Anda di halaman 1dari 2

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera. Terima kasih diucapkan kepada pengerusi majlis.

Sekalung apresiasi saya hulurkan kepada yang dihormati, Encik Malik bin Faizal, Tuan pengetua SMK
Tasik Alam, barisan guru-guru, rakan-rakan seperjuangan seterusnya hadirin hadirat sekalian.
Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah ucapan yang bertajuk "Langkah-langkah
untuk Membendung Pencemaran Alam Sekitar".

Hadirin yang dimuliakan sekalian,

Sebelum saya memulakan ucapan pada hari ini, terlebih dahulu saya ingin mendefinisikan maksud
alam sekitar. Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira
bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara
dan air seperti sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat pihak-
pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran yang tidak sewajarnya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

"Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa.” Begitulah
antara bait lagu Hijau dendangan Zainal Abidin. Seni kata lagu itu menceritakan kemusnahan alam
sekitar akibat kerakusan manusia. Sepertimana yang kita ketahui, sikap manusia pada hari ini
sememangnya adalah faktor utama berlakunya pencemaran alam sekitar. Buktinya, kini berlakunya
perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, banjir kilat, suhu global yang semakin
meningkat dan lain-lain. Terdapat pelbagai usaha dari ramai pihak yang telah dilakukan untuk
memelihara alam sekitar ini. Namun usaha-usaha tersebut belum lagi menyedarkan semua
masyarakat kerana mereka seolah-olah masih belum peka dengan masalah ini. Terdapat beberapa
belah pihak yang meyakini bahawa cara yang terbaik untuk memelihara dan memulihara alam
sekitar ini adalah dengan memberikan pendedahan awal kepada golongan kanak-kanak berkaitan
alam sekitar. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Bagi saya, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan dan diamalkan oleh ibu bapa dalam hal ini.
Demi memberi kesedaran dan pendedahan awal kepada anak-anak tentang penjagaan alam sekitar,
ibu bapa boleh membelikan atau membawa mereka ke perpustakaan yang berhampiran untuk
membaca bahan-bahan bacaan yang berkaitan. Namun jika ibu bapa tidak mempunyai masa yang
terluang untuk ke perpustakaan, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk melayari laman-laman
web yang berkaitan dengan alam sekitar. Ianya kerana di dalamnya terdapat pelbagai informasi,
panduan dan tips penjagaan alam sekitar yang boleh diterapkan kepada anak-anak. Melalui bahan-
bahan bacaan yang dinyatakan tersebut, dapatlah mereka hayati konsep 3R dalam penjagaan alam
sekitar iaitu, 'Reduce', 'Reuse' dan 'Recycle yang bermaksud 'Kurangkan, Gunakan Semula dan Kitar
Semula'. Oleh itu, jelaslah bahawa info-info berkaitan dengan alam sekitar perlulah diberitahu
kepada anak-anak agar mereka sentiasa peka dengan hal-hal yang berkaitan dengannya.

Sidang hadirin yang dikasihi,


Antara cara lain yang boleh menggalakkan anak-anak mengajar anak menjaga alam sekitar ialah
dengan menyuruh mereka agar tidak membuang sampah merata-rata. Mereka seharusnya perlu
membuang sampah di tempat yang sepatutnya iaitu tong sampah. Ianya juga adalah lebih baik jika
ibu bapa mendidik dan memberikan contoh kepada anak mereka dengan mengasingkan jenis-jenis
sampah yang boleh dan tidak boleh dikitar semula. Contohnya seperti botol plastik, kaca, kertas dan
sebagainya. Ibu bapa di rumah boleh menyediakan tong sampah di rumah mengikut jenis-jenis
bahan buangan tersebut. Hal ini bagi memudahkan anak-anak membuang sampah mengikut
kategorinya dengan betul. Oleh itu, barang yang boleh dikitar semula dapat lah digunakan semula
dengan baik tanpa melakukan pembaziran. Maka, cara ibu bapa dalam bersikap kreatif dan
berfikiran jauh ini juga sangat penting supaya dapat mendidik anak-anak di rumah ke arah yang lebih
baik.

Seterusnya, cara yang terakhir yang boleh dilakukan juga adalah dengan mengasuh anak-anak
menggunakan sumber alam secara berhemat terutamanya penggunaan air dan elektrik. Contohnya
seperti air mandian dan basuhan boleh dikitar semula untuk menyiram pokok bunga di halaman
rumah. Selain itu, lampu dan peralatan elektrik lain juga perlu ditutup jika tidak digunakan lagi. Hal
ini dapat menjimatkan sumber alam yang terdapat di bumi kita. Sebagai ibu bapa juga, mereka boleh
menggalakkan anak-anak untuk menyertai program yang berkaitan dengan pemeliharaan alam
sekitar. Tamsilnya seperti program gotong-royong membersihkan kawasan kejiranan, menyertai
ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar dan banyak lagi. Oleh itu, mereka akan terbiasa
dengan aktiviti-aktiviti seperti ini dan seterusnya akan mendidik mereka untuk menjadi seorang yang
menyayangi alam sekitar.

Saudara dan saudari sekalian,

Kesimpulannya, kita perlulah sedar walaupun usaha tersebut kelihatan kecil di mata kita, tetapi
ianya dapat menonjolkan hasil yang berbaloi jika wujudnya kerjasama oleh semua masyarakat. Oleh
itu, kita perlulah bersama-sama berganding bahu untuk berusaha mengekalkan kelestarian alam
sekitar kita. Semua masyarakat perlulah bertindak dengan segera sebelum nasi menjadi bubur.
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada kali ini, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun.

Jika ada sumur di ladang,

Boleh kita menumpang mandi,

Jika ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai