Dalam bahasa Melayu perkataan sejarah itu sendiri mempunyai pelbagai makna tetapi
maksudnya sama. Menurut Kamus Dewan, sejarah bererti asal-usul (keturunan), salasilah,
peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo dan
tawarikh.5
Menurut R.O. Winstedt, perkataan sejarah berasal dari bahasa Arab yang membawa makna
salasilah, tawarikh dan babad.6 Melalui kenyataan Winstedt ini, sejarawan Melayu seperti
Ibrahim Alfian dan Mahayuddin Yahaya berpendapat, perkataan sejarah berasal dari
perkataan Arab ‘syajarat’ ( ) شجرةyang bererti pohon. Pohon atau pokok yang mempunyai
dahan dan ranting dinisbahkan kepada salasilah dan jurai keturunan yang bercabang-cabang.7
Perkataan tawarikh yang diguna pakai oleh orang Melayu sekitar awal abad ke 19 dikatakan
juga diambil dari perkataan Arab ‘al-tarikh’ ()التاريخ. Selain dari ‘tawarikh’ antara istilah yang
agak popular digunakan ketika itu adalah ‘hikayat’ dan ‘riwayat’. Ketiga-tiga istilah ini telah
digunapakai sehingga tahun 1950an dan 60an.8 Akhir tahun 1960an, perbicaraan sejarah
telah menggunakan istilah ‘sejarah’ secara menyeluruh, namun begitu, istilah ‘riwayat’ terus
digunakan bagi merujuk karya-karya pensejarahan yang berbentuk biografi dan riwayat
hidup.9
Manakala dalam bahasa Inggeris perkataan ‘history’ yang berasal dari perkataan Yunani,
‘historia’ adalah membawa maksud penyelidikan. Namun terdapat perbezaan antara
perkataan historia zaman Yunani dengan perkataan history pada zaman moden. Historia
adalah karya-karya sejarah yang berunsur mitos dan legenda. Manakala history adalah karya
sejarah yang berdasarkan kajian dan penyelidikan. Contoh karya Yunani ialah Illiad dan
Odyssey yang dihasilkan oleh Homer. Antara sejarawan Yunani yang terkenal ialah
Herodotus yang menghasilkan Historia pada abad ke 5 SM, buku tersebut dianggap sebagai
karya ulung orang Yunani dalam bidang sejarah.10
Menurut Kamus Oxford Fajar, ‘history’ bermaksud sejarah, tawarikh, asal-usul, riwayat
(hidup).11 Jika kita merujuk kepada Shorter Encylopedia of Islam, ‘tarikh’ ialah era,
kronologi. Asal perkataan ini ‘ta’rikh’ adalah bererti penentuan tarikh dan juga bermaksud
asal-usul, kerja-kerja penyelidikan, sejarah dan jurai keturunan.12
Dalam bahasa Arab, terdapat dua perkataan yang digunakan sebagai sejarah iaitu ‘ta’rikh’ (
)تأريخdan ‘tarikh’ () تاريخ. Penggunaan perkataan ‘ta’rikh’ adalah berasal dari akar kata
‘arrakha’ ( ) أرخyang bermaksud penulisan sejarah (to write the history).13 Ta’rikh juga
didefinisikan sebagai catatan peristiwa yang dikaitkan dengan masa, waktu dan haribulan
atau zaman.
Perkataan ‘tarikh’ digunapakai oleh bangsa Arab yang bermaksud sejarah secara umum,
tahun-tahun dan kronologi. Perkataan tersebut kebiasaannya menjadi tajuk kepada penulisan
sejarah yang hebat seperti Tarikh At-Tabari, Tarikh al-Rusul wal-Muluk dan Tarikh al-
Andalus. Perkataan ‘tarikh’ juga digunakan sebagai tajuk bagi kamus seperti Tarikh Al-
Hukama oleh Ibn Al-Kifu.14
Saydina ‘Umar al-Khattab dikatakan sebagai orang pertama yang melahirkan istilah ‘tarikh’,
tujuannya untuk membezakan makna sejarah di zaman Yunani dan Jahiliyah dengan makna
sejarah di zaman Islam. Ta’rikh adalah suatu istilah yang diarabkan. Ia berasal dari bahasa
Parsi ‘mah roz’. Pada zaman pemerintahan Saydina ‘Umar, pada suatu ketika Abu Musa al-
Asy’ari menulis surat kepada Khalifah ‘Umar, beliau berkata: “Kami telah menerima sepucuk
surat daripada khalifah, tetapi kami tidak tahu apa yang nak dibuat. Kami ada menerima
arahan bayaran pada bulan Syaaban, tetapi kami tidak tahu Syaaban yang mana satu, yang
lepas atau yang akan datang.” Ada pendapat lain yang menyebut mengenai peristiwa ini
mengatakan sebaliknya, iaitu Saydina ‘Umar yang menerima surat daripada Abu Musa untuk
pembayaran bulan Sya’ban dan Saydina ‘Umar menanyakan persoalan yang sama.
Hurmuzan, raja al-Ahwaz yang ditawan dalam peperangan Fars berada dalam tawanan
Saydina Umar. Beliau berkata: “Orang Ajam mempunyai takwim mereka yang dipanggil mah
roz.” Rentetan daripada itu, Saydina ‘Umar berkata: “Ajarlah manusia tentang masa (ta’rikh)
kerana dengan itu mereka boleh mengatur urusan perniagaan mereka dengan baik.” Dari
perkataan inilah diarabkan menjadi mu’arikh dari kata akar ta’rikh. Setelah berbincang,
orang-orang Islam mengambil tahun penghijrahan Nabi Muhammad (saw) sebagai permulaan
takwim Hijrah. Oleh itu permulaan penggunaan tahun Hijrah dikuatkuasakan pada tahun ke
17 Hijrah. 15
Kebanyakan tokoh sarjana Islam cuba membuat pembaharuan dari segi teori, metod dan
pengkaedahan sejarah Islam daripada bentuk hanya mencatat tarikh-tarikh tertentu secara
kronologi kepada pensejarahan berdasarkan zaman-zaman tertentu atau tema-tema tertentu.
Untuk menjelaskan tentang erti sejarah mengikut pandangan sarjana muslim, tokoh-tokoh
zaman awal dipilih. Ini kerana tokoh-tokoh inilah yang meng-hasilkan teori tentang sejarah
mengikut pandangan mereka sendiri. Berbeza dengan sarjana muslim zaman moden, mereka
mendefinisikan sejarah dengan merujuk kepada tokoh-tokoh yang lebih awal dari mereka.
Al-Iji atau nama sebenarnya Muhammad bin Ibrahim al-Iji yang hidup pada kurun ke
8H/14M menyebut tentang teori sejarahnya dalam bukunya, Tuhfat al-Faqir ila Sahib al-
Sarhir. Dalam buku ini, teori sejarahnya berdasarkan prinsip-prinsip agama yang dibahas
mengikut perbahasan ilmu falsafah. Antara rujukannya ialah daripada karya-karya Ibn Al-
Jawzi, al-Tabari, Ibn Ishaq, Al-Isfahani. Beliau yang berpendidikan ilmu agama yang
berpengkhususan dalam bidang hadis, telah menyebabkan idea-ideanya tentang sejarah
dipengaruhi oleh disiplin agama dan falsafah. Kerana itulah beliau berpendapat sejarah ialah
suatu kajian tentang alam tabii seperti geografi, fizik dan alam metafizik. Sejarah juga
membicarakan tentang manusia, tokoh-tokoh tertentu atau lebih khususnya penyebar-
penyebar agama.
Disebabkan oleh terpengaruh dengan hadis, beliau lebih suka menggunakan perkataan khabar
(jamak: akhbar) daripada tarikh (jamak:tawarikh) bagi sejarah. Pada pandangan beliau khabar
lebih umum kerana sebarang berita atau peristiwa dianggap sebagai khabar, manakala tarikh
hanya merujuk kepada era, masa atau kronologi bagi peristiwa tertentu sahaja.
Kesimpulannya, pengertian sejarah menurut al-Iji ialah suatu ilmu mengenai alam yang
dicipta Allah (swt) yang mengandungi ruang lingkup masa dan peristiwa yang menjadi
objeknya ialah makhluk itu sendiri terutama manusia dan kesan daripada aktiviti-aktiviti
manusia tersebut melahirkan maklumat dan peristiwa. Matlamat dan tujuannya ialah
mengkaji kedudukan pemimpin-pemimpin atau individu-individu yang terkenal di dunia, dan
juga pelbagai jenis manusia yang dijadikan Allah di dunia ini. Faedahnya yang paling utama
ialah untuk mengakui hasil penciptaan Allah (swt) dengan kewujudan alam ini.16
Al-Kafiyaji atau nama sebenarnya Muhyiddin Muhammad bin Sulayman adalah seorang ahli
sejarah Islam dari Turki yang lahir di Anatolia pada tahun 788H/1386M dan meninggal pada
879H/1474M. Kitabnya mengenai sejarah Islam ialah Al-Mukhtasar fi Ilm al-Tarikh. Kitab
ini merupakan monograf tertua tentang pensejarahan Islam. Al-Kafiyaji telah meng-gunakan
pendekatan ilmu-ilmu agama seperti fekah dan hadis dalam penulisan sejarah. Menurut
beliau, pensejarahan ialah cabang ilmu yang mengkaji ruang masa dan keadaannya dan juga
suasana-suasana yang berkaitan dengannya serta memberikan penentuan dan waktunya.
Al-Kafiyaji telah menjelaskan erti ‘ta’rikh’ dalam buku-nya, iaitu dari segi bahasa adalah
masa dan waktu. Dari segi istilah pula ‘ta’rikh’ bermaksud penentuan masa yang sesuai bagi
masa lalu, sekarang dan akan datang. Ada juga yang mengatakan ta’rikh itu bermaksud waktu
bagi satu-satu peristiwa yang pertama kali terjadi dan terus merebak, seperti terjadinya
sesuatu agama, atau kejadian-kejadian besar seperti angin taufan, gempa bumi dan lain-lain
malapetaka di langit dan di bumi. Pendapat lain pula mengatakan bahawa ta’rikh ialah
tempoh tertentu di antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain. Menurut al-Kafiyaji,
semua definisi di atas adalah benar, terpulanglah kepada individu tersebut untuk memilih
yang mana satu.17
Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Abd Ar-Rahman bin Muammad (732/1332-808/1406)
adalah seorang sejarawan Arab yang cukup terkenal dengan buku Mukaddimahnya. Beliau
lahir di Tunis dengan mendapat pendidikan di Andalus. Ahli sejarah berpendapat kaedah
yang digunakan oleh Ibn Khaldun dalam penulisan sejarah beliau adalah berbeza dengan ahli
sejarah tradisi seperti Al-Iji dan Al-Kafiyaji kerana pendekatan yang digunakan lebih global
seperti menggabungkan ilmu agama yang berbentuk naqliyyah dengan ilmu bukan agama
yang berbentuk aqliyah.
Oleh kerana luasnya ilmu yang digunakan dalam penyelidikan maka Ibn Khaldun lebih
banyak menekankan soal tamadun dalam penulisannya daripada sejarah. Fenomena ini
berlaku disebabkan oleh umat Islam pada masa itu menghadapi tekanan politik dari negara-
negara Barat. Oleh itu penekanan aspek tamadun diutamakan untuk menyedarkan umat Islam
pada masa itu bahawa perubahan telah berlaku dalam sejarah manusia. Tamadun material
mesti berjalan seiring dengan tamadun rohani.
Oleh yang demikian, menurut Ibn Khaldun, tarikh atau sejarah adalah disiplin ilmu yang
dipelajari secara luas oleh banyak bangsa dan kaum. Sejarah mengandungi penelitian dan
usaha mencari kebenaran (tahqiq), penjelasan yang halus tentang sebab dan asal benda;
pengertian dan pengetahuan tentang substansi, esensi, dan pengetahuan tentang bagaimana
dan sebab terjadinya peristiwa-peristiwa.18
Mukaddimah menurut Lewis merupakan ensiklopedia sintesis sains sosial yang sangat
penting menolong ahli-ahli sejarah untuk menghasilkan karya-katya sejarah yang benar dan
ilmiah. Kaedah yang digunakan oleh Ibn Khaldun adalah merangkumi dua aspek penting
iaitu pertama, melihat sesuatu peristiwa itu, dan kedua mengetahui sebab sesuatu peristiwa itu
berlaku. Dalam bahagian pendahuluan kitab Mukaddimah, Ibn Khaldun menyebut bahawa
sejarah adalah suatu disiplin ilmu yang memiliki pelbagai pendekatan. Sejarah membuat kita
faham akan hal ehwal sesuatu bangsa terdahulu kerana ia boleh dilihat melalui perilaku
mereka. Oleh itu sejarah menurut beliau adalah sesuatu yang merujuk kepada peristiwa
khusus mengenai suatu zaman dan bangsa. Perbicaraan umum tentang keadaan sesuatu
daerah, bangsa dan zaman itu merupakan dasar bagi ahli sejarah. Kebanyakan permasalahan
sejarah dibangun di atas dasar tersebut dan maklumat sejarah itu menjadi jelas oleh dasar
tersebut.19
Dengan penjelasan di atas, jelas bahawa pemikiran dan falsafah sejarah Ibn Khaldun tidak
dipengaruhi oleh pemikiran dan falsafah Yunani. Sebaliknya idea-idea sejarah Ibn Khaldun
telah mempengaruhi pemikiran persejarahan orang-orang Barat. Ini bertepatan dengan
pendapat F. Rosenthal yang mengatakan bahawa perkembangan persejarahan Eropah pada
abad ke 17 M dan seterusnya telah banyak dipengaruhi oleh persejarahan Islam.
Menurut E. H. Carr, sejarah ialah suatu proses berterusan antara ahli sejarah dengan fakta-
faktanya, suatu dialog yang tidak berkesudahan antara masa kini dengan masa lampau.20
Disebabkan Carr hidup pada kurun ke 20, idea-ideanya mengenai sejarah tidak lagi
terpengaruh dengan cara pensejarahan orang Yunani, kerana Carr telah berpegang kepada
fakta-fakta untuk mengkaji sejarah.
Menurut G. Geff, sejarah yang biasa difahami ialah pengajian tentang masa lalu seseorang
dan menjurus kepada manusia yang tinggal dalam sesebuah kelompok sosial. Sejarah bukan
sahaja berkaitan dengan individu atau masyarakat tertentu sahaja tetapi ia berkaitan dengan
pelbagai manusia yang hidup dalam pelbagai masyarakat. Sejarah membincangkan tentang
dunia yang dibentuk oleh manusia itu sendiri.21
Menurut Robert V. Daniels, sejarah adalah memori pengalaman sekelompok manusia. Jika ia
dilupakan atau dibiarkan maka tamatlah kisah tentang manusia. Tanpa sejarah kita tiada
pengetahuan terhadap siapa kita atau bagaimana kita menjadi seperti ini, seperti seorang
penjenayah yang hilang ingatan dan berada dalam gelap. Sejarah adalah rakaman masa lalu
yang menggambarkan emosi, nilai, kesuaian yang membolehkan hidup kita lebih bermakna
yang memberi seseorang individu sesuatu untuk terus hidup, berjuang atau untuk mati.
Dengan mengkaji peristiwa-peristiwa masa lalu, maka akan mewujudkan semangat ketaatan
kepada negara, agama mahupun kelas-kelas dalam masyarakat. Sejarah juga merupakan
inspirasi untuk mengamalkan sesuatu yang dianggap tradisi dan memuliakannya.22
A. Marwick pula membahagikan pengertian sejarah kepada tiga; pertama, sejarah merupakan
keseluruhan masa lalu seperti sebenarnya berlaku; kedua, sejarah merupakan percubaan
manusia menghurai dan mentafsir masa lalu, dan ketiga, sebagai kajian yang sistematik
terhadap masa lalu untuk suatu displin ilmu.23
Kebanyakan pendapat sarjana Barat tersebut adalah berbentuk moden kerana kajian sejarah
zaman mereka tidak lagi mencontohi kajian sejarah zaman Yunani. Kajian sejarah mereka
berdasarkan penyelidikan dan fakta yang sahih dan bukan lagi berbentuk mitos dan legenda.
Walaupun sejarawan Barat menggunakan kaedah penyelidikan dalam penulisan sejarah
mereka tetapi mereka tidak boleh lari daripada pengaruh tokoh-tokoh sejarah Yunani
mengenai pengkaedahan dan falsafah sejarah. Daripada pengaruh tersebut di atas menurut
Collingwood, ringkasnya sejarah berdasarkan sarjana Barat ialah penyelidikan (research),
tindak tanduk masyarakat (human actions), pemikiran (self knowledge) dan penyusunan
semua pemikiran yang telah dikaji (interpretation of evidence).