Anda di halaman 1dari 1

Peranan penjawat awam khususnya pendidik dalam membantu negara mencapai

kemakmuran dan kesejahteraan

Sebagai seorang penjawat awam yang bergelar pendidik, peranan yang saya dapat laksanakan
bagi membantu negara mencapai kemakmuran dan kesejahteraan sudah tentu melalui
pendidikan di peringkat sekolah.

Pendidikan merupakan tunjang kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Malah
sejarah telah membuktikan bahawa pendidikan berupaya meletakkan asas yang kukuh dalam
pembinaan sesebuah tamadun manusia yang cemerlang.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi memastikan rakyat di negara ini berilmu pengetahuan
dan ia sudah tentu perlu bermula daripada peringkat awal perkembangan manusia lagi.

Dalam konteks saya sebagai guru di sekolah, saya perlulah bersungguh-sugguh dalam
menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid seperti mana yang ditetapkan menerusi
kurikulum persekolahan Malaysia.
Disamping itu, saya juga bertanggungjawab untuk memberi nilai tambah dengan memupuk nilai-
nilai murni serta menanam semangat kenegaraan dalam kalangan murid di sekolah.

Dengan yang demikian, saya bukan sahaja dapat melahirkan murid yang berilmu pengetahuan,
malah generasi muda yang bertatasusila dan berpatriotisme tinggi.

Selain pendidikan melalui sekolah, golongan penjawat awam yang bergelar pendidik juga
merupakan ejen dalam menyampaikan maklumat daripada kerajaan terutama kepada golongan
ibu bapa yang kurang mengambil berat tentang hal pendidikan anak-anak mereka.

Mereka perlu disedarkan tentang peri pentingnya pendidikan khususnya dalam meningkatkan
taraf ekonomi diri dan keluarga kerana asas kestabilan negara bermula daripada keutuhan dan
kesejahteraan institusi keluarga.

Sebagai seorang pendidik di era teknologi yang berkembang begitu pesat, adalah penting untuk
saya bergerak seiring perkembangan semasa dalam menyampaikan ilmu pengetahuan serta
menyesuaikan diri dengan trend generasi masa kini.

Walaupun ia merupakan suatu cabaran, namun saya perlu mengatasinya dengan meningkatkan
ilmu dan kemahiran diri sekali gus menjadi seorang pendidik yang dinamik dan progresif selari
dengan arus pemodenan.

Implikasi daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara telah menunjukkan kepada kita
bahawa pembelajaran dalam talian bukanlah kaedah pembelajaran pada masa hadapan,
sebaliknya perlu dilalui pada masa kini dan ia adalah nyata.

Jika pendidik sendiri tidak menguasai teknologi, bagaimana kita hendak menyampaikan ilmu
pengetahuan kepada murid dalam situasi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang
perlu dilaksanakan ketika ini.

Demikian antara peranan yang saya boleh lakukan sebagai seorang penjawat awam yang
bergelar pendidik. Hanya dengan melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan serta memiliki
nilai-nilai murni tinggi dapat menjadikan sesebuah negara mencapai kemakmuran dan
kesejahteraan sekali gus menuju ke arah status negara maju.

Anda mungkin juga menyukai