Anda di halaman 1dari 2

Artikel Majalah ANIS, Mei 2014

!
7 Tip Bina Keyakinan Diri Anak

!
Oleh: Dr. Hj. Tengku Asmadi T. Mohamad

www.tengkuasmadi.com

www.facebook.com/drasmadi

!
Anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam hidup adalah anak-anak yang
memiliki keyakinan diri yang tinggi. Lazimnya mereka ini mudah bergaul, bijak berkomunikasi,
mampu berdikari, berani mencuba sesuatu yang baru dan sanggup memikul tugas dan tanggung
jawab yang mencabar. Pada kebiasaannya, anak-anak yang berkeyakinan tinggi diangkat sebagai
ketua, dicontohi, dihormati dan mampu mempengaruhi rakan-rakan yang lain.

!
Biasanya, sikap ibu bapa yang terlalu menjaga, memerhati, mengawal dan memberi menjadikan
anak-anak mereka kurang berkeyakinan untuk berhadapan dengan dunia luar. Sikap cuba
melindungi anak hanya akan memudaratkan keyakinan diri mereka. Ada waktunya ibu bapa perlu
melepaskan anaknya dan biarkan mereka belajar dari kesilapan, kelemahan, tekanan dan desakan.

!
Berikut adalah beberapa tip yang boleh ibu bapa amalkan bagi menjadikan anak-anak mereka
berkeyakinan tinggi:

!
1. Elakkan daripada mengharapkan kesempurnaan. Sepanjang proses membesar, anak-anak
pasti akan lakukan kesilapan dan kesalahan, biar mereka belajar darinya. Ada ketikanya, anak
tertinggal bukunya di rumah sedangkan buku itu diminta oleh gurunya. Apabila ibu bapa
mengambil langkah menghantar buku itu ke sekolah, maka si anak tidak belajar daripada
kecuaiannya. Biarlah dia didenda, dimarah atau ditergur oleh guru. Peristiwa ini sebagai satu
pengajaran buatnya dan membuatkan dia lebih ambil berat tentang buku-buku yang perlu
dibawa olehnya ke sekolah selepas itu. Ibu bapa hanya boleh membantu anak jika barang yang
tertinggal itu satu keperluan yang mendesak. Misalnya, anak perlu buat persembahan dan
alatannya tertinggal di rumah. Bukan selalu dia buat persembahan. Jadi dalam kes ini, ia boleh
dikecualikan. Tetapi untuk perkara harian, biar dia belajar dari kesilapannya.

2. Ganjari usahanya, bukan sekadar hasilnya. Ramai ibu bapa yang sekadar menganjari hasil
tetapi tidak usaha. Misalnya, apabila anak dapat markah seratus peratus, atau semua subjeknya
‘A’, atau menjadi pelajar terbaik, maka dia diberikan hadiah. Sebaliknya, apabila anak yang
dahulunya nombor corot tetapi kini dapat nombor sepuluh, tiada pula hadiah untuknya.
Tindakan ibu bapa seolah-olah tidak menghargai usaha dan penat lelah anak dalam
memperbaiki pencapaiannya. Ganjarilah usaha baiknya itu sama ada dengan memberikan
pujian atau pun hadiah. Mungkin hadiahnya tidak besar, tetapi cukup bermakna baginya.

3. Usah terlalu mengawal anak. Ada ibu bapa yang membuat semua keputusan bagi anaknya.
Mahu pakai baju apa? Baca buku apa? Mahu terlibat aktiviti apa? Mahu ambil bidang
pengkhususan apa? Smeuanya ditentukan dan diputuskan oleh ibu bapa. Anak sekadar
menurut sahaja. Apabila ibu bapa terlalu mengawal anak, mereka membunuh keyakinan
dirinya. Akhirnya anak tidak tahu buat keputusan yang bijak untuk dirinya.

4. Ajar anak melakukan sesuatu pekerjaan secara bertahap. Anak-anak ada ketikanya terlalu
teruja untuk melakukan sesuatu perkara. Apa yang rakannya lakukan, dia mahu lakukannya
juga. Sedangkan dari segi kemampuan diri, rakan itu mungkin sudah jauh maju di hadapannya.
Oleh itu, ajar anak kita agar tidak gopoh untuk maju. Sebelum pijak anak tangga yang paling
atas, menapaklah dahulu dari anak tangga yang paling bawah. Misalnya, dalam pelajaran, jika
topik yang mudah pun belum dikuasai sepenuhnya maka usahlah gopoh untuk mencuba soalan
yang susah. Kesannya nanti hilang keyakinan diri dan rasa diri tidak cukup pandai.
Bermulalah dari bawah. Begitu juga, jika kerja yang mahu dilakukan itu pula banyak, maka
mudah-mudahkanlah. Buat sedikit demi sedikit dalam satu masa. Akhirnya akan siap juga.

5. Berikan anak kata-kata positif. Anak-anak akan lebih mudah hilang keyakinan diri apabila
dia dapat rasakan yang ibu bapanya tidak begitu yakin akan kebolehan dan kemampuannya.
Sebab itulah ibu bapa perlu sentiasa positif dengan anak, berikan dia dorongan dan kata-kata
yang baik. Letakkan jangkaan yang tinggi bahawa anak kita mampu berjaya cuma caranya
sahaja yang perlu dicari. Apabila disebut berjaya, ibu bapa perlu akur bahawa cemerlang dalam
akademik semata-mata bukanlah ukuran sebenar terhadap kejayaan dalam hidup anak. Ada
ketikanya, anak kita boleh berjaya menerusi bakat dan kebolehan yang lain. Usah bunuh
keyakinan dirinya.

6. Galakkan anak mencuba sesuatu yang baru. Keyakinan diri anak makin bertambah apabila
mereka diberi peluang melakukan sesuatu yang baru. Mungkin ada diantara aktiviti yang mahu
dilakukan itu memerlukan tunjuk ajar dari ibu bapa terlebih dahulu. Yang penting lakukan
sesuatu itu bersamanya bukan untuknya. Ada ibu bapa yang menyiapkan sesuatu projek atau
tugasan untuk anaknya dan ini memusnahkan keyakinan diri anak. Hadir kita sekadar memberi
panduan, mengajar teknik, mengasah skil dan sebagainya. Yang perlu melaksanakan semua itu
ialah anak itu sendiri. Meski pun apa yang mahu dilakukan itu sesuatu yang baru, lambat laun
dia juga akan menjadi kompeten dan yakin.

7. Latih anak menangani rasa kecewa. Tidak semua yang dilakukan oleh anak itu akan berakhir
dengan kejayaan. Ada ketikanya dia kalah dalam pertandingan, kawannya mendapat keputusan
yang lebih bagus, lain yang diharap lain yang dia dapat dan sebagainya. Semua ini pasti
membuatkan anak rasa kecewa. Malah ada anak yang mempertikaikan kenapa Tuhan tidak adil
hingga tidak memberikan apa yang telah dia usahakan. Disinilah peranan ibu bapa itu penting.
Ibu bapa perlu jelaskan pada anak apa itu yang dikatakan qada dan qadar. Ibu bapa juga perlu
maklumkan pada anak bahawa hak makhluk hanya pada usaha dan hak Allah dalam
menentukannya. Jadi, walau apa sekalipun yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tentu ada
pengajaran dan pelajaran yang boleh diambil darinya. Ajar anak agar sentiasa bersangka baik
walau dalam apa juga keadaan.

Dalam apa juga keadaan, ibu bapa perlu memastikan yang anak mempelajari sesuatu. Apabila
menegur, mulakan dengan memuji atau menghargai perkara yang baik sebelum menyentuh
kesilapan anak. Membina keyakinan diri anak memerlukan kesabaran dan masa yang panjang. Ibu
bapa dapat lihat yang anaknya mula ada keyakinan diri apabila dia kurang bergantung kepada kita
dalam melakukan kerjanya, tahu mengurus diri dengan baik dan sentiasa percaya yang dia boleh
berjaya. Malah anak yang mempunyai keyakinan diri tidak takut pada persaingan, cepat
menyesuaikan diri dengan keadaan baru. Anak-anak ini apabila masuk ke sekolah berasrama
penuh, jarang sekali menimbulkan masalah dan tidak banyak komplain.

Anda mungkin juga menyukai