Anda di halaman 1dari 4

Langkah Penting Dalam Penyelidikan

1. MENGENALPASTI MASALAH

Mengenalpasti masalah merupakan langkah pertama dalam proses penyelidikan. Pada asasnya, ia
melibatkan penyelidik supaya memahami sesuatu masalah itu dengan jelas dan tepat. Ini amat penting
kepada penyelidik bagi mengenal pasti, memahami dan menyatakan masalah tersebut dalam
keupayaannya untuk menyelesaikan masalah tersebut melalui penyelidikan serta memahami semua
proses yang perlu yang bakal dilakukan dalam menyiapkan kerja-kerja penyelidikan.

Penyelidik perlu tahu membezakan antara masalah biasa dan masalah umum yang memerlukan kajian
dijalankan. Masalah biasa ialah masalah yang sering dihadapi oleh individu dalam kehidupan harian
seperti masalah kesihatan, masalah kewangan dan sebagainya. Masalah biasa boleh diselesaikan tanpa
perlu melakukan penyelidikan. Sesuatu penyelidikan akan dijalankan apabila timbul masalah umum yang
rumit serta dialami oleh sebahagian besar golongan masyarakat. Penyelidik pula perlu mengenal pasti
latar belakang sebenar kepada masalah yang ingin dikaji atau siapakah yang hendak dikaji. Penyelidik
perlu mempastikan sama ada masalah itu benar-benar wujud dan memerlukan penyelidikan baru bagi
menyelesaikan masalah berkenaan. Jika masalah tersebut boleh diatasi tanpa memerlukan penyelidikan
atau melalui hasil-hasil penyelidikan terdahulu, maka penyelidikan baru tidak perlu dijalankan.

Sejauh mana kepentingan masalah tersebut adalah bergantung kepada pendapat penyelidik itu sendiri.
Pemilihan sesuatu masalah adalah lebih bergantung kepada minat yang mendalam untuk mengkaji
masalah tersebut serta sesuai dengan aspek-aspek kebolehan atau ilmu yang ada pada penyelidik. Selain
itu, penyelidik harus berkemampuan untuk menyelesaikan penyelidikan dalam tempoh yang telah
ditetapkan. Pertimbangan juga perlu dibuat dari segi kemampuan kewangan untuk menyelesaikan
penyelidikan tersebut kerana faktor ini kemungkinan boleh membantutkan kerja-kerja penyelidikan
yang dijalankan.

Untuk membolehkan projek penyelidikan anda berjaya, pastikan anda memilih masalah yang sesuai dan
menarik minat anda untuk diselidiki. Sebenarnya tidak semudah itu untuk anda mendapat topik
penyelidikan yang dimaksudkan. Anda mungkin terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mencari
sesuatu masalah untuk dikaji. Malangnya, apa yang sering berlaku terdapat banyak topik yang anda suka
dan berminat untuk mengkaji masalah itu. Kemudian, anda menghabiskan masa sehari suntuk di
perpustakaan tetapi anda masih belum yakin atau tidak dapat membuat keputusan untuk menyelidiki
satu atau dua masalah yang anda temui.
Fikirkan tentang apa bidang yang menarik minat anda untuk dikaji. Topik yang anda minati dapat
memberi motivasi kepada anda. Penyelidikan mungkin memerlukan masa beberapa bulan atau tahun
untuk disiapkan. Jadi, topik yang anda minati dapat memberi motivasi untuk anda siapkan dalam
tempoh masa yang agak lama.

Sumber-sumber Masalah

Terdapat beberapa sumber yang boleh digunakan oleh penyelidik untuk memilih atau menentukan tajuk
sesuatu penyelidikan atau punca kepada permasalahan kajian. Antaranya ialah;

a. Pembacaan

Untuk carian awal sesuatu topik kajian, mungkin anda tidak perlu untuk menghabiskan berjam-jam di
perpustakaan. Carian awal boleh bermula di rumah menerusi carian asas menggunakan komputer jika
anda telah kenal pasti bidang apa yang anda mempunyai pengetahuan atau kepakaran. Mungkin anda
boleh menggunakan carian google atau carian yahoo dengan menaip perkataan yang berkaitan dengan
bidang yang anda minati. Mungkin anda berjaya memasuki beberapa laman web tertentu yang
berkaitan dengan topik anda. Carian awal dianggap berjaya jika anda mendapat sedikit gambaran
tentang masalah apa yang menarik minat anda untuk melakukan kajian lebih mendalam.

Baca lebih lanjut apa-apa topik berkaitan bidang pengajian anda. Anda pasti mempunyai topik yang
menarik minat untuk dipilih. Seterusnya, anda boleh rujuk beberapa jurnal profesional, majalah, buku
teks dan disertasi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai topik yang telah dibaca. Ini akan memberikan
anda idea yang jelas tentang apa bidang yang sudah anda kenalpasti dan apa yang belum anda ketahui.
Pembacaan juga dapat membantu mendapatkan teori-teori asas untuk kajian anda serta dapat
memberikan anda maklumat tentang pelbagai metodologi yang digunakan dalam penyelidikan.

Pastikan anda mencatat segala maklumat berkaitan yang anda baca atau penyimpan jurnal-jurnal
penyelidikan yang anda temui. Tuliskan idea yang dapat mencetuskan satu topik kajian daripada
penemuan kajian oleh penyelidik terdahulu, termasuk cadangan-cadangan yang dikemukakan mereka.

Setelah anda telah mengenalpasti topik utama kajian anda, lakukan carian daripada pelbagai sumber
maklumat berkaitan topik. Sumber-sumber ini akan membantu anda memahami sesuatu topik
penyelidikan dalam konteks yang lebih luas dan dapat memberitahu anda terma-terma umum tentang
topik anda. Sumber-sumber latar belakang yang paling biasa ialah buku-buku dan artikel jurnal daripada
kajian-kajian lepas. Artikel jurnal ini biasanya boleh didapati daripada pangkalan-pangkalan data dan
katalog yang dilanggan oleh perpustakaan universiti.

Pembacaan artikel yang terdapat dalam jurnal atau majalah boleh membantu penyelidik memperoleh
punca kepada permasalahan kajian. Biasanya penulis sesuatu artikel dalam jurnal tersebut akan
mencadangkan kajian lanjutan yang boleh digunakan oleh penyelidik yang berminat untuk meneruskan
kajian tersebut. Kadangkala penulis artikel tersebut menjalankan kajian di negara lain dan penulis
berminat menggunakan pembolehubah atau teori yang sama untuk kajiannya di negara ini.

b. Perbincangan dengan pakar

Perbincangan dengan orang yang mahir dalam bidang tertentu atau kumpulan profesional dapat
memberi kita idea tentang sesuatu masalah yang ingin dikaji (Gill dan Johnson, 2002). Jika anda sebagai
tutor atau pelajar universiti maka perbincangan dengan pensyarah yang mahir dalam bidang berkenaan
adalah penting untuk mendapatkan idea tersebut. Dapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar-
pakar dalam bidang berkenaan. Anda sebagai penyelidik yang baru perlu belajar daripada penyelidik
yang telah lama terlibat dalam penyelidikan. Dekati mereka yang pakar dan minta nasihat berkaitan
sesuatu masalah yang menarik untuk dikaji.

c. Pengalaman penyelidik

Cari atau kenal pasti apa-apa masalah yang berlaku dalam kehidupan harian anda. Lihat sekeliling anda
kerana masalah yang sesuai untuk tujuan penyelidikan wujud di mana-mana. Anda mungkin melihat
masalah tersebut dalam konteks amalan profesional atau kehidupan peribadi anda. Biasakan bertanya
diri anda sendiri soalan tentang apa yang anda lihat dan dengar serta bertanya kepada diri anda
mengapa masalah itu berlaku?.

Seseorang penyelidik boleh mendapatkan tajuk penyelidikan melalui pengalaman peribadi penyelidik itu
sendiri. Misalnya, jika anda sebagai generasi kedua atau ketiga seorang peneroka FELDA, tentu anda
lebih tahu tentang pelbagai masalah yang berlaku dalam konteks kehidupan sebagai peneroka.
Misalnya, masalah kejatuhan harga buah kelapa sawit di pasaran, masalah kekurangan tenaga kerja
kerana ramai di kalangan anak peneroka yang berhijrah ke bandar dan banyak lagi. Jadi, daripada
pengalaman tersebut anda telah mendapat idea untuk menyediakan satu cadangan penyelidikan
berkaitan kesan kejatuhan harga kelapa sawit ke atas pendapatan peneroka. Kebetulan pula penyelidik
merasakan masalah berkenaan mampu diselidiki berdasarkan kebolehan penyelidik dalam bidang
berkaitan.
d. Laporan akhbar

Pembacaan akhbar sama ada laporan berita atau rencana pengarang akhbar membolehkan penyelidik
memahami sesuatu masalah yang sedang berlaku di seluruh dunia. Hasil daripada pembacaan itu maka
timbul satu sumber masalah yang membolehkan penyelidikan dijalankan untuk mengenal pasti faktor-
faktor berlakunya masalah tersebut.

e. Dokumen rasmi kerajaan

Dokumen rasmi kerajaan seperti Laporan Ekonomi, Laporan Perangkaan Tahunan Malaysia, Laporan
Rancangan Malaysia dan sebagainya mengandungi maklumat-maklumat penting berkaitan
perkembangan dan perancangan ekonomi negara. Maklumat yang diperolehi daripada dokumen rasmi
kerajaan ini amat berguna sebagai sumber untuk menentukan tajuk kajian.

f. Penaja

Terdapat beberapa agensi sama ada dari dalam negeri atau agensi luar negara yang ingin menjalankan
sesuatu penyelidikan tentang masalah tertentu yang berkaitan dengan agensi berkenaan. Agensi-agensi
ini akan menggunakan kepakaran tempatan untuk mengendalikan penyelidikan tersebut. Antara agensi
tempatan yang menjadi penaja kepada penyelidik ialah seperti Fundamental Research Grant Scheme
(FRGS), geran penyelidikan daripada badan-badan berkanun atau geran penyelidikan yang disediakan
oleh universiti-universiti, manakala agensi-agensi luar seperti UNESCO, FAO, WHO, Bank Dunia dan
sebagainya.

Anda mungkin juga menyukai