Anda di halaman 1dari 10

PENINGKATAN KEBOLEHUPAYAAN PENGURUSAN MASA GURU

DENGAN MENGGUNAKAN TEKNIK PENGAJARAN YANG SESUAI


DALAM PROSESS PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAGI
MURID TINGKATAN 1 ANGGERIK SMK SUBANG

OLEH
SITI NURSYUHADA MD JAILANI

SMK SUBANG, JALAN 2, TAMAN SUBANG BARU, 40150 SHAH


ALAM, SELANGOR

1
KANDUNGAN
1.0 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu 3

2.0 Isu/Keprihatinan (Fokus Kajian) 4

3.0 Kajian Literatur 4-6

4.0 Objektif Kajian

4.1 Kajian Umum 6

4.2 Kajian Khusus 6

5.0 Kumpulan Sasaran 6

6.0 Metodologi Kajian 6

6.1 Gelung 1

1 Mengenal Pasti Masalah 7

2 Merancang 7-8

6.2 Perancangan pengajaran 8-9

7.0 Penutup 10

8.0 Rujukan 10

2
1.0  REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU

Semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Asas Sains
Komputer (ASK) di tingkatan 1 Anggerik, saya mendapati terdapat kelemahan yang paling
ketara sehingga menyebabkan pembelajaran menjadi kurang berkesan ke atas murid.
Kelemahan tersebut ialah kelemahan dari segi pengurusan masa semasa aktiviti pengajaran
dan pembelajaran berlangsung. Hal ini demikian kerana, teknik pengajaran yang saya
gunakan adalah tidak sesuai bagi pengajaran subtopik yang diberi.

Saya hanya menggunakan teknik pengajaran secara penerangan sehingga menyebabkan


murid menjadi semakin keliru terhadap topik yang cuba saya sampaikan. Semasa aktiviti
berkumpulan berlangsung, murid memanggil saya dan bertanya pelbagai soalan yang
menunjukkan mereka tidak memahami konsep yang telah saya terangkan sebentar tadi.
Bukan itu sahaja, murid juga bertanya kepada saya berkenaan topik pembelajaran yang lepas.
Hal ini mengakibatkan masa perbincangan didalam kumpulan menjadi lebih lama dari masa
yang telah saya tetapkan dan menyebabkan rancangan pengajaran saya menjadi terganggu
sehingga menyebabkan saya tidak dapat melaksanakan pembentangan secara berkumpulan.
Sebaliknya murid diminta untuk menghantar jawapan bagi soalan yang diberi didalam
kumpulan itu pada kelas yang akan datang. Hal ini menunjukkan teknik penerangan sahaja
tidak mampu membuatkan murid untuk lebih memahami sesuatu konsep itu.

Masalah pengurusan masa adalah amat perlu dititikberatkan oleh guru. Hal ini demikian
kerana, sekiranya perkara ini berterusan, maka ini akan mengganggu proses pengajaran dan
pembelajaran bagi mata pelajaran yang lain. Tambahan pula, bagi mata pelajaran asas sains
komputer ini murid perlu bergerak dari kelas mereka ke makmal komputer. Sudah pasti
perkara ini juga memakan masa. Sekiranya saya menghabiskan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran lebih lewat dari masa pembelajaran yang dirancang, maka ia akan mengganggu
masa guru yang akan mengajar selepas kelas saya.

Oleh hal yang demikian, perkara ini harus ditangani dengan segera agar ia tidak lagi
mengganggu proses pembelajaran murid. Maka dengan itu, saya mengemukakan cadangan
menerusi kajian tindakan ini dengan mengusulkan beberapa teknik yang boleh digunakan
untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi subtopik ini.

3
2.0 ISU / KEPRIHATINAN (FOKUS KAJIAN)

Setelah saya membuat pemerhatian, didapati pengurusan masa bagi sesuatu aktiviti
pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting. Ia juga amat berkait rapat dengan
pengurusan kelas. Hal ini menunjukkan bahawa guru perlulah memainkan peranan dalam
melakukan kawalan kelas dan masa yang baik menerusi teknik pengajaran yang bersesuaian.
Mungkin bagi murid tingkatan 1 Anggerik ini pembelajaran menerusi penerangan sahaja
amat tidak sesuai. Murid perlu dibimbing satu-persatu dalam memahami sesuatu konsep
algoritma yang diajar.

Justeru itu bagi meningkatkan mutu pembelajaran murid, guru perlulah bertindak dengan
menukarkan teknik pengajarannya dengan teknik yang lebih sesuai dan efektif ke atas murid.
Guru juga perlu mengetahui tahap kecerdasan dan kognitif murid sebelum merancang aktiviti
pembelajaran agar murid dapat mengerti apa yang cuba guru sampaikan.

3.0 KAJIAN LITERATUR

Pengurusan masa bermaksud pembahagian masa dengan betul supaya aktiviti harian
seseorang dapat dijalankan dengan baik dan tidak terganggu atau boleh dimaksudkan sebagai
pembahagian masa yang cekap. Husairi Jikan (2004) pernah mengatakan bahawa, pengurusan
masa adalah proses peribadi dan mestilah sesuai dengan gaya dan keadaan diri sendiri. Untuk
menguruskan masa secara berkesan seseorang itu harus mempunyai diri yang teguh. Dengan
kaedah itu sahaja akan membolehkan seseorang itu mencapai hasrat yang diingininya. Hal ini
demikian menunjukkan bahawa bagi membolehkan sesuatu aktiviti pengajaran dan
pembelajaran berjaya dilaksanakan adalah menerusi kebijaksanaan guru dalam menguruskan
masa pengajarannya.

Keberkesanan pengurusan masa dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran


amat bergantung kepada teknik dah kaedah yang digunakan oleh guru semasa menjalankan
aktiviti pengajaran. Di bawah konsep pendidikan, teknik mengajar boleh ditakrifkan sebagai
kemahiran atau kecekapan guru untuk pengelolaan dan perlaksanaan kaedah mengajar dalam
sesuatu aktiviti pengajaran dan pengiraan. Mengikut Edward M. Anthony (1963) teknik
mengajar adalah satu muslihat, strategi atau satu kemahiran yang digunakan oleh guru
dengan tujuan mencapai objektif pembelajaran.

4
Antara teknik pengajaran yang boleh digunakan ialah teknik latih tubi. Teknik latih tubi
bertujuan untuk menyediakan latihan dan peneguhan secukupnya kepada murid tentang
sesuatu pembelajaran spesifik supaya mereka secara automatik boleh menyebut atau
memperingati semula maklumat apabila disuruh berbuat demikian. teknik latih tubi yang
terhasil daripada teori pembelajaran behavoris amat sesuai untuk pengajaran kosa kata,
kemahiran matematik, kemahiran sains, sejarah dan geografi. Jika guru sering memberi latih
tubi soalan yang bersesuai dengan topik maka murid lama-kelamaan menjadi terbiasa dengan
soalan tersebut dan lebih mudah memahami topik yang diajar.

Selain daripada teknik latih tubi, terdapat satu lagi teknik yang boleh digunakan oleh guru
semasa aktiviti pengajaran iaitu, teknik demonstrasi. Teknik demonstrasi adalah suatu teknik
mengajar, iaitu seorang guru atau orang lain yang sengaja diminta atau murid sendiri
memperlihatkan pada seluruh kelas tantang suatu proses atau cara melaksanakan sesuatu
(Frieman 2002). Manakala Mok Soon Sang (2002) memberikan pengertian demonstrasi atau
tunjuk cara sebagai teknik pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran guru
mendemonstrasikan cara atau langkah sesuatu aktiviti di hadapan pelajar. Beliau menjelaskan
bahawa teknik tunjuk cara melibatkan aktiviti penerangan dan demonstrasi guru bersama
pelajar dengan aktiviti pendengaran dan penglihatan serta percubaan pelajar sebelum mereka
mencuba atau membuat sendiri sesuatu aktiviti tersebut. Antara ciri istimewa teknik
demonstrasi ialah mengutamakan aspek kemahiran, menggalakkan penglibatan pelajar,
memberi peluang kepada pelajar untuk mendengar dan melihat dan ia mempunyai kaitan
secara langsung antara teori dan juga praktik.

Tambahan lagi, guru juga boleh menggunakan teknik penyelesaian masalah. Penyelesaian
masalah adalah merupakan salah satu daripada proses kognitif dan pembelajaran yang
dilakukan oleh organisma atau makhluk hidup. Secara umumnya dengan konsep yang lebih
mudah kita menganggap penyelesaian masalah adalah merupakan satu proses, kaedah,
langkah atau cara yang diambil oleh seseorang untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
Manusia menggunakan pemikiran dalam pelbagai bentuk tidak kira sama ada dalam bentuk
yang baik ataupun buruk, salah satu fungsi pemikiran adalah untuk menyelesaikan masalah
dan membuat keputusan (Mahmood Nazar Mohamed, 2004). Hal ini sekaligus membuatkan
guru dapat melatih murid untuk berfikir secara kreatif dan kritis dengan menggunakan teknik
ini. Tambahan lagi, Penyelesaian masalah adalah penting bagi kita untuk menjadikan hidup
kita menjadi sejahtera, walaupun tidak semua masalah yang kita hadapi sepenuhnya dapat

5
diselesaikan secara menyeluruh namun dengan adanya penyelesaian masalah, kesulitan hidup
kita akan mampu dikurangkan.

Kesimpulannya banyak teknik yang guru boleh gunakan selain teknik penerangan dalam
menjalankan aktiviti pengajaran. Teknik penerangan sememangnya amat penting dalam
menyampaikan sesuatu pengajaran. Namun dengan bergantung hanya teknik pengajaran
sahaja ia akan memakan masa dan tidak dapat memberikan kesan yang efektif terhadap
pengajaran yang cuba disampaikan.

4.0 OBJEKTIF KAJIAN


4.1 OBJEKTIF UMUM
Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kefahaman dan kemahiran
murid dalam penghasilan carta alir bagi algoritma yang melibatkan struktur
kawalan dwipilihan
4.2 OBJEKTIF KHUSUS
1. Menguruskan masa pengajaran dengan baik dan murid dapat memahami
konsep yang diajar
2. Meningkatkan tahap kefahaman dan kemahiran murid dengan
menggunakan teknik pengajaran selain dari teknik penerangan.
5.0 KUMPULAN SASARAN
Kumpulan sasaran ialah murid tingkatan 1 Anggerik yang bersekolah di SMK
Subang. Ia melibatkan seramai 20 orang murid yang terdiri daripada 8 orang murid
lelaki dan 12 orang murid perempuan.

6.0 METODOLOGI KAJIAN

Model yang saya gunakan bagi melaksanakan kajian tindakan ini adalah model yang telah
dikemukan oleh Kemmis. Model Kemmis dan McTaggart (1988) menurut Ji Lin dan Siti
Rahaimah (2018) merupakan model yang menggunakan 2 kitaran dengan mengikut 4 langkah
kajian tindakan berdasarkan kitaran seperti, mereflek, merancang, bertindak dan memerhati.
Model ini dimulakan dengan perancangan diikuti dengan tindakan serta pemerhatian dan
kemudiannya mereflek tindakan yang telah dilaksanakan. Proses yang sama akan terus
berulang jika objektif yang dikemukakan tidak dapat dicapai atau tidak berjaya.

6
6.1 GELUNGAN 1
1. Mengenal Pasti Masalah

Semasa proses pengajaran berlangsung, seperti yang dikatakan di bahagian


refleksi, permasalahan yang utama ialah pengurusan masa yang kurang baik oleh guru
kerana penggunaan teknik yang tidak sesuai. Oleh hal yang demikian, permasalahan
utama ini harus ditangani agar perkara seperti ini tidak berulang lagi di waktu
pembelajaran yang akan datang.

2. Merancang

Berdasarkan permasalahan yang dinyatakan, saya membuat pelbagai pembacaan


agar perkara ini dapat diatasi. Pengurusan masa yang berkesan merupakan satu faktor
yang menentukan kejayaan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Seorang
guru yang berjaya menguasai masa adalah guru yang dapat menguruskan masa
dengan baik, sehingga masa itu dapat memberi manfaat kepada dirinya dan juga yang
paling penting kepada murid. Pengurusan masa yang baik juga berkait rapat dengan
bagaimana guru itu merancang sesuatu aktiviti pembelajaran dan juga teknik yang
akan digunakan untuk menyampaikan pengajarannya itu. Justeru itu, saya bercadang
untuk menggunakan teknik yang lebih berkesan dalam sesi pengajaran yang akan
datang agar perkara seperti pengurusan masa yang tidak baik ini dapat diatasi.

Dengan menggunakan murid dari kelas yang sama, iaitu murid 1 anggerik yang
seramai 20 orang, saya akan menjalankan aktiviti pengajaran dalam masa kurang dari
60 minit agar murid dapat mengambil sedikit masa untuk pergerakan mereka untuk ke
makmal komputer dari kelas. Bagi menjayakan rancangan saya ini, saya akan
mengurangkan objektif pengajaran agar murid dapat memahami konsep yang saya
akan ajar dengan lebih jelas dan saya tidak perlu lagi mengulang topik yang sama di
kelas akan datang kerana jika saya melakukan pengulangan seperti proses
pembelajaran yang sebelum inilah yang menjadi punca pengurusan masa menjadi
kurang baik.

Bagi teknik pengajaran pula, saya akan menggunakan teknik penyelesaian


berasaskan masalah dan teknik ini dilakukan seiring dengan penggunaan kaedah
koperatif. Di mana murid akan dibahagikan kepada kumpulan yang kecil dan setiap
kumpulan diberi satu masalah yang berkaitan dengan topik pengajaran. Pembelajaran
berasaskan aktiviti berkumpulan ini dikatakan dapat memberikan hasil jawapan dan

7
perbincangan yang lebih berkualiti. Menurut Amani Karim (2010) perbincangan
dalam kumpulan merupakan kaedah yang amat efektif untuk pelajar mencapai
kejayaan dan kecemerlangan akademik. Hal ini demikian kerana, menerusi
perbincangan kumpulan murid dapat melakukan banyak perkara dalam jangka masa
yang singkat. Perkara ini membuatkan permasalahan berkenaan dengan pengurusan
masa guru juga dapat diatasi. Selain dari kaedah pengajaran berasaskan kumpulan,
saya juga menggunakan teknik berasaskan masalah. Menurut Norasykin Zaid (2007) ,
Teknik penyelesaian masalah merupakan antara teknik yang perlu dikuasai pelajar
bagi memudahkan mereka untuk belajar dan seterusnya memahami sesuatu masalah
yang diberi bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik. Kemahiran penyelesaian
masalah ini merupakan antara kemahiran yang sering diaplikasikan oleh pengaturcara
komputer. Sesuai dengan topik pengajaran yang akan di ajar, maka teknik ini amatlah
wajar digunakan semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Jika sebelum ini saya menggunakan medium kahoot sebagai bahan bantu
mengajar bagi menarik minat murid. Namun ia mendatangkan kesan amat besar dari
segi pengurusan masa. Permainan kahoot ini telah mengakibatkan saya tidah dapat
mengikut maya yang telah dirancang kerana saya perlu menunggu murid untuk masuk
ke permainan ini dan sememangnya sudah memakan masa dalam tiga ke empat minit.
Maka pada kali ini saya akan menggunakan bahan-bahan yang berdekatan dengan
murid dan juga slaid powerpoint yang menarik untuk memberi paparan berkenaan
topik yang akan diajar.

6.2 Perancangan pengajaran.


Saya merancang untuk menjalankan aktiviti pengajaran dalam masa 55 minit iaitu
kurang dari masa yang telah ditetapkan dalam jadual di sekolah iaitu 3o minit bagi satu
masa. Mengikut jadual yang ditetapkan, masa bagi kelas 1 anggerik untuk mata pelajaran
Asas sains komputer ini adalah dua masa bersamaan dengan 60 minit. Namun disebabkan
saya mengambil kira faktor pergerakan murid dari kelas ke makmal komputer dan
persediaan murid untuk masuk ke kelas, maka saya mengambil keputusan untuk
menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran selama 55 minit. Maka murid masih ada 5
minit untuk benar-benar bersedia semasa di dalam kelas.

8
Saya merancang RPH yang baharu dengan memilih topik penghasilan carta alir yang
melibatkan struktur kawalan dwipilihan. Terdapat 4 fasa yang utama bagi menjalani
aktiviti pembelajaran dan pengajaran saya ini, iaitu fasa set induksi, aktiviti
pengembangan, aktiviti pentaksiran dan yang terakhir penutup. Di fasa set induksi, saya
akan meminta murid untuk mengeluarkan pen biru atau pen hitam dari dalam kotak
pensel mereka dan kemudiannya saya akan bertanya apakah langkah yang dapat murid
perolehi dari aktiviti yang mudah itu. Kemudiannya saya akan menunjukkan hasil
pembelajaran kepada murid. Mengikut perancangan saya proses set induksi ini akan
memakan masa selama 5 minit.
Seterusnya di bahagian aktiviti pengembangan, saya akan memaparkan contoh carta
alir yang melibatkan struktur kawalan dwipilihan berserta memberikan satu situasi yang
melibatkan struktur kawalan dwipilihan. Berdasarkan situasi yang baharu ini, saya akan
menggunakan teknik pengajaran demonstrasi dimana saya akan menunjukkan kepada
murid bagaimana hendak menghasilkan carta alir yang melibatkan struktur kawalan
dwipilihan berdasarkan permasalahan yang diberi. Proses pengajaran pada fasa aktiviti
pengembangan ini akan memakan masa selama 10 minit.
Sekiranya murid faham berkenaan dengan pengajaran di fasa aktiviti pengembangan,
maka kelas akan diteruskan lagi dengan aktiviti pentaksiran yang dijangkakan akan
memakan masa selama 35 minit. Di fasa ini, murid akan dibahagikan kepada 5 kumpulan
di mana, satu kumpulan akan memiliki empat orang ahli. Murid akan diberikan soalan
dan masa selama 10 minit bagi menyelesaikan permasalahan yang diberi. Kemudiannya
setiap kumpulan akan membentang jawapan mereka dalam masa 4 hingga 5 minit bagi
setiap kumpulan.
Di akhir pengajaran, sebagai rumusan saya akan meminta dua orang wakil murid
(seorang murid lelaki dan seorang murid perempuan) untuk membuat kesimpulan
terhadap apa yang mereka perolehi dari aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada hari
ini. Soalan latihan latih tubi juga akan diberi sebagai bekalan untuk murid lebih
memahami topik yang diajar. Kesimpulannya sekiranya perancangan ini diikuti dengan
baik, maka masalah pengurusan masa juga akan dapat diatasi dan murid juga akan
menikmati pembelajaran yang lebih efektif kerana topik yang diajar adalah sedikit dan
mudah difahami.

9
7.0 PENUTUP
Kesimpulannya, ditekankan semula bahawa aspek pengurusan masa amatlah penting
untuk guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Memetik kata-kata dr
Jamilah, jika anda gagal untuk merancang maka anda merancang untuk gagal. Oleh itu,
perancangan pengurusan masa adalah tanggungjawab guru kerana masa itu emas dan
amatlah berharga. Jika masa yang ditetapkan tidak diikuti maka akan rosaklah sesi
pengajaran yang telah dirancang.

8.0 RUJUKAN

Abd Karim, A., & Sulong, A. (2010). Strategi Belajar Berkumpulan Dan Pengaruhnya
terhadap Prestasi Akademik: kajian Terhadap Pelajar Sarjana Muda sains Serta Pendidikan
(pengajian Islam) Utm (Doctoral dissertation, Universiti Teknologi Malaysia).

Azlena Zainal & Munir Shuib. (2004). Meningkatkan Potensi Minda. Bentong: PTS


Publications & Distributors.

Ismail, N. A., & Ahmad, Z. (2016). Keberkesanan Penggunaan Quizlet dan Kahoot IT dalam
Memperkasakan Pengajaran Guru dan Memperkaya Pembelajaran Murid. In Seminar Bahasa
Melayu.

Ji Lin, Y., & Ali, S. R. (2019). THE EFFECTIVENESS OF BAR MODEL IN SOLVING
STANDARD FOUR DESCRIPTIVE MATHEMATICAL PROBLEM (35 - 44). Jurnal
Pendidikan Sains Dan Matematik Malaysia, 8(2), 35-44. Retrieved from
https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/JPSMM/article/view/2197

Zaid, N., & Tasir, Z. (2011). Penggunaan teknik penyelesaian masalah dalam pembangunan
aturcara komputer bagi pelajar pendidikan. Sources from http://eprints. utm. my/14082.

10