Anda di halaman 1dari 3

Perutusan Hari Kebangsaan — Muhyiddin Yassin

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Negara kita telah merdeka selama 58 tahun. Telah banyak kemajuan yang dicapai oleh negara kita
selama ini dan Malaysia berdiri megah sebagai sebuah negara yang berdaulat, bermaruah dan
dihormati di persada dunia.

Asas yang membina kemerdekaan dan kemajuan negara kita ialah kepercayaan. Sebelum merdeka
dahulu, penduduk negara ini yang berbilang kaum dan agama mempunyai rasa sangsi antara satu
sama lain.

Namun, berkat kebijaksanaan pemimpin kita yang terdahulu, mereka telah berjaya memupuk
kepercayaan masyarakat majmuk di negara ini bahawa Malaysia adalah milik semua warganegara
tanpa mengira kaum dan agama.

Semua warganegara mempunyai hak yang dijamin oleh Perlembagaan dan semua mereka
bertanggugjawab untuk memelihara keamanan, keselamatan dan keharmonian negara dengan
memupuk perasaan saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

Kepercayaan juga terbentuk antara pemimpin pelbagai kaum. Pemimpin Melayu, Cina, India, Iban,
Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain boleh duduk semeja untuk berbincang mengenai kepentingan
semua kaum dan merancang kemajuan negara kerana mereka mempercayai antara satu sama lain.

Memang sepanjang negara ini ditadbir oleh Barisan Nasional, terdapat beberapa masalah yang
wujud antara masyarakat pelbagai kaum, tetapi semua masalah ini dapat diatasi kerana pemimpin
Barisan Nasional percaya bahawa perundingan dan kerjasama adalah jalan terbaik untuk mencari
penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.

Rakyat juga mempercayai kerajaan yang memerintah. Mereka percaya bahawa kerajaan
bertanggungjawab untuk memerintah secara adil dan saksama, melaksanakan pembangunan demi
kesejahteraan rakyat, memacu kemajuan ekonomi, menyediakan pendidikan yang berkualiti,
mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Kerana itu, selama 58 tahun merdeka, rakyat di negara kita tidak pernah bertindak melampau untuk
menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik menerusi pilihanraya yang bebas dan adil.

Para pelabur dan komuniti perniagaan juga selama ini mempunyai kepercayaan yang tinggi
terhadap negara kita. Mereka yakin bahawa dengan kestabilan politik, keharmonian kaum dan
kecekapan kerajaan mengurus negara, pelaburan dan perniagaan mereka di negara kita adalah
terjamin. Dengan keyakinan ini, Malaysia merupakan antara penerima pelaburan langsung asing
yang tertinggi di rantau ini dan saban tahun mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif.

Sekiranya kita dapat mengekalkan, malah memperkukuhkan kepercayaan antara sesama


pemimpin, antara sesama rakyat, antara rakyat dan pemimpin, antara kerajaan dan rakyat, antara
pelabur, komuniti perniagaan dan institusi ekonomi negara, maka saya yakin negara kita akan terus
berada pada landasan yang betul dan bersedia untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa
hadapan.
Namun, pada masa ini ramai pihak berpandangan bahawa negara kita sedang menghadapi
masalah defisit kepercayaan (trust deficit) yang parah. Kepercayaan rakyat kepada kerajaan sudah
semakin longgar. Kepercayaan pelabur dan komuniti perniagaan kepada ekonomi negara juga
sudah luntur.

Ringgit kita kian merudum terutamanya berbanding Dollar Amerika dengan nilainya sekarang yang
paling rendah dalam tempoh 17 tahun. Pasaran saham jatuh, rizab negara merosot dan sentimen
pengguna adalah paling rendah dalam tempoh 7 tahun.

Benar, faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi mempengaruhi pasaran kewangan dan
ekonomi, tetapi prestasi kita antara yang paling rendah dalam kalangan negara-negara serantau.
Inilah realiti yang harus kita terima dan mesti diatasi dengan segera.

Saya menyambut baik kenyataan Gabenor Bank Negara bahawa asas ekonomi negara kita kukuh.
Ini adalah satu perkembagan yang amat baik untuk kita membina semula kepercayaan masyarakat
dunia terhadap ekonomi dan politik negara kita.

Yang perlu kita atasi ialah sentimen rakyat, pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap negara
kita yang agak negatif disebabkan oleh beberapa isu politik yang sedang melingkari kita hari ini.

Rakyat semakin resah apabila hari demi hari prinsip integriti dan akauntabiliti kelihatan semakin
terhakis dalam pentadbiran negara. Pegawai-pegawai kerajaan yang dedikasi dalam melaksanakan
tugas ditamatkan perkhidmatan, ditukar, diugut dan diambil tindakan.

Kebebasan institusi-institusi penting negara seperti Jabatan Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia seolahnya semakin disekat

Tidak dapat dibayangkan dalam sejarah perkhidmatan awam negara kita, terdapat pegawai-pegawai
kanan kerajaan yang berdedikasi sanggup bersuara lantang menentang pihak atasan yang cuba
mencabuli prinsip perkhidmatan awam yang adil, tegas dan berkecuali.  

Ada juga sesetengah pemimpin politik yang mengugut untuk menyekat kebebasan rakyat daripada
menyuarakan pandangan terutamanya di media sosial kerana tidak sanggup lagi mendengar kritikan
dan teguran rakyat yang semakin hari semakin lantang.

Selain itu, mereka yang menegur tindak tanduk pemimpin digelar sebagai pengkhianat dan dituduh
hendak menggulingkan kerajaan. Mereka ini jelas tidak dapat membezakan antara menegur
pemimpin dengan menggulingkan kerajaan adalah dua perkara yang berlainan. Betapa ramai
pemimpin negara sebelum ini yang menerima teguran, tetapi kerajaan terus kekal, malah bertambah
kukuh.

Atas segalanya, kredibiliti pemimpin semakin dipersoalkan. Institusi demokrasi yang ada dilihat
sudah tidak dapat lagi berfungsi dengan baik untuk melakukan perubahan kerana ditekan dan
dikawal dengan ketat oleh mereka yang berkuasa.

Saya bimbang selagi kemelut besar kepimpinan ini tidak dapat diselesaikan, maka selagi itulah
negara dan kerajaan akan terus dibebani dengan masalah defisit kepercayaan yang semakin parah.
Bagi saya, isu kepercayaan ini akan dapat diselesaikan jika negara kita kembali dipimpin
berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan penanggungjawaban kepada rakyat. Prinsip ini
jugalah yang dituntut oleh Islam ke atas setiap pemimpin sebagaimana hadis Rasululullah s.a.w:

Kullukum ra’in wa kullu ra’in mas’ulun ‘an ra’iyyatih

Yang bermaksud:

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang
yang dipimpinnya”.

Sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu “Sehati Sejiwa”, marilah kita
bersama-sama membentuk kesatuan hati atau “wahdatul qulb” untuk membina semula kepercayaan
terhadap negara kita dengan mengembalikan kepimpinan yang berintegriti, berakauntabiliti dan
bertanggungjawab.

Yakinlah bahawa Malaysia adalah tanah air kita yang berdaulat dan bermaruah, dan kita sebagai
rakyat bertanggungjawab untuk terus memelihara kedaulatan dan maruah negara kita. Saya berdoa
agar negara kita terus kekal aman, maju dan berdaulat.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-58.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

* Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Timbalan Presiden Umno.

**Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay
Mail Online.
- See more at: http://www.themalaymailonline.com/what-you-think/article/perutusan-hari-
kebangsaan-muhyiddin-yassin#sthash.8TYHmBWu.dpuf

Anda mungkin juga menyukai