Anda di halaman 1dari 5

FAKULTI SENI, KOMPUTERAN DAN INDUSTRI KREATIF

(FSKIK)

TUGASAN INDIVIDU

REFLEKSI MAKROTEACHING 2

KURSUS

PENGAJARAN, TEKNOLOGI DAN PENAKSIRAN 2 (A192)

KOD KURSUS

KPD3026 (KUMPULAN AT46B)

NAMA SITI NURSYUHADA MD JAILANI

NO MATRIK D20171078869

SEMESTER SEMESTER 2 (2019/2020)

NAMA PENSYARAH DR. JAMILAH BINTI HAMID


1.0 PENGENALAN
Saya telah ditugaskan untuk menjalankan aktiviti pengajaran secara maya pada 24 Julai
2020. Subtopik yang telah saya pilih adalah menyenaraikan entiti dan atribut berdasarkan
situasi dalam sesuatu masalah. Pada pendapat saya, subtopik ini merupakan satu subtopik
yang amat mudah dan banyak aktiviti yang boleh dilakukan menerusi subtopik ini. Di
permulaan pengajaran pada bahagian set induksi saya telah menunjukkan dua keping gambar
kepada murid dan bertanya sama ada mereka dapat menyenaraikan perbezaan pada gambar
tersebut. Murid pada kelas saya ketika itu amat aktif. Mereka menjawab semua pertanyaan
saya dengan baik.

Kemudian saya teruskan lagi ke aktiviti perkembangan dengan memberikan sedikit


penerangan mengenai entiti dan juga atribut. Seterusnya saya telah membahagikan murid
saya kepada lima kumpulan yang kecil. Murid diminta untuk menubuhkan satu kumpulan
‘Whatsapps’ di telefon bimbit masing-masing memandangkan pengajaran yang dilakukan
secara atas talian, jadi perbincangan murid juga dilakukan secara atas talian. Setelah selesai
melakukan perbincangan di dalam kumpulan, wakil kumpulan diminta untuk
membentangkan jawapan mereka pada rakan-rakan yang lain. Sambil guru mengulas setiap
jawapan yang diberi.

Setelah selesai aktiviti secara berkumpulan, saya telah memberikan satu latihan penilaian
secara individu dan murid diberi masa selama empat minit untuk menyelesaikan soalan
tersebut. Kemudiannya, saya meminta seorang murid untuk memberikan jawapannya
berdasarkan soalan yang diberi. Saya juga turut mengulas jawapan tersebut dan melakukan
perbincangan bersama murid yang lain.

Di akhir pengajaran, saya meminta semua murid untuk pergi ke laman sesawang
menti.com untuk membuat satu lagi aktiviti sebagai rumusan. Setiap murid dikehendaki
untuk menyenaraikan satu atribut bagi entiti rumah dan menerusi laman sesawang menti.com
ini, guru dapat melihat sama ada murid faham atau tidak terhadap pengajaran yang
disampaikan.
2.0 KEKUATAN

Perkara utama yang saya dapat lihat menerusi pengajaran pada kali ini adalah, kesemua
apa yang saya rancang telah dapat dilaksanakan dengan sempurna. Sebagai contoh dari segi
kawalan masa. Mengikut RPH yang telah saya sediakan, tempoh aktiviti pengajaran akan
berlangsung selama 40 minit dan semasa melaksanakan pengajaran itu ternyata masa yang
saya peruntukan untuk mengajar adalah amat sesuai. Hal ini berlaku kerana, saya telah
mengikut satu persatu perancangan yang telah saya rangkakan. Murid juga kelihatan amat
seronok terhadap pengajaran yang dilaksanakan.

Selain itu, kekuatan yang dapat saya lihat ialah saya mengambil berat tentang keadaan
murid saya. Semasa melakukan pengajaran secara atas talian, apabila melihat murid saya
yang kurang memberikan respons yang positif maka saya akan sebut nama mereka, agar saya
dapat mengetahui keadaan semasa murid dan adakah murid dapat menerima pengajaran saya.

Saya juga turut menggunakan teknik pengajaran latih tubi, di mana saya memberikan
entiti dan kemudiannya menyuruh murid untuk menyatakan atribut yang sesuai. Hal ini
sekaligus dapat mendidik murid saya untuk berfikiran lebih kreatif dan kritis dalam
menyelesaikan latihan yang diberikan. Kaedah pembelajaran secara kumpulan juga dilihat
dapat membuatkan murid saya lebih banyak melontarkan idea mereka dan membuatkan
pembelajaran lebih menarik.

Walaupun pembelajaran dilakukan secara atas talian, secara keseluruhannya saya masih
dapat menyampaikan pengajaran yang saya inginkan. Walaupun dengan keadaan semasa
yang memerlukan guru untuk mengambil inisiatif bagi melaksanakan aktiviti pengajaran
seperti membuat kelas secara maya, saya tetap berusaha sehabis baik untuk menyampaikan
pengajaran tersebut dan saya juga berjaya mengawal keadaan kelas saya. Apabila keadaan
murid mula tidak terkawal seperti murid memberikan jawapan serentak, saya akan meminta
murid untuk berhenti menjawab dan memanggil seorang murid secara rawak agar keadaan
menjadi teratur.

3.0 KELEMAHAN
Semasa menjalankan proses pengajaran, terdapat beberapa kelemahan yang saya wajar
tangani. Antaranya ialah, kelemahan yang paling ketara adalah dari segi penyediaan soalan
pentaksiran secara individu. Semasa menjalankan pentaksiran, tanpa saya sedari saya telah
mengemukakan soalan yang kurang sesuai bagi pengajaran topik ini. Saya telah meminta
murid untuk menyenaraikan entiti dan atribut berdasarkan rajah yang diberi. Masalah mula
berlaku apabila rajah yang diberi merupakan gambar keseleruhan rajah hubungan entiti. Ia
menjadi masalah kerana murid belum diberi pendedahan tentang pembelajaran mengenai
subtopik hubungan dan kekardinalan. Perkara ini telah mendatangkan kekeliruan kepada
murid untuk menjawab soalan pentaksiran individu. Guru seharusnya menitikberatkan
tentang pemilihan soalan agar murid dapat memahami konsep pembelajaran yang ingin diajar
dengan lebih jelas.

Kelemahan yang seterusnya ialah penulisan RPH. Bagi penulisan RPH, masih terdapat
beberapa kelemahan iaitu menerusi penyusunan teknik pengajaran, kaedah dan strategi
berserta BBM dan nilai. Penulisan RPH yang baik perlulah ditulis secara teratur bermula
dengan strategi, pendekatan kemudiannya diikuti dengan teknik, EMK, BBM dan nilai.
Penulisan RPH yang baik juga dapat menunjukkan kemahiran guru itu dalam merancang
pengajarannya.

4.0 PENAMBAHBAIKAN

Setiap kelemahan yang didapati menerusi sesi pengajaran dan pembelajaran yang
dirancang perlulah dibuat penambahbaikan. Penambahbaikan adalah penting bagi
meningkatkan mutu bagi setiap pengajaran dan pembelajaran yang akan dilakukan pada masa
hadapan. Antara penambahbaikan yang sewajarnya diambil adalah penyediaan soalan yang
lebih sesuai dengan kognitif dan tahap kefahaman murid. Antara ciri-ciri soalan pentaksiran
yang baik adalah kesahan dan kebolehpercayaan.

Menurut Naapie Mat (2006), kesahan merupakan satu konsep pengukuran yang merujuk
sejauh mana ketepatan atau kesahihan sesuatu alat ujian. Ini bermaksud sesuatu alat ujian itu
dikatakan mempunyai kesahan yang tinggi sekiranya dapat mengukur secara tepat kebolehan
dan keupayaan calon-calon yang diuji. Kebolehpercayaan pula merupakan sesuatu ujian
merujuk kepada pencapaian calon adalah tekal apabila mengambil ujian itu beberapa kali.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kebolehpercayaan skor ujian. Antaranya ialah
keadaan emosi, tempat ujian, suasana persekitaran dan kesihatan. Faktor-faktor ini boleh
mempengaruhi calon memberi jawapan yang berlainan.

Selain daripada penambahbaikan dari segi pemilihan soalan, penambahbaikan dari segi
penulisan RPH juga perlu dititik beratkan. Penulisan RPH yang baik dapat membuatkan
perancangan yang dirancang oleh guru menjadi lebih jelas dan teratur. Tambahan lagi bagi
guru yang baru mula mengajar, ketelitian dari segi penulisan RPH membolehkan guru itu
menjadi lebih yakin dan bersedia demi mengharungi cabaran sebagai guru muda.

5.0 KESIMPULAN

Di akhir kalam, seluruh jutaan terima kasih yang tidak terhingga saya kemukakan kepada
Dr Jamilah diatas segala teguran dan ajaran yang telah diberi dalam membimbing dan
mendidik saya. Maklum balas yang diberikan kepada saya telah membuatkan saya tidak alpa
untuk terus memperbaiki teknik pengajaran saya untuk menjadi lebih baik. Terima kasih juga
diatas peluang yang telah diberikan kepada saya untuk melaksanakan aktiviti pengajaran ini
walaupun hanya diatas talian dan pembelajaran secara maya.