Anda di halaman 1dari 20

Sastera Dalam Pendidikan Abad Ke-21

Memanfaatkan Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran


Bahasa Melayu Dalam Abad Ke-21

Pengenalan

Kemunculan abad baru sudah pasti membawa bersamanya cabaran terhadap perkembangan
dunia pendidikan dan bahasa Melayu. Yang penting adalah bagaimana pendidikan bahasa
Melayu harus berhadapan dengan keperluan abad baru ini. Pada hari ini kita ingin melihat pula
kemampuan sastera untuk mengisi ruang dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu
dalam arus abad ke-21. Jika sastera mampu untuk mengisi ruang tersebut, bagaimana pula
coraknya dapat mewarnai dan menangani proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

1. Definisi bahasa dan Sastera

Menurut Kamus Dewan bahasa didefinisikan sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai
sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara individu dengan
individu yang lain). Bahasa juga merupakan percakapan yang baik dan penuh sopan santun.
Bahasa juga meliputi adab, tatatertib, sopan santun, dan tingkah laku yang baik. Bahasa
dirumuskan sebagai satu sistem simbol bunyi ucapan yang arbitrari, dan menjadi medium
manusia berkomunikasi. Bahasa diwujudkan oleh dua komponen utama, iaitu: bunyi ucapan, dan
satuan pengalaman yang mencakup cita, rasa, dan makna. Melalui bahasa, kita dapat:
berkomunikasi, meluahkan perasaan, menyampaikan ilmu dan mengakumulasikannya,
mengungkapkan keindahan dalam pelbagai wahana, dan mewariskan ilmu, budaya, peradaban,
dan agama

Hashim Awang (1985) memperincikan sastera sebagai hasil ciptaan seni yang disampaikan
melalui bahasa. Hasil sastera disebarkan melalui bahasa manakala bahasa mampu memancarkan
keindahan yang terkandung dalam karya sastera. Wahana bahasa menjadikan karya sastera dapat
difahami segala isi dan tujuan yang mahu dilakarkan oleh pengarang. Karya sastera
membicarakan apa yang berlaku dan terlibat pada sesuatu masyarakat sambil mengemukakan
sikap, nilai dan pandangan tertentu. Bagi Ali Ahmad (1994) karya sastera terkandung di
dalamnya nilai-nilai estetika atau keindahan manakala bahasa sastera lahir bersama-sama
pembinaan rasa, cita-cita, imaginasi kehidupan, dan fikiran. Selain itu karya sastera tidak dapat
lari dari membawa bersamanya unsur nilai yang ada perkaitan dengan keagamaan, kebudayaan,
dan kemasyarakatan.

2. Hubungan antara bahasa dan sastera


Titik pertemuan antara bahasa dan sastera adalah sifat sastera itu sendiri yang memerlukan
bahasa sebagai wahana komunikasi. Melalui bahasa isi dan tujuan karya itu dapat difahami
pembaca. Bahasa memungkinkan pembaca menghayati pengalaman dan emosi yang terkandung
dalam karya sastera. Bahasa sastera dilahirkan melalui imaginasi, fikiran, dan emosi. Bahasa
bukan sastera bermaksud untuk memberikan keterangan manakala bahasa sastera di dalamnya
merangkumkan adunan emosi, imaginasi dan pemikiran. Bahasa sastera membawa unsur
ketaksaan dalam maknanya berbanding bahasa bukan sastera yang lebih objektif sifat maknanya.

Bahasa sastera mempunyai sistem bahasa yang tersendiri. Bahasa sastera tidak terikat pada
sistem bahasa yang amat ketat seperti mana yang perlu ada pada bahasa sains atau bahasa ilmu.
Bahasa sastera juga bukanlah suatu yang sewenang-wenangnya diungkapkan. Keterikatan dan
sekatan makna pada bahasa sastera tidak akan menghidupkan sastera kerana ia gagal berfungsi
meperagamkan emosi dan bayangan. Susun kata dalam sastera juga tidak boleh sewenang-
wenangnya kerana ia akan gagal melahirkan kesan keindahan yang diharapkan dalam sastera.

Keupayaan bahasa sastera untuk lahir sebagai bahasa yang penuh estetika terletak pada
kebijaksanaan pengarang mengolah bahasa yang melahirkan kesan mendalam terhadap pembaca.
Pengarang berkemampuan untuk menjadikan bahasa beranekaragam kesan penggunaannya serta
melahirkan kesan rasa dalaman terhadap pembaca. Pengarang menggunakan kata untuk
melahirkan makna konotatif atau mempelbagaikan makna kata atau frasa yang digunakan.
Hidupnya karya sastera bergantung kepada hidupnya bahasa yang digunakan oleh seseorang
pengarang.

Selain estetika bahasa, sastera juga mengandungi unsur keindahan yang terkandung dalam
susunan cerita seperti perwatakan, plot, sudut pandangan, latar, dan bentuk. Sastera mempunyai
bentuk berdasarkan genrenya sama ada pantun, syair, sajak, drama, cerpen, atau novel. Meskipun
bahasa menjadi wahana karya sastera namun ia terbina atas organisasi atau strkutur yang
tersendiri. Dalam puisi ada imej dan bunyi sebagai unsur yang menyumbang kepada
pembentukan makna puisi itu sendiri. Dalam cerpen pula ia dibina oleh urutan plot, latar, watak
dan perwatakan serta nilai yang dibawa oleh karya berkenaan.

3. Pengajaran bahasa menggunakan bahan sastera

3.1. Hubungan pembaca dengan teks

Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa bertujuan untuk memupuk minat membaca
dan melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap bahan sastera. Bahan sastera
dapat memberi kefahaman terhadap pelajar dari aspek penikmatan hasil karya yang indah,
pelahiran emosi, serta pelajar dapat membuat apresiasi dan penghayatan terhadap karya sastera.

Aspek estetika yang diutamakan dalam penggunaan bahan sastera adalah kebolehan pelajar
untuk memahami dan memberi respons peribadi terhadap karya sastera. Ia dapat dilakukan
melalui penceritaan semula sesebuah karya sastera, mengenalpasti perkara yang menarik dalam
karya sastera, menyatakan bentuk dan nada puisi, menyatakan jenis, ciri, tema dan persoalan,
pemikiran serta nilai dan pengajaran. Di samping itu pelajar berkebolehan untuk menghuraikan
maksud, gaya bahasa, dan unsur bunyi dalam puisi, dan mengulas karya sastera dari aspek watak
dan perwatakan, latar, plot, gaya bahasa, dan sudut pandangan.

Penggunaan bahan sastera dapat membantu merangsang pelajar supaya memberikan pelbagai
tindak balas dalam kegiatan pengajaran-pemelajaran di dalam bilik darjah (Marohaini Yusoff :
2001). Pelajar boleh menggunakan bahasa secara aktif sewaktu pengajaran kemahiran bahasa
seperti membaca, mendengar, bertutur, dan menulis. Kegiatan membaca, membuat perbincangan,
dan menulis tentang kesusasteraan dapat membantu pelajar memahami teks yang dibaca dengan
lebih baik. Pembacaan bahan sastera dapat memberikan pelajar latihan dari segi kemahiran
pemahaman dan memperkukuhkan perbendaharaan kata dan kebolehan mereka untuk berfikir
secara kritis.

3.2. Kemahiran abad ke-21

Sandra Burchsted merumuskan kemahiran abad ke-21 sebagai berikut :

• Literasi Informasi - Kompetensi mencari, menilai dan menggunakan informasi yang


bersesuaian
• Literasi Budaya - Menerima dan menghayati kepelbagaian budaya dan manusia;
• Kesedaran Global - Memahami dan menerima hubungan antara negara, perbadanan
multinasional, serta manusia di serata dunia;
• Adaptabiliti / Kebolehan Menghadapi Kompleksiti;
• Kreativiti dan Kesanggupan Menghadapi Risiko – Kesediaan untuk meningkatkan pengetahuan
ke arah pendidikan sepanjang hayat
• Kreativiti – Menggunakan imaginasi untuk membina perkara baru
• Pemikiran Tinggi - Proses penyelesaian masalah secara kreatif menggunakan informasi,
pendapat, dan penilaian.
• Kerja Berpasukan - Kebolehan bekerjasama dalam satu pasukan ke arah pencapaian matlamat
• Kolaborasi dan Kemahiran Interpersonal – Boleh berkomunikasi dan bekerjasama dengan
orang lain dengan berkesan ke arah pencapaian matlamat
• Rasional – Boleh berfikir secara logik untuk mencapai hasil dan membuat keputusan
• Kemahiran Visual – Kebolehan membuat interpretasi, dan mengemukakan pendapat melalui
imej, grafik, lakaran, ikon, fotografi, dan video
• Kebolehan Merancang dan Mengurus Untuk Mencaoai Hasil
• Keberkesanan Mengunakan Kemudahan dan Mencapai Produk Berkualiti (Prospectiva)

Jika dilihat dari aspek kemahiran tersebut bermakna bahasa Melayu mempunyai potensi besar
untuk muncul sebagai bahasa ilmu pada abad ke-21. Nik Safiah Karim (2004) menyatakan
bahawa bahasa Melayu harus muncul sebagai bahasa ilmu dan bahasa perhubungan umum pada
abad ini. Sebagai bahasa ilmu ia memerlukan penyediaan bahan bacaan dan bahan rujukan yang
mencukupi. Di samping itu perlu lahir lebih ramai intelektual yang dapat menjadi contoh
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada tempat dan waktu yang sesuai. Bahasa
Melayu perlu muncul sebagai bahasa perhubungan dalam kalangan rakyat jelata melibatkan
pelbagai konteks. Selain menumpukan kepada interaksi bahasa dalam situasi yang melibatkan
pelbagai laras bahasa seperti laras politik, laras sastera dan sebagainya, penekanan perlu
diberikan terhadap estetika bahasa.

Pengisian terhadap estetika bahasa akan menentukan keupayaan bahasa Melayu bertahan sebagai
bahasa komunikasi dan bahasa ilmu abad ke-21. Masyarakat perlu didedahkan dengan
penggunaan bahasa Melayu yang indah dan menarik. Bahasa perlu sebati dengan masyarakat
agar bahasa Melayu dapat diterima sebagai bahasa yang indah dan menarik. Kris Gutiérrez
(2000) menerangkan bahawa keperluan pengajaran bahasa pada abad ke-21 adalah menggunakan
bahan yang realistik dan mempunyai perkaitan dengan komuniti. Di samping itu kemahiran yang
diajar hendaklah dapat memenuhi keperluan kerjaya pelajar. Aspek-aspek yang perlu diberi
penekanan termasuklah sosio budaya, linguistik, jati diri bangsa, serta nilai. Oleh itu peranan
bahan sastera dalam pengajaran bahasa amat relevan dalam menentukan keupayaan bahasa
Melayu memenuhi keperluan alaf baru ini.

4. Kepentingan sastera

Ilmu sastera pada abad ke-21 merupakan satu bentuk ilmu yang penting dan relevan pada zaman
ini. Kemajuan sesebuah negara tidak hanya berasaskan ukuran pembangunan jasmaniah, sains,
dan teknologi tetapi perlu mengambil kira aspek-aspek kemanusiaan dan kerohanian.
Kesusasteraan mempunyai perkaitan dengan cabang ilmu lain seperti agama, falsafah, budaya,
politik, perubatan, undang-undang, dan sebagainya. Teks sastera penuh dimensi dan ia memberi
banyak ruang untuk diteroka oleh pelajar. Selain itu ilmu kesusasteraan merupakan disiplin ilmu
yang berkait rapat dengan aspek emosi dan nilai hidup manusia. Sastera bukan sekadar memberi
maklumat tentang keintelektualan tetapi melengkapkannya dengan dunia emosi dan nilai kepada
manusia. Kehadiran aspek nilai menjadi penting dalam pemupukan dan pembentukan kualiti
insan.

Karya sastera tidak dapat lari daripada dua fungsi utama. Pertama karya sastera bertujuan untuk
menghiburkan dan keduanya untuk memberi pengajaran, pesanan atau peringatan. Keperluan
untuk menghiburkan melahirkan karya sastera yang membawa keseronokan yang indah. Hiburan
terhasil dari keindahan kata-kata yang diungkapkan, irama atau rentak yang yang tesusun,
kemampuan karya sastera untuk membelai emosi pembaca atau pendengar, unsur kelucuan dan
sebagainya. Kepentingan fungsi hiburan menjadikan karya sastera seperti cerita penglipurlara
diterima oleh masyarakat sebagai karya yang diminati dan digilai masyakarakat pada suatu
ketika.

Pantun misalnya merupakan karya sastera yang cukup popular kerana keupayaannya membawa
keindahan yang menghiburkan. Saya teringat sebuah pantun lama berbunyi seperti berikut :

Berburu ke padang datar


Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi

Kualiti menghiburkan dalam pantun tersebut cukup banyak. Rentak dan rima yang bersukat
membentuk irama dalam pantun. Malah pantun pula mempunyai struktur bacaan yang tersendiri
yang menghasilkan keindahan dalam pembacaan. Selain itu, pantun disampaikan pula dalam
pelbagai variasi yang semakin menambahkan fungsi menghiburkan seperti dijadikan lirik dikir
barat di Kelantan, lirik lagu popular, dan pelbagai bentuk lagi. Kemampuan pantun untuk
bertahan sebagai karya sastera yang popular menunjukkan bahawa unsur hiburan ini amat
banyak dalam pantun.

Fungsi kedua karya sastera adalah untuk memberi pengajaran, nasihat atau pesanan kepada
masyarakat. Fungsi ini juga menjadikan karya sastera sebagai suatu bahan yang dapat membawa
kesedaran kepada masyarakat, mengubah pemikiran, serta memberi ruang untuk masyarakat
menyerap nilai-nilai moral yang dibawa dalam karya sastera. Cerita Sang Kancil dengan Buaya
misalnya cukup terkenal bukan semata-mata kerana ceritanya menghiburkan tetapi
keupayaannya untuk memasyarakatkan nilai, unsur moral dan pengajaran yang berguna kepada
masyarakat. Tanpa kita sedari kita dibesarkan dalam asuhan moral yang dibawa dari cerita
tersebut. Tanpa sedar kita dserapkan dengan kepentingan nilai tolong-menolong dan kita pula
diperingatkan betapa buruknya sikap tidak mengenang budi.
Sama seperti pantun tadi, pemilihan kata yakni berburu dan digandingkan dengan berguru
memberi mesej yang penting pada kita. Dalam ungkapan yang ringkas, pantun membawa tafsiran
makna yang mendalam. Kerja berburu sama sukarnya dengan berguru. Ia memerlukan kemahiran
dan ketekunan. Peringatan yang cuba dibawa dalam pantun iaitu pentingnya ilmu tetapi jangan
salah berguru.

Permasalahan yang perlu direnung kembali adalah bagaimana dwi fungsi sastera ini dapat
dipertahankan dalam cabaran abad ke-21?.

Untuk menjadikan karya sastera dapat diterima dengan berkesan sudah pastinya dwi fungsi
sastera itu dapat berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Meski pun karya sastera
itu sendiri sudah lengkap dengan unsur hiburan dan pengajarannya, bagaimana ia dapat
disampaikan kepada pelajar? Ia pastinya menjadi satu cabaran kepada guru-guru bahasa Melayu.
Jika karya sastera tidak sampai kepada pelajar dalam bentuk yang menghiburkan. Nilai sastera
sebenar tidak sampai kepada pelajar. Keindahan sastera tidak dapat diselami oleh pelajar.
Akhirnya pelajar terasa sastera hanya membebankan mereka dengan teks yang banyak bukan
menghiburkan mereka. Kepalang ajar kadangkala lebih banyak membunuh minat dan
kecenderungan pelajar.

5. Matlamat

5.1. Bahasa

Penggunaan bahan sastera bermatlamat ke arah membina perkembangan bahasa. Interaksi pelajar
dengan bahan sastera memberi ruang kepada pelajar mengasah kemahiran membaca dan
memahami. Pengajaran tentang sesebuah teks sastera melibatkan pengajaran kemahiran
membentuk makna bukan sahaja tentang teks yang dibaca tetapi juga makna yang dibawa oleh
teks tersebut dan hubungannya dengan pengetahuan dan pengalaman seseorang pelajar. Hal ini
juga bermaksud bahawa makna atau maksud yang dibawa oleh sesebuah teks sastera yang
dibaca, bukan sahaja didapati dalam teks, tetapi juga diperoleh melalui interaksi dengan teks.
Konteks hubungan pembaca dengan teks dapat diperkayakan dengan penguasaan laras bahasa
dalam karya kreatif. Pelajar dapat mengenalpasti gaya bahasa dalam karya sastera, menganalisis
gaya bahasa dan unsur bunyi dalam karya sastera. Pelajar juga dapat menguasai aspek
penggunaan gaya bahasa dan unsur bunyi dalam penulisan kreatif.

Kemahiran berbahasa diperluaskan dengan interaksi pelajar dengan keindahan bahasa yang
terpancar dalam karya sastera. Keindahan bahasa yang menjadi intisari sesebuah karya sastera
berupaya mendekatkan pelajar dengan keragaman dan kekayaan bahasa sastera yang indah dan
menarik. Matlamat pengunaan bahan sastera adalah untuk membentuk kepekaan pelajar terhadap
variasi bahasa yang wujud dalam teks sastera. Melalui penghayatan karya sastera pelajar dapat
mempelajari kekayaan bahasa masyarakatnya dan dapat meneladaninya untuk memperoleh
kekuatan bahasa. Selain itu, kemahiran berbahasa dilengkapkan melalui kemampuan pelajar
menghasilkan penulisan kreatif. Penghasilan prosa atau puisi secara terancang, kemas, serta
mematuhi pengunaan bahasa yang tepat, indah, dan menarik.

5.2. Nilai

Karya sastera tidak terlepas dari pancaran nilai yang terakam di dalamnya. Nilai-nilai yang
dipaparkan bersifat nilai kesejagatan yang membawa kelangsungan kepada umat manusia.
Manusia dilukiskan untuk membayangkan nilai-nilai murni supaya manusia terus hidup dengan
lebih sempurna. Mendekati karya sastera bermakna pelajar dapat merenung, berfikir, dan
membuat refleksi tentang situasi dirinya dalam kehidupan ini. Kesejahteraan dan kemakmuran
manusia yang dipancarkan dalam karya sastera dapat menyemai naluri keinsanan dalam jiwa
pelajar.

5.3. Pembangunan sahsiah

Fungsi mendidik yang dibawa dalam karya sastera bertujuan untuk pembinaan sahsiah
seseorang. Sastera dapat membina manusia yang berfikir, berpegang pada etika, manusia yang
halus pertimbangannya, bersikap adil dan saksama, serta dapat membayangkan perasaan orang
lain. Karya sastera memberi ruang kepada pelajar untuk merasa prihatin terhadap keperitan dan
kedukaaan yang dialami orang lain. Mereka menjadi peka kepada sesama manusia dan
persekitarannya. Karya sastera mengajak manusia untuk membina sebuah masyarakat atau
manusia yang baik.

5.4. Jati diri

Sastera yang tumbuh dalam jiwa dan bahasa sesuatu bangsa akan menjadi alat, bukti, dan unsur
jati diri bangsa berkenaan. Sastera akan menjadi sebahagian dari wajah dan jiwa bangsa. Karya-
karya sastera tradisional seperti pantun, syair, seloka, dan gurindam serta karya-karya prosa
tradisional seperti sastera rakyat, metos, legenda, dan epik menjadi khazanah yang amat
dibanggakan. Mengenali teks sastera bermakna memberi ruang kepada pelajar memahami jati
diri mereka. Sastera menjadi warisan kerana di dalamnya terkumpul alatan komunikasi, fikiran,
konsep, persepsi, emosi, muzik, dan seni bangsa itu (Muhammad Haji Salleh : 2004). Bahan
sastera berupaya untuk memberikan pendedahan berkaitan unsur budaya, pemikiran, sikap, dan
nilai yang diamalkan dalam masyarakat.

6. Peranan dan kesan penggunaan bahan sastera


dalam pembelajaran bahasa

Awang Sariyan (2003) penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa bertujuan untuk
melatih pelajar membaca karya sastera dengan strategi yang tepat, bukan semata-mata untuk
memenuhi tujuan praktis seperti memperolehi maklumat tetapi untuk menganalisis teks sastera
bagi memperoleh kemungkinan makna tertentu secara simbolis atau filosifis. Pembacaan ini
merupakan kemahiran membaca aras tinggi untuk membentuk pelajar yang analitis, kritis dan
kreatif dalam respons terhadap teks yang dibaca.

Menurut Mohd. Taib Osman (1977) kepentingan bahan sastera sebagai sebagai alat pendidikan
dapat dilihat dari tiga sudut :
1. Aspek pemakaian bahasa sebagai medium kesusasreraan. Hasil-hasil karya sastera kreatif
seperti cerpen, novel, drama, dan puisi merupakan pendidikan bahasa yang lebih luas daripada
pelajaran ‘penggunaan’, ‘pamakaian’ atau kemahiran bahasa kerana bahan-bahan itu mencakup
bidang-bidang bahasa yang kreatif, imaginatif dan statis.
2. Sifar kejadian hasil sastera sebagai pernyataan seni. Aspek estetika dan keindahan di dalam
jasmani dan alam rohani manusia.
3. Kesusasreraan itu tidak lahir dalam ‘’vakum’ tetapi sastera adalah hasil sesuatu kebudayaan
dan masyarakat. Satu khazanah ciri-ciri pilihan daripada pemikiran intelektual, pengolahan seni
serta pengalaman hidup sesuatu masyarakat.

6.1. Membina dan memperkasa bahasa

Awang Sariyan (1993) menjelaskan bahawa penggunaan bahan sastera membolehkan pelajar
menghayati keunikan gaya bahasa individu seseorang pengarang. Karya sastera memiliki
kelainan gaya bahasa antara seorang pengarang dengan pengarang yang lain. Variasi gaya
kepengarangan menjadi bahan bahasa yang penting dihayati pelajar dalam usaha memahami
kekayaan bahasa masyarakatnya.

Nafii Mat (2006) menjelaskan bahawa penggunan bahan sastera dalam pengajaran bahasa
Melayu berupaya menjadikan pengajaran bahasa Melayu menghiburkan, menyeronokkan, dan
pelajar dapat menguasai bahasa secara maksimum. Penggunaan bahan sastera dapat
mendedahkan kepada pelajar berkaitan dengan sifat-sifat bahasa yang berkesan di samping
pelajar dapat menikmati keindahan karya sastera.

Matlamat akhir pengajaran bahasa Melayu adalah untuk membina kebolehan pelajar untuk
menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan keadaan. Pelajar berupaya untuk berinteraksi,
berunding, memberi pendapat, membuat pertimbangan, memujuk, mempengaruhi orang lain
melakukan sesuatu, atau berurusan untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan. Pemenuhan
terhadap matlamat ini sewajarnya dapat disempurnakan melalui pengguna bahan sastera.
Pelbagai kemahiran berbahasa dapat dikuasai oleh pelajar melalui penggunaan bahan sastera
sama ada secara lisan atau bertulis. Malah bahan sastera itu sendiri lebih merujuk kepada apa
yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat ditambah dengan unsur hiburan dan pengajaran yang
sedia sebati dalam bahan berkenaan.

6.2. Membentuk dan membina tanggapan dan pemikiran tentang cerita

Kemampuan bahan sastera adalah untuk berkomunikasi dalam ruang pengalaman yang lebih
jauh dari apa yang dialami pelajar. Karya sastera itu sendiri lahir dari proses yang cukup
menarik. Di dalam sesebuah karya sastera tersimpan di dalamnya imaginasi pengarang, emosi,
pemikiran, realiti, bahasa, dan nilai. Sifat estetika karya sastera sama ada dari aspek bahasa,
struktur karya, nada, emosi, dan isi karya mempunyai pelbagai dimensi yang dapat diteroka oleh
pelajar. Jika mereka berhadapan dengan sebuah teks drama, bermakna pelajar bukan sekadar
membaca untuk memahami ceritanya, sebaliknya pembacaan ini membawa pelajar ke dalam
dunia karya itu sendiri.

6.3. Mencipta dan membina kebolehan bercerita

Kepentingan bahan sastera dalam pengajaran bahasa adalah untuk membolehkan pelajar
berkomunikasi dalam pelbagai situasi. Keupayaan ini dapat dilakukan melalui proses bercerita,
deklamasi, lakon, forum, bahas, syarahan, dan sebagainya. Kebolehan berkomunikasi dalam
pelbagai variasi ini memberi peluang kepada pelajar menguji kemahiran berbahasa mereka sama
ada dari aspek mendengar, membaca, dan menulis. Bahan sastera dapat dijadikan landasan untuk
membina peningkatan kemahiran berkenaan. Sekiranya bahan sastera itu disusuri dengan penuh
bijaksana sudah tentunya kekayaan bahan sastera itu akan dapat dialami dan dihayati oleh
pelajar. Aspek-aspek emosi, nilai dan budaya yang sebati di dalamnya berupaya memaparkan
pengalaman baru kepada pelajar.

Penerokaan bahan sastera melibatkan proses penikmatan dan penghayatan. Karya-karya sastera
dinikmati oleh pelajar melalui proses pembacaan, deklamasi, dan sebagainya. Melalui
penikmatan ini pelajar akan dapat menghayati karya sastera dengan lebih mendalam. Sebuah
sajak perlu dideklamasikan dengan penuh penghayatan, intonasi yang sesuai dan nada yang
bertepatan. Pelajar dapat membina pengalaman baru berhadapan dengan sajak dan dinikmati pula
dalam bentuk yang lebih kreatif. Sajak berkenaan bukan sekadar dideklamasikan malah boleh
dinyanyikan, mestamu, puisidra, dan sebagainya. Di samping dapat menikmati keindahan karya
sastera sudah tentu aktiviti yang dilakukan melahirkan keseronokan. Keseronokan akan
membuka ruang kepada minda pelajar untuk meneroka perkara yang lebih mencabar dalam karya
sastera seperti memahami dan menilai karya tersebut.

Aspek penikmatan yang bersesuaian membawa kepada proses penghayatan karya sastera. Pelajar
dapat menggali makna karya berkenaan apabila mereka sudah sebati dengan karya. Proses
penikmatan telah menyediakan ruang pengalaman yang lebih bermakna untuk pelajar meneroka
makna yang terkandung dalam karya sastera. Proses penghayatan akan membawa kepada
pemahaman pelajar terhadap isi karya, watak, latar dan sebagainya. Karya sastera yang digauli
akan mudah difahami. Penerokaan dalam aspek penghayatan akan membuka penemuan ke arah
kemampuan pelajar membuat penilaian terhadap karya sastera. Mereka boleh mengemukakan
pandangan tentang kesan karya yang dibaca, pengalaman yang diterima, serta menjelaskan di
manakah tarikan yang terkandung dalam karya berkenaan.

6.4. Mencabar dan membina kreativiti

Noriah Taslim (1996) menjelaskan bahawa penghayatan karya sastera boleh mendidik pelajar
berfikiran kritis dan kreatif. Penghayatan memerlukan penaakulan dan penilaian. Pelajar perlu
membina semula dunia makna, dunia ilmu, dan dunia nilai yang disuratkan dan disiratkan dalam
sesebuah karya sastera. Ia melatih pelajar untuk berhujah, mentafsir apa yang tersurat dan
tersirat, membuat pertimbangan dan membuat keputusan. Sumbangan bahan sastera adalah untuk
melahirkan manusia yang kritis dan kreatif.

Di samping itu pelajar pula berhadapan dengan karya sastera yang sememangnya mempunyai
struktur dan corak tertentu. Aspek penikmatan genre sastera seperti sajak, cerpen, drama atau
novel mempunyai perbezaannya. Drama misalnya memerlukan pelajar untuk melafaz dialog
sesuai dengan intonasi dan keperluan makna teks. Pantun dibacakan dalam struktur bacaan yang
berja dan bersukat. Tuntutan sedemikian sudah pastinya memerlukan kreativiti yang tinggi.
Berhadapan dengan teks sastera bermakna pelajar akan memasuki dunia kreativiti yang
mencabar emosi, jasmani, intelek dan rohani pelajar. Bahan sastera memberi peluang kepada
pelajar menjana emosi, melahirkan respons terhadap bahan sastera serta meningkatkan kreativiti
dalam melakukan apresiasi terhadap karya sastera. Ini bermakna karya sastera bukan sekadar
untuk dibaca dan menghafal cerita tetapi dinikmati dan dihayati dengan lebih kreatif.

6.5. Berkongsi pengalaman kehidupan

Bahan sastera berupaya menyediakan dunia pengalaman yang luas kepada pelajar. Manusia yang
dipaparkan dalam karya sastera adalah manusia yang berada dalam lingkungan kehidupan pelajar
dan di luar lingkungan hidup mereka. Watak-watak yang temui dalam karya akan membuka
pengalaman baru terhadap pelajar. Latar yang ditemui juga berbeza-beza. Zaman yang
diungkapkan juga berlainan. Bahasa yang digunakan mempunyai variasi yang pelbagai.
Segalanya berupaya membentuk kepekaan pelajar tentang pelbagai aspek budaya dan kehidupan
masyarakat. Pelajar melihat diri orang lain dan berupaya untuk membandingkan dengan
kehidupan dirinya. Pelajar merasai denyut emosi orang lain dan disatukan dengan emosi dirinya.
Pengalaman ini akan dapat membantu ke arah pembentukan rasa persefahaman, tolak ansur, dan
kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. Pelajar dapat mengenal budaya dan pola
kehidupan bermasyarakat. Melahirkan anggota masyarakat yang menghormati tatacara hidup
masyarakatnya, mengurangkan potensi meluasnya kadar jenayah dan pelanggaran hak orang lain.

6.6. Meneroka masa dan ruang pengalaman dalam kehidupan

Bahan sastera memberi peluang kepada pelajar meneroka apa yang jauh dari ruang pengalaman
sebenar mereka. Pelajar dapat menemui pengalaman baru berdampingan dengan teks yang
mereka nikmati dan pengalaman ini membuka ruang kehidupan yang melampaui batas
pengalaman sedia ada mereka. Penerokaan ke alam sastera adalah penerokaan yang indah dan
mengkagumkan. Pelajar akan dapat memahami dan menyedari kehidupan yang bergerak di luar
lingkaran mereka sekaligus memahami bahasa dan budaya masyarakatnya.

Menurut Spencer (2001) sastera memberi ruang kepada pelajar melakukan kontemplasi terhadap
diri mereka sendiri. Melalui sastera pelajar akan lebih memahami kehidupan dan apa yang
berlaku di sekeliling mereka. Kepentingan sastera adalah untuk membawa pelajar berhadapan
dengan realiti diri, di mana mereka berada dan bagaimana mereka memahami diri orang lain.
Sastera memungkinkan pelajar menemui manusia-manusia yang berbeza sama ada dari segi
pengalaman, latar kehidupan, dan sikap. Manusia-manusia berkenaan mungkin mereka gemari
atau benci. Geertz (1973) menambah bahawa apabila kita berhadapan dengan karya sastera yang
berbeza dengan budaya kita, kita bukan sekadar membaca teks tetapi mengkaji budaya di mana
karya itu dilahirkan. Karya sastera perlu diberi interpretasi dengan penuh sensitiviti untuk
mencari maknanya dan mengenali budaya yang dipaparkan. Sesuatu yang kelihatan asing pada
awalnya barangkali dapat dimengertikan dan mempunyai perkaitan dengan pengalaman kita
sendiri.

6.7. Mencermin kejayaan individu dan masyarakat

Sastera dianggap sebagai dokumen sosial yang memaparkan rupa dan wajah masyarakatnya.
Apabila pelajar berhadapan dengan karya sastera mereka sebenarnya melihat ke dalam
masyarakatnya. Kepentingan sastera adalah untuk mengajak manusia mengenal budayanya dan
mengamalkan nilai-nilai yang dikongsi bersama. Di dalam karya sastera ada kisah-kisah tentang
kejayaan dan kegagalan, kemurungan dan kegembiraan, dan sebagainya. Kisah-kisah sedemikian
dapat diambil sebagai teladan dan pengajaran bagi pelajar. Nilai-nilai yang tersebar dalam karya
sastera dapat diterapkan untuk membina kekuatan diri dan keperibadian pelajar. Oleh itu karya-
karya yang dihidangkan kepada pelajar adalah karya-karya sastera yang dapat mencerminkan
nilai, budaya, pemikiran, dan sikap masyarakat. Sejarah Melayu misalnya adalah cermin
kecemerlangan masyarakat pada zaman tradisinya.

6.8. Membina jati diri

Keupayaan bahan sastera adalah untuk memberi peluang kepada pelajar menikmati suatu hasil
yang lahir dari cetusan pemikiran, sikap dan nilai sesuatu bangsa. Karya-karya sastera bukan
sahaja menjadi dokumen budaya tetapi menjadi sumber khazanah ilmu yang berguna untuk
pembinaan jati diri bangsa. Aspek budaya, masyarakat, dan manusia yang ditatap menerusi karya
sastera akan menggerakkan pelajar untuk mengenal jati dirinya. Sama ada karya tradisional atau
karya moden ia membawa pengaruh tertentu berkaitan suatu zaman. Jika karya sastera terlepas
dari bacaan pelajar bermakna mereka akan ketinggalan satu khazanah penting yang merakamkan
jati diri, budaya dan pemikiran bangsa.

7.0. Pendekatan menggunakan bahan sastera dalam pengajaran bahasa


Menurut Mana Sikana (2001) tidak semua pelajar mempunyai ketekunan membaca teks sastera.
Jika teks sastera gagal dikuasai secara literasi maka menjadi tangunggjawab guru untuk
menguasai teks secara literasi. Kegagalan pelajar membaca teks sastera membawa kepada
kesukaran dalam pengajaran sastera. Jika pelajar dipaksa membaca teks sastera, ia akan
menjadikan sesi pembelajaran suatu yang menderakan dan akan mengorbankan falsafah sastera
itu sendiri. Teks tidak seharusnya didekati dengan bacaan sahaja. Teks sastera boleh
ditransformasi kepada bentuk-bentuk lain. Puisi boleh dirakamkan dan diperdengarkan kepada
pelajar. Teks drama boleh diterjemahkan kepada lakonan pentas. Malah teks sastera boleh
ditransformasikan kepada bentuk multimedia yang boleh merangsang pelajar. Mana Sikana
merumuskan kegagalan pengajaran sastera adalah disebabkan oleh :
1. Pengajaran sastera terlalu tertumpu di bilik sekolah, membaca dan menganalisisnya; alangkah
baiknya dibina makmal sastera.
2. Sastera dianggap hanya apa yang ada di dalam teks, tingkat ketergantungan kekepada teks
terlalu tinggi; alangkah baiknya mengaitkannya dengan nilai sasterawi dengan nilai di luar teks;
nilai kehidupan yang berkaitan dengan alam hidup pelajar.
3. Kurang terdapat hubungan antara teori dengan pengajaran yang boleh membangunkan rasa
apresiasi; malah ada pengajaran tanpa penguasaan teori, apalagi teori yang terbaru; alangkah
baiknya saling menguasai teori dan saling memperbaharui dengan teori baru supaya pengajaran
sastera menjadi dinamik.
4. Sumber sastera sebagai bahan pengajaran dan pemelajaran sering dilihat hanya diakrifkan oleh
guru, pelajar hanya sebagai penerima. Sepatunya guru hanya bertindak sebagai seorang pengarah
drama, pelajarlah yang mempunyai kebebasan mengaksikan segala tafsiran dramatiknya.

Pusat Perkembangan Kurikulum (1994) menyarankan tiga kaedah untuk mengajar iaitu Kaedah
Analisis-Struktur, Kaedah Mengalami-Menghayati, dan Kaedah Berfokus untuk digunakan
dalam pengajaran bahasa Melayu.

1. Kaedah Analisis-Struktur (Struktural)

Kaedah pengajaran dan pembelajaran menganalisis karya sastera dari sudut pembinaan atau
struktur karya. Aspek yang dikaji ialah tema, plot, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar,
sudut dan teknik. Kaedah mi menekankan aspek intrinsik. Kaedah ini digunakan untuk mengkaji
dan memahami aspek struktur sesebuah karya secara induktif. Kaedah ini memerlukan
pembacaan rapi
Oleh guru dan pelajar. Guru perlu mengajar aspek struktur secara umum terlebih dahulu,
kemudian menjelaskan setiap aspek secara terperinci. Kaedah ini menekankan pemahaman
pelajar terhadap setiap aspek tentang sesebuah karya.

2. Kaedah Mengalami-Menghayati

Kaedah ini memerlukan penghayatan pelajar sendiri melalui pengalaman, penaakulan, dan
penganalisisan. Melalui kaedah ini pelajar dapat menjiwai sesebuah karya sastera dan mungkin
dapat mengaitkannya dengan pengalaman sendiri. Aspek yang membentuk karya sastera iaitu
tema, plot, watak, bahasa, dan sudut pandangan dapat dikaji secara terperinci setelah pelajar
memahami isi cerita atau maksud puisi. Kajian dijalankan oleh pelajar sendiri secara individu
atau berkumpulan setelah mendapat bimbingan awal daripada guru untuk mewujudkan
pengajaran dan pemelajaran yang berkesan. Guru hendaklah mempelbagaikan teknik dan aktiviti
yang menarik, di samping memberi penekanan kepada penggunaan alat bantu mengajar yang
sesuai untuk menimbulkan suasana yang dapat membantu pelajar menghayati sesebuah karya
sastera yang dikaji. Latihan yang diberikan oleh guru harus lebih menumpukan kepada
penghayatan pelajar sendiri, misanya pendapat mereka tentang sesebuah episod, watak atau
peristiwa, dan penilaian terhadap plot Kaedah ini mementingkan aktiviti yang dapat melatih
pelajar berfikir secara kritis dan analitis. Guru harus mempelbagaikan teknik serta alat bantu
mengajar dan belajar yang sesuai dan berkesan.

3. Kaedah Berfokus

Kaedah ini menekankan sesuatu aspek dalam sesebuah karya sastera di samping aspek lain
secara sampingan. Kaedah ini bertitik tolak daripada aspek yang menonjol dalam sesebuah
karya. Fokus utama (FU) dalam sesebuah karya akan menjadi lebih istimewa dan bermakna jika
dibantu oleh fokus sampingan (FS), kerana kedua-duanya saling berhubung kait. Untuk
menimbulkan pengajaran dan pemelajaran sastera yang berkesan dan menyeronokkan, perkara
yang penting dan menarik dalam karya sastera perlulah dijadikan fokus utama (FU), dan perkara
lain dijadikan fokus sampingan (FS). Fokus utama (FU) dan fokus sampingan (FS) boleh
bertukar ganti, bergantung pada aspek yang hendak ditekankan.

Gaya Pemelajaran Gardner : Kecerdasan Pelbagai

Dalam mengaplikasikan bahan sastera di bilik darjah guru perlu mengenal pasti tahap kebolehan
serta gaya pembelajaran pelajar-pelajarnya. Gaya pembelajaran merupakan satu set ciri peribadi
yang mempengaruhi seseorang dalam menerima, mengumpul, dan memproses maklumat. Gaya
pembelajaran pula berkait rapat dengan tahap kecerdasan seseorang pelajar. Gardner (1993) yang
mengkaji teori kognitif, telah memperkenalkan satu model kecerdasan pelbagai (multiple
intelegence). Model ini menjelaskan bahawa kecerdasan dapat dipelajari, dikembang, dan
ditingkatkan. Model Gardner ini berlandaskan prinsip:
• Setiap individu mempunyai kesemua sembilan kecerdasan tetapi pada tahap perkembangan
yang berbeza-beza.
• Kebanyakan individu mampu mengembangkan kecerdasan yang dimiliki ke tahap yang cekap
jika diberikan penggalakan, pengayaan, dan pengajaran yang sesuai.
• Kecerdasan sering bertindak serentak dalan menghasilkan sesuatu kerja, dan jarang beroperasi
secara tersendiri.
• Sesuatu kecerdasan dapat dimanifestasikan dalam pelbagai bentuk dan cara.

Berdasarkan Model Kercerdasan Pelbagai Gardner, aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan


penggunaan bahan sastera melibatkan :

1. Kecerdasan Linguistik

Kecerdasan linguistik dapat diperkayakan dengan aktiviti seperti peraduan menulis cereka/karya
kreatif, pertandingan bercerita, deklamasi sajak, pendapat dan penerangan, teater pembaca,
improvisasi, drama, penulisan jurnal, penerbitan buletin, akhbar kelas dan ulasan, penulisan
cerita berdasarkan lukisan komik, dan projek seperti pameran.

2. Kecerdasan Visual/ spatial

Aktiviti melibatkan lakonan atau drama, diorama adegan tertentu dalam cereka, penontonan
rakaman video atau sebahagian filem untuk tujuan perbincangan atau penjelasan, tetamu dalam
aksi (menjemput tetamu, seperti penulis atau pelakon dalam sesuatu pementasan), permainan
drama, penciptaan gerak bermakna dan gerak kreatif, bagi menjelaskan atau menghuraikan
maksud sesuatu aspek dalam teks, dan pantomim.

3. Kecerdasan Muzikal

Memasang lagu latar ketika mendeklamasikan sajak atau bercerita, melafazkan puisi dengan
nada, emosi dan rima yang sesuai, mestamu (memelodikan sajak tanpa alat muzik), melagukan
puisi (nyanyian lagu puisi), menulis lirik berdasarkan idea dalam teks, merancang kesan bunyi
berdasarkan urutan peristiwa atau bercerita berpandukan kesan bunyi dalam rakaman, dan
membuat projek seperti pertandingan melagukan puisi tradisional dan puisi moden.

4. Kecerdasan Kinestetik

Main peranan, simulasi penyelesaian masalah, andaian, ramalan, improvisasi (aksi kaku) plot
berdasarkan teks, teater bercerita, pantomim, permainan drama, kerusi panas (berdasarkan watak
dan perwatakan dalam karya), gerak kreatif dan gerak bermakna.

5. Logik Matematik

Penyelesaian masalah seperti melakar bentuk bagi menjelaskan rumusan, melakarkan peta
minda, grafik atau carta aliran, mengisi borang pengurusan grafik.

6. Kecerdasan Interpersonal

Aktiviti perbincangan rakan sebaya, aktiviti kumpulan pakar. teater pembaca, dramatisasi,
simulasi dan improvisasi membina satu idea baru atau karya kreatif berdasarkan idea dalam teks,
kerusi panas berdasarkan watak dalam cereka, balang emas (wawancara dan ulasan), forum
(perkara pokok dalam karya), perbahasan (isu yang ditimbulkan dan teks).

7. Kecerdasan Intrapersonal

Menulis surat kiriman kepada sahabat, berkenaan salah satu aspek dalam karya, menghantar e-
mel memberikan pendapat anda tentang watak dalam cerpen, menulis jurnal atau diari (refleksi
tentang perasaan anda ketika membaca novel), membuat kerusi panas berdasarkan watak dalam
cereka, mengadakan perbahasan (isu yang ditimbulkan dan teks), dan membuat bayangan minda
seperti membuat suatu ramalan masa depan.

8. Kecerdasan Naturalistik

Menikmati karya bersama rakan di taman atau di bawah pohon sekitar sekolah, membuat
improvisasi meluahkan perasaan kepada alam dan persekitaran, untuk penghasilan karya atau
penikmatan karya, membuat buku skrap berdasarkan bahan alam, dan membuat analogi dengan
kehidupan sendiri untuk mencari konsep serta idea penghasilan karya.

9. Kecerdasan Emosi

Perbincangan tentang nilai dan pengajaran dalam karya, perbahasan isu-isu dalam karya yang
perlu diselesaikan, main peranan sepeti watak-watak yang boleh menjadi model atau
menimbulkan aspek positif pelaku, improvisasi seperti mengisahkan klimaks dalam drama dan
memberi penjelasan mengapakah penelesaiannya harus begitu, tetamu dalam aksi seperti
menjemput pengarang untuk membicarakan moral dan pemikiran dalam karya, dan monodrama
atau monolog seperti menghayati watak dalam karya serta merasai perasaan dan aspek
kerohanian watak dalam karya.

Teknik Pengajaran

Bahan sastera seharusnya diajar menggunakan teknik pengajaran yang dapat mengekalkan
keperluan corak dan struktur sastera. Unsur-unsur hiburan dan keseronokan harus dikekalkan di
samping teknik yang digunakan tetap berperanan memperkayakan pengetahuan dan kemahiran
yang perlu dikuasai oleh pelajar.

Di antara teknik pengajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah ialah :

1. Respons pembaca

Respons membaca melibatkan sebarang tingkah laku yang dapat dilihat daripada aktiviti
membaca. Respons pembaca terhadap bahan sastera dapat dinyatakan dalam pelbagai bentuk :
penulisan jurnal, buku laporan, ulasan lisan, persembahan dramatik, lukisan, dan sebagainya.
Tujuan respons pembaca ialah pelajar dapat memberi reaksi terhadap teks yang dibaca.

2. Mestamu

Mestamu bermaksud melagukan puisi tanpa muzik. Biasanya dilakukan secara berpasangan,
seorang mendeklamasi puisi manakala pasangannya akan melagukan puisi. Manakala jika
dilakukan secara perseorangan, orang yang sama akan mendeklamasikan sajak dan melagukan
puisi.

3. Puisidra

Puisi yang didaramakan atau dilakonkan. Seorang pelajar akan mendeklamasikan puisi manakala
sekumpulan pelajar akan melakonkannya. Pergerakan pelakon adalah selaras dengan ungkapan
puisi berkenaan.

4. Teater Bercerita

Satu bentuk drama naratif bercorak cerita. Seorang pelajar akan membacakan cerita manakala
pelajar yang lain akan melakonkannya. Ia boleh melibatkan ramai pelakon. Lakonan pula dibuat
secara spontan. Pencerita akan menyampaikan cerita dan pelakon beraksi mengikut watak dalam
cerita berkenaan.

5. Improvisasi

Lakonan secara spontan yang mengisahkan kejadian, peristiwa, atau situasi sebenar dalam
kehidupan seharian. Aktiviti dijalankan dalam kumpulan kecil iaitu antara dua hingga lima
orang.

6. Kerusi Panas

Pelajar diberi satu peranan berdasarkan skrip atau improvisasi. Pelajar akan cuba berimaginasi
tentang gaya atau aksi watak tersebut dalam semua aspek seperti cara bercakap, cara berjalan,
pemikiran dan seumpamanya. Pelajar hendaklah mengkaji latar belakang watak dari aspek umur,
gambaran fizikal, dan bagaimana watak itu bertindak. Aspek penting yang diberi perhatian
adalah aspek watak. Pelajar-pelajar lain boleh bertanya soalan berkaitan dengan teks kepada
pelakon tersebut yang duduk di atas kerusi di hadapan kelas.

7. Adaptasi Genre

Pelajar memilih mana-mana teks sama ada cerpen, novel atau drama. Teks tersebut diolah semula
ke dalam bentuk teks lain yang berbeza genrenya. Misalnya sebuah teks cerpen dipindahkan
menjadi sebuah drama atau sebuah syair.

8. Teknik Penfasiran Grafik


Memindahkan teks sastera seperti sajak ke dalam bentuk bahan grafik sama ada lukisan,
fotografi, lakaran, carta, graf, dan sebagainya.

9. Monodrama

Satu teknik lakonan yang dilakonkan oleh seorang pelakon. Pelakon perlu menghayati satu
watak yang dipilih dari teks yang dibaca. Pelakon akan berlakon secara perseorangan meluahkan
rasa hati, dan emosi watak agar ia dapat menjelaskan peranan dan tindakan watak. Pelajar akan
menilai perwatakan pelakon dan perwatakan watak lain berdasarkan lakonan tersebut.

Berdasarkan perbincangan di atas dapatlah dirumuskan pengajaran dan pembelajaran bahan


sastera sebagai berikut :

1. Penggunaan teknik pengajaran yang sesuai dengan bahan sastera. Kepelbagaian teknik
pengajaran akan memberi peluang kepada pelajar meneroka bahan sastera melalui pengalaman
yang berbeza-beza. Pelajar lebih gemar kepada proses pengajaran dan pembelajaran berlaku
secara tidak formal dan banyak melibatkan pelajar secara aktif.

2. Guru perlu menguasai kemahiran sastera. Guru perlu menjadi model kepada pelajar. Guru
dapat menguasai pelbagai aspek sastera seperti mendeklamasi, berlakon, bersyair, berseloka,
berpantun, beraksi dan sebagainya. Guru menjadi penyubur kepada bahan sastera dalam bilik
darjah. Sentuhan emas guru menjadikan bahan sastera berkembang dan semerbak dalam bilik
darjah

3. Sesuatu pengajaran perlu perancangan yang teliti. Perancangan ini melibatkan masa,
penggunaan bahan, fokus pembelajaran, dan sebagainya. Perancangan yang dilakukan
membolehkan guru merangka aktiviti yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran pelajar.
Keutamaan perancangan guru adalah bagaimana untuk melibatkan pelajar secara berkumpulan
atau individu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

4. Penggunaan bahan bantu belajar yang menarik. Bahan bantu mengajar terdiri daripada peta
minda, lakaran grafik, video, fotografi, keratan akhbar, majalah, cd, vcd, dvd dan sebagainya.
Bahan-bahan ini hendaklah dirancang dengan teliti pengunaannya agar ia dapat memanfaatkan
pengajaran guru. Bahan-bahan yang dicipta secara kreatif oleh pelajar sesuai digunakan dan akan
menyeronokkan mereka.

5. Aktiviti dalam bilik darjah berfokuskan pelajar. Guru memberi peluang kepada pelajar untuk
terlibat aktif dalam aktiviti yang dirancang. Guru bertindak sebagai fasilitator manakala pelajar
akan menggunakan segala kemahiran berbahasa dalam aktiviti yang dilakukan.

8.0. Faktor penentu kejayaan nasional


Keperluan akhir dalam mencorakkan kejayaan adalah keupayaan guru untuk menguasai
pendekatan dan teknik pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan pelajar. Pelajar hari ini
tidak menerima apa sahaja yang guru berikan malah mereka lebih berminat untuk mempelajari
sesuatu yang menarik, menyeronokkan, dan melibatkan mereka secara aktif. Guru perlu bersedia
untuk menajamkan kemahiran dan pengetahuan yang seiringan dengan keperluan dan tuntutan
pendidikan masa kini. Guru-guru perlu menyertai seminar, bengkel, kolokium, dan sebagainya
yang boleh mempertajamkan ilmu mereka tentang bahasa dan sastera. Guru perlu bersikap
positif terhadap kemunculan bahan sastera dalam pengajaran serta menerimanya dengan cukup
profesional tentang pembaharuan dan inovasi yang perkenalkan.

Alaf baru memerlukan pemikiran, sikap, dan pandangan baru seorang guru. Bergeraklah ke
dalam dunia sastera dengan penuh minat, kesedaran, dan rasa tanggungjawab. Tajamkanlah
kefahaman dan kebolehan guru terhadap sastera. Jika guru berbakat menulis dan berkaryalah
kerana ia memberi kematangan ilmu terhadap guru-guru. Kajian dan penyelidikan sesama rakan
seperjuangan boleh memanfaatkan banyak pihak sama ada guru, pelajar dan sekolah. Amalan
pengajaran kolaboratif, kerja berpasukan, kajian tindakan, dan sebagainya boleh membina
pengukuhan ilmu dan penemuan terhadap idea baru yang membantu guru-guru.

Sudah sampai masanya guru mendeklamasi sajak di khalayak, mementaskan teater, dan
menyanyikan lagu puisi. Hadirlah ke majlis-majlis sastera seperti seminar, baca puisi dan
sebagainya kerana ia membawa manfaat besar terhadap guru. Guru perlu menonton teater,
bersemuka dengan pelakonnya atau membawa bersama-sama pelajar menonton, kerana ia
memberi dimensi baru guru dan pelajar terhadap dunia sastera. Undanglah sasterawan dan
penulis ke sekolah atau bilik darjah kerana kehadiran mereka membina ufuk baru terhadap
pelajar.

Kehadiran bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu akan membuka
lembaran baru kepada guru dan pelajar. Iklim pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih
bermakna, menyeronokkan, dan menggembirakan. Ada hilai tawa dan kecindan. Ada muzik dan
suara bergandingan.

Bahasa dan sastera menjadi irama dan lagu yang semakin indah dan sukar dipisahkan lagi.

Penutup

Sulamlah kain sastera berbenang bahasa


pakailah ke taman ilmu ke kolam pujangga
serikanlah taman dengan muzik sastera dan suara bahasa
dendangkanlah puisi sabda bahasa lidah sastera
di kolam sastera ada cermin budaya ada citra bahasa
sulamlah kain sastera berbenang bahasa
hiasan anak muda di bangku ilmu
gemerlap sutera bahasa serinya cahaya sastera
membiak nusa membina negara
BIBLIOGRAFI

Ali Ahmad (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Awang Sariyan (2003). ”Isu-Isu Asas Penggunaan Bahan Sastera Dalam Pengajaran Bahasa”.
Dewan Bahasa. Jil 3 Bil 4 : 7 – 11

Abdul Hamid Mahmood dan Ab Rahman Ab Rashid (2002). Teknik Pengajaran Sastera Dalam
Bahasa Melayu. Dewan Bahasa. Jilid 2 Bil 6 : 12 – 17.

Gardener, H (1993). Frames of Mind:The Theory of Multiple Intelligences. (2nd edition)


London: Fontana

Gutiérrez, Kris (2000) . “Teaching and Learning in the 21st Century”. English Journal. 7 : 290 –
298

Geertz, Clifford. (1973). The interpretation of cultures, Basic Books, New York.

Hashim Awang. (1985). Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn Bhd.

Mana Sikana (2001). ”Pengajaran Drama Sebagai Peneguhan Bahasa Melayu”. Dewan Bahasa.
Jil 1 Bil 9 : 7 -13.

Muhammad Haji Salleh (2004). “Sastera Di Ambang Globalisasi” Dlm. Ilmu Kesusasteraan
Abad Ke 21. Jelani Harun (ed). Pulau Pinang : Penerbit Universiti Sains Malaysia

Mohd Taib Osman (1977). Pengajaran Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Marohaini Yusoff. (2001). ”Landasan Pengajaran Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu”.
Dewan Bahasa. Jil 1 Bil 6 : 20 – 26.

Modul Pengajaran dan Pembelajaran KOMSAS Tingkatan 4 dan 5. (2004). Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Meek Spencer, Margaret. (2001). Children’s literature and national identity, Trentham Books,
Stoke on Trent.

Nafii Mat (2006). “Keperluan Teks Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu”. Dewan Bahasa.
Jilid 6 Bil 9. : 44 – 47.

Nik Safiah Karim. (2004). ”Bahasa Melayu Bahasa Tamadun Moden”. Dewan Bahasa. Jil 4 Bil
1. : 10 – 15.

Noriah Taslim. (1996). ”Menggarapi Dunia Faedah dan Keilmuan Sastera Melalui Penstrukturan
Kurikulum dan Pemantapan Kaedah Pengajaran”. Dlm. Pengajaran Sastera. Othman Puteh
(Peny.). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (1994). Buku Panduan Guru Kesusasteraan Melayu Tingkatan
IV dan V . Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.

Sandra Burchsted. Prospectiva. http://www.prospectiva.net

LAMPIRAN 1

Keindahan Yang Hilang


(Shamsuddin Jaafar)