Anda di halaman 1dari 5

Pendahuluan

Aspek rohani merupakan salah satu aspek yang ditekankan dalam falsafah
pendidikan kebangsaan. Aspek–aspek rohani ini penting untuk diterapkan dalam diri
pelajar sejak awal lagi kerana ia penting dalam membentuk sahsiah diri pelajar agar
menjadi manusia yang berguna pada masa akan datang. Penerapan aspek-aspek ini di
sekolah adalah di bawah tanggungjawab guru yang bukan sahaja bertindak sebagai
pengajar malah guru juga sebagai pembentuk nilai peribadi asas para pelajar. Dalam
situasi bilik darjah, guru berperanan untuk menanamkan aspek-aspek rohani ke arah
pemantapan sikap. Pengekalan sikap positif ini akan membantu pelajar cemerlang dalam
kurikulum, kokurikulum dan sahsiah diri.

Salah satu aspek rohani adalah sikap kerajinan. Sikap rajin merupakan satu sikap
yang sangat penting untuk diterapkan dalam diri seorang pelajar. Ini kerana rajin adalah
satu sikap yang mempunyai ciri-ciri positif yang tinggi. Banyak kajian yang telah
dilakukan bagi melihat faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran dan pencapaian
pelajar dan antara faktor yang berkait rapat adalah sikap kerajinan pelajar itu sendiri.
Kerajinan dalam diri pelajar adalah penting untuk mencapai sesuatu kejayaan. Jika sikap
ini tidak diterapkan dari awal maka pencapaian akademik pelajar akan lemah dan kurang
motivasi untuk berjaya.

Di dalam Islam, Allah SWT telah menurunkan sebuah surah khusus mengenai
makhluknya yang amat rajin dan kuat berusaha untuk berjaya iaitu semut. Walaupun dari
segi saiz, semut itu terlalu kecil dan halus, namun sikap rajin yang ditunjukkan begitu
mengagumkan. Surah An-Naml adalah bukti pengiktirafan Allah terhadap makhluk kecil
itu yang diciptakan-NYA. Dalam menunutut ilmu kejayaan itu dicipta dengan usaha dan
bukan datang secara kebetulan. Sebagai contoh, Thomas Edison yang tidak mengenal erti
malas dan jemu walaupun telah seribu kali gagal mencipta mentol, Kolonel Sander
pencipta resepi Kentucky Fried Chicken (KFC) yang bersikap rajin dan berusaha menjual
resepinya. Kedua-dua tokoh yang berjaya ini membuktikan sikap berpegang kepada
prinsip rajin dan berusaha tanpa rasa jemu pasti membuahkan hasil.
Tiada instrumen yang dapat mengukur sikap seseorang itu. Ini kerana sikap
adalah berbentuk dalaman dan sukar untuk diertikan. Walaubagaimanapun sikap boleh
mempengaruhi tingkah laku individu dan hasilnya dapat dilihat sebagai contoh melalui
pencapaian atau ganjaran yang diperolehi. Selain itu, sikap juga dapat didefinisikan
sebagai suatu kecenderungan untuk bertindak terhadap seseorang, objek keadaan,
kejadian atau idea. Ini bermaksud sikap adalah penentu kepada pencapaian yang berjaya
atau kegagalan dalam hidup.

Rajin mengikut kamus dewan merujuk kepada perihal rajin, ketekunan atau suatu
kegiatan. Berdasarkan kepada huraian sukatan pelajaran subjek pendidikan moral tahun
dua, kerajinan merupakan usaha yang berterusan dengan penuh semangat ketekunan,
kecekalan, kegigihan, dedikasi dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu perkara.
Daripada maksud ini, dapat dilihat sikap rajin adalah satu amalan murni kerana ia
memberikan pelbagai kesan yang baik bukan sahaja pada diri sendiri tetapi juga pada
keluarga dan sekolah.

Sikap kerajinan akan membawa pelbagai faedah kepada diri pelajar sendiri.
Sebagai satu komponen dalam aspek rohani, sikap rajin yang ada turut mempengaruhi
perkembangan aspek jasmani yang sihat, emosi yang stabil serta pencapaian intelek yang
cemerlang. Ini secara langsung selari dengan objektif falsafah pendidikan negara yang
mahu melahirkan insan yang seimbang, berkeupayaan dan harmonis. Bagaimana yang
dikatakan sikap rajin dapat menghasilkan jasmani yang sihat berlaku apabila pelajar
tersebut sentiasa mengamalkan cara hidup yang baik seperti rajin bersenam dan juga
menjaga kebersihan diri serta persekitarannya seperti membantu ibu bapa membersihkan
kawasan rumah.

Dari segi aspek emosi pula, sikap kerajinan seseorang pelajar menyebabkan
mereka sanggup menempuh segala cabaran dan dapat menghadapi tekanan yang dialami
dengan penuh berhemah. Ini kerana mereka yang rajin tidak pernah mengenal erti
kegagalan dan sentiasa mencuba tanpa rasa putus asa sehingga kejayaan menjadi
miliknya. Selain itu, pelajar yang mengamalkan sikap rajin sentiasa menjalin hubungan
yang baik bersama guru dan rakan-rakan sebaya. Ini kerana sikap rajin yang ditunjukkan
oleh guru menjadi contoh kepada para pelajar, manakala pergaulan dengan rakan sebaya
yang bersikap rajin turut menjadi faktor. Sikap kerajinan ini secara langsung memberi
impak positif kepada daya ketahanan dan kecerdasan emosi pelajar tersebut.

Selain dari kedua-dua aspek ini, sikap kerajinan yang dipupuk juga turut
mempengaruhi pencapaian intelektual yang cemerlang. Seperti yang diketahui sikap
kerajinan adalah permulaan kepada kejayaan. Seringkali pencapaian akademik yang
cemerlang, dicapai oleh pelajar yang berjaya mengekalkan momentum rajin berusaha. Ini
terbukti dalam beberapa kajian yang menunjukkan perkaitan antara pencapaian pelajar
dengan sikap kerajinan mereka. Pelajar-pelajar ini didapati mempunyai komitmen dan
wawasan yang tinggi terhadap apa yang mereka usahakan. Hasilnya pelajar ini akan
diberikan ganjaran atau anugerah yang boleh meningkatkan lagi motivasi mereka untuk
terus mengukir kejayaan di masa akan datang.

Daripada ketiga-tiga aspek ini dapat dilihat, sikap kerajinan mempunyai pengaruh
yang besar dan hubungan yang rapat di antara satu sama lain. Oleh sebab itu, sikap ini
harus diterapkan dan dikembangkan dalam diri pelajar seawalnya. Mengikut kurikulum
pendidikan kini, subjek pendidikan moral merupakan salah satu subjek yang memupuk
pelbagai nilai murni dan antaranya nilai kerajinan.

Kurikulum yang dibentuk ini sedikit sebanyak memberi panduan kepada para
guru kaedah untuk menerapkan sikap kerajinan serta memberi pendedahan kepada pelajar
tentang pentingnya bersikap rajin dalam kehidupan seharian. Antara cadangan aktiviti
pembelajaran adalah seperti membuat perbandingan beza pelakuan antara orang yang
rajin dan malas atau melakukan aktiviti gotong royong seperti membersih dan menghias
bilik darjah (Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral Tahun 2). Hasil daripada pembelajaran
ini, diharapkan para pelajar dapat memperkembangkan sikap rajin ini dan berusaha demi
kebaikan mereka sendiri, keluarga dan sekolah.
.
Faedah bersikap rajin bukan sahaja pada pelajar malah turut memberi faedah
kepada keluarga mereka. Pencapaian akademik yang cemerlang misalnya, akan
membawa kepada pencapaian hidup yang turut cemerlang. Jika dilihat pada hari ini,
kebanyakan pelajar yang berasal daripada keluarga yang susah akan sentiasa terdorong
untuk bersikap rajin dalam menuntut ilmu. Pelajar ini dilihat mempunyai rasa
tanggungjawab dalam membantu menjaga kebajikan keluarga mereka.

Kesedaran yang wujud dalam diri mereka untuk mengubah nasib keluarga yang
susah menjadi lebih senang menyebabkan pelajar ini menjadikan kejayaan dalam
akademik sebagai tiket untuk mereka merealisasikan impian tersebut. Selain itu, sikap
kerajinan juga boleh diaplikasikan oleh pelajar dalam membantu ibu bapa melakukan
kerja-kerja rumah seharian seperti membasuh pinggan selepas makan, mengemas rumah
dan sebagainya. Sikap terpuji ini sekurang-kurangnya dapat meringankan tugas ibu di
rumah dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan antara satu sama lain.

Sekolah merupakan tempat untuk mendapatkan pendidikan formal yang meliputi


pelbagai unsur nilai murni seperti nilai kerajinan. Selain di rumah sikap kerajinan dapat
diterapkan di sekolah yang mana guru memainkan peranan penting dalam hal ini. Guru
hendaklah menanamkan dalam diri pelajar sikap kerajinan dalam mewujudkan keselesaan
dan kesejahteraan di sekolah. Seperti yang dinyatakan aktiviti gotong royong adalah
aktiviti yang boleh dijalankan.

Selain itu, guru juga boleh menggalakkan pelajar menjalankan tugas dalam kelas
mengikut jadual giliran bertugas. Ini menjadikan pelajar berdisiplin dan bersikap rajin
dalam menjaga kebersihan dan keceriaan bilik darjah. Penerapan sikap rajin turut dapat
dilakukan dengan menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan
aktiviti rasmi sekolah seperti hari sukan dan hari anugerah cemerlang. Melalui aktiviti-
aktiviti ini, dapat ditunjukkan sikap kerajinan turut memberi faedah kepada sekolah itu
sendiri apabila wujud suasana sekolah yang harmoni dan selesa.
Pencapaian pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum dapat
menaikkan nama sekolah sebagai sebuah sekolah yang unggul di kawasan itu. Ini tercapai
apabila sikap kerajinan itu berjaya dipupuk dan dikembangkan dalam diri pelajar. Setiap
sekolah pasti akan berasa bangga jika pencapaian pelajar mereka amat
memberangsangkan dan ditambah lagi jika sekolah tersebut dianugerahkan sebagai
sebuah sekolah yang terbaik. Secara keseluruhannya, pemupukan sikap rajin membawa
pelbagai faedah atau kebaikan kepada pelajar, keluarga serta pihak sekolah sendiri.
Seharusnya, ibu bapa dan guru sedar akan kepentingan sikap rajin dan menjalankan
tanggungjawab meraka dengan penuh berdedikasi dalam usaha menerapkannya.