Anda di halaman 1dari 1

Peranan Komsas

Kesusasteraan Melayu khususnya KOMSAS boleh memainkan peranan penting dalam pembentukan
emosi kerana kesusasteraan Melayu yang merupakan wadah fikiran dan perasaan yang dijalin oleh
bahasa yang indah membenarkan pelajar sedar akan perasaan sendiri semasa mereka memikirkan
perasaan orang lain. Seperti karya-kaya yang lain bukan sahaja mampu memukau deria rasa dan intelek
peminatnya bahkan memaparkan kehidupan, menenangkan keadaan huru-hara, menerangkan yang
gelap dan mencadangkan alternatif untuk mengatasi masalah. Secara tuntasnya, kesusasteraan Melayu
berupaya membentuk diri agar menghormati orang lain, membina sahsiah yang elok dan bersikap
toleransi.

Selain itu, nilai-nilai estetik yang diajar dalam pengajaran dan pembelajaran Komponen Kesusasteraan
Melayu dapat mendidik pelajar mengamalkan keperibadian yang seimbang. Proses pengajaran dan
pembelajaran Komponen Kesusasteraan Melayu akan mewujudkan jati diri serta berilmu pengetahuan
dalam kalangan pelajar dan guru itu sendiri. Di samping itu, bahan pengajarannya akan dapat
memotivasikan para pelajarnya untuk membaca bahan yang lebih baik. Bahan yang dibaca akan
menyalurkan pemikiran positif, kreatif dan kritis dalam proses pendidikan seumur hidup. Keadaan ini
akan memupuk perkembangan daya cipta atau imaginasi pelajar dalam proses pembelajaran secara
beterusan.

Pelajar yang didedahkan dengan pengajaran komponen sastera juga mampu meningkatkan kecintaan
terhadap tanah air. Melaluinya juga, pelajar akan diperkenalkan dengan unsur-unsur patriotik,
perpaduan, cinta akan tanah air serta kebudayaan kebangsaan. Oleh itu, semangat cinta akan tanah air
akan tersemat dalam dada setiap pelajar sekiranya pelajar dengan bantuan guru dapat menilai dan
mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran Komponen Kesusasteraan Melayu dalam masa
pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu.

Guru-guru perlu mempunyai beberapa perspektif dalam pengajaran sastera iaitu guru perlu faham dan
menilai kepentingan pelajar terhadap bentuk karya sastera, guru sentiasa meminta pelajar faham
kriteria spesifik dan teknik-teknik untuk menganalisis sastera, guru mengutamakan penghayatan
estetika karya sastera, guru perlu mengutamakan penglibatan pelajar dalam aktiviti penulisan kreatif,
guru membantu pelajar membentuk kemahiran pembelajaran kolaboratif dan guru memilih bahan
bacaan sastera yang diminati oleh pelajar. Dalam hal ini, dari sudut pandangan guru, pelajar perlu
menguasai kemahiran menganalisis, kemahiran penghayatan, kemahiran pembelajaran kolaboratif dan
kemahiran membaca genre sastera.

Anda mungkin juga menyukai