Anda di halaman 1dari 5

Ulas keistimewaan novel Badai Semalam.

Judul Novel : Badai Semalam


Pengarang : Khadijah Hashim
Penerbit : "K" Publishing Sdn. Bhd.
Tebal : 198 muka surat
Harga : RM6.00
Pengulas : Zaiton bt. Othman

Novel 'Badai Semalam' dihasilkan oleh seorang penulis wanita yang cukup
produktif dan tidak asing dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu Khadijah Hashim.
Genre atau cabang penulisan beliau meliputi penulisan cerpen, novel dan yang terkini,
beliau juga menulis buku tentang pantun. Fokus utama hasil karya beliau adalah
tentang kisah wanita. Novel-novel lain yang turut dihasilkan oleh beliau ialah 'Mira Edora',
'Bila Dan Di mana' dan 'Senator Adila'. Novel 'Badai Semalam' pernah diterjemahkan
dalam bahasa Inggeris dan dipasarkan di pasaran antarabangsa dengan judul
'The Storm of Yesterday'. Selain itu, novel 'Badai Semalam' pernah dijadikan teks
sastera Tingkatan 4 dan 5 pada awal 1970-an dan 1980-an. Novel ini telah diulang
cetak beberapa kali dan masih laris di pasaran hingga kini.

Novel 'Badai Semalam' mengisahkan kehidupan gadis remaja, Mazni yang


tinggal bersama-sama ibunya yang uzur di rumah Encik Haris. Ibu Mazni iaitu Mak
Bibah, merupakan bekas orang gaji kepada keluarga Encik Haris dan Cik Rohana.
Mazni yang kini sedang belajar dalam Tingkatan enam dalam aliran sains, akan
menduduki peperiksaan 'Higher School Certificate' (H.S.C) terpaksa berhenti sekolah
untuk bekerja. Mazni memerlukan wang untuk mengubati penyakit ibunya. Mazni
bersahabat baik dengan Zaki, seorang pelajar bidang perubatan di Universiti Singapura.
Suatu hari, anak Encik Haris iaitu Karim terlibat dalam kemalangan jalan raya dan
dimasukkan ke hospital. Semasa terlantar di hospital, tiada kawan yang datang
menziarahinya dan keadaan ini menyebabkan Karim insaf atas perbuatannya yang suka
berfoya-foya. Hanya Mazni yang sering mengunjunginya sewaktu terlantar di hospital.
Dalam diam-diam terbit perasaan cinta di hati Karim terhadap Mazni, yang begitu luhur
hatinya. Mazni terpaksa mengorbankan cintanya terhadap Zaki dan menerima cinta
Karim yang akhirnya membawa ke jinjang pelamin. Cik Rohana membantah hubungan
Mazni dan Karim tetapi akur dengan kehendak anak terunanya.

Pada hari perkahwinan Karim dan Mazni, rakan-rakan Cik Rohana telah
memfitnah Mazni dengan mengatakan bahawa Mazni telah pun berbadan dua. Ibu
Mazni yang percaya akan fitnah tersebut telah meninggal dunia kerana terlalu sedih.
Walau pun sudah berumah tangga, Mazni yang masih bersedih kerana kematian ibunya,
meneruskan pelajarannya melalui kelas malam. Setelah berpindah ke rumah sendiri,
Karim mula berubah perangai dan mengamalkan sikap berfoya-foya kembali. Akhirnya,
terjadi satu pertengkaran antara Mazni dengan Karim kerana Karim berasa cemburu
apabila Mazni selalu keluar berjumpa dengan Dr. Zaki di Hospital Johor Bahru. Karim
menampar Mazni sehingga pengsan. Selepas itu, Karim menyesali perbuatannya tetapi
nasi sudah menjadi bubur. Mazni dimasukkan ke hospital. Semasa berada di hospital,
Mazni gembira apabila diberitahu bahawa dia telah berjaya dalam peperiksaan H.S.C.
Namun Mazni tidak dapat memaafkan Karim dan meminta Karim melepaskannya.
Karim yang begitu kecewa dengan Mazni akhirnya terbunuh dalam kemalangan kerana
terlanggar pokok dan memandu ketika mabuk. Apabila Mazni pulih sepenuhnya, dia
bertekad ingin melanjutkan pelajarannya ke universiti di Kuala Lumpur. Zaki kecewa
dengan keputusan Mazni dan mengharapkan Mazni menyambung pelajarannya di
Universiti Singapura.

Novel 'Badai Semalam' mengemukakan tema tentang ketabahan seorang wanita


dalam menghadapi liku-liku hidup sehingga berjaya mencapai cita-citanya. Hal ini jelas
dipaparkan oleh pengarang menerusi watak Mazni. Mazni seorang wanita yang tidak
mudah putus asa dalam mengharungi cabaran dan halangan sehingga berjaya
mencapai cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti.
Selain tema di atas, terdapat beberapa persoalan yang menarik dalam novel ini.
Persoalan percintaan berlandaskan kesucian hati turut dipaparkan. Contohnya, Mazni
yang bersahabat baik dengan Zaki saling mencintai antara satu sama lain tetapi
percintaan mereka terhalang apabila Mazni berkahwin dengan Karim. Pengarang juga
menyentuh persoalan kritikan sosial iaitu sikap golongan atasan yang terlalu
mementingkan status sosial dan memandang rendah golongan bawahan. Contohnya,
Cik Rohana yang terlalu angkuh pada mulanya tidak sanggup bermenantukan
Mazni iaitu anak orang gajinya tetapi dia insaf apabila disedarkan oleh suaminya, Encik
Haris.

Selain itu, jalan cerita 'Badai Semalam' begitu menarik dan plotnya di luar
dugaan pembaca. Peristiwa dalam novel 'Badai Semalam' disusun secara kronologi.
Dalam bahagian eksposisi, pengarang menggambarkan suasana tempat Mazni
belajar dan Mazni digambarkan tergesa-gesa pulang ke rumah untuk menjenguk ibunya
yang sakit. Plot novel berkembang dengan konflik yang dihadapi oleh Mazni seperti
terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja kerana menjaga ibu yang sakit, terpaksa
mengorbankan cita-cita dan berkahwin dengan Karim, serta menghadapi tekanan
perasaan apabila ibunya meninggal dunia. Plot cerita bertambah menarik apabila
sampai ke klimaks cerita apabila Mazni ditampar oleh suaminya sehingga pengsan dan
dimasukkan ke hospital. Plot masuk ke tahap peleraian apabila Mazni yang sudah
berjaya dalam peperiksaan H.S.C. dan baru saja kematian suaminya, Karim
mengambil keputusan yang tegas untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah
universiti di Kuala Lumpur dan menolak cinta Zaki.

Di samping itu, pengarang turut memaparkan watak-watak yang berkesan dalam


novel ini. Mazni digambarkan memiliki ciri-ciri kewanitaan timur yang sejati. Dia
seorang yang bersopan santun dan lemah lembut. Buktinya, kelembutan dan
kesopanannya telah menyebabkan Karim anak tuan rumahnya jatuh cinta kepadanya
sehingga mereka berkahwin. Selain itu, Mazni juga seorang wanita yang gigih.
Contohnya, walaupun telah berkahwin, Mazni masih meneruskan pelajaran di kelas
malam sehingga berjaya dalam peperiksaan H.S.C. dan melanjutkan pelajaran dalam

jurusan perubatan. Mazni juga tabah dalam menghadapi cabaran hidup. Dia
meneruskan kehidupan selepas ibunya meninggal akibat mendengar fitnah tentangnya
dan masih meneruskan kelas malamnya walaupun ditentang oleh ibu mertuanya, Cik
Rohana. Selepas kematian suaminya, dia bertekad meninggalkan Tanjung Puteri untuk
meneruskan pengajiannya di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Watak pembantu
dalam novel turut menghidupkan jalan cerita. Karim, suami Mazni ialah seorang yang
suka berfoya-foya dan sering tiada di rumah. Cik Rohana pula, digambarkan suka
memandang rendah kepada orang gajinya dan mendengar hasutan orang. Contohnya,
Cik Rohana menentang perkahwinan anaknya, Karim dengan Mazni anak bekas orang
gajinya. Dia juga turut mempercayai hasutan jiran bahawa Mazni telah mengandung
semasa berkahwin dengan Karim. Watak Zaki pula digambarkan sebagai seorang yang
gigih. Walaupun keluarganya miskin, tetapi dia berjaya meneruskan cita-citanya
menjadi doktor.

Pelbagai pengajaran dapat ditemui dalam novel ini. Pengajaran tersebut dapat
dijadikan teladan oleh para pembaca. Bak kata pepatah, 'yang baik dijadikan teladan
dan yang buruk dijadikan sempadan'. Antara pengajarannya ialah setiap manusia
hendaklah memiliki sikap tabah dan cekal dalam menghadapi dugaan hidup.
Contohnya, Mazni yang tabah menempuh pelbagai kesusahan termasuk menghadapi
kematian ibu dan suami, akhirnya berjaya mencapai cita-citanya melanjutkan
pelajaran ke universiti. Selain itu, kita juga jangan terlalu memandang rendah terhadap
orang lain. Contohnya, Cik Rohana yang memandang rendah tehadap Mazni, akhirnya
menyesali perbuatannya apabila anaknya, Karim meninggal dunia dalam kemalangan.
Novel ini turut mengajar pembaca supaya jangan suka mengumpat dan
menyebarkan fitnah kerana perbuatan itu dapat menjejaskan kebahagiaan rumah
tangga orang lain. Contohnya, jiran Cik Rohana yang menyebarkan fitnah tentang
Mazni dan Karim sepatutnya bertanggungjawab atas kematian ibu Mazni yang begitu
sedih apabila mendengar fitnah tentang anaknya. Dalam novel ini juga, pembaca
dinasihati supaya menjauhi arak kerana perbuatan meminum arak, bukan saja
merupakan dosa besar, malah turut memberikan kesan buruk kepada peminum.
Contohnya, Karim akhirnya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya akibat
memandu dalam keadaan mabuk.

Dalam novel ini juga terdapat tiga jenis latar, iaitu latar tempat, latar masa dan
latar masyarakat. Latar tempat dalam novel ini ialah di Tanjung Puteri, Johor Bharu. Di
sinilah Mazni dilahirkan dan dibesarkan sehingga berumah tangga dengan Karim.
Selain itu, terdapat latar di rumah Encik Haris dan Cik Rohana, tempat Mazni dan ibunya
menumpang teduh. Latar tempat yang lain ialah hospital iaitu tempat Karim menerima
rawatan dan Mazni turut berada di hospital selepas ditampar oleh Karim. Latar masa
novel ini pula, adalah pada dekad 70-an, Hal ini terbukti kerana Mazni mengambil
peperiksaan H.S.C. tetapi sekarang telah digantikan dengan STPM. Terdapat juga latar
masa pada waktu petang iaitu ketika Mazni mengunjungi Karim di hospital setiap hari
selama 3 bulan. Selain itu, terdapat juga latar masa pada waktu malam iaitu sewaktu
Mazni meneruskan pelajarannya di kelas malam selepas berumah tangga. Latar
masyarakat dalam novel ini pula ialah masyarakat kelas atasan dan kelas bawahan.
Masyarakat kelas atasan digambarkan menerusi keluarga Encik Haris dan Cik Rohana,
orang kaya yang disegani di Tanjung Puteri. Masyarakat bawahan pula digambarkan
menerusi watak Mazni dan ibunya Mak Bibah yang merupakan orang gaji kepada
keluarga Encik Haris dan menumpang tinggal di rumah itu walaupun Mak Bibah tidak
lagi bekerja.

Kesimpulannya, novel 'Badai Semalam' ini harus dibaca oleh semua remaja kerana
keistimewaannya. Dengan menghayati novel ini, pembaca akan mendapat gambaran
tentang kegigihan seorang wanita dalam menempuh kehidupan yang penuh cabaran dan
sanggup berkorban untuk membahagiakan orang lain. Nilai dan
pengajaran dalam novel ini dapat dijadikan teladan oleh para pembaca agar
menghargai jasa ibu bapa dan giigih berusaha untuk mencapai kejayaan.