Anda di halaman 1dari 22

ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME

ASPIRASI LIBERALISME,
NASIONALISME DAN SOSIALISME
DALAM MENGINTERPRETASI
REVOLUSI 1848 DI JERMAN

Low Choo Chin

Abstract
This article examines the origins of the 1848 Revolution using Germany as a case study.
It aims to analyze the existing interpretations explaining the outbreak of the March
Revolution: liberalism, nationalism, and socialism. The call to reform the political order,
the aspiration to unify the various German states, and the desire to rectify the growing
socioeconomic discontent, explained the factors of the revolution. This article argues that
the events of 1848 were the “revolution of the masses” rather than a bourgeois revolution.
The masses, comprising the artisan, peasants, and the working class, were only ready
to identify themselves with the ideological struggles of the bourgeois as long as their
socioeconomic ills were resolved. While the bourgeoisie provided intellectual leadership,
the people were the main revolutionary forces. The revolution gained momentum with
the active participation of the masses and the premature revolution collapsed when the
masses failed to come to the support of the bourgeoisie in anti-revolution campaigns
launched by the monarchy. This article suggests that it was oppression rather than
ideology, which gave decisive impetus to the 1848 movement.

Pengenalan
Revolusi 1848 merupakan suatu pergerakan mencabar susunan politik
dan sosial yang melanda seluruh benua Eropah. Seperti negara-negara
2 JURNAL SEJARAH

Eropah yang lain, Jerman berkongsi pengalaman revolusi yang


serupa. Satu persamaan antara semua revolusi 1848 di Eropah adalah
pergerakan tersebut merupakan “pergerakan perlembagaan.” Terdapat
tuntutan perlembagaan yang hampir sama oleh kelas pertengahan
untuk satu sistem baru berdasarkan satu perlembagaan bertulis yang
akan memberi lebih banyak hak sivil dan politik. Selain itu, gerakan
revolusi di seluruh Eropah dipengaruhi oleh ideologi nasionalisme.
Di Jerman, pergerakan nasionalisme menuntut pembentukan sebuah
parlimen Jerman pada peringkat kebangsaan dan penyatuan negeri-
negeri Jerman dalam satu negara bangsa. Satu lagi ciri persamaan
dalam revolusi 1848 adalah kewujudan krisis sosioekonomi di benua
Eropah yang diakibatkan oleh pertambahan penduduk, perindustrian
dan kemiskinan. Rusuhan tempatan akibat kebuluran merebak luas di
seluruh Eropah dan pada masa sama berlaku imigrasi besar-besaran.
Sejarawan masih belum mencapai kata sepakat mengenai faktor
penggerak utama di sebalik revolusi 1848 di Jerman sama ada seruan
liberalisme, cita-cita nasionalisme dan keinginan mengatasi masalah
sosioekonomi. Dalam menjelaskan faktor revolusi yang lebih dominan,
adalah perlu menentukan sama ada gerakan itu suatu gerakan kelas
bawahan atau kelas pertengahan. Golongan kelas bawahan dilihat
memainkan peranan yang lebih dominan berbanding kelas pertengahan.
Oleh itu, faktor sosioekonomi yang menggerakkan penglibatan kelas
bawahan dilihat sebagai punca revolusi. Selain mengenal pasti faktor
revolusi, terdapat juga cabaran-cabaran yang dihadapi oleh gerakan
revolusi dalam merealisasikan matlamat pembaharuan perlembagaan
dan penyatuan Jerman. Kedua-dua matlamat tersebut tidak berjaya
dicapai apabila Revolusi Mac di Jerman, sepertimana revolusi 1848
di negara Eropah lain berjaya ditumpaskan oleh kerajaan monarki
pada Julai 1849. Walaupun jangka masa gerakan revolusi hanya satu
setengah tahun, kepentingan revolusi dalam sejarah pendemokrasian
dan nasionalisme Jerman tidak boleh diabaikan.

Definisi Revolusi 1848


Kesedaran politik rakyat meningkat secara mendadak dan pergerakan
rakyat menjadi popular berikutan kombinasi tuntutan untuk demokrasi,
pergerakan nasionalis dan konflik sosioekonomi.1 Dalam menjelaskan
faktor revolusi yang lebih dominan, adalah perlu menentukan sama
ada gerakan itu suatu gerakan politik, sosioekonomi atau ideologi.
Umumnya, terdapat empat aliran pemikiran mengenai revolusi
Jerman 1848 iaitu konservatif, liberal, radikal dan sosialis. Bagi
golongan konservatif, mereka berpuas hati dengan keadaan di Jerman
sebelum tercetusnya revolusi 18 Mac 1848. Golongan konservatif ini
ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME 3

tidak berpendapat terdapatnya justifikasi untuk mengubah keadaan


semasa ataupun menganjurkan pemberontakan. Mereka menyalahkan
golongan intelektual yang mengambil kesempatan atas krisis ekonomi
untuk memperdaya rakyat yang selama ini setia kepada pemerintah
tempatan. Bagi golongan liberal pula, terdapat kekurangan pada sistem
sedia ada dan masanya telah sampai untuk suatu gerakan reformasi.
Golongan ini cuba mencari satu kompromi antara mengekalkan
autoriti lama dan memenuhi tuntutan revolusi. Kegagalan revolusi
menunjukkan bahawa golongan monarki tidak akan berkompromi
untuk memberi konsesi pembaharuan liberal. Namun begitu, kegagalan
revolusi tidaklah bererti bahawa keperluan untuk pembaharuan liberal
tidak wujud tetapi keperluan tersebut ditundakan. 2
Aliran pemikiran yang ketiga iaitu radikalisme. Golongan
radikal berpendapat revolusi 1848 adalah percubaan sah oleh rakyat
untuk menghapuskan susun lapis masyarakat yang menindas dan
menggantikannya dengan sebuah republik yang demokratik. Mereka
ingin melihat semua rakyat Jerman mengambil bahagian dalam
menentukan hala tuju kerajaan. Golongan ini mempersalahkan pihak
borjuis atas kegagalan revolusi. Pihak borjuis yang telah menerajui
kepimpinan awal revolusi menentang autoriti lama telah membuat
janji kosong untuk pembaharuan dan menyebelahi raja dalam gerakan
anti-revolusi. Kumpulan sosialis sungguhpun bersetuju dengan
analisis golongan radikal, berpendapat pandangan radikalisme adalah
terhad. Bagi sosialis, revolusi yang sebenar mestilah menjangkaui
satu kekacauan politik dan mestilah merupakan satu tindak balas
kepada masalah sosial yang diakibatkan oleh perindustrian. Revolusi
bukan sahaja bertujuan menggulingkan sistem politik lama tetapi juga
memperbaharui sistem pembahagian ekonomi yang sedia wujud.3
Menurut Rudolph Stadelmann, teori yang menerangkan asal
usul revolusi sebagai suatu pergerakan menuntut perubahan dalam
sistem pentadbiran lama adalah terlalu “simplistic.” Sekiranya revolusi
disebabkan oleh penentangan rakyat terhadap pemerintahan autokratik
kerajaan dan sekatan kebebasan rakyat, mengapa revolusi tidak tercetus
pada lebih awal? Fenomena ketidakpuasan rakyat telahpun wujud
sejak awal lagi sebelum 1848. Oleh itu, kelemahan sistem kerajaan tidak
boleh dipersalahkan sebagai punca utama revolusi. Stadelmann juga
mengkritik teori revolusi yang melihat faktor ekonomi atau kemiskinan
sebagai faktor penggerak revolusi. Walaupun teori kedua ini mengambil
kira faktor kemunculan kelas sosial baru dan melihat revolusi sebagai
pergerakan massa, faktor ekonomi semata-mata tidak memadai untuk
pencetusan revolusi. Menurut Stadelmann, teori ini juga mempunyai
kelemahan kerana tidak mengambil kira faktor psikologi. Pengaruh
ideologi, menurut beliau, menghasilkan impak yang lebih tinggi untuk
4 JURNAL SEJARAH

sebarang tindakan berbanding dengan ketidakpuasan terhadap keadaan


semasa.4
Berdasarkan faktor psikologi ini, kesedaran penderitaan, perasaan
untuk keperluan pembaharuan bermula dengan penyebaran idea. Idea
subversif atau radikal menjadi ketara apabila muncul kelas baru yang
mencabar pemerintahan lama.

The path to the revolution is formed not by the strongest arms not by
the most extreme poverty, but rather among subtilized thought and
philosophical programs...The ever-present economic and social needs seem
then to be no more than the humus in which the seeds of ideas can develop
with a prospect of success among the masses...5

Sejarawan lain turut mengkritik pendekatan politik dalam


menjelaskan revolusi 1848. Theodore S. Hamerow menegaskan
bahawa peristiwa 1848 berakar umbi pada keadaan material misalnya
kemerosotan taraf hidup terutamanya golongan artisan dan krisis
ekonomi. Tumpuan khusus kepada perjuangan politik seperti aspek
perlembagaan dan penyatuan negara bangsa Jerman oleh golongan
kelas pertengahan mengetepikan pendekatan sosioekonomi yang
menjadikan ‘rakyat jelata matang untuk revolusi.’6 Revolusi Jerman
memperlihatkan perjuangan dari dua aspek iaitu politik dan sosial. Dari
aspek politik, terdapat tuntutan pembaharuan liberal dan penglibatan
rakyat dalam kerajaan. Tuntutan politik ini berserta dengan tuntutan
untuk pembaharuan sistem sosial Jerman. Dalam situasi ini, golongan
profesional dan kelas pertengahan bekerjasama dengan golongan petani
dan artisan untuk mencapai kedua-dua objektif tersebut. Kebanyakan
penyelidik Jerman berpendapat situasi sosial adalah lebih menonjol
kerana revolusi hanya bermula dengan adanya kehadiran golongan
petani, artisan dan pekerja. Golongan bawahan ini merupakan pejuang
utama di benteng-benteng pertahanan menentang tentera diraja.7
Jika golongan bawahan merupakan pusat tenaga revolusi, maka
wajarlah faktor sosioekonomi dikatakan memainkan peranan yang
lebih berpengaruh. Dalam menjawab persoalan sama ada faktor
politik atau sosial yang lebih menonjol dalam kes di Jerman, adalah
perlu untuk melihat peranan golongan bawahan dan golongan kelas
pertengahan (intelektual). Adakah revolusi Jerman 1848 suatu revolusi
kelas pertengahan atau revolusi kelas bawahan?

Revolusi Artisan Atau Revolusi Intelektual


Revolusi 1848 dilabelkan sebagai revolusi dari bawah yang digerakkan
oleh kelas bawahan. Jika diteliti komposisi keahlian yang terlibat
ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME 5

peringkat awal revolusi, sebenarnya dua pertiga yang terlibat adalah


golongan bawahan masyarakat yang dipengaruhi secara langsung
oleh krisis sosioekonomi seperti petani, buruh, pedagang, pekerja
kilang dan pekerja pembinaan. Ini jelas terbukti dengan berlakunya
rusuhan di kilang dan tapak pembinaan jalan.8 Antara pelbagai lapisan
golongan bawahan, artisan adalah kumpulan pejuang yang bersifat
lebih radikal disebabkan kedudukan sosioekonomi yang tergugat hasil
daripada perkembangan kilang, perdagangan bebas dan persaingan
dalam kalangan mereka. Artisan mengalami kepayahan yang lebih
berbanding pekerja kilang dan keperitan itu menyebabkan mereka
terlibat secara aktif. Maka tidak hairanlah sekirannya kumpulan ini yang
mendemontrasi, merusuh, menggugat pemilik kilang, memusnahkan
kilang. Malahan golongan artisan yang mengorganisasikan revolusi dan
lebih menyokong revolusi dan bukannya kelas pertengahan. Dengan
erti kata lain, mereka adalah pembekal angkatan revolusi.9
Peranan golongan intektual adalah lebih kepada sumbangan
kepimpinan. Revolusi 1848 tercetus dalam kalangan dua golongan
sosial iaitu kelas bawahan (majoritinya artisan) dan kelas pertengahan
(majoritinya intelektual). Kedua-dua golongan ini bekerjasama
dengan kumpulan artisan membekalkan tenaga askar dan intelektual
memimpin perjuangan itu. Kepimpinan golongan intelektual terbukti
pada peringkat kebangsaan (seperti parlimen) dan peringkat negeri.10
Jika kumpulan artisan merusuh kerana faktor kemiskinan, kumpulan
intelektual pula merusuh kerana kekurangan status. Ketidakpuasan
golongan berpendidikan tinggi ini berpunca daripada ketiadaan mobiliti
sosial dalam masyarakat Jerman. Sistem pendidikan Jerman pula telah
menghasilkan jumlah siswazah yang berlebihan menjauhi pasaran kerja.
Ini menjelaskan sebab penglibatan tenaga buruh berpendidikan dalam
revolusi. Daripada jumlah 586 ahli parlimen Franfurt, 479 merupakan
birokrat, profesor, pegawai kehakiman, peguam, pemilik tanah dan
peniaga. Daripada penglibatan intektual dalam peringkat kebangsaan,
revolusi 1848 digambarkan sebagai “the revolution of the intellectuals.”11
Namun begitu, revolusi tidak mungkin mencapai kuasa yang
dinamik tanpa penglibatan kelas bawahan. Tanpa mereka, pergerakan
revolusi akan kekal di bawah pemimpin tanpa tentera atau penyokong.
Bersama-sama dengan kelas pekerja, petani dan artisan membentuk
kebanyakan tenaga pejuang di benteng-benteng pertahanan. 12
Kebangkitan golongan pekerja kilang dan artisan dalam revolusi
dikaitkan dengan persoalan sosial iaitu kesusahan hidup mereka.
Persoalan sosial ini disebabkan oleh isu-isu yang kompleks seperti
keadaan kerja di kilang, masalah perumahan, pembubaran kumpulan
sekerja, dan pengenalan ekonomi kapitalis berdasarkan persaingan.
Namun begitu, isu utama adalah kemiskinan (pauperization) dalam
6 JURNAL SEJARAH

kalangan susun lapis sosial yang rendah. Kemiskinan yang dialami pada
1840-an adalah amat berbeza dengan yang dialami sebelum ini kerana
krisis kemiskinan ini adalah satu fenomena menyeluruh yang melanda
penduduk secara kolektif dan berterusan. Pertambahan populasi
terutamanya di luar bandar merupakan sebab utama kemiskinan.
Buktinya ialah peningkatan penduduk sebanyak 56 peratus dalam
jangka masa 1816-46 daripada 10.3 juta kepada 15.9 juta di kawasan
luar bandar Prussia.13
Kesannya nyata apabila peningkatan penduduk tidak diimbangi
dengan bekalan makanan dan peningkatan harga barangan semakin
serius. Peningkatan dalam tenaga buruh juga tidak dapat diimbangi
dengan permintaan untuk produk pembuatan apabila ekonomi Eropah
menjadi lembap. Dalam tempoh masa yang sama di Prusia, bilangan
artisan meningkat 70 peratus dan perantis artisan meningkat 156
peratus. Maka tidak hairan sekiranya taraf kehidupan rakyat semakin
merosot. Bekalan makanan masih berkurangan akibat daripada
bencana alam, hasil tuaian yang sedikit, epidemik lembu, dan penyakit
tanaman. Pada 1846 misalnya, kegagalan tuaian menyebabkan harga
makanan meningkat dua kali ganda dan diikuti dengan penyakit yang
melanda tanaman kentang tanaman kentang telah mempengaruhi
banyak wilayah yang bergantung pada tanaman ini. Peningkatan harga
seterusnya diikuti oleh rusuhan-rusuhan makanan. Dalam jangka masa
April sehingga Mei 1847, berlaku 158 rusuhan makanan.Selain itu,
perarakan, serangan ke atas kedai-kedai dan sekatan jalan raya menjadi
fenomena yang biasa.14
Hamerov berpendapat rusuhan disebabkan oleh faktor kebuluran
lebih daripada faktor ideologi. Kebuluran adalah realiti yang dihadapi
oleh rakyat jelata dan faktor ini dilihat lebih berpotensi untuk
memobilisasikan rakyat jelata. Orang ramai melancarkan rusuhan-
rusuhan secara berasingan untuk taraf hidup yang lebih terjamin.
Rusuhan pekerja keretapi di Brandenburg menentang pengurangan
gaji pada 1846, rusuhan pekerja kain di Saxony untuk menghapuskan
mesin, pertempuran antara rakyat dan tentera di Leipzig pada 1845 dan
kemudiannya di Bavaria dan Brunswick, Stuttgart dan Württemberg.
Menjelang 1847, rusuhan dan pertempuran di antara orang ramai
dengan tentera menjadi perkara biasa serta rusuhan-rusuhan kebuluran
meletus hampir di setiap negeri Jerman.15
Krisis ini menonjolkan semua masalah yang telahpun melanda
masyarakat Jerman sejak 1800 dan membawa kepada kerjasama
antara proletariat (kelas pekerja) dengan borjuis (kelas pertengahan)
untuk menggulingkan rejim lama. Ramai petani terpaksa berhijrah ke
bandar, yang kemudiannya menjadi penggangur dan mewujudkan
bekalan buruh yang berlebihan. Perlu diketahui bahawa krisis ini
ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME 7

bukan sahaja menjejaskan penduduk luar bandar malahan penduduk


bandar. Hamerov bersetuju bahawa golongan artisan yang paling
serius dipengaruhi oleh krisis itu. Beribu-ribu artisan di bandar
dihentikan kerja selepas 1845 apabila majikan mereka cuba mengelakkan
kebankrapan. Kebanyakan buruh mahir terpaksa mencari kerja lain
yang tidak sepadan dengan kemahiran mereka (dengan gaji yang lebih
rendah). Sungguhpun pekerja kilang terpaksa berhadapan dengan masa
kerja yang panjang dan gaji yang berkurangan, mereka masih mampu
menghadapi krisis itu. Permintaan untuk pekerja kilang lebih stabil
dan gajinya lebih tinggi daripada buruh tidak mahir. Tidak hairanlah
jikalau artisan yang merupakan angkatan revolusi. Bagi golongan
penduduk bandar yang lain, keadaan adalah amat membimbangkan
dengan peningkatan golongan yang bergantung pada bantuan kerajaan,
penurunan kadar isi rumah yang layak dicukai, peningkatan bilangan
pengemis, kadar jenayah dan penghijrahan.16
Theodore S. Hamerov mengambarkan zaman krisis ekonomi pada
1840-an sebagai the hungry forties. Kemelesetan ini telah menyatukan
pelbagai kumpulan sosioekonomi tanpa mengira perbezaan latar
belakang untuk membentuk satu kuasa politik. Krisis ini mencapai
kemuncaknya menjelang Revolusi Mac 1848. Penglibatan kelas bawahan
sebenarnya memberikan kelebihan kepada perjuangan perlembagaan
kelas pertengahan, yakni lebih sokongan dan tenaga manusia yang
sedia menggunakan kekerasan untuk menggulingkan rejim lama. Krisis
ekonomi menyediakan asas revolusi dengan menyediakan sokongan
rakyat dan membolehkan kelas pertengahan mengambil arah yang lebih
radikal.17
Di Eropah, golongan aristokrat kehilangan pengaruh politik dan
revolusi meletakkan kelas pertengahan sebagai pemimpin yang mampu
merealisasikan idea kerajaan berperlembagaan. Borjuis hanya boleh
berjaya dengan wujudnya ketidakpuasan proletariat. Daripada 89
orang yang terbunuh dalam Revolusi Mac, 74 orang merupakan artisan.
Revolusi bukannya semata-mata politik tetapi berasaskan situasi sosial.18

Kegagalan Tuntutan Perlembagaan Sebelum 1848


Sokongan kelas bawahan memberi momentum baru kepada perjuangan
perlembagaan golongan borjuis yang selama ini tidak diiktiraf oleh raja.
Nampaknya golongan liberal di parlimen-parlimen negeri bersedia
untuk menerajui kepimpinan mencabar autoriti dan mentransfomasikan
rusuhan berasingan kepada satu revolusi yang menyeluruh. Akhbar
liberal mengkritik peraturan penapisan akhbar secara terbuka dan ahli
parlimen negeri mengkritik pentadbiran Konfederasi Jerman. Di negeri
Baden, bahagian selatan Jerman, pemimpin yang radikal berkumpul
8 JURNAL SEJARAH

pada 12 September 1847 untuk mengesahkan program mereka. Kerajaan


negeri Baden dituntut supaya memaktubkan perkara-perkara seperti
kebebasan bersuara, akhbar dan perhimpunan, pengiktirafan parlimen
Konfederasi sebagai badan tunggal yang mewakili Jerman, pengenalan
perundangan cukai dan ekonomi yang menjamin kepentingan rakyat,
dan penghapusan hak istimewa golongan feudal.19
Nasib yang sama turut menimpa bahagian utara Jerman, iaitu
negeri Prusia. Krisis ekonomi menyebabkan Raja Frederick William
IV terpaksa memanggil satu perhimpunan perundangan kebangsaan
(United Diet).20 Kewangan Prusia mengalami defisit dan Undang-
undang 1820 mewajibkan supaya sebarang peningkatan cukai ataupun
pinjaman baru perlu mendapat kelulusan perwakilan rakyat. Apabila
Majlis Perwakilan (daripada jawatankuasa lapan wilayah Prusia)
bersidang, wakil-wakil parlimen menolak permintaan William IV
untuk kelulusan pinjaman. Sebaliknya, mereka mengharapkan William
IV mengotakan janji untuk sebuah perlembagaan perwakilan yang
dijanjikan oleh ayah baginda pada 1813 dan 1815. Mereka menuntut
pembaharuan politik, perlembagaan bertulis, kebebasan akhbar dan
sistem juri dalam perbicaraan. Namun, William IV tidak berminat
dalam kerajaan berperlembagaan. Bukan sahaja golongan borjuis yang
menyuarakan penentangan terhadap pemerintahan mutlak dan sistem
feudal, tetapi kaum petani dan bangsawan turut terlibat. Matlamat Raja
Prussia memanggil persidangan itu tidak tercapai malahan baginda
menyatukan kuasa-kuasa penentangan. 21
Pada 1847, William IV sekali lagi memanggil wakil-wakil Parlimen
wilayah ke Berlin untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam
meluluskan pinjaman dan peningkatan cukai. Harapan golongan
liberal hancur apabila Raja Prussia dalam ucapan pembukaan parlimen
Prusia pada 11 April 1847, mengisytiharkan bahawa baginda tidak akan
meluluskan satu perlembagaan baru seperti dalam kenyataannya iaitu,
Never will I permit a written sheet of paper to come between our God in heaven
and this land, as if it were a second Providence, to rule us with its paragraphs
and supplant the old sacred loyalty.22
Pengisytiharan tersebut bererti tuntutan golongan liberal tidak
diiktiraf, tuntutan untuk mesyuarat berpenggal parlimen tidak
diendahkan, hak parlimen dalam pembentukan undang-undang baru
dinafikan dan penjaminan status parlimen dalam satu perlembagaan
bertulis ditolak. Kegagalan mendapatkan konsesi daripada raja dan
pengalaman dalam kerajaan perwakilan menyebabkan wakil-wakil
enggan meluluskan belanjawan. Apabila parlimen Prusia peringkat
kebangsaan sekali lagi enggan meluluskan rang undang-undang
pinjaman kerajaan, raja Prusia membubarkan persidangan itu pada 26
Jun 1847. Perdebatan antara raja dan kelas pertengahan di istana Berlin
ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME 9

tamat dan Prusia kembali kepada zaman pemerintahan beraja mutlak.


Selepas kegagalan pembaharuan dalam parlimen, isu perlembagaan
masih diperdebatkan dalam kalangan rakyat biasa dan mendapat
liputan luas akhbar. Peluang untuk kompromi tuntutan perlembagaan
lenyap dan revolusi merupakan satu-satunya cara penyelesaian masalah
negara.23

Revolusi Mac: Realisasi Tuntutan Liberalisme


Raja Prusia akhirnya bersetuju memberi sedikit konsesi berikutan
daripada kejatuhan kerajaan beraja Louis Philippe, di negara jiran
Perancis. Berita pengiystiharan Republik Perancis menyebabkan raja
Prusia berjanji pada 14 Mac untuk memanggil semula persidangan
‘United Diet’, yang dibubarkan setahun yang lalu. Pada 18 Mac, William
IV mengisytiharkan persetujuan baginda untuk kerajaan perlembagaan
dan menjanjikan pembaharuan politik Prussia. Namun kompromi
tersebut sudah terlambat. Revolusi telahpun tercetus pada hari yang
sama. Perkumpulan damai rakyat di hadapan istana diraja untuk
membincangkan Revolusi Februari di Paris tiba-tiba bertukar menjadi
revolusi berdarah berikutan serangan tentera ke atas khalayak ramai.
Rakyat awam bersemuka dengan tentera diraja dan pelepasan beberapa
das tembakan memulakan rusuhan berdarah. Raja Prusia akhirnya
tunduk pada kehendak pejuang revolusi dengan mengundurkan
angkatan tentera, memberi tabik hormat kepada rakyat yang terkorban,
mengampunkan banduan politik, menjanjikan kebebasan politik dan
bersumpah untuk merealisasikan penyatuan Jerman. 24
Revolusi tercetus secara spontan di luar rancangan golongan
kelas pertengahan. Dengan erti kata yang lain, suasana ataupun
asas revolusi telahpun wujud. Frederick Engels menggambarkan
kematangan Jerman untuk revolusi seperti berikut, “Germany was, in
the beginning of 1848, on the eve of a revolution, and this revolution was
sure to come, even had the French Revolution of Februari not hastened it.”25
Engels percaya revolusi-revolusi 1848 tidak dapat dibendung apabila
seluruh lapisan masyarakat mempunyai keinginan pembaharuan dan
perubahan sungguhpun keinginan itu tidak sama.

That the sudden movements of February and March 1848, were not the
work of single individuals, but spontaneous, irresistable manifestations of
national wants and necessities, more or less clearly understood, but very
distinctly felt by numerous classes in every country, is a fact recognized
everywhere...26

Di seluruh Jerman, berita kejatuhan Louis Philippe daripada


takhta kerajaannya, menggemparkan raja-raja Jerman yang sekarang
10 JURNAL SEJARAH

mencari jalan menenteramkan arus revolusi. Keadaan huru hara seperti


pemberontakan petani di luar bandar dan rusuhan artisan di bandar
menyebabkan raja-raja cuba berdamai dengan golongan liberal. Apabila
rusuhan semakin menular, raja-raja telahpun bertindak melucutkan
menteri yang konservatif, mengisytiharkan janji perlembagaan dan
menyokong pergerakan liberalisme. Misalnya perletakan jawatan
Canselor Austria, Metternich dilihat sebagai percubaan menyelamatkan
pentadbiran diraja dan meredakan ketidakpuasan rakyat. 27
Pada peringkat golongan bawahan, rakyat biasa menyertai revolusi
secara spontan dan secara tiba-tiba berminat dengan isu politik. Seluruh
strata sosial masyarakat terlibat dalam protes sosial.Protes sosial inilah
yang menjadi penggerak sebenar di sebalik revolusi.28 Pergerakan
bawahan ini diikuti dengan perkembangan idea liberalisme berikutan
jaminan kebebasan akhbar. Selaras dengan itu, akhbar-akhbar tempatan
telah memberikan liputan yang meluas kepada politik kebangsaan dan
juga perkembangan Majlis Perhimpunan Frankfurt. Pendapat umum
berkembang dengan pesat di setiap wilayah dan penduduk bandar
menunjukkan kematangan politik mereka. Keadaan selepas Revolusi
18 Mac turut menyaksikan pembentukan parti-parti politik buat kali
pertama dalam sejarah Jerman. Pertubuhan politik tidaklah terhad
kepada parti parlimen ataupun parti kerajaan tetapi merangkumi
pelbagai spektrum politik seperti aliran konservatif, liberal, demokrat,
agama, dan persatuan pekerja. 29 Pada peringkat seterusnya, iaitu
revolusi pada peringkat badan perwakilan, pilihanraya dijalankan
di Frankfurt, Berlin, Vienna, Munich, Stuttgart, Oldenburg, Bremen,
Altenburg dan lain-lain. Perlembagaan yang lama dipinda dan elemen-
elemen demokratik diperkenalkan.30
Selepas golongan liberal mengukuhkan kuasa mereka hampir di
setiap negeri Jerman, langkah seterusnya ialah menyatukan golongan
liberal daripada 36 negeri Jerman untuk membentuk semula pentadbiran
Jerman. Hasilnya persidangan awal parlimen (satu mesyuarat tertutup)
diadakan pada 31 Mac di Gereja St. Paul, Frankfurt am Main untuk
menentukan hala tuju perlembagaan di Jerman. Wakil-wakil parlimen
perlu memutuskan sama ada masa depan sistem pemerintahan beraja
perlu diteruskan ataupun dikekalkan dalam sistem berperlembagaan.31
Apabila rusuhan telah diredakan, parlimen awal ini meneruskan
agenda mereka untuk pilihan raya Majlis Kebangsaan. Hak mengundi
diberikan kepada semua rakyat Jerman yang bebas yang mencapai umur
majoriti. Pada 18 Mac 1949, 330 perwakilan yang dipilih dari seluruh
Jerman bersidang di Gereja St. Paul dan bermulalah sesi Parlimen
Frankfurt untuk merealisasikan gagasan nasional seperti kebebasan
dan perpaduan.32
ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME 11

Parlimen Frankfurt dipertanggungjawab dengan tugas merangka


satu perlembagaan untuk seluruh Jerman. Perbincangan selama enam
bulan itu berakhir pada 28 Disember dengan pengisytiharan dokumen
Hak Asasi Rakyat Jerman (Fundamentals Rights of the German People).
Pencapaian revolusi ini menjadi kebanggaan kerana menjamin hak
persamaan di sisi undang-undang, kebebasan bersuara, beragama,
dan kebebasan badan kehakiman. Dokumen ini menjamin hak-hak
kerakyatan, menghapuskan perhambaaan yang masih kekal dan
mengekalkan badan perundangan berperwakilan. Selepas kejayaan
pertama ini, Parlimen Frankfurt meneruskan usaha merangka bahagian
perlembagaan yang selebihnya.33
Satu persoalan penting ialah struktur politik yang patut diguna
pakai oleh satu negara bangsa Jerman pada masa depan. Tidak dinafikan
bahawa wakil-wakil parlimen mempunyai pertikaian mengenai sistem
kerajaan kelak. Namun mereka mencapai kompromi atas sistem
persekutuan, (menggantikan sistem Konfederasi Jerman yang wujud
sejak 1815), demokrasi dan perlembagaan demi mencapai penyatuan
Jerman.34

Matlamat Revolusi: Antara Ideal Liberalisasi atau Nasionalisme


Dua persoalan sering ditimbulkan oleh sejarawan berkaitan dengan
matlamat akhir revolusi 1848 ialah liberalisme Jerman atau nasionalisme
Jerman. Di Jerman, matlamat liberalisme tidak begitu diterima umum.
Sebaliknya persoalan nasionalisme Jerman tidak pernah dipertikaikan
dalam sejarah historiografi Jerman. Sejarawan Jerman bersetuju
matlamat akhir ialah penyatuan 36 negeri Jerman dalam satu negara
bangsa. Parti-parti politik dalam Parlimen Frankfurt mencapai
kata sepakat atas objektif pembentukan negara bangsa.35 Matlamat
nasionalisme Jerman adalah lebih menonjol dalam revolusi 1848
berbanding dengan ideal liberalisme.
Aspirasi penyatuan nasional terbukti apabila perbincangan
perlembagaan menekankan idea pan-Jerman. Apabila Parlimen
Frankfurt membincangkan hak liberal rakyat Jerman, cita-cita yang
ingin dicapai oleh Parlimen Frankfurt jauh melebihi pemberian hak
liberal ataupun menggalakkan kerakyatan aktif semata-mata. Wakil-
wakil parlimen bercita-cita menghapuskan sekatan yang dihadapi oleh
rakyat di negeri-negeri Jerman yang lain. Dalam hal ini, mereka ingin
meluaskan hak individu seperti hak menetap dan memiliki hartanah
ke seluruh empayar Jerman yang bakal ditubuhkan.36
Selain itu, Parlimen Frankfurt ingin mewujudkan satu kesetiaan
yang menjangkaui kesetiaan kenegerian. Kesetiaan baru ini mestilah
diberikan kepada Empayar Jerman dan bukannya negeri individu.
12 JURNAL SEJARAH

Perkara yang pasti adalah wakil-wakil rakyat bersetuju dengan asas


kesetiaan baru, tidak kira objek kesetiaan asal mereka.37 Sungguhpun
Parlimen Frankfurt ingin menyatupadukan seluruh Jerman, mereka
tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai cara pelaksanaannya.
Situasi Jerman menunjukkan kekompleksan dalam merealisasikan
idea pembentukan satu negara bangsa. Berbanding dengan negara
Eropah yang lain, Jerman terdiri daripada pelbagai unit-unit politik
yang berdasarkan kesetiaan yang kuat kepada raja. Dua negeri Jerman
yang paling berpengaruh, Austria dan Prusia bersama-sama dengan
negeri-negeri Jerman lain, membentuk Konfederasi Jerman sejak 1815.
Austria bukanlah sebuah negeri Jerman secara ekslusif kerana terdapat
banyak wilayah jajahan Austria yang bukan Jerman.38
Menurut Hans Rothfels, adalah mengecewakan apabila Parlimen
Frankfurt tidak memberikan tumpuan menyelesaikan isu ini tetapi
memberikan perhatian untuk merangka satu perlembagaan hak asasi
manusia. Perlembagaan ini digambarkan sebagai ‘the interior decoration
of a house not yet existing.’ Segala usaha adalah sia-sia selagi isu utama
iaitu struktur negara Jerman tidak dapat diputuskan. Kekurangan ini
dilihat oleh Rothfels berpunca daripada keahlian akademik Parlimen
Frankfurt yang ‘lacking sense of reality.’ Parlimen kebangsaan Jerman
yang pertama ini digambarkan sebagai ‘parlimen profesor’ kerana
kebanyakan delegasinya adalah golongan berpendidikan tinggi iaitu
¾ adalah bekas pelajar universiti, termasuk guru besar sekolah dan
pensyarah universiti.39
Persaingan antara dua kuasa besar Jerman iaitu Austria dan Prusia
telah menyulitkan proses penyatuan Jerman. Proses ini bertambah
sukar apabila wakil-wakil parlimen terpaksa memilih antara dua kuasa
tersebut yang membawa kepada perpecahan pilihan antara penyatuan
Jerman kecil (kleindeutsch) dan Jerman besar (grossdeutsch). Penyokong
kleindeutsch mencadangkan supaya empayar Jerman baru hanyalah
merangkumi Prusia dan negeri-negeri Jerman yang kecil manakala
penyokong grossdeutsch dalam Parlimen Frankfurt ingin memasukkan
Austria dalam empayar Jerman. Pilihan antara kleindeutsch dan
grossdeutsch melibatkan masa depan empayar Habsburg. Apabila undian
dilaksanakan pada 1 Oktober 1848 untuk membubarkan Empayar
Habsburg dan memasukkan wilayah Austria yang berbangsa Jerman
dalam empayar Jerman, delegasi-delegasi Austria dalam parlimen
itu tidak dapat mencapai kata sepakat. Delegasi Austria bercanggah
pendapat antara setuju, tidak bersetuju dan tidak mengundi langsung.40
Mengetahui keadaan menemui jalan buntu, parlimen kemudiannya
merangka kompromi baru untuk cadangan grossdeutsch. Di bawah
cadangan baru, hanya wilayah-wilayah Jerman di bawah pengaruh
Austria yang akan disatukan dengan Jerman manakala wilayah-wilayah
ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME 13

bukan Jerman tidak akan menjadi sebahagian daripada empayar Jerman


tetapi ditadbir sebagai entiti yang berasingan oleh Austria. Cadangan ini
ditolak oleh Putera Schwarzenberg apabila beliau menjadi menteri luar
Austria yang baru. Sebaliknya Schwarzenberg mengusulkan cadangan
kepada Parlimen Frankfurt pada Mac 1849 supaya diwujudkan satu
badan perundangan di mana bilangan kerusi perwakilan dikira
berdasarkan jumlah populasi penduduk. Jika usul ini diterima, Austria
dengan populasinya seramai 38 juta berbanding 70 juta penduduk di
seluruh Jerman akan mendominasi parlimen yang baru dan jumlah 38
juta termasuklah rakyat Austria yang bukan berbangsa Jerman. Seperti
yang dijangka, usul ini ditolak oleh parlimen yang kemudiannya
memutuskan untuk pembentukan empayar Jerman tanpa Austria
(kleindeutsche). 41
Pada 28 Mac 1849, perdebatan berakhir dengan pengumuman
satu perlembagaan baru untuk Jerman selepas 10 bulan persidangan
Majlis Kebangsaan iaitu Perlembagaan 1849 yang memperuntukkan
persamaan hak untuk semua rakyat Jerman. Artikel 137 menjamin
“there are no class differences before the law.” Sehubungan dengan itu,
pangkat bangsawan dihapuskan, semua hak istimewa dihapuskan,
semua gelaran kebesaran kecuali yang berkaitan dengan jawatan
kerajaan dihapuskan, jawatan awam dibuka kepada semua rakyat
kaum lelaki berdasarkan keupayaan dan semua rakyat tertakluk kepada
kerahan tentera secara sama rata.42 Selaras dengan usaha mewujudkan
sebuah negara Jerman yang bersatu, perlembagaan mewujudkan
kerakyatan persekutuan yang diberikan kepada setiap orang Jerman.
Hak kerakyatan itu boleh dinikmati di setiap negeri Jerman.43 Ini bererti
sekatan antara negeri dihapuskan dan orang Jerman berhak menetap,
memiliki hartanah, bekerja dan memohon kerakyatan negeri di negeri
Jerman yang lain.44
Kepentingan perlembagaan tidak boleh dipertikaikan. Mereka
membentuk kerajaan persekutuan yang kukuh dengan seorang raja
berperlembagaan yang kuasanya dihadkan oleh kuasa perundangan.
Kuasa membuat undang-undang kekal di bawah bidang kuasa parlimen
dengan hak mengundi sejagat diberikan kepada kaum lelaki sahaja.45
Untuk menghalang pemeritahan autokratik oleh pihak majoriti dalam
Persekutuan Jerman yang baru, pihak parlimen merasakan perlu
diwujudkan satu badan eksekutif dan dilantik ketua negara yang
kuat dan bebas serta terpisah daripada badan perundangan. Dengan
mengambil kira sejarah dan tradisi Jerman, mereka berpendapat seorang
monarki adalah calon yang terbaik untuk mengetuai badan eksekutif.
Mereka percaya hanya Raja Prusia, Friedrich Wilhelm IV mampu
menjalankan tugas ini dan mengatasi persaingan kuasa antara negeri-
14 JURNAL SEJARAH

negeri Jerman. Justeru mereka mengundi untuk menawarkan takhta


kerajaan kepada baginda.46
Namun begitu, mereka tidak menyangka bahawa William IV
akan menolak tahkta diraja Jerman. Sungguhpun raja Prusia menolak
pengurniaan takhta diraja, Parlimen Frankfurt meluluskan resolusi
bahawa perlembagaan diraja adalah undang-undang Jerman dan mesti
dilaksanakan. Dengan itu, mereka mencadangkan cara melaksanakan
perlembagaan itu.47 Dalam keadaan ini, berlaku perbalahan antara
Majlis Kebangsaan di Frankfurt dan kerajaan negeri. Parlimen
negeri-negeri Prusia, Hanover, Saxony, Baden dan Württemberg
mengisytiharkan penerimaan perlembagaan tetapi pengisytiharan
berkenaan tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri mereka. Parlimen negeri
Prusia dibubarkan secara tidak sah. Pada 28 April 1849, kerajaan Prusia
mengisytiharkan perlembagaan diraja sebagai satu dokumen berunsur
“anarki” dan “revolusioner.” Dengan erti kata lain, Prusia menafikan
kuasa Parlimen Frankfurt. Tindakan Prusia membubarkan parlimen
negeri diikuti oleh kerajaan negeri Hanover dan Saxony atas cadangan
Prusia.48

Perpecahan Parlimen Frankfurt dan Kegagalan Revolusi


Konflik perlembagaan menjadi semakin serius apabila kerajaan Austria
memanggil kembali wakil mereka di Parlimen Frankfurt. Menyedari
keadaan masa itu terdapat delegasi parlimen yang mengundurkan diri.
Tanpa mengambil kira keputusan kerajaan negeri, Parlimen Frankfurt
mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Imperial akan dilaksanakan
dengan serta merta dan pilihan raya akan dijalankan untuk memilih
wakil dewan rakyat. Engels melihat seruan parlimen Franfurt sebagai
jemputan perang terhadap kerajaan negeri yang tidak mengiktiraf
perlembagaan tersebut. Prusia dan Bavaria juga mengarahkan
pengunduran perwakilan parlimen mereka dan membuat persiapan
perang terhadap majlis kebangsaan itu.49
Di seluruh negara, demonstrasi besar-besaran diadakan untuk
menyokong perlembagaan diraja dan majlis kebangsaan. Gerakan
menyokong perlembagaan menunjukkan kecenderungan ke arah
kekerasan. Rakyat misalnya mula bertindak memulaukan Raja
Frederick Augustus II dari Dresdan, tentera kerajaan di Westphalia
mengingkari arahan kerajaan dan mempertahankan perlembagaan,
rakyat di Palatinate merampas kuasa kerajaan dan meletakkannya di
bawah perlindungan dewan perhimpunan dan rakyat di Württemberg
memaksa raja mengiktiraf perlembagaan itu. Keadaan ini seakan-akan
menunjukkan rakyat sedang menunggu isyarat daripada Parlimen
Frankfurt untuk satu pemberontakan bersenjata.50
ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME 15

Engels menyalahkan pihak Parlimen Frankfurt kerana gagal


memobilisasikan arus demonstrasi pada masa itu untuk mencetuskan
satu pemberontakan bersenjata bagi mempertahankan kerajaan
berperwakilan dan menentang golongan birokrasi yang anti
perlembagaan. Sebaliknya, mereka cuba menenteramkan demonstrasi
ataupun membenarkan demonstrasi tersebut dikalahkan tanpa
memberi sebarang bantuan ataupun pengiktirafan. Mereka berucap,
memprotes, mengusulkan rayuan, dan meluluskan resolusi tetapi
tidak mengambil sebarang langkah sedangkan tentera diraja semakin
mara.51 Pemberontakan bersenjata yang tercetus di negeri-negeri Jerman
telah menakutkan golongan liberal yang mulanya bersimpati dengan
tuntuan demokratik. Pandangan antirevolusi dan antidemokratik mulai
kelihatan dan bertambah kukuh apabila Canselor Prusia, iaitu Bismarck
menyakinkan mereka bahawa kerjasama dengan kerajaan merupakan
cara terbaik untuk mencapai matlamat mereka.52 Menghadapi bahaya
ini, kelas pertengahan yang letih dengan revolusi, mendesak parlimen
supaya menyelesaikan isu perlembagaan dengan secepat mungkin.53
Akhirnya, pada Julai 1849, revolusi berjaya ditamatkan. Kedudukan
raja-raja dipulihkan dalam gerakan antirevolusi. Kuasa eksekutif raja
telah dikembalikan dengan sokongan bangsawan, askar, dan kakitangan
kerajaan serta pasukan polis. Satu siri pemberontakan yang terakhir
di Prussia, Saxony, Palatinate dan Baden kesemuanya ini dihapuskan
dengan kerjasama ketenteraan sesama raja-raja Jerman. Kerajaan
monarki berjaya menutup tirai revolusi dengan bantuan ketenteraan
daripada negeri Jerman yang lain. Selepas keamanan dikembalikan,
mahkamah perang menjatuhkan hukuman kepada pejuang-pejuang
revolusi.54
Jikalau revolusi Mac 1848 disokong oleh khalayak ramai, gerakan
anti-revolusi pada Mei 1849 oleh golongan monarki hanya dilihat secara
pasif sahaja. Petani dan pekerja tidak menunjukan keghairahan untuk
mempertahankan ideal perlembagaan lagi. Angkatan tentera diraja
terbukti tiada bandingannya dengan angkatan rakyat biasa. Dalam
percubaan terakhir golongan kelas pertengahan mempertahankan
institusi perlembagaan, misalnya di Palatinate, hanya 8,000 daripada
600,000 penduduk menyokong rayuan demokratik. Di Baden,
hanya 40,000 daripada 1.3 juta penduduk berarak mempertahankan
perlembagaan Frankfurt. Pada 23 Julai, pejuang revolusi gagal
mempertahankan bandar Rastatt dan kejatuhan ini menandakan
berakhirnya revolusi.55
Golongan moderat dalam Parlimen Frankfurt telah pulang ke
negeri masing-masing sementara pejuang radikal beriktibar meneruskan
perjuangan di negeri mereka untuk lebih daripada setahun. Wakil
parlimen berpindah ke Stuttgart tetapi kerajaan Württemburg menutup
16 JURNAL SEJARAH

dewan perhimpunan Stuttgart atas desakan Prusia dan memulaukan


saki-baki pejuang revolusi. Mereka kemudiannya meneruskan
perjuangan perlembagaan ke Baden tanpa sebarang kejayaan.56

Realiti dan Idealisme dalam Revolusi 1848


Satu perkembangan yang serupa antara revolusi di Jerman dengan
revolusi 1848 di negara Eropah lain adalah mereka berjaya dengan
mudah pada peringkat awal dan kemudiannya ditewaskan dengan
usaha yang sedikit. Personaliti Raja Frederick William IV dikatakan
sebagai faktor serta-merta kekalahan revolusi. Frederick William IV
digambarkan sebagai “the man of destiny” yang menentukan takdir
revolusi. Baginda sebenarnya bersetuju dengan revolusi pada awalnya
tetapi menentangnya kemudian dan akhirnya menolak takhta pada 3
April 1849 menyebabkan revolusi itu hanya tinggal sebagai impian.57
Bercanggah dengan kesimpulan yang diterima umum, Frank Eyck
tidak melihat kegagalan perlembagaan disebabkan peranan Raja Prusia.
Sejarawan lain dikatakan menyalahkan Prusia atas kekecewaan revolusi.
Sebaliknya, Eyck mempersoalkan sama ada matlamat penyatuan dan
perkembangan perlembagaan adalah tugas yang terlalu besar untuk
dipikul oleh Parlimen Frankfurt. Mampukah kedua-dua matlamat
itu dilakukan pada masa yang sama? Menurut beliau, adalah lebih
baik untuk Parlimen Frankfurt memfokuskan satu aspek sahaja.
Daripada sudut pandangan perwakilan Parlimen Frankfurt, kedua-
dua aspek merupakan masalah yang sama. Sistem Konfederasi Jerman
menurut mereka, menghalang perkembangan politik. Perkembangan
perlembagaan hanya dapat dicapai jika Konfederasi Jerman dibubarkan
dan negeri Jerman disatukan.58
Friedrich Meinecke berpendapat percubaan demokrasi Jerman yang
pertama ini jauh melebihi realiti sehingga kekal sebagai satu perjuangan
ideologi. Ideal revolusi ini dikalahkan oleh kuasa yang lebih kuat
iaitu realiti tentang wujudnya kepentingan pelbagai kelas sosial yang
berbeza.59 Revolusi di Jerman mengalami masalah yang lebih kompleks
daripada revolusi yang serupa di negara lain Eropah. Revolusi sosial
yang mengambil bentuk perjuangan kelas di Jerman bercampur aduk
dengan revolusi nasional yang pada akhirnya menampakkan kegagalan
kedua-duanya. Rakyat melihat revolusi dan ideal demokrasi sebagai
penyelesaian penderitaan mereka. Konsep demokrasi turut diguna
pakai oleh kelas menengah bersama-sama dengan tuntutan sosialis.
Namun, ideal demokrasi pada peringkat ini bertujuan untuk menolak
sistem autokratik raja dan bukanlah menandakan semangat kerjasama
antara semua kelas. Ketidakpercayaan dan keangkuhan dalam kalangan
ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME 17

pelbagai kelas terhadap kelas yang lain, telah memisahkan kelas-kelas


tersebut dalam matlamat mereka menentang autoriti lama.60
Jika pelbagai susun lapis masyarakat tidak berkongsi matlamat
yang sama maka tidak akan wujud perpaduan untuk tindakan. Tidak
hairanlah jikalau perjuangan-perjuangan yang saling tiada berkaitan
ini terbubar dengan sendiri, tanpa mencapai sebarang keputusan.
Parlimen Frankfurt tidaklah boleh dikatakan mewakili perpaduan
Jerman. Jerman masih terpisah antara tiga kuasa besar yang merdeka
iaitu Prusia, Austria dan Konfederasi Jerman dalam 36 negeri Jerman.61
Kewujudan pelbagai kelas sebelum tercetusnya revolusi menjelaskan
ketidakseragaman dan kontradiksi yang bakal wujud dalam pergerakan
itu. Sejak awal lagi, pergerakan ini dilemahkan oleh kepentingan kelas
yang berbeza, malahan bercanggah. Tidak terdapat satu pusat kawalan
di Jerman yang mampu membuat keputusan untuk mengkordinasikan
gerakan revolusi di negeri-negeri Jerman.62
Mereka yang memimpin perjuangan pada kesemua peringkat
revolusi gagal memahami kedinamikan keseluruhan revolusi dan tidak
mempunyai satu matlamat umum yang dipersetujui. Pembentukan satu
perlembagaan untuk seluruh empayar Jerman adalah satu matlamat,
tetapi tujuan revolusi adalah lebih daripada itu. Perbincangan di
atas menunjukkan revolusi merupakan satu penyelesaian untuk
memperbaik keadaan sosioekonomi. Revolusi dilihat sebagai cara
penyelesaian kepada masalah pertambahan penduduk, kebuluran,
inflasi, pengganguran, dan eksplotasi pekerja kilang. Pada masa yang
sama, revolusi dilihat sebagai emansipasi politik yang berteraskan parti
politik, kebebasan akhbar, parlimen, persatuan politik dan penglibatan
rakyat. Oleh itu, Seimann menyimpulkan “no single simple interpretation
of the 1848-49 revolutions in Germany can be offered.” 63
Sejarawan cuba menjelaskan sebab kegagalan gerakan nasionalisme
Jerman berdasarkan kekuatan sistem monarki. Institusi birokratik diraja
terbukti lebih kukuh daripada yang difikirkan. Perasaan kesetiaan
rakyat kepada negeri beraja mereka dan juga perasaan egoistik raja-
raja bertentangan dengan seruan penyatuan Jerman yang membawa
bersamanya perasaan kesetiaan kepada negara bangsa yang baru.
Kumpulan yang bersedia mengidenfikasikan diri dengan kesetiaan baru
dan bertindak menentang perpecahan dalam Jerman pula tidak dapat
bersatu atas prioriti matlamat perjuangan.64 Jerman terdiri daripada
pelbagai unit-unit politik yang berdasarkan kesetiaan yang kuat kepada
raja dan sistem dinasti. Kewujudan kepelbagaian unit politik telahpun
menyulitkan sebarang usaha penyatuan sejak awal lagi.65
Jika revolusi Jerman berjaya, ia akan membawa Jerman ke arah
proses pembaratan dan pendemokrasian untuk masa depan yang
lebih cerah. Adalah tidak memadai untuk menjelaskan kegagalan
18 JURNAL SEJARAH

revolusi dengan faktor keadaan sosial semasa dan situasi antarabangsa


yang tidak cukup matang. Rothfels mengemukakan hujah bahawa
kegagalan itu berakar umbikan masalah sejarah Jerman itu sendiri.
Terdapatnya kekurangan pada perkembangan negara bangsa Jerman
yang menyebabkan Jerman tidak boleh melancarkan satu revolusi yang
berjaya. Dengan erti kata lain, Jerman tidak sesuai untuk idea revolusi.66
Tambahan pula, masyarakat Jerman dianggap tidak bersedia
menerima ideal liberalisme. Sungguhpun revolusi 1848 menonjolkan
kesedaran rakyat dalam hal politik untuk kali pertama dalam sejarah,
terdapat persoalan sama ada rakyat cukup matang untuk pengamalan
demokrasi atau idea liberal yang diperjuangkan oleh Parlimen Frankfurt
sesuatu yang praktikal ataupun ideal semata-mata tanpa “real politic.”67
James H. Harris nampaknya bersependapat dengan Gordon Craig
bahawa “cita-cita liberalisme yang diperjuangkan oleh sekumpulan
rakyat yang berpendidikan telah disekat oleh kemunduran politik
rakyat Jerman, ketaatsetiaan mereka yang berlebihan kepada autoriti
beraja, amalan kepatuhan yang mendalam dan kesangsian bahawa
kerajaan perwakilan adalah sesuatu yang bukan Jerman.”68
Nyatanya liberalisme tidak dapat merealisasikan kepentingan
artisan, pekedai, pemilik kilang, ahli perbankan, petani, pemilik tanah
dan pekerja kilang. Mereka bersedia menerima kepimpinan ahli
parlimen yang liberal dan kesetiaan mereka pada sistem perlembagaan
bergantung sama ada sistem itu mampu memuaskan keperluan material
mereka. Mereka dapat berjuang atas nama rakyat Jerman kerana mereka
menghadapi pengalaman masa lampau yang sama tetapi mereka
tidak bersatu dalam membentuk satu masa depan baru.69 Hamerow
mengingatkan kita bahawa:

The truth is that there was no German Revolution of 1848. There were
rather several simultaneous German revolutions, each with its own ideology
and objective, all combining their efforts to achieve the overthrow of an
oppresive system of government.70

Pada umumnya, pengkaji peristiwa 1848 mencapai persepakatan


bahawa revolusi itu tidak gagal sepenuhnya. Pencapaian yang boleh
dibanggakan termasuklah Parlimen Frankfurt, hak asasi rakyat
Jerman, Perlembagaan 28 Mac 1849, peningkatan penglibatan politik
rakyat, dan peningkatan semangat perpaduan kebangsaan.71 Perasaan
nasionalisme dalam kalangan rakyat tidaklah terhapus selepas
revolusi itu. Seruan nasionalisme ini berjaya direalisasikan selepas 20
tahun lebih apabila Bismarck menyatukan empayar Jerman. Parlimen
Frankfurt menghasilkan produk dokumen perlembagaan walaupun
ia tidak dapat dilaksanakan pada 1840-an. Prinsip-prinsip liberalisme
ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME 19

yang didokumenkan dalam perlembagaan 1849 telah diaplikasikan


pada perlembagaan Konfederasi Jerman Utara (1867) dan Empayar
Jerman (1871). Idea liberal itu diaplikasikan dengan lebih banyak pada
perlembagaan republik Weimar (1819) dan pada perlembagaan Jerman
Barat (1849).72 Perlembagaan Reich merupakan lambang Revolusi
Jerman. Ia adalah “cetak biru” untuk pembentukan suatu negara
bangsa Jerman yang merangkumi konsep “kebebasan” (Freiheit) dan
“perpaduan” (Einheit).73

Kesimpulan
Suasana politik didominasikan oleh kelas borjuis dan kejayaan mereka
dimungkinkan oleh pemberontakan petani dan rusuhan artisan.
Dalam jangka masa sebelum tercetusnya revolusi, golongan bawahan
menunjukkan peningkatan kesedaran politik yang tinggi. Penglibatan
aktif golongan bawahan dalam perjuangan revolusi boleh dijelaskan
dengan ketidakpuasan mereka terhadap kedudukan sosioekonomi
yang disebabkan oleh kombinasi pelbagai faktor. Ketidakpuasan ini
seterusnya menginspirasikan para petani untuk mengidentifikasikan
diri mereka dengan idea liberal dan demokratik. Mereka bukanlah
pejuang radikal atau revolusi 1848 dan tidak boleh dikatakan sebagai
gerakan radikalisme. Seperti yang dibincangkan, revolusi 1848 bukanlah
bertujuan menggulingkan sistem politik dan sosial yang sedia ada
tetapi bermatlamat pembaharuan. Revolusi 1848 adalah satu gerakan
moderat yang menuntut pembaharuan moderat dengan mengekalkan
sistem yang sedia ada iaitu sistem beraja.
Hujah Stadelmann bahawa revolusi berakar umbi fahaman
ideologi tidak boleh diaplikasikan dalam kes Jerman. Golongan
bawahan mengindenfikasikan diri mereka dengan ideal demokrasi
untuk memperbaiki status sosial mereka berbanding dengan matlamat
mencapai pembaharuan politik. Laungan demokratik hanyalah
digunakan sebagai kesempatan untuk mencapai peningkatan status.
Sebelum tuntutan perlembagaan bermula, golongan bawahan telahpun
terlibat dalam rusuhan kebuluran dan rusuhan kerja. Sepertimana
yang dicadangkan oleh Siemann, kombinasi faktor ketidakpuasan
menyebabkan rakyat bersatu secara mudah. Mereka percaya segala
penyakit sosial itu dapat dipulihkan dengan pembaharuan asas, institusi
moden dan sistem politik baru. Tidak hairanlah sekiranya semakin
banyak golongan kelas bawahan menjadi penyokong aktif revolusi.
Namun begitu, sokongan golongan ini tidaklah menyeluruh.
Mereka bersedia memberikan sokongan aktif pada peringkat awal
revolusi tetapi tidak menyokongnya apabila monarki melancarkan
gerakan anti-revolusi. Sekiranya revolusi mencapai momentum pada
20 JURNAL SEJARAH

peringkat awal revolusi dengan sokongan padu golongan bawahan,


revolusi yang sama gagal mencapai kemenangan tanpa sokongan
menyeluruh golongan itu. Ketidaksanggupan majoriti mereka
mempertahankan perjuangan liberalisme menjelaskan ketewasan
pramatang revolusi dengan mudahnya dalam tangan tentera monarki.
Oleh itu, revolusi 1848 adalah revolusi kelas bawahan yang dimulakan
oleh kelas bawahan dan ditamatkan kerana kelas bawahan gagal
mempertahankan arus perubahan dan wajarlah sekiranya Presiden
Woodrow Wilson berhujah “The seed of revolution is repression.”

Nota
1
Wolfram Siemann, “The Revolutions of 1848-1849 and the Resistence of
the Old Regime in Germany (1848-1850),” in Nineteenth-Century Germany:
Politics, Culture and Society, 1780-1918, ed. John Breuilly, London: Arnold,
2001, hlm. 118-20.
2
Donald J. Mattheisen, “History as Current Events: Recent Works on the
German Revolution of 1848,” American Historical Review 88, no. 5 (1983),
hlm. 1221
3
Ibid., hlm. 1221.
4
Rudolph Stadelmann, Social and Political History of the German 1848
Revolution, trans. James G. Chastain Athens: Ohio University Press, 1975,
hlm. 3-5.
5
Ibid., hlm. 6-7.
6
Theodore S. Hamerow, “History and the German Revolution of 1848,”
The American Historical Review 60, no. 1 (1954), hlm. 43.
7
Han Rothfels, “1848 - One Hundred Years After,” The Journal of Modern
History 20, no. 4 (1948), hlm. 304.
8
Wolfram Siemann, “The Revolutions of 1848-1849 and the Resistence of
the Old Regime in Germany (1848-1850),” hlm. 121-123.
9
Alvin W. Gouldner, “Artisans and Intellectuals in the German Revolution
of 1848,” Theory and Society 12, no. 4 (1983), hlm. 522-24.
10
Ibid., hlm. 528-529.
11
Ibid., hlm. 525-26.
12
Friedrich Meinecke, “The Year 1848 in German History: Reflections on a
Centenary,” The Reviews of Politics 10, no. 4 (1948), hlm. 483.
13
Christopher Clark, “Germany 1815-1848: Restoration or Pre-March?,” in
Nineteenth-Century Germany: Politics, Culture and Society, 1780-1918, ed.
John Breuilly, London: Arnold, 2001, hlm. 56-57.
14
Ibid., hlm. 58-59.
15
Theodore S. Hamerow, Restoration, Revolution, Reaction: Economics and
Politics in Germany, 1815-1871, Princeton: Princeton University Press, 1958,
hlm. 84-86.
16
Ibid., hlm. 78-81.
17
Ibid., hlm. 75.
18
Ibid., hlm. 101-102.
ASPIRASI LIBERALISME, NASIONALISME DAN SOSIALISME 21

19
Ibid., hlm. 88.
20
Ibid., hlm. 90.
21
Frederick Engels, Revolution and Counter-Revolution in Germany, Peking:
Foreign Language Press, 1977, hlm. 21-23.
22
Theodore S. Hamerow, Restoration, Revolution, Reaction: Economics and
Politics in Germany, 1815-1871, hlm. 91.
23
Ibid., hlm. 92-93.
24
Ibid., hlm. 98-100.
25
Frederick Engels, Revolution and Counter-Revolution in Germany, hlm.27.
26
Ibid.hlm., 4.
27
Theodore S.Hamerow, Restoration, Revolution, Reaction: Economics and
Politics in Germany, 1815-1871, 98-100.
28
Wolfram Siemann, “The revolutions of 1848-1849 and the Resistence of
the old regime in Germany (1848-1850),”hlm. 120.
29
Ibid., hlm. 124-126.
30
Ibid., hlm. 127-129.
31
Theodore S.Hamerow, Restoration, Revolution, Reaction: Economics and
Politics in Germany, 1815-1871, hlm. 118.
32
Ibid., hlm. 120-21.
33
Ibid., hlm. 128-29.
34
Mark Hewitson, “‘The Old Forms are Breaking Up, …Our New Germany
is Rebuilding Itself’: Constitutionalism, Nationalism and the Creation of
a German Polity during the Revolutions of 1848–49,” English Historical
Review 125, no. 516 (2010), hlm. 1213.
35
Theodore S. Hamerow, “History and the German Revolution of 1848,”
hlm. 40.
36
Ibid., hlm. 1178.
37
Ibid., hlm. 1212.
38
Han Rothfels, “1848 - One Hundred Years After,” hlm.308.
39
Ibid., hlm. 310.
40
Lawrence Sondhaus, “Schwarzenberg, Austria, and the German Question,
1848-1851,” The International History Review 13, no. 1 (1991), hlm. 1.
41
Ibid., hlm. 2.
42
Artikel 137, Perlembagaan Jerman 1849 dalam Elmar M. Hucko, The
Democratic Tradition: Four German Constitutions, New York: Berg, 1987,
hlm. 106.
43
Artikel 123, dalam ibid.
44
Artikel 133 dalam ibid., hlm. 106.
45
Theodore S. Hamerow, Restoration, Revolution, Reaction: Economics and
Politics in Germany, 1815-1871, 130 & 136.
46
Mark Hewitson, “‘The Old Forms are Breaking Up, …Our New Germany
is Rebuilding Itself’: Constitutionalism, Nationalism and the Creation of
a German Polity during the Revolutions of 1848–49,” hlm. 1213-1214.
47
Frederick Engels, Revolution and Counter-Revolution in Germany, hlm. 120-
21.
48
Ibid., hlm. 122-23.
49
Ibid., hlm. 125-27.
22 JURNAL SEJARAH

50
Ibid.
51
Ibid., hlm.129-30.
52
Mattheisen, “History as Current Events: Recent Works on the German
Revolution of 1848,” hlm.1225.
53
Engels, Revolution and Counter-Revolution in Germany, hlm. 120-21.
54
Wolfram Siemann, “The Revolutions of 1848-1849 and the Resistence of
the Old Regime in Germany (1848-1850),” hlm.132-33.
55
Theodore S.Hamerow, Restoration, Revolution, Reaction: Economics and
Politics in Germany, 1815-1871, hlm. 193-94.
56
Frederick Engels, Revolution and Counter-Revolution in Germany, hlm. 141-
42.
57
Friedrich Meinecke, “The Year 1848 in German History: Reflections on a
Centenary,” hlm. 480.
58
Frank Eyck, The Frankfurt Parliament 1848-1849, London: MacMillan, 1968,
hlm.393.
59
Friedrich Meinecke, “The Year 1848 in German History: Reflections on a
Centenary,” hlm. 479.
60
Ibid., hlm. 484.
61
Engels, Revolution and Counter-Revolution in Germany, hlm. 41.
62
Ibid., hlm. 13.
63
Wolfram Siemann, “The Revolutions of 1848-1849 and the Resistence of
the Old Regime in Germany (1848-1850),” hlm. 135.
64
Friedrich Meinecke, “The Year 1848 in German History: Reflections on a
Centenary,” hlm.481-82.
65
Han Rothfels, “1848 - One Hundred Years After,” hlm. 308.
66
Ibid., hlm.305.
67
Wolfram Siemann, “The Revolutions of 1848-1849 and the Resistence of
the Old Regime in Germany (1848-1850),” 118.
68
James F. Harris, “Rethinking the Categories of the German Revolution
of 1848: The Emergence of Popular Conservatism in Bavaria,” Central
European History 25, no. 2 (1992), hlm. 125.
69
Theodore S. Hamerow, Restoration, Revolution, Reaction: Economics and
Politics in Germany, 1815-1871, hlm. 261.
70
Ibid., hlm. 260.
71
Wolfram Siemann, “The Revolutions of 1848-1849 and the Resistence of
the Old Regime in Germany (1848-1850),” hlm. 136.
72
Han Rothfels, “1848 - One Hundred Years After,” hlm. 311.
73
Mark Hewitson, “‘The Old Forms are Breaking Up, …Our New Germany
is Rebuilding Itself’: Constitutionalism, Nationalism and the Creation of
a German Polity during the Revolutions of 1848–49,” hlm. 1174.

Anda mungkin juga menyukai