Anda di halaman 1dari 6

1.

0 Pendahuluan

Konsep Profesionalisme Keguruan merupakan satu pekerjaan khusus dilaksanakan oleh seorang
guru yang telah memperoleh kelulusan dan latihan ikhtisas yang berkualiti, bersikap jujur, dedikasi,
bertanggungjawab, bermoral tinggi serta mematuhi kod etika keguruan (Shamsiah Md Nasir, 2017).
Profesionalisme Keguruan ini juga berkait rapat dengan peranan tugas, tanggungjawab, sifat dan
kualiti seseorang guru itu terhadap murid dan masyarakat sepanjang memegang profesion ini (Mok
Soon Sang, 2011). Hakikatnya, walaupun pekerjaan seorang guru adalah satu pekerjaan yang
mulia, ia bukanlah satu tugas yang mudah. Seorang guru yang profesional harus melengkapkan diri
mereka dengan menguasai pelbagai kemahiran seperti kemahiran belajar dan mengajar, kemahiran
berkomunikasi, kemahiran merancang dan menginovasi serta kemahiran teknologi maklumat dan
komunikasi. Kemahiran-kemahiran ini penting untuk seorang guru apabila mengajar supaya murid-
murid dapat memahami apa yang hendak disampaikan oleh guru seiring dengan apa yang
dikehendaki di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Mok Soon Sang, 2011).

2.0 Analisis Isu Semasa Berkaitan Amalan Profesionalisme Guru

Amalan Profesionalisme Guru ditentukan hasil penelitian terhadap dokumen Standard Guru
Malaysia. Amalan ini mengandungi nilai-nilai murni yang mesti dipatuhi oleh guru-guru di Malaysia.
Namun begitu, terdapat isu-isu semasa yang berlaku di Malaysia yang berkait dengan amalan
profesionalisme guru.

2.1 Isu Guru Mengambil Kesempatan Ke Atas Murid


Tanggungjawab ialah bebanan yang dipikul untuk memenuhi hak keperluan yang wajib
dipatuhi (Ahmad Baei Jaafar, 2012). Guru yang menjalankan tanggungjawabnya dengan baik adalah
guru yang profesional. Namun, terdapat sesetengah guru yang tidak bertanggungjawab
melaksanakan tugasnya dengan mengambil kesempatan terhadap jawatan yang dipegangnya. Pada
Disember 2017, seorang guru disiplin sebuah sekolah rendah di Beluran yang berusia berusia 56
tahun telah ditangkap diatas pertuduhan merogol, mencabul dan meliwat lapan orang muridnya.
Kesannya, guru tersebut telah dijatuhkan hukuman penjara 80 tahun oleh Mahkamah Seksyen pada
26 Ogos 2019. Tindakan guru ini membuktikan bahawa guru tersebut tidak menghayati elemen di
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan berkaitan tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan
rakyat yang bertanggungjawab terhadap tugas kerana guru tersebut tidak melaksanakan tugasnya
dengan cekap dan bersih dari sebarang kehinaan.

1
2.2 Isu Guru Mengedar Dadah

Kes dadah merupakan antara kes yang terberat di seluruh dunia. Hal ini kerana,
pengambilan dadah secara berlebihan boleh mengakibatkan seseorang menjadi tidak siuman dan
menjurus kepada perbuatan mencederakan orang sekeliling. Pada 23 Julai 2019, seorang guru
sekolah rendah telah ditangkap bersama isterinya beserta dengan tiga paket plastik berisi dadah.
Perbuatan guru tersebut yang mengedar dadah bertentangan dengan elemen di dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang mengatakan tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan rakyat yang
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dengan tidak melakukan kesalahan jenayah yang boleh
mendatangkan kemudaratan terhadap profesion perguruan. Tindakan guru tersebut yang tidak
amanah telah memburukkan dan memalukan profesion perguruan di samping menyebabkan
kepercayaan masyarakat terhadap guru semakin hilang.

2.3 Isu Guru Tidak Bertimbang Rasa Ketika Mendenda Pelajar

Isu semasa yang dikaitkan dengan isu bertimbang rasa ialah isu para guru dalam
menjatuhkan hukuman atau denda ke atas pelajar. Seorang guru telah didakwa di atas pertuduhan
merotan seorang murid berusia 11 tahun di bahagian kaki sehingga menyebabkan kecederaan
melampau disebabkan kerana murid tersebut enggan solat. Guru tersebut dihukum bersalah kerana
tidak mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dalam
menjatuhkan hukuman kepada murid. Sikap guru tersebut juga tidak selari dengan elemen di dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana pendidikan bertujuan untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis daripada segi rohani dan emosi. Sikap guru tersebut yang tidak bertimbang
rasa telah menyebabkan dirinya sendiri terbeban akibat tindakan drastik yang dilakukannya kepada
murid tersebut.

2
2.4 Isu Guru Lewat Dan Ponteng Ke Sekolah

Isu ponteng atau guru lewat ini sememangnya jarang dibincangkan secara terbuka kerana
kebiasaannya kes-kes ponteng sekolah ini hanya melibatkan murid sahaja. Etika dan profesion
seseorang guru boleh terancam sekiranya guru tersebut kerap terlibat dengan isu ponteng dan
lewat. Kehadiran lewat ke sekolah secara berterusan hampir setiap hari walaupun hanya satu atau
dua minit adalah antara kesilapan melibatkan integriti dalam kalangan guru (Muhammad Amin
Zakaria, 2014). Kesan buruk terhadap guru yang selalu ponteng atau lewat ke sekolah ini adalah
mereka akan dipandang serong oleh warga sekolah terutama sekali oleh murid-murid sekiranya
tidak diatasi dengan cepat. Hal ini kerana, guru seharusnya menjadi cerminan dengan sentiasa
menunjukkan sikap yang baik agar boleh menjadi teladan kepada murid seiring dengan apa yang
dihasratkan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana pendidikan bertujuan untuk
melahirkan rakyat yang berakhlak mulia dan boleh memberi kesedaran kepada orang lain untuk
menjadi baik.

2.5 Isu Guru Tidak Kreatif Dan Inovatif Punca Pelajar Hilang Minat Belajar

Malaysia memerlukan ramai guru yang kreatif dan mempunyai daya inovasi bagi mencipta
kaedah pembelajaran sendiri yang selari dengan kokurikulum sekolah bagi meningkatkan kualiti
sistem pendidikan negara (Safina Ramli, 2016). Isu guru tidak kreatif dan inovatif ini berkait dengan
elemen di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana tujuan pendidikan adalah untuk
memperkembangkan potensi individu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dalam
pelbagai aspek. Aspek kreatif dan inotif ini adalah penting bagi guru masa kini untuk menyelesaikan
pelbagai masalah terutamanya masalah pembelajaran dan pengajaran kepada murid-murid di dalam
bilik darjah. Hal ini kerana, murid akan cepat berasa bosan dan hilang minat untuk belajar dek
kerana kaedah pengajaran guru yang tidak menarik minat mereka. Apabila murid sudah hilang minat
untuk belajar, ini merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes gejala
sosial seperti ponteng sekolah (Nizam Yatim, 2016). Buktinya, sebanyak 3992 kes ponteng telah
direkodkan sejak awal tahun 2019 bagi negeri Johor (Mohd Sabran Md Sani, 2019).

3
3.0 Cadangan Mengatasi Isu Semasa Amalan Profesionalisme Guru

Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi mengatasi isu yang berkait dengan amalan
profesionalisme guru ini. Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi isu guru yang tidak
bertanggungjawab kerana mengambil kesempatan terhadap muridnya adalah dengan para guru
perlu mempunyai kesedaran terhadap tugas yang telah diamanahkan kepada mereka. Guru perlu
mengetahui dan memahami sepenuhnya akan tanggungjawab yang mereka terima dan tidak
sewenang-wenangnya mencemarkan kesucian penaran tersebut. Di samping itu, pihak pentadbiran
perlu melibatkan diri dalam memantau kaedah para guru menjalankan tanggungjawab mereka agar
selaras dengan jawatan yang telah diberi. Dengan ini, guru-guru tidak akan berani untuk bertindak di
luar skop jawatan mereka dan melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral terhadap para
pelajar. Pemantauan pihak atasan juga membolehkan guru-guru yang tidak bertanggungjawab
dalam melaksanakan tugas ini dikenalpasti lebih awal dan kesalahan yang mereka lakukan itu boleh
dilaporkan dengan lebih awal kepada pihak berkuasa.

Selain itu, langkah bagi mengatasi isu guru yang pecah amanah kerana mengedar dadah
adalah dengan guru tersebut berusaha menghalang dirinya daripada terjebak dengan kegiatan
jenayah yang berat. Guru tersebut seharusnya bijak memikirkan inisiatif lain untuk menambah
pendapatannya agar tidak bertentangan dengan undang-undang negara dan juga undang-undang
agama. Seperti yang disebutkan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, di mana tujuan
pendidikan di negara kita adalah untuk melahirkan insan berilmu pengetahuan dengan berusaha
meningkatkan pengetahuan dengan berfikiran jauh ke depan. Pihak pentadbiran sekolah juga
seharusnya menyiasat kegiatan-kegiatan guru yang mencurigakan agar kesalahan jenayah berat
seperti ini dapat diatasi lebih awal. Rakan-rakan guru juga seharusnya bersikap prihatin dengan
mengambil peduli akan segala perubahan yang berlaku di persekitaran sekeliling mereka.

Seterusnya, langkah bagi mengatasi isu guru tidak bertimbang rasa ketika menghukum
pelajar yang melakukan kesalahan adalah para guru seharusnya tidak bertindak terburu-buru dan
hendaklah menekankan prinsip kemanusiaan dan undang-undang ketika menggubal sebarang
hukuman ke atas pelajar (Fauzi Suhaimi, 2019). Guru hendaklah sentiasa berpandangan jauh serta
boleh memikirkan implikasi-implikasi yang bakal dihadapi terhadap hukuman yang bakal dilakukan.
Hukuman yang ingin dikenakan hendaklah menekankan nilai timbang rasa dan boleh diterima logik
akal serta setimpal dengan jenis kesalahan yang telah dilakukan oleh murid tersebut. Oleh itu,
penting untuk para guru agar bertimbang rasa dalam mengenakan hukuman ke atas pelajar bagi
mengelakkan sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh murid menjadi beban kepada guru.

4
Di samping itu, untuk mengatasi isu guru lewat dan guru ponteng ini, seseorang guru
hendaklah menanamkan sikap integriti di dalam jiwa mereka terhadap profesion perguruan. Guru
juga seharusnya berusaha untuk mengubah sikap suka melewatkan tugasan atau kerja dalam diri
mereka agar sikap seperti ini tidak menjadi kekal di dalam hidup para guru. Pihak pentadbiran juga
perlu mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap guru yang berulang kali lewat ke sekolah
mahupun lewat masuk ke kelas agar timbul di dalam diri mereka kesedaran untuk tidak ponteng
atau tidak lagi berlengah-lengah melakukan tugasan (Muhammad Amin Zakaria, 2014). Rakan guru
juga memainkan peranan penting untuk saling nasihat menasihati antara satu sama lain agar dapat
mewujudkan suasana persekitaran tempat kerja yang harmonis dengan guru-guru mematuhi
peraturan kerana masing-masing sedar akan tanggungjawab yang mereka pikul.

Akhir sekali, antara langkah yang boleh digunapakai untuk mengatasi isu guru yang tidak
kreatif dan inovatif ketika mengajar pula dapat diatasi dengan para guru melakukan persediaan rapi
sebelum mengajarkan ilmu kepada murid. Kemahiran guru perlulah berkembang seiring dengan
kemajuan teknologi agar guru dapat mengaplikasikan kemudahan teknologi di dalam kaedah
pengajaran mereka. Hal ini dapat menarik minat para pelajar untuk belajar kerana terdapat kelainan
dalam pengajaran seseorang guru itu. Pihak Kementerian Pendidikan pula hendaklah menyediakan
kemudahan-kemudahan teknologi yang terkini kepada sekolah-sekolah agar guru dapat merancang
lebih awal kaedah pengajaran mereka dan sesi pembelajaran di dalam bilik darjah akan berjalan
lancar. Dengan itu, para guru dapat menghayati dan melaksanakan elemen di dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan iaitu mampu untuk memberikan sumbangan terhadap keharmonian serta
kemamuran keluarga, masyarakat dan negara melalui perkembangan bangsa dan negara
menggunakan sains dan tekonologi.

5
4.0 Rumusan

Kesimpulannya, isu-isu semasa yang berkait dengan amalan profesionalisme guru ini
sememangnya tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana pihak kerana kesannya melibatkan
aspek diri, masyarakat dan negara. Semua warga pendidik seharusnya peka dan hendaklah
mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap isu-isu semasa ini agar dapat diatasi dengan tindakan
yang bijak dan yang terbaik. Elemen-elemen yang terdapat di dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan seharusnya dihayati dan hendaklah sentiasa dikaitkan dengan amalan profesionalisme
guru. Justeru itu, adalah penting untuk kita membaca dan memahami tentang Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan amalan-amalan profesionalisme ini secara keseluruhan. Dengan itu, isu-isu
semasa ini dapat diselesaikan dan boleh dijadikan iktibar dan pedoman kepada anak-anak Malaysia
di masa hadapan.

Anda mungkin juga menyukai