahsiah pelajar akan
menjadi lebih cemerlang. Guru Pendidikan Islam sewajarnya mempunyai hati budi yang
luhur dan sentiasa bersedia untuk membantu pelajar. Sekiranya situasi ini wujud ia secara
tidak langsung dapat merapatkan jurang antara murid dengan guru. Murid akan berasa
dihargai. Keadaan ini akan mewujudkan suasana yang selesa untuk berbincang dan
menyelesaikan masalah. Murid akan terhibur dan seronok mengikuti pembelajaran
Pendidikan Islam. Mereka akan ternanti nantikan kehadiran Guru Pendidikan Islam untuk
mengajar mereka.

Guru Sebagai Pengamal Kemahiran Profesional

Sebagai seorang Guru Pendidikan Islam yang terlatih hendaklah mempunyai pengetahuan
yang luas, kemahiran dan kaedah penyampaian yang cekap serta mempunyai sahsiah yang

12
terpuji dan bersikap dedikasi dalam melaksanakan tugas dan amanah yang telah diterima dan
dibai`ahkan. Mok Soon Sang (2006) mengatakan bahawa guru yang memperoleh kemahiran
profesional adalah guru yang bertauliah dan cekap menjalankan tugas-tugas seperti
pengajaran, bimbingan dan aktiviti kokurikulum berlandaskan amalan teori-teori pendidikan.

Berdasarkan petikan pendapat Mok Soon Sang, penulis juga ingin memfokuskan peranan
Guru Pendidikan Islam dalam menjayakan pelaksanaan didik hibur. Maksudnya di sini Guru
Pendidikan Islam wajar berusaha menampilkan watak-watak tertentu dalam menerapkan
didik hibur seperti mampu menggunakan kepelbagaian suara dan watak dalam menyampai
pembelajaran seperti bercerita atau bersyair. Ini adalah kerana ia merupakan sebahagian dari
faktor-faktor yang mempengaruhi pelaksanaan didik hibur dalam proses pembelajaran.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam khususnya dalam bidang
aqidah, ibadah atau pun sirah penerapan didik hibur sangat membantu meningkatkan prestasi
minat dan penguasaan murid. Pembelajaran akan lebih memberikan kesan yang positif dan
menyeronokkan sekiranya diterapkan dengan didik hibur seperti lakonan, permainan watak,
syair atau nyanyian. Selain dari itu bahasa memainkan peranan yang sangat penting dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Ia merangkumi bahasa perbualan ataupun bahasa
komunikasi mahupun bahasa dalam pembelajaran itu sendiri. Melalui kemahiran berbahasa
ini sebenarnya secara tidak disedari ianya memberikan satu impak yang amat bermakna
kepada murid. Contohnya Guru Pendidikan Islam menggunakan bahasa-bahasa yang indah,
lembut dan puitis dalam menyampaikan pelajaran. Dalam ungkapan memanggil murid juga
memberikan kesan. Umpamanya memanggil murid dengan panggilan manja dan mesra
seperti anak-anak ku atau adik-adik ku.

Bahasa yang indah dan puitis dalam proses pengajaran dan pembelajaran sebenarnya mampu
merehatkan jiwa, menenangkan hati dan menyedapkan pendengaran. Sekali gus ianya mampu
mencapai objektif dalam pembelajaran dengan mudah dan berkesan. Kecantikan dan
keindahan dalam bahasa yang di kecapi oleh pancaindera sama ada melalui penglihatan
mahupun pendengaran dan selainnya menjadi perkara yang diharuskan oleh Islam selagi
mana sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan.

13
PELAKSANAAN DIDIK HIBUR DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENDIDIKAN ISLAM

Didik hibur dilaksanakan secara penyerapan dalam pengajaran sesuatu subjek dengan berfokus
kepada aktiviti mengguna dan memahami penyerapan sesuatu keadaan. Penyerapan ialah
proses menyerapkan pelbagai bidang ilmu, nilai, murni, dan kemahiran bernilai tambah yang
dipelajari semasa pengajaran dan pembelajaran Terdapat empat unsur penyerapan sedia ada
dalam pengajaran dan pembelajaran, iaitu Pelbagai bidang ilmu serta tema, Semangat
kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat Malaysia, kemahiran berfikir secara kritis dan
kreatif, dan kemahiran bernilai tambah. (Kementerian Pendidikan Malaysia 2001).

Didik hibur termasuk dalam penyerapan jenis pertama iaitu penyerapan pelbagai bidang ilmu
serta tema. Dalam modul ini, penyerapan bermaksud proses menyerapkan ilmu melalui
pelbagai aktiviti secara santai dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu subjek di sekolah
rendah dan menengah. Penyerapan semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat
Malaysia seperti toleransi, kerjasama, hormat-menghormati sesama masyarakat berbilang
bangsa dan kejiranan juga diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran melalui didik hibur.
Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran
yang sesuai atau waktu yang fleksibel. Aktiviti didik hibur boleh dilaksanakan, dijalankan dan
diselesaikan bersama murid- murid tanpa ada banyak masalah atau halangan. Aktiviti yang
dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.

Selain dari itu, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, dan kemahiran bernilai tambah juga
merupakan satu lagi elemen penerapan boleh diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran
melalui hiburan, lakonan, bercerita puisi dan sebagainya. Muhammad Shatar Sarban et.al
(2006) berpendapat bahawa sifat kreatif akan membawa ke alam penerokaan baru melalui
pemikiran yang lebih luas. Ia merupakan kunci segala penyelesaian masalah. Daya imaginasi
yang tinggi juga menjadi asas utama untuk menjadi pendidik yang kreatif. Situasi sedemikian
akan menghidupkan suasana pengajaran dan pembelajaran tanpa menjemukan murid.

Di samping itu, guru Pendidikan Islam perlu bijak mempelbagaikan penyampaian pengajaran
seperti ketegasan yang dicampur dengan sedikit unsur kecindan untuk menambah

14
minat murid. Selain itu juga kepelbagaian teknik pengajaran perlu wujud untuk mengelakkan
kebosanan di kalangan murid oleh yang demikian Guru Pendidikan Islam perlu berani
mencuba kepelbagaian teknik pengajaran. Bagi mendapatkan keberkesanan proses pengajaran
dan pembelajaran Guru perlu mendapatkan maklum balas dari murid. Melalui cara ini guru
boleh memperbaiki setiap kekurangan yang ada dengan sebaiknya.

KESIMPULAN

Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perkara yang baru dalam siri
pendidikan negara. Untuk tujuan penegasan istilah didik hibur digunakan secara jelas sebagai
komitmen yang bersungguh-sungguh yang perlu dilaksanakan oleh golongan pendidik dalam
usaha ke arah keberkesanan sesuatu proses pengajaran. Semua Guru Pendidikan Islam
diwajibkan mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan menerusi pendekatan „Fun
Learning‟ yang digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran. Kesemua
kaedah, strategi dan pendekatan yang digunakan adalah untuk memenuhi kehendak
kurikulum pendidikan negara kita. KSSR adalah satu bentuk kurikulum yang menitik
beratkan konsep belajar sambil berhibur, ceria dan santai. Untuk menghadapi cabaran dan
tuntutan daripada perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah supaya
lebih memainkan peranannya yang lebih berkesan, Guru Pendidikan Islam hari ini hendaklah
sentiasa melengkapkan diri dengan mengemas kini ilmu pengetahuan dan kemahiran
mengajar dari semasa ke semasa.
15
RUJUKAN

Ab. Halim et.al. 2010. Kaedah Pengajaran Pendidikan Islam : Konvensional dan Inovasi.
Dlm. Ab. Halim & nik Mohd Rahimi (pnyt) Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran
Pendidikan Islam. Bangi : Penerbit UKM.

Ab. Halim & Mohamad Khairul Azman Ajuhary. 2010. Amalan Pengajaran Guru Pendidikan
Islam Berkesan Berteraskan Konsep Mu`alim. Journal of Islamic and Arabic Education,
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia volum 2(1): 43-56

Ab. Halim Tamuri & Nik Mohamad Rahimi. 2010. Isu Pengajaran dan Pembelajaran
Pendidikan Islam. Dlm Ab . Halim & Nik Mohamad Rahimi (pnyt) Kaedah Pengajaran dan
pembelajaran Pendidikan Islam. Bangi : Penerbit UKM

Ab. Halim Tamuri, Adnan Yusop, Kamisah Osman, Shahrin Awaluddin, Zamri Abdul Rahim
dan Khadijah Abdul Razak. 2004. Keberkesanan Kaedah Pengajaran Pendidikan Islam ke
atas pembangunan Diri Pelajar. Laporan akhir projek Penyelidikan Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Abdullah Nasih `Ulwan. 2000. Pendidikan Anak-Anak Menurut Pandangan Islam. Kuala
Lumpur : Matang Cipta Sdn. Bhd.

Al-Kailany, Taisir dan Iyad Mulhim.1986. At Taujih al fanny fi usul at tarbiyah wat Tadris
Bairut: Maktabah Lubnan.

Ahmad Mohamad Salleh. 1997. Pendidikan Islam : Falsafah, Pedagogi Metadologi. Shah
Alam : Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Jemaah Nazir Sekolah. 2004. Standard Kualiti Pendidikan Malaysia. Pernyataan Standard
SKPM 1- Edisi Disember 2004. Putrajaya. Kementerian Pelajaran Malaysia

Meyer, C & T. Jones.1993. Promoting Active Learning : Strategies of Colllage Classroom.


San Francisco. Jossey- Bass.
Muhammad Shatar Sabran, Jasni Sabri, Azali Muhammed. 2006. Tip Pendidik Cemerlang.
Bangi : Utusan Publication & Distributors Sdn.Bhd.

Mok Soon Sang.2000. Psikologi Pendidikan. Subang jaya: Kumpulan Budiman Sdn Bhd

Mok Soon Sang.2013. Falsafah Pendidikan, Kurikulum dan Profesionalisme Keguruan.


Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Rahil Mahyuddin, Habibah Elias dan Kamariah Abu Bakar.1997. Pedagogi 2:Pelaksanaan
Pengajaran. Selangor : Longman.

Ramlan Hamzah & Lily Mastura Harun.2006.Kemahiran belajar. Kuala Lumpur: Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.

16
Shahabuddin Syed Hassan,Rohizani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad.2007.Pedagogi: Strategi
Dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur : PTS Profesional Publishing
Sdn.Bhd.

Shaffe Mohd Daud, Ramli Basri, Roselan Baki, Sahandri Ghani Hamzah & Mokhtar
Nawawi.2011. Pengaruh amalan jenaka terhadap pengajaran dan pembelajaran murid. Jurnal
pendidikan dan pendidikan Asia pasifik, 26(1); 125-144.

Syed Najmudin Syed Hassan, Ab Halim Tamuri, Isahak Othaman dan Mohd Sabri Mamat.
2009. Kajian Persepsi Pelajar Terhadap Tahap Profesionalisme Guru Pendidikan Islam
MRSM. Journal of Islamic and Arabic Education, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan
Malaysia volum 1(2) : 31-50.

Yahya Othman. 2012. Humor dalam Pengajaran bahasa. Dilayari pada 12 Februari 2014 dari
laman web http://yahyaothman.blogspot.com/humor-dalam-pengajaran-bahasa.htmlX

skbatupayong.blogspot.com /2012/05/http://didik-hibur-dalam-pengajaran
Tunzhotspot.blogspot.com 2012/12. http://unsur-didik-hibur-dalam-pengajaran.html.X

Wakmas.blogspot.com /2012/07. http://kertas-kerja-di-universit-pendidikan.html ( 20


Februari 2014)X

Abu Bakar Bin Yang. Artikel. http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/8300- islam-


dan-hiburan (20 Feb 2014)X

As Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (diterjemah oleh Hj. Shuhadak Mahmud, Dirasat

Ulya, Jamieah Maftuhah, Kaherah, Mesir) Nabi Muhammad: Guru dan Pendidik

Terulung terbitan Maktab Al-matbuah Islamiah Habab. Diterbitkan bersama oleh M

Khari Ent. dan Al Azhar Media Ent.


Zailah Zainudin. 2012. IPG Kampus Raja Melewar. Bahagian Pembangunan Kurikulum,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

17

Anda mungkin juga menyukai