Anda di halaman 1dari 2

Syarahan: Menghormati Guru Amalan Mulia

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis.Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan
saya pada pagi ini ialah ‘Menghormati guru amalan mulia’.

Hadirin sekalian, 

Menghormati guru merupakan amalan mulia kerana mereka orang yang berjasa kepada kita semua.
Gurulah yang mendidik kita sehingga kita pandai membaca, menulis dan mengira. Mereka telah
mendidik kita tanpa mengenal erti penat dan lelah agar kita menjadi insan yang berguna. Mereka juga
banyak memberi dorongan kepada kita agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran dan
sebagainya.   

Guru merupakan orang yang kedua perlu kita hormati selepas ibu bapa. Ini kerana hampir separuh masa
seharian kita bersama mereka. Merekalah yang menjaga, memberi nasihat, tempat kita mengadu dan
sebagainya sepanjang kita berada di sekolah. 

Guru juga banyak berkorban demi kejayaan kita. Antaranya mereka sanggup mengajar lebih masa atau
hadir ke kelas tambahan untuk mengajar secara suka rela demi memastikan kita berjaya dalam
pelajaran. 

Hadirin sekalian,

Kita wajar menghomati guru bukan sekadar dengan ucapan sahaja malah haruslah dibuktikan antaranya
dengan belajar bersungguh-sungguh. Apabila kita berjaya, guru pasti akan gembira. Doakanlah moga
guru-guru kita dilimpahi segala kebaikan seperti dimurahkan rezeki dan sebagainya.

Sesungguhnya jasa mereka amat besar dan tidak terbalas. Oleh itu, kita harus mengingati jasa-jasa
mereka dengan menghormati mereka seumur hidup agar kita terus mendapat keberkatan daripada
Allah.

Setakat ini sajalah syarahan saya pada pagi ini. Akhir kata, saya menyeru kepada rakan-rakan supaya
menghormati guru-guru dengan seikhlas hati kerana kejayaan seseorang itu pastinya hasil daripada
didikan para guru.

Sekian ,terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai