Anda di halaman 1dari 2

Kebanjiran pekerja asing di 

Malaysia
Posted on 23 Julai, 2008 by admin

Isu pendatang asing bukanlah satu perkara baru di negara kita. Kebanjiran pendatang
asing semakin meningkat dari hari ke hari dan menjadi satu masalah kepada negara.
Pekerja asing kebanyakannya datang dari negara yang mempunyai masalah dalaman
seperti Indonesia, Filipina, Bangladesh, India, Myanmar, Vietnam, dan yang terbaru dari
China.

Berdasarkan statistik sehingga 30 Jun 2007 yang dikeluarkan Jabatan Imigresen,


jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta. Jumlah itu tidak termasuk lebih 400,000
pendatang asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram serta hampir 10,000
tahanan di depoh imigresen.

Pertambahan pekerja asing dijangka meningkat secara mendadak berikutan


pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK-9). Statistik unjuran kadar pertambahan penduduk menunjukkan menjelang 2009
pekerja asing di negara ini akan melebihi dua juta orang berbanding penduduk negara ini
dijangka meningkat unjuran kepada 28.306 juta. Timbalan Menteri Sumber Manusia,
Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata pertambahan pekerja asing memang tidak dapat
dielakkan, terutama dalam RMK-9 yang memerlukan lebih 1.2 juta pekerja baru bagi
memastikan semua sektor dapat digerakkan dengan lancar.

Antara faktor pekerja asing lebih berminat dengan negara kita ialah kemakmuran
dan kestabilan ekonominya. Kekurangan tenaga kerja tempatan juga membuka peluang
kepada penduduk negara- negara luar untuk mencari rezeki di sini. Walau apa pun ramai
penduduk tempatan berpendapat bahawa masalah pekerja asing ini perlu dikawal agar ia
tidak menjadi lebih serius.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah menguatkuasakan undang-undang


dengan lebih tegas. Hal ini kerana banyak pekerja asing adalah pendatang haram yang
menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih
tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga
haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan
laut.

Tidak dapat dinafikan, kadangkala pekerja asing dapat mengatasi masalah


kekurangan pekerja tetapi hal yang berlaku di Nilai baru-baru ini menyedarkan negara
bahawa mereka juga boleh bertindak ganas. Kita tidak mahu negara yang cukup aman ini
akan menjadi kacau bilau kerana kemasukan pekerja asing yang tidak dikawal.

Sesetengah pihak juga sering menyalahkan belia kerana terlalu memilih pekerjaan
tetapi pernahkah mereka cuba untuk memahami masalah belia itu sendiri? Sebagai
contoh walaupun belia itu tidak memilih pekerjaan tetapi adakah majikan akan
mengambil pekerja tempatan dan dibayar dengan gaji yang berpatutan. Sudah tentu tidak.
Majikan lebih rela mengambil pekerja asing dengan bayaran yang murah dan tidak
dikenakan caruman EPF atau SOCSO. Bukankah itu lebih menguntungkan? Begitu juga
sekiranya belia itu mendapat pekerjaan yang dimintanya tetapi hidup dalam sua sana di
kalangan pekerja asing. Dapatkah belia itu menyesuaikan diri dalam keadaan sebegitu?

Penduduk tempatan kadangkala tidak menghiraukan sangat dengan kebanjiran


pekerja asing. Apatah lagi jika kedatangan pekerja asing ini melancarkan lagi urusan
harian mereka dengan bekerja sebagai pembantu rumah, menjaga anak, atau tukang
kebun. Tetapi jika kehadiran pekerja asing ini menimbulkan pelbagai kes-kes jenayah
seperti membunuh, samun bersenjata api, merogol, pecah rumah, ragut dan banyak lagi
maka inilah yang menyedarkan mereka tentang keburukan pekerja asing. Menurut
Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Polis, sehingga 30 Jun 2006 bilangan
pendatang asing yang telah ditahan dan diusir di seluruh Malaysia ialah seramai 362,958
kerana melakukan pelbagai kesalahan di negara ini.

Walau apa jua pendapat masyarakat tentang isu ini, kedatangan pekerja asing ini
tetap ada keburukan dan kebaikannya. Terpulanglah kepada polisi kerajaan sama ada
ingin kebaikan atau menghadapi masalah dengan isu ini. Untuk mencapai yang terbaik,
kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial agar
kedatangan pandatang asing ini dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Anda mungkin juga menyukai