Anda di halaman 1dari 9

TEMA :ALAM SEKITAR [PENCEMARAN]

Dalam kerancakan manusia mengejar kemajuan alaf milenium kini, nilai-nilai


material semakin memberkas dalam masyarakat madani sehingga menyongsong
kewarasan akal dan kemurnian nilai-nilai integriti. Kemajuan yang berorientasikan
keuntungan semata-mata seakan-akan mengikis sehingga tandusnya pertimbangan
manusia terhadap alam sekitar yang menjadi warisan yang tidak ternilai harganya
kepada anak watan penggerak masa hadapan. Sedar tidak sedar, alam sekitar yang
dahulunya merimbun memayungi lapisan bumi semakin lenyap dek kerakusan
manusia yang bersultan di mata beraja di hati. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO) telah menyatakan sebanyak 3.3 juta manusia mati setiap tahun disebabkan
oleh pencemaran udara. Bilangan tersebut tiga kali lebih tinggi daripada jumlah
kematian yang disebabkan oleh kemalangan kenderaan. Di Malaysia, kerajaan telah
mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan
yang bertujuan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta memperbaiki
kualiti alam sekeliling dan daripada pencemaran meliputi pencemaran air, udara,
bunyi, tanah dan laut, namun pencemaran masih berlaku secara berleluasa. Atas
faktor apakah yang menyebabkan berlakunya masalah pencemaran ini? Siapakah
dalang yang terlibat dalam kemelut yang semakin pincang ini? Kupasan teliti akan
dihuraikan bagi menjawab segala persoalan ini.

Masalah pencemaran alam sekitar ini dikenal pasti berpunca daripada tangan-tangan
kotor individu yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Hal ini
terjadi kerana tiada kesedaran sivik dalam diri mereka dan mereka sering
memandang enteng tentang isu alam sekitar yang kini menjadi hidangan wajib
dalam berita-berita yang dipaparkan dalam media massa arus perdana. Bagi
sesetengah individu, mereka akan sewenang-wenangnya membuang sampah
merata-rata tanpa menghiraukan keadaan persekitaran. Walhal, jika direnungkan
andai ada seratus orang individu yang bersikap sedemikian sudah semestinya alam
sekitar akan menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap. Sikap nafsi individu-
individu ini semakin memburukkan fenomena alam sekitar. Perbuatan tidak
bertanggungjawab seperti membuang sampah ke dalam sungai dan longkang telah
menyebabkan berlakunya pencemaran air sedangkan air merupakan medium utama
dalam melestarikan kelangsungan hidup. Ada juga antara individu yang membuang
puntung-puntung rokok dan melakukan pembakaran secara terbuka sehingga
menyebabkan kebakaran yang serius lantas menyebabkan pencemaran udara.
Kempen berkongsi kereta yang menguar-uarkan pronya dalam aspek kesesakan
jalan raya dan kontranya dalam aspek pencemaran udara juga tidak mendapat
sambutan hangat daripada pengguna jalan raya, ibarat mencurah air ke daun keladi.
Gas-gas karbon dioksida yang dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor seperti
kereta, lori, bas, dan motosikal secara berlebihan akibat kedegilan sikap individu
yang menjadi pengguna jalan raya telah menyebabkan indeks udara berada pada
tahap yang membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini.

Selain individu, organisasi seperti pemilik kilang juga turut menjadi agen
penyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar. Terdapat kilang-kilang yang
menjalankan operasi pengeluaran yang melibatkan sisa toksik dalam pengeluaran
mereka dan pada kebiasaannya kilang-kilang tersebut akan mengambil jalan mudah
dengan membuang sisa toksik tersebut terus ke dalam laut dan sungai yang
berdekatan dengan kawasan tersebut. Kebiasaan yang melanggar lumrah alam ini
sudah pasti akan mengakibatkan pencemaran air. Ekosistem hidupan akuatik pasti
terjejas akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak ini. Dalam pada
itu, terdapat juga kilang-kilang yang melepaskan asap tanpa pemasangan alat
penapis udara seterusnya menyebabkan terjadinya pencemaran udara. Walaupun
sudah acap kali didenda, namun masih ada pemilik kilang yang dihentak tak masuk,
diumpil tak bergerak. Ada juga segelintir pemilik premis-premis kilang tersebut yang
mengelakkan diri daripada memberi penjelasan dan menyelesaikan masalah yang
dicipta oleh mereka tidak ubah seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing sama sekali tidak dapat menyelesaikan kemelut yang semakin
meruncing ini. Kemelut ini jika dibiarkan sudah pasti akan memberi dampak yang
malang kepada kondisi udara dan air lantas menyebarkan pelbagai wabak penyakit
yang akan menyerang kesihatan marhaen. Bagaimana mungkin kemelut ini terus
meruncing tanpa adanya prakarsa yang pragmatik dan efisien daripada pihak-pihak
yang terbabit  atau penantian ini hanya sekadar menantikan putih gagak hitam?
Tepuk dada tanya selera.

Pembangunan secara tidak sistematik yang dijalankan oleh pihak kerajaan atau
pihak swasta tanpa memikirkan secara terperinci kesan-kesan negatif yang akan
timbul terutama yang melibatkan alam sekitar juga merupakan faktor berlakunya
pencemaran air, tanah, udara dan bunyi. Lebih teruk lagi, jika hal ini dibiarkan
berleluasa akan menyebabkan bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir.
Bermula dengan pembinasaan kawasan tadahan hujan akan menyebabkan hujan
yang turun tidak dapat diserap ke dalam tanah akibat tiadanya akar pokok yang
berfungsi menyerap lebihan air yang mengalir. Hal ini akan menyebabkan struktur
tanah menjadi longgar sehingga menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Tanah
yang dihanyutkan bersama-sama air hujan ini seterusnya menyebabkan
pencemaran sungai dan mendapan lumpur yang di bawa menyebabkan air sungai
menjadi semakin cetek. Penggunaan jentera yang terlalu banyak dalam proses
pembangunan sesuatu kawasan juga akan menghasilkan pencemaran bunyi dan
pencemaran udara jika jentera-jentera berteknologi tinggi tersebut mengeluarkan
asap yang berlebihan. Akibat daripada projek-projek pembangunan yang menolak
natijah alam maka terciptalah kemusnahan alam akibat corak yang dilukiskan oleh
manusia yang tiada pertimbangan dalam setiap keputusan yang diizharkan. Jika
keduniaan dan keuntungan bernoktah di hati, sudah pasti kewarasan dalam
pertimbangan ditolak ke tepi. Walau bagaimanapun, setiap sakit ada ubatnya.
Dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ini, setiap pihak perlu
berhampar lapis, berlicin daun.

Hukum berdiri dengan sakti, adat berdiri dengan tanda. Kurangnya bukti-bukti yang
boleh mengheret individu yang terbabit dalam pencemaran dan pemantauan yang
tidak konsisten oleh pihak berkuasa juga dilihat sebagai faktor penyumbang kepada
pencemaran yang kini berleluasa tanpa mampu dikekang. Peranan pihak berkuasa
dilihat semakin kurang menyebabkan ramai individu yang tidak bertanggungjawab
membuat onar seperti tiada takut akan antah. Undang-undang yang
diimplementasikan dilihat sekadar hiasan perlembagaan tanpa adanya
penguatkuasaan. Pihak-pihak berkuasa khususnya pihak kerajaan seharusnya
membuka mata dan lebih peka terhadap pembangunan yang dijalankan oleh semua
pihak dengan mengambil kira masalah pencemaran yang bakal terjadi dari setiap
projek pembangunan yang menjadi ukur tara kemajuan negara tersebut dan bukan
hanya melihat kepada peningkatan taraf hidup masyarakat sahaja. Perkara ini
sangat penting untuk membantu mengurangkan pencemaran udara, air, tanah dan
bunyi, hasil daripada pembangunan pesat yang giat dijalankan dan tingkah laku
sesetengah organisasi dan individu yang semakin nafsi dan kurang kesedaran sivik.
Pihak kerajaan juga seharusnya mengambil tindakan drastik dengan membuat
serbuan ke tempat-tempat yang disyaki menjadi punca pencemaran dengan segera
kerana jika kerajaan kurang memainkan peranan dalam menilai aspek-aspek
kemaslahatan rakyat maka masalah pencemaran pasti berada di tahap yang
semakin membimbangkan. Perlukah sudah patah baru hendak melantai?

Natijahnya, jika setiap pihak mengambil langkah sederap ibarat ke bukit sama di
daki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti kemelut ini dapat diatasi. Kupasan demi
kupasan berkaitan punca-punca pencemaran yang telah dikenal pasti ini harus
diambil serius oleh semua pihak dan organisasi agar belenggu yang merantai
permasalahan pencemaran alam sekitar seperti pencemaran air, udara, tanah dan
bunyi ini dapat dirungkai dan diselesaikan hingga ke akar cerucuknya. Hal ini
penting untuk memastikan kelestarian dan kehijauan flora dan fauna yang bebas
daripada pencemaran dapat dikekalkan dan diwariskan sebagai tatapan generasi
masa hadapan yang akan mendepani realiti dunia yang pantas berubah dan
berkembang.
TEMA :GEJALA SOSIAL

Pada zaman pascakemerdekaan ini, isu gejala sosial dalam kalangan remaja semakin
berleluasa dan menjadi fokus perbincangan serta tajuk utama akhbar-akhbar di Malaysia.
Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus kes gejala sosial
seperti kes buang bayi, pergaulan seks bebas, mat rempit dan sebagainya terus meningkat
saban tahun tanpa titik noktahnya. Senario yang menggemparkan ini tidak boleh dibiar
berterusan. Lantas, sebelum nasi sudah menjadi bubur, marilah kita mengkaji punca
berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja untuk menangani masalah ini dengan efisien.

Antara punca gejala sosial termasuklah masalah institusi keluarga. Keluarga merupakan
benteng pertahanan kita sama ada dari segi mental mahupun dari segi fizikal. Kita dilindungi
daripada masalah dan pancaroba di dunia luar. Maka, ibu bapa berperanan penting sebagai
entiti mithali untuk menyerap nilai murni ke dalam sanubari anak. Namun, sekiranya ibu bapa
leka mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan dan mengabaikan tanggungjawab
mereka sebagai pembentuk keperibadian dan sahsiah remaja, mereka akan kehausan kasih
sayang ibu bapa dan berasa tersisih. Maka, mereka akan terdorong untuk terjebak dalam
kancah negatif seperti vandalisme, gengsterisme dan lain-lain. Sudah terang lagi bersuluh,
kebanyakan remaja yang terjebak dalam gejala sosial datang daripada institusi keluarga yang
kurang sempurna.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyumbang ke arah gejala sosial. Rakan sebaya
mengambil alih tanggungjawab ibu bapa kita semasa di luar. Rakan yang berpengaruh positif
mampu membentuk sahsiah yang mahmudah dalam diri remaja. Namun, rakan yang bersikap
negatif akan mengundang kemudaratan kepada kehidupan kita seperti api yang mampu
membinasakan kehidupan. Rakan sebegini mencabarkan remaja untuk melanggar peraturan
sekolah dan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam lembah kemudaratan. La
Rouchefoucauld pernah mengungkapkan "Keinginan paling besar kadang-kala mempunyai
komanya, tetapi sifat bermegah mengganggu kita tanpa titik noktahnya". Lantas, remaja itu
akan mengalami keruntuhan akhlak dan mempunyai masa hadapan yang gelap kerana telah
dicemarkan dengan niat yang salah.

Seterusnya, pengaruh media massa turut mengundang isu sosial dalam kalangan remaja.
Dalam menempuh era globalisasi yang sarat dengan alat teknologi yang semakin berkembang
dengan pesat bak cendawan tumbuh selepas hujan, remaja telah dipengaruhi oleh media massa
cetak dan elektronik. Terdapat segelintir remaja yang kurang berfikiran matang
menyalahgunakan internet dan dipengaruhi oleh paparan laman web yang kurang sihat.
Misalnya, aksi-aksi keganasan, kelucahan dan sebagainya. Remaja dipengaruhi oleh budaya
hegemoni Barat yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata. Akhirnya, remaja akan
melakukan gejala sosial seperti pergaulan seks bebas, berlari dari rumah, menagih dadah dan
lain-lain. Bak kata pepatah, nila setitik rosak susu sebelanga. Natijahnya, masyarakat kita turut
dianggap berminda kelas ketiga dan tidak aman. Terbuktilah bahawa pengaruh media massa
mampu mendatangkan penularan budaya negatif dalam generasi muda kini.

Punca dominan lain ialah tekanan di sekolah. Tatkala remaja diberikan terlalu banyak kerja
rumah atau tekanan untuk berjaya dalam peperiksaan, mereka akan mencari kaedah untuk
melepaskan kemarahan dan tekanan mereka. Misalnya, menghisap dadah, ponteng sekolah,
melakukan vandalisme dan lain-lain. Mereka akan mengabaikan tanggungjawab mereka
sebagai seorang pelajar dan asyik menggunakan jalan belakang untuk menyelesaikan masalah
di sekolah. Jelaslah bahawa gejala sosial turut berpunca daripada tekanan emosi dan minda
dalam institusi persekolahan.

Tuntasnya, remaja ibarat pahlawan kerdil tetapi penuh keberanian. Semua pihak haruslah
menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk menangani masalah gejala sosial yang
mencengkam dan membelenggu masyarakat. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan. Sekiranya setiap lapisan masyarakat dapat melestarikan kewajipan masing-masing,
pastilah kita dapat membina golongan remaja yang berwawasan dan bakal menjadi modal
insan negara. Imam Al-Bukhari pernah mengungkapkan "Jika anda ingin melihat masa
hadapan negara, lihatlah golongan remaja yang ada sekarang." Bersama-sama kita
membanteras gejala sosial dalam kalangan remaja untuk mewujudkan masyarakat yang
cemerlang, gemilang dan terbilang. Maka, negara kita akan mencapai aspirasi Wawasan 2020
sebagai negara yang disanjungi di persada antarabangsa.
TEMA :PELANCONGAN

Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara
yang penting. "Pendapatan indsutri pelancongan mencatatkan peningkatan 7.2 peratus dengan
nilai RM103.3 bilion pada tahun 2013 dalam menjana ekonomi Malaysia,” kata Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hal ini menunjukkan peningkatan ekonomi yang
memberangsangkan yang dibawa masuk melalui industri pelancongan. Kerajaan telah
menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat
sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun begitu, insiden yang menimpa negara
baru-baru ini dengan kejadian misteri iaitu kehilangan pesawat Malaysian Airlines Systems
(MAS) MH371 dari China dan MH17 yang ditembak lalu terhempas di Ukraine sedikit
sebanyak boleh menjejaskan industri pelancongan negara. Kebanyakan pelancong berasa
terancam untuk datang ke Malaysia apatah lagi tahun 2014 diisytiharkan sebagai Tahun
Melawat Malaysia. Oleh itu, semua pihak haruslah megatur langkah yang lebih proaktif dan
pragmatik untuk memastikan industri pelancongan negara kita terus rancak dengan
kunjungan para pelancong sama ada dari dalam negara atau dari luar negara untuk
memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Persoalan yang
bermain-main di gawang minda kita ialah apakah langkah-langkah yang pragmatik yang dapat
dipraktikkan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita?
 
Uslub yang perdana yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk
pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung  mancanegara. Produk
pelancongan negara perlu diperbanyak supaya para pengunjung dapat menikmati sesuatu yang
baharu dan unik di negara kita. Banyak produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-
pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam
program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan,
agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga
wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis,
langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik
hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang
tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan
keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat.
Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar
dan mendalami cara hidup mereka. Dengan ini, para pengunjung dapat menimba pelbagai ilmu
yang baharu dan mereka tidak akan pulang dengan tangan yang kosong tanpa ilmu di dada.
Benarlah kata orang tua-tua, “jauh perjalanan, luas pengalaman”. Jadi, usaha kerajaan
memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

Selain itu, pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia.
Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai
destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya
ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan
masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej
pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah
diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di
Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh, karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik
minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita bak kata
pepatah, tak kenal maka tak cinta. Secara implisitnya, bilangan pelancong ke negara kita akan
semakin meningkat. Tegasnya, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan
langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang
menarik.

Meninjau skop yang lebih luas lagi, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara
antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di
negara ini untuk menjadi tarikan kepada para pengunjung. Sebagai contoh, penganjuran acara
sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton,
pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan
Lumba Basikal Tour de Langkawi dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat
perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada
beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap
tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa seperti ini memang terbukti
kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggidengan negara-negara lain
di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara
tahunan. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat
dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Kesannya, kedatangan
pelancong ke negara kita juga akan meningkat. Mereka bukan sahaja datang untuk melibatkan diri
dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara
kita berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja.  Dengan cara ini, kita dapat
mengekalkan pulangan yang diperoleh danpada kedatangan pelancong ke negara kita. Jadi,
jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara
kita.

Seperkara lagi, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara
ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan
melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan
pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan
sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke
negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para
pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun
Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab
untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata
pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh
TV3 perlu diteruskan agar masyarakat mengetahui keindahan negara kita Hotel-hotel, syarikat
penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan
kempen ini. Hal ini sekali gus akan mendorong para pelancong untuk melancong dan berehat di
sini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara
kita.

Uslub dan minhaj yang lain ialah menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di
negara ini. Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang
datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga
untuk membeli-belah. Mereka ingin menjadikan percutian di Malaysia sebagai serampang dua
mata. Oleh itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di
negara ini. Namun begitu, kualiti barangan yang dijual haruslah terpelihara supaya para pelancong
berasa puas hati ketika membeli-belah di negara kita dan janganlah indah khabar dari rupa. Selain
itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong
ke negara ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan
disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan
kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik untuk berkunjung
ke Malaysia. Izharlah bahawa penghapusan dan pengurangan cukai belian barangan dapat
merancakkan industri pelancongan negara .

Jika ditinjau dari sudut yang lain, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin
kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Faktor kawalan
keselamatan yang terjamin di sesuatu destinasi pelancongan sering menjadi kayu pengukur untuk
mereka datang ke destinasi pelancongan yang menjadi pilihan di hati mereka. Kita tidak
seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas
pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis
menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan,
menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan
agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini. Bilangan keanggotaan pasukan keselamatan
perlu ditambah supaya rondaan dapat dilakukan dengan lebih kerap di kawasan tumpuan
pelancong. Sehubungan dengan itu, pelancong dapat melancong di negara kita dengan lebih
selesa dan sekali gus imej negara terpelihara di mata dunia. Pendek kata, kawalan keselamatan
yang baik mampu meningkatkan industri pelancongan negara.

Akhir kalam, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa  terdapat pelbagai langkah yang
dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara
kita. Memang diakui pelancongan merupakan suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu
menguntungkan. Oleh itu, usaha memajukan industri pelancongan bukanlah terletak atas
pundak pihak berkuasa semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Semua
pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan
mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau
tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan
kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan
untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan
kesungguhan daripada semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah
destinasi pelancongan yang terkenal di dunia. Menurut Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim,
Mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, industri pelancongan di dalam negara
boleh berkembang setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali,
Disneyland dan lain-lain sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat
malah disokong oleh rakyat jelata.Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah mentari terus
bersinar dan biarlah industri pelancongan negara kita terus meniti dari bibir ke bibir umat
manusia di seantero dunia demi menjana pendapatan yang lebih lumayan untuk kemaslahatan
bersama.

Anda mungkin juga menyukai