Anda di halaman 1dari 4

PENDAHULUAN

Menurut Abdul Rashid Abdul Aziz (2020), pandemik COVID-19 yang telah melanda
negara pada Mac 2020 yang lalu telah meninggalkan impak yang sangat besar terhadap
sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan, pendidikan dan gaya hidup. Bagi mengawal serta
membendung penularan wabak COVID-19 yang telah menyebabkan jumlah kes COVID-19
di Malaysia meningkat secara mendadak, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020. Pelaksanaan PKP ini telah
mengubah bentuk dan norma kehidupan masyarakat. Tujuan utama pelaksanaan PKP ini
adalah untuk memastikan masyarakat mengamalkan penjarakan sosial serta mematuhi
Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan dalam usaha bersama untuk
memutuskan rantaian wabak tersebut (Ismail Sabri, 2020). Namun demikian, pelaksanaan
PKP ini bukan sahaja menunjukkan pelbagai kesan positif dalam usaha menangani wabak
COVID-19, tetapi juga mendatangkan impak negatif terhadap pelbagai aspek dalam
pengurusan negara seperti ekonomi dan gaya hidup masyarakat. Dalam artikel Berita Harian
yang ditulis oleh Azrul Affandi Sobry (2020), terdapat ramai individu yang gagal mematuhi
peraturan yang dikuatkuasakan dalam fasa-fasa tertentu pelaksanaan PKP tersebut, sehingga
menyebabkan segala usaha dan inisiatif yang dilakukan menjadi semakin rumit dan akhirnya
memburukkan lagi keadaan yang sedia ada. Maka, sudah terang lagi bersuluh wabak COVID-
19 mempunyai impak yang besar terhadap ekonomi negara serta mendorong kepada pelbagai
perubahan dalam gaya hidup sesebuah masyarakat.

PERUBAHAN TERHADAP GAYA HIDUP MASYARAKAT

i. Kesan Positif
Antara kesan positif pelaksanaan PKP dalam usaha menangani wabak COVID-19
terhadap perubahan gaya hidup masyarakat ialah wujudnya kesedaran dalam diri
sesetengah rakyat Malaysia untuk mula mengamalkan gaya hidup sihat. Pada era
modenisasi ini, penggunaan Internet yang merangkumi penggunaan pelbagai aplikasi
serta laman sosial atas talian seperti Facebook, Instagram dan TikTok bukan lagi sesuatu
yang asing dalam masyarakat pada masa kini. Terdapat ramai individu di negara ini
menggunakan pelbagai aplikasi dan laman sosial atas talian untuk berkongsi atau belajar
tentang amalan gaya hidup sihat bagi memastikan tubuh badan mereka sihat dan kuat
walaupun tidak berpeluang untuk beriadah di luar rumah semasa pelaksanaan PKP yang
ketat akibat penularan wabak COVID-19. Sebagai contoh, ramai rakyat Malaysia yang
menggunakan TikTok sebagai salah satu platform utama bagi berkongsi pelbagai cara
untuk menurunkan berat badan dengan sihat atau langkah-langkah bagi bermacam-
macam jenis senaman bagi menguatkan jantung serta otot-otot tubuh badan. Dalam kajian
yang dilakukan oleh sebuah syarikat insurans hayat di Malaysia yang dikenali sebagai
Manulife, sebanyak 49 peratus responden telah membuat kajian sendiri serta sentiasa
berusaha untuk mencari kaedah yang terbaik bagi meningkatkan kualiti hidup dan
menjaga kesihatan mereka, manakala sebanyak 32 peratus responden pula sentiasa
membuat pemeriksaan terhadap status kesihatan mental mereka sepanjang tempoh
pelaksanaan PKP di Malaysia (2020; Sinar Harian, 2020). Dapatan kajian tersebut
menunjukkan peningkatan yang ketara setelah perbandingan dilakukan terhadap peratus
responden tersebut sebelum dan sewaktu tempoh pelaksanaan PKP. Melalui hasil kajian
tersebut, jelaslah bahawa kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mula
mengamalkan atau meningkatkan kekerapan amalan gaya hidup sihat seperti bersenam
dan mengawal stres telah meningkat akibat pelaksanaan PKP di negara ini.

ii. Kesan-kesan Negatif


Salah satu kesan negatif wabak COVID-19 terhadap gaya hidup masyarakat di
Malaysia ialah pengambilan ubat-ubatan yang merangkumi vitamin, suplemen tambahan,
ubat tidur atau ubat bagi membantu menghilangkan stres dan tekanan emosi yang dihadapi
oleh seseorang individu tersebut. Pengambilan ubat-ubatan secara berlebihan tanpa adanya
preskripsi yang lengkap daripada doktor boleh mendatangkan kesan-kesan buruk terhadap
kesihatan tubuh badan seseorang individu. Sebagai contoh, pengambilan suplemen vitamin
C pada masa kini adalah amat popular dengan cadangan pengambilan sebanyak 1000 mg
setiap hari bagi setiap individu. Namun demikian, hal sedemikian boleh memudaratkan
tubuh badan seseorang individu yang memang sudah sedia sihat kerana individu yang
normal dan sihat tubuh badan hanya memerlukan sebanyak 65 mg sehingga 90 mg sahaja
setiap hari (Carr & Magini, 2017). Pengambilan vitamin C yang berlebihan daripada apa
yang diperlukan oleh tubuh badan akan menyebabkan buah pinggang seseorang individu
bekerja dengan keras bagi menyingkirkan vitamin C yang tidak digunakan oleh tubuh
badan.
Perkhidmatan e-dagang serta urusan jual beli atas talian yang menjadi pilihan rata-rata
pengguna pada masa kini telah menyumbang kepada pembelian ubat-ubatan tanpa
preskripsi yang semakin lama semakin berleluasa. Tanpa adanya arahan serta panduan
yang jelas untuk para pengguna untuk menggunakan ubatan-ubatan sedemikian, besar
kemungkinan akan terdapat ramai pengguna yang bakal menghadapi pelbagai masalah
kesihatan pada masa hadapan, contohnya menghidap penyakit kronik seperti diabetes,
sakit jantung, strok, darah tinggi, kanser, dan sebagainya. Menurut Osman Lisut dalam
artikel Berita Harian (2018) yang ditulisnya, setiap individu mempunyai tahap penerimaan
serta keupayaan yang berbeza-beza terhadap pelbagai jenis ubatan, maka terdapatnya
risiko bagi seseorang individu untuk mengambil ubat-ubatan ini, terutamanya suplemen-
suplemen tambahan yang sering dipromosikan oleh pelbagai pihak secara atas talian
mahupun bersemuka dalam usaha melariskan jualan mereka. Dr Hamid Jan dalam artikel
tersebut juga menyatakan bahawa suplemen tambahan tidak sepatutnya dijadikan sebagai
pengganti dalam diet yang seimbang. Terdapat ramai individu pada masa kini, khususnya
golongan muda, mempunyai rutin harian yang sangat sibuk sehingga tidak mempunyai
masa atau kewangan yang cukup bagi memastikan diet mereka seimbang pada setiap hari.
Justeru, mereka memilih untuk hanya mengambil pelbagai jenis suplemen dengan harapan
suplemen-suplemen tersebut akan dapat membantu mereka mendapatkan nutrien yang
secukupnya. Di samping itu, golongan muda pada masa kini sangat terbeban dengan
pelbagai masalah dalam kehidupan seharian sehingga menyebabkan mereka memilih
untuk memakan ubat-ubatan yang membantu mereka mengawal stres atau memudahkan
mereka untuk tidur dengan lena pada waktu malam. Menurut kajian yang dilakukan oleh
Patki et al. (2021), seseorang yang mengambil ubat tidur secara berlebihan boleh
mengakibatkan seseorang tersebut pengsan secara tiba-tiba, berjalan dalam tidur dan juga
meninggal dunia. Terdapat juga sesetengah individu yang mengambil ubat tidur untuk
membantu mereka melupakan masalah yang berlaku untuk sementara waktu. Maka,
jelaslah bahawa pengambilan ubat-ubatan yang berlebihan seperti suplemen, vitamin dan
ubat tidur merupakan suatu perkara yang menjadi kebiasaan ramai sejak PKP
dilaksanakan. Urusan jual beli secara atas talian pada masa kini juga merupakan salah satu
faktor terdapatnya kadar pembelian yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat pada
masa kini.
Rujukan

Abdul Rashid Abdul Aziz, Nurhafizah Mohd Sukor, & Nor Hamizah Ab Razak. (2020).

Wabak Covid-19: Pengurusan Aspek Kesihatan Mental Semasa Norma

Baharu. International Journal of Social Science Research, 2(4), 156-174.

Azrul Affandi Sobry. (2020, March 23). PKP: Masih ramai yang degil. Berita Harian.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/668106/pkp-masih-ramai-

yang-degil

Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and immune function. Nutrients, 9(11), 1211.

Ismail Sabri. (2020, May 8). Tahap kepatuhan tinggi, rakyat faham tujuan PKP - Ismail

Sabri. Berita Harian.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/686450/tahap-kepatuhan-

tinggi-rakyat-faham-tujuan-pkp-ismail-sabri

Patki, M., Palekar, S., Nukala, P. K., Vartak, R., & Patel, K. (2021). Overdose and Alcohol

Sensitive Immediate Release System (OASIS) for Deterring Accidental Overdose

or Abuse of Drugs. AAPS PharmSciTech, 22(1), 1-12.

Syahidatul Akmal Dunya. (2020, September 2). Penularan Covid-19 dorong rakyat amal

gaya hidup sihat. Sinar Harian.

https://www.sinarharian.com.my/article/99356/BISNES/Penularan-Covid-19-

dorong-rakyat-amal-gaya-hidup-sihat

Anda mungkin juga menyukai