Anda di halaman 1dari 2

FAKTOR PERMAINAN TRADISIONAL

DIPINGGIRKAN...!

PENDAHULUAN:-
 Permainan tradisional warisan masyarakat Melayu semakin dipinggir oleh generasi muda
dewasa ini. Sesetengah daripada mereka langsung tidak mengetahui kewujudan permainan
tradisional ini yang pernah popular sedikit masa dahulu.
 Masyarakat dahulu menjadikan permainan tradisional sebagai wahana memupuk semangat
ukhwah antara penduduk di samping mengisi masa senggang dengan kerja buat yang lebih berfaedah.
 Antara permainan tradisional yang begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat tradisi kita
ialah gasing, congkak, sepak raga, naik wau, ketingting, batu serembang, buah guli, lompat tali, galah
panjang, coh, bola awa dan lain-lain.
 Banyak faktor yang menyebabkan permainan tradisional warisan nenek moyang kita semakin
dipinggir oleh generasi hari ini, antaranya:-
FAKTOR-FAKTOR PERMAINAN TRADISIONAL DIPINGGIRKAN:-
1. Pengaruh besar yang dibawa oleh pelbagai permainan yang moden dan sofistikated - lebih
relevan dengan perkembangan kemajuan sains dan teknologi; - permainan komputer, permainan
video, mesin kawalan jauh, permainan robot, dan seumpamanya.
2. Sikap dan pandangan masyarakat hari ini yang beranggapan permainan tradisional sudah
ketinggalan zaman dan hanya layak berada di muzium-muzium.
3. Semakin kurang  jumlah pejuang atau aktivitis yang aktif memperjuangkan nasib permainan
tradisional; jika ada pun sekadar hidup segan mati tak mahu.
4. Pihak-pihak bertanggungjawab sama ada di pihak kerajaan, NGO mahupun swasta tidak
menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memartabatkan seni permainan tradisional sebagai
khazanah budaya dan bangsa negara.
5. Generasi muda tidak atau jarang-jarang didedahkan dengan keistimewaan dan kelebihan
permainan tradisional sehingga menyebabkan mereka gagal mengenali budaya sendiri; tak kenal
maka tak cinta.
6. Pemikiran masyarakat moden hari ini lebih ke arah mengumpulkan harta kekayaan dan
kejayaan anak-anak dalam pelajaran; Mereka menghadapi kekangan masa untuk aktiviti-aktiviti
kemasyarakatan, makan angin apatah lagi untuk bergiat cergas mengisi masa dengan bermain
permainan tradisional yang memakan masa yang lama.
7. Kesukaran untuk mendapatkan peralatan permainan tradisional, bersaiz besar, harga yang
mahal juga menjadi faktor kenapa permainan tradisional semakin dilupakan.
8. Terlalu kurang penganjuran pertandingan permainan tradisional oleh pihak-pihak
bertanggungjawab menyebabkan permainan jenis ini semakin lesu di bumi sendiri; Penganjuran
permainan tradisional dari peringkat rendah hingga ke peringkat dunia akan lebih mempopularkan
permainan tradisional. Contohnya permainan sepak raga yang diberikan sedikit inovasi dan dikenali
dengan permainan sepak takraw telahpun popular sehingga ke peringkat antarabangsa.
9. Penggiat-penggiat permainan tradisional di desa serta kampung tidak mendapat apa-apa
bantuan dan dukungan daripada pihak kerajaan, apatah lagi daripada pihak swasta yang hanya
bergerak atas dasar keuntungan perniagaan semata-mata.
10. Institusi-institusi pendidikan tinggi seperti IPTA dan IPTS dingin serta beku dalam usaha
menubuhkan jabatan pengajian yang bertanggungjawab mengkaji asal usul sejarah, melatih siswa-
siswi dan memerkasakan segala bentuk seni budaya turun-temurun agar tidak ditelan kemajuan.
PENUTUP:-
 Banyak perkara yang perlu dilakukan jika kita tidak ingin melihat satu persatu khazanah
warisan berharga nenek moyang rebah menyembah bumi dek kelekaan anak watan sendiri.
 Sebenarnya warisan tinggalan nenek moyang ini amat berharga dan boleh dijadikan aset
penting membantu meningkatkan pendapatan negara jika dapat dieksploitasi dengan bijak,
contohnya melalui industri kraf tangan, industri pelancongan dan industri hiliran lain.
 Melalui penubuhan kelab dan persatuan yang berasaskan permainan tradisional di sekolah,
IPTA dan IPTS dapat memupuk pelajar cinta akan permainan ini sejak awal usia lagi.
 Permainan tradisional yang bijak diberikan inovasi mampu menjadi simbol unik negara, dan
menjadi kebanggaan semua.
 Semua pihak tidak kira peringkat usia, pangkat tinggi atau rendah, perlu bahu-membahu
dalam usaha mempopularkan permainan tradisional sepanjang zaman dan janganlah kita hanya
memandang sepi akan usaha ini. Genggam bara api biar sampai jadi arang.

Anda mungkin juga menyukai