Anda di halaman 1dari 3

TAJUK PIDATO : KEBERSIHAN ALAM SEKITAR, TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Andai patah sayap rajawali, bertongkat jua saya ke mari. Bukan untuk bermadah
saya ke sini, tetapi untuk kita sama-sama menghayati, mendalami dan menyelami
mauduk bicara yang berbunyi, “Kebersihan Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama.”
Sekalung aprisiasi saya hulurkan buat peneraju majlis, kombinasi intelektual
kehakiman bervisi, penjaga masa yang setia dengan masanya, warga pendidik yang
bermisi, rakan-rakan seperjuangan dan warga dewan sekalian.
Assalammualaikum dan salam perjuangan buat penutur-penutur Bahasa Malaysia
tercinta.

Sidang hadirin yang dikasihi,


Sebelum ledakan hujah menghujani seisi dewan, mohon izin untuk
menghuraikan makna tajuk pidato saya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,
kebersihan bermaksud keadaan yang bersih. Alam sekitar pula ditakrifkan sebagai
segala yang ada di bumi dan di langit. Tanggungjawab adalah amanah dan tugas
yang perlu dipikul oleh seseorang manakala bersama pula diertikan sebagai semua
yang terlibat.

Sidang hadirin yang berwawasan,


Indikator saya yang pertama, Keluarga Bestari, Kebersihan Dilestari. Melentur
buluh biar dari rebung, begitu juga dengan kebersihan alam sekitar ini yang harus
dipupuk dari kecil lagi. Apapun, kesedaran itu bermula dari ibu bapa terlebih dahulu.
Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak agar mencintai alam
sekitar. Ibu bapa harus menerapkan sikap cintakan kebersihan sejak kecil lagi agar
menjadi kelaziman dan bukan paksaan. Ibu bapa mesti menanam rasa cinta pada
alam sekitar dalam diri mereka, tunjukkan contoh yang baik pada anak-anak. Insya
Allah akan tertanam rasa cinta pada kebersihan alam sekitar pada diri anak-anak.
Mendidik anak-anak tentang teori mungkin tidak sukar tetapi untuk
mengaplikasikannya dalam kehidupan sendiri dan keluarga perlukan kesungguhan
dan wajib dipratikkan demi kebersihan alam sekitar.
Sidang hadirin yang berwawasan,
Sekolah Berwawasan, Kebersihan Diteruskan merupakan indikator saya yang
kedua. Pihak sekolah tidak terkecuali daripada tanggungjawab terhadap kebersihan
alam sekitar. Tamsilannya, peranan dalam memberikan tarbiyah tentang alam
sekitar kepada pelajar perlu diperkasakan lagi. Guru-guru perlu mengajar pelajar
tentang kepentingan mengamalkan nilai kebersihan dalam hidup terutamanya yang
melibatkan kemaslahatan (kepentingan) sejagat seperti kebersihan kawasan
sekolah, taman rekreasi dan sebagainya. Kebersihan alam sekitar seharusnya
dijadikan satu nilai penting dalam elemen merentasi kurikulum. Aktiviti seperti
gotong-royong dan program kitar semula boleh dilakukan supaya murid-murid
bersama-sama menjaga kebersihan alam sekitar. Langkah yang dijalankan dengan
penuh istiqamah ini sudah pasti dapat mendidik generasi muda tentang kepentingan
amalan kebersihan alam sekitar.

Sidang hadirin yang penuh santun,


Indikator saya yang ketiga, Media Massa Proaktif, Kebersihan
Progresif. Media massa merupakan perantara utama untuk menyampaikan sesuatu
maklumat, membina persepsi dan tanggapan serta membentuk sikap masyarakat
tentang maklumat yang disampaikan. Penyampaian maklumat melalui media massa
yang proaktif amatlah penting kerana sesuatu idea, berita atau maklumat tidak
disampaikan sekiranya kita tidak mempunyai media untuk menyampaikan bahan
tersebut. Oleh yang demikian, rancangan dan program yang dapat menyemaikan
sikap rakyat menjaga kebersihan awam harus disiarkan melalui saluran media cetak
dan media elektronik dari semasa ke semasa untuk menyedarkan rakyat tentang
peri pentingnya kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Kempen-
kempen seperti Cintailah Sungai Kita, Selamatkan Bumi Kita, Kempen Bebas Beg
Plastik, larangan penggunaan bekas polisterina serta straw plastik perlu
diwarwarkan dalam bentuk iklan, wawancara dan dokumentari akan membawa
kesedaran sivik kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan alam
sekitar. Sambutan Hari Alam Sekitar pada setiap 23 April juga menunjukkan
tanggungjawab dan kepekaan kita terhadap kebersihan alam sekitar.
Sidang hadirian yang bervisi,
Resepi alam sekitar yang bersih telah saya ungkapkan, ambil, kunyah dan
telan dalam diri kita. Sudah terang lagi bersuluh, berdasarkan hujah yang saya
sampaikan maka tidak dapat dinafikan bahawa menjaga kebersihan alam sekitar
tanggungjawab bersama. Bagi memastikan tubuh kita sihat, sememangnya
bergantung kepada alam sekitar yang bersih.

Hayatilah,
Alam anugerah dari Ilahi, anugerah yang harus kita hargai, hendaklah dijaga dan
disayangi, bukan dirosakkan atau dicemari.

Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai