Anda di halaman 1dari 7

Kepentingan Pengaplikasian Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa

Melayu kepada Pelajar Asing

1.0 Pengenalan

Penggunaan komputer yang semakin meluas telah membawa inovasi dalam dunia

pendidikan. Jika sebelum ini tumpuan pengajaran bahasa lebih terarah kepada pengajaran

secara konvensional dengan pelajar hanya menunggu arahan guru yang berada di hadapan

atau pembelajaran berfokuskan guru. Kaedah tersebut ternyata kurang rasional dalam dunia

pendidikan sekarang kerana percambahan fikiran secara kritis dan kreatif dalam kalangan

pelajar tiada. Ekoran itu, Suruhanjaya Teknologi Pengajaran, USA Bjerstedt (dalam Mahzan

Arshad, 2008) melihat teknologi pendidikan sebagai kaedah yang sistematik bagi

pembentukan, pelaksanaan dan penilaian proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang

lebih efisyen hasil gabungan daripada sumber manusia dan bukan manusia. Kaedah ini

ternyata relevan dengan tuntutan semasa dan merupakan cara yang paling berkesan, terutama

bagi proses PdP bahasa Melayu kepada pelajar asing. Intergrasi antara teknologi sebagai alat

bantu mengajar dengan proses PdP seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya baiknya kerana

membawa pelbagai manfaat mengikut kesesuaian peringkat pelajar.

2.0 Kepentingan Pengaplikasian Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Bahasa Melayu kepada Pelajar Asing

Pengaplikasian teknologi dalam pendidikan mempunyai beberapa kepentingan kepada pelajar

asing. Antara kepentingannya kepada pelajar adalah untuk meningkatkan minat, kefahaman

dan prestasi pelajar; memudahkan pelajar mempersiapkan diri sebelum kelas; memudahkan

pelajar berinterasi sesama mereka dan pensyarah; dan memotivasikan pelajar untuk terus

belajar bahasa Melayu.


2.1 Meningkatkan Minat, Kefahaman dan Prestasi Pelajar

Salah satu kepentingan pengaplikasian teknologi dalam proses PdP ialah minat, kefahaman

dan prestasi pelajar akan meningkat. Hal ini dikatakan demikian kerana, pengintegrasian

teknologi maklumat komunikasi dalam PdP berupaya merangsang pemikiran pelajar kerana

memperoleh pelbagai jenis maklumat walaupun maklumat tersebut tidak dipelajari dari dalam

kelas (Chua et al., 1999). Melalui teknologi, pelajar sebenarnya telah menggunakan pelbagai

deria untuk mendapatkan maklumat tersebut. Dubitsky dan Tall (1991) menyatakan bahawa

idea-idea menjadi lebih mudah difahami oleh lebih ramai individu apabila ia dipersembahkan

secara lebih konkrit. Dalam situasi ini, teknologi komputer berupaya menjadikan idea-idea

yang abstrak kepada konkrit dalam minda melalui visualisasi yang digunakan oleh simulasi

paparan grafik, animasi dan sebagainya. Malahan, kajian yang dijalankan oleh Mahzan

Arshad (2008) mendapati penerimaan maklumat menerusi deria penglihatan merangkumi 83

peratus daripada keseluruhan deria yang digunakan oleh pelajar. Lantas maklumat yang

dicerap oleh pelajar lebih berkesan sekiranya teknologi digunakan sebagai alat perantara

untuk merangsang kefahaman pelajar.

Sebenarnya, kaedah bersyarah yang digunakan dalam pembelajaran bahasa kepada

penutur asing tidak banyak membantu. Kita perlu kembali kepada matlamat utama pelajar

tersebut mempelajari bahasa Melayu. Kebanyakan pelajar asing yang mengambil subjek

bahasa Melayu adalah sebagai syarat wajib universiti dan sebagai alat komunikasi. Maka,

kebanyakan pembelajaran bahasa terarah kepada cara yang betul atau sepatutnya digunakan

dalam sesuatu konteks. Contohnya apabila bertanyakan arah. Apakah cara yang betul untuk

bertanyakan arah? Apakah kosa kata yang sepatutnya digunakan? Lantas, apabila teknologi

dimasukkan dalam P&P, pelajar lebih memahami kerana dapat melihat gambar, mendengar

dialog dan tingkah laku orang di dalam video yang dipaparkan. Malah, mereka juga tahu cara
untuk mengadaptasi video tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Ternyata dengan

teknologi pelajar meningkatkan minat, kefahaman dan prestasi pelajar.

2.2 Memudahkan Pelajar Mempersiapkan Diri Sebelum Kelas

Sebelum pelajar masuk ke kelas, mereka perlu mempersiapkan diri terlebih dahulu agar kelas

yang bakal berlangsung tersebut dapat dijalankan dengan jayanya. Rata-rata pelajar sudah

mengetahui topik yang akan dibincangkan pada kuliah seterusnya kerana telah dibekalkan

dengan Rancangan Instruksional atau diberitahu oleh pensyarah sebelum kelas berakhir, iaitu

semasa sesi refleksi. Maka mereka boleh bersedia lebih awal. Persedian tersebut bukan hanya

boleh dicapai melalui pembacaan buku tetapi pelajar boleh bersedia dengan mengakses

maklumat dari internet atau mendengar cakera padat. Maklumat kini dengan mudah boleh

diperoleh dengan hanya memasukkan kata kunci dan menekan tetikus. Kebanyakan pelajar

juga memiliki komputer dan tahu menggunakannya. Lantas, tidak timbul masalah untuk

menggunakannya. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan maklumat melalui pangkalan

data-pangkalan data yang dilanggani oleh perpustakaan universiti. Pangkalan data merupakan

himpunan data atau maklumat elektronik yang dilalaikan penggunaannya.

2.3 Memudahkan Pelajar Berinterasi Sesama Mereka dan Pensyarah

Pelajar asing memerlukan perhatian yang lebih daripada pensyarah mereka. Hal ini kerana

mereka boleh disamakan dengan kanak-kanak kerana tidak tahu bagaimana untuk

menterjemahkan sesuatu objek menggunakan bahasa. Walau bagaimanapun, pelajar asing ini

semestinya sudah mempunyai kosa kata tersebut tetapi bukan dalam bahasa Melayu. Oleh itu

agak sukar apabila mereka perlu menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Kekangan

masa bersama pensyarah menyebabkan mereka tidak dapat bertanya secara terus. Namun,

dengan adanya teknologi semuanya dapat dipermudahkan. Kecanggihan teknologi

memudahkan hubungan pelajar dengan rakan-rakan atau pensyarah. Walaupun Ahmad et al.
(1985) menyatakan bahawa komputer tidak boleh menggantikan pensyarah kerana tidak

boleh bergaul dengan pelajar tetapi pergaulan tersebut boleh dibina melalui e-mel dan juga

forum melalui ruang siber. Benar komputer itu bukan pensyarah tetapi pensyarah

menggunakan komputer sebagai medium perhubungan yang paling mudah walaupun berada

di luar kampus. Pendekatan ini mewujudkan jarak yang lebih mesra. Dalam situasi sebenar,

bukan semua pelajar selesa berdepan dengan pensyarah mereka atau mereka menghadapi

kekangan masa untuk bertemu. Maka, apabila teknologi diadaptasi dalam dunia pendidikan,

maka pelajar dapat berkomunikasi lebih mudah dan mungkin lebih mesra. pelajar mudah

bertanyakan soalan tanpa ada jurang masa yang menghalang. malah, dengan internet juga

pelajar dapat bertukar-tukar pendapat dengan rakan-rakan mereka. Oleh itu proses

pembelajaran tersebut tidak hanya berhenti setakat di dewan kuliah semata-mata.

2.4 Memotivasikan Pelajar untuk Terus Belajar Bahasa Melayu

Pembelajaran bahasa mengguna pakai teknologi sesungguhnya dapat memotivasikan pelajar

untuk terus mendekati dan mendalami pelajaran bahasa Melayu. Mereka boleh mendapatkan

bahan-bahan melalui internet. Pembelajaran berasaskan bilik kuliah sahaja tidak memadai.

Maka mereka perlu mencari inisiatif untuk lebih mudah memahami pembelajaran tentang

sesuatu topik. Lantaran itu, mereka boleh melayari mana-mana laman sesawang untuk

mendapatkan maklumat tambahan. Melalui teknologi juga mereka dapat menyiapkan tugasan

lebih cepat dan berkesan. Sebelum ini pelajar yang mempelajari bahasa asing selalunya

disogokkan dengan kad, gambar atau meminta mereka membuat kamus bergambar melalui

kreativiti mereka. Namun, teknik begitu boleh diubah dengan meminta pelajar membuat

kamus bergambar menggunakan medium elektronik. Hasil kerja pelajar tersebut

kemudiannya dibentangkan di hadapan kelas. Maka dengan ini, bukan hanya mereka belajar
tentang sesuatu perkataan tatapi juga kaedah penyusunan ayat yang betul apabila perlu

menjelaskan hasil kerja tersebut.

3.0 Kesimpulan

Teknologi sesungguhnya memudahkan proses P&P. Walau bagaimanapun, teknologi,

khususnya komputer hanyalah alat sahaja. Pensyarah dan pelajar tidak harus bergantung

kepada teknologi semata-mata. Walaupun teknologi membantu dalam P&P tetapi semuanya

akan kembali kepada pensyarah. Pensyarah yang perlu kritis dan kreatif untuk menarik minat

pelajar asing dan membantu mereka memahami topik-topik yang diajarkan. Maka, di sinilah

peranan teknologi dilihat.

RUJUKAN

Asmah Omar (2003). Pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing: kaedah dan prinsip.

Dalam Atiah Hj. Mohd. Salleh dan Ramlah Muhamad (penyelenggara). Pengajaran

bahasa melayu untuk penutur asing. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bangert-Drowns, R.L., Kulik, J.A. dan Kulik C.C., 1985. Effectiveness of computer-based

education in secondary school. Dalam Journal of Computer-Based Instruction, 12,

(3),59-68

Benson, P dan Voller, P. (1997). Autonomy and independence in language learning. London:

Longman.

Chua S.G, Rashidi Azizan, Jamalul Lail Abdul Wahab & Mohd Izham Mohd Hamzah

(1999). Persepsi guru sains sekolah rendah terhadap aspek P&P pedagogi bestari

bernatukan teknologi komputer bagi mata pelajaran Sains Sekolah Bestari. Dalam

Seminar Antarabangsa Pengajaran-Pembelajaran Abad ke-21 pada 24-25 November


1999. Bangi: Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia dan UNESCO

Malaysia.

Dubinsky, E. & D. Tall. 1991. Advanced Mathematical Thinking And The Computer. Dlm.

Tall, D. (Pnyt.), Advanced Mathematical Thinking (ms. 231- 243). London: Kluwer

Academic Publisher.

Ismet Fanany (2008). Penggunaan teknologi dalam menyajikan bahan pengajaran dan

pembelajaran bahasa Melayu. Dalam Atiah Hj. Mohd. Salleh dan Ramlah Muhamad

(penyelenggara). Pengajaran bahasa melayu untuk penutur asing. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Levy, M. (1997). Computer-assisted language learning. Oxford: Clarendon Paperbacks.

Mahzan Arshad (2008). Pendidikan literasi Bahasa Melayu-strategi perancangan dan

pelaksanaan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Mike, P. (1996). Internet in the school: a literarcy prespective. Dalam Journal of Adolescent

and Adult Literacy, 40 (1), 1-13.

Mohd Anuar Rethwan (2008). Pengajaran Bahasa Melayu untuk penutur Jepun-catatan

ringkas. Dalam Atiah Hj. Mohd. Salleh dan Ramlah Muhamad (penyelenggara).

Pengajaran bahasa melayu untuk penutur asing. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Roselan Baki (2003). Kaedah pengajaran Bahasa Melayu. Shah Alam: Karisma Publishing.

Yahya Othman (2003). Perlaksanaan kemahiran berfikir dalam pengajaran Bahasa Melayu.

Dalam Jurnal Bahasa, 3,(1),136-159.


Zainal Abdul Abdul Aziz (2003). Reka bentuk pengajaran bahasa Melayu berasaskan ICT

bagi penutur asing. Dalam Atiah Hj. Mohd. Salleh dan Ramlah Muhamad

(penyelenggara). Pengajaran bahasa melayu untuk penutur asing. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai