Anda di halaman 1dari 2

Selamat sejahtera dan salam perpaduan kepada pengerusi majlis, para hakim yang arif dan rakan -rakan

sekalian, saya …………….…………. dari SJKT LADANG ULU TIRAM, JOHOR ingin menyampaikan sebuah cerita
yang bertajuk “KATA ITU KOTA”.

Di dalam sebuah hutan, ada seekor tupai yang amat periang dan baik hati. Setiap hari, Tupai akan melompat
dari pokok ke pokok sambil mencari buah-buahan untuk dimakan.

Pada suatu hari, sedang Tupai berehat di atas pokok yang rimbun, Tupai terdengar suatu bunyi.. Puas Tupai
memandang ke sana dan ke sini, tetapi Tupai masih tidak dapat mengesan bunyi itu.

Tupai pun turun dari pokok. Tiba di atas tanah, barulah Tupai tahu punca bunyi yang ganjil itu.

Rupa-rupanya, Rusa yang terperangkap. Tanduk Rusa tersangkut pada ranting pokok. Rusa tidak dapat
melepaskan diri.

"Hai, Rusa! Aku sedang berehat di atas pokok tadi. Tiba-tiba, aku terdengar bunyi ganjil. Rupa-rupanya,
engkau Rusa. Apakah yang terjadi?" tegur Tupai.

"Inilah nasib aku, Tupai," jawab Rusa. "Ketika aku asyik menikmati daun-daun tadi, tiba-tiba tanduk aku
tersangkut pada ranting ini. Dari tadi aku cuba melepaskan diri, tetapi tidak berjaya."

"Kasihan aku tengok kau. Apa kata kalau aku bantu kau melepaskan diri? Aku boleh gigit ranting itu hingga
putus," kata Tupai.

Rusa amat gembira mendengar cadangan Tupai. Lalu Rusa pun berkata, "Aku amat berbesar hati sekiranya
kau dapat menolong aku. Aku berjanji akan membalas budi kau suatu hari nanti.

Tupai pun melompat ke atas dahan untuk melepaskan tanduk Rusa yang tersangkut. Sedikit demi sedikit,
Tupai menggigit dahan tersebut sehingga putus. Akhirnya, Rusa pun terlepas, Selepas mengucapkan terima
kasih kepada Tupai, Rusa pun beredar.

Tupai pula, naik semula ke tempatnya. Tiba-tiba, la terdengar bunyi, "Cepluk! Cepluk! Cepluk!" Bunyi itu
kedengaran seperti dari arah sungai yang berdekatan. Tupai pun melompat dari pokok ke pokok. Tiba di
tepi sungai, Tupai ternampak Ikan sedang melompat-lompat di permukaan air. Tupai berasa hairan melihat
aksi Ikan itu.

Tupai pun menegur Ikan, "Hai, Ikan! Apakah yang sedang kau lakukan? Dari tengah hutan tadi, bunyi kau
melompat boleh kudengar."

"Aku ini teringin sangat nak makan buah ara yang bergantungan di atas itu. Sudah puas aku melompat,
tetapi masih tidak dapat mencapainya," balas Ikan.

"Wahai Tupai, sudikah kau menolong aku? Kau goyang-goyangkan dahan itu supaya buahnya jatuh ke dalam
sungai. Tolonglah aku, Tupai. Aku berjanji apabila engkau ditimpa kesusahan, aku bersedia untuk menolong
kau pula."
Tupai yang suka menolong itu terus melompat ke atas dahan pokok itu. Tupai pun mula menggoncang dahan
itu sekuat hati. Banyaklah buah ara yang jatuh ke dalam sungai. Akhirnya, Ikan dapat memakan buah ara
itu. Ikan amat berterima kasih kepada Tupai.

Tupai terus menggoyang-goyangkan dahan pokok ara itu. Semakin lama, semakin kuat goyangan Tupai.
Akibatnya, dahan itu jatuh ke dalam sungai bersama-sama Tupai! "Tolong! Tolong! Aku tidak pandai
berenang!" jerit Tupai.

Ikan terus berenang ke arahnya. Ikan menaikkan Tupai di atas belakangnya dan membawanya ke tebing
sungai.

"Tupai, aku tidak boleh membawa engkau naik ke tebing sungai. Aku hanya berdaya membawa engkau ke
tepi sungai sahaja. " kata Ikan.

Namun begitu, Tupai tidak berdaya naik ke tebing kerana terlalu terkejut. Rupa-rupanya, jeritan Tupai
meminta tolong didengari oleh Rusa. Dengan pantas Rusa berlari ke tebing sungai dan menawarkan
pertolongan.

"Wahai Ikan, aku hulurkan tandukku ini ke dalam air. Kau letakkan Tupai di atas tandukku supaya aku boleh
membawa Tupai naik ke darat.

Ikan pun meletakkan Tupai di atas tanduk Rusa. Rusa pun membawa Tupai ke tebing dan meletakkannya di
pangkal sebatang pokok.

"Terima kasih, Ikan. Terima kasih, Rusa. Tanpa bantuan kamu berdua, entah apa yang akan terjadi
kepadaku. Mungkin aku sudah mati lemas," kata Tupai yang masih terkejut.

"Tak payahlah hendak berterima kasih. aku sudah berjanji hendak menolong kau selepas kau menolong aku
tadi? Bukankah kita mesti berpegang pada janji?" kata Ikan.

Selepas kejadian itu, Tupai, Rusa dan Ikan menjadi sahabat baik dan sentiasa tolong-menolong antara satu
sama lain. Mereka berpegang teguh kepada janji yang telah dibuat.

Wahai kawan- kawanku,

Memang benar kata Ikan. Kata itu kota. Kita patut berpegang pada janji kita untuk saling bantu-membantu
sekiranya kita ditimpa kesusahan. Terima kasih

Anda mungkin juga menyukai