Anda di halaman 1dari 4

Pertubuhan serantau merupakan satu pertubuhan yang anggotanya terdiri daripada

negara-negara yang berjiran antara satu sama lain. Pembentukan pertubuhan ini adalah
untuk kepentingan politik, ekonomi dan sosial (Adewiyatun et al, 2019). Sejak Malaysia
mencapai kemerdekaan, terdapat tiga pertubuhan serantau yang telah dibentuk dan
disertainya iaitu ASA (Association of Southeast Asia) pada tahun 1961, MAPHILINDO pada
tahun 1963 dan ASEAN (Association of Southeast Asian Nations) pada tahun 1967.
Penubuhan ASEAN adalah kerana hasrat Malaysia yang ingin meneruskan untuk berbaik-
baik dan mengadakan kerjasama dengan negara-negara jiran walaupun dua buah
pertubuhan yang dibentuk sebelum ini iaitu ASA dan MAPHILINDO gagal dan tidak bertahan
lama. Usaha ini akhirnya berhasil dengan termeterainya Deklarasi Bangkok pada 8 Ogos
1967 yang membawa kepada penubuhan ASEAN. Antara tujuan menganggotai ASEAN
adalah untuk mengekalkan kestabilan politik di Asia Tenggara serta membantu negara
antara satu sama lain dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan, meningkatkan taraf
hidup penduduk melalui kerjasama dalam bidang pertanian, perdagangan dan perindustrian
selain memberikan kerjasama dan membantu dalam bentuk latihan dan penyelidikan
mengadakan hubungan yang erat dengan persatuan atau pertubuhan serantau dan
antarabangsa. Setiap tindakan-tindakan yang dibuat adalah berdasarkan pendirian-
pendirian yang tertentu.

Isu pemerdagangan manusia merupakan masalah serius yang melanda dunia


secara global. Menurut Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran,
2007, pemerdagangan manusia didefinisikan sebagai perbuatan yang melibatkan
pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan
seperti merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima
seseorang. Salah satu kesan aktiviti pemerdagangan manusia adalah mencemarkan imej
negara di mata dunia (Norraiha, 2016). Bagi membanteras masalah tersebut, Akta
Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 —yang dipinda
pada tahun 2010 dan 2015—menjadikan pemerdagangan pekerja dan pemerdagangan
seks suatu jenayah dan menetapkan hukuman penjara tiga hingga 20 tahun dan denda,
yang cukup ketat dan, berkenaan dengan pemerdagangan seks, setimpal dengan hukuman
yang ditetapkan untuk kesalahan serius lain, seperti rogol telah diwujudkan. Aktiviti
pemerdagangan manusia termasuklah segala bentuk eksploitasi sama ada untuk tujuan
seks, kerja paksa, perhambaan bahkan turut melibatkan pemindahan organ manusia
(Hamzah et al, 2019). Aktiviti ini mendatangkan pelbagai kesan negatif dan salah satu
pendirian Malaysia dalam usaha membendung masalah ini adalah menubuhkan akta
tersebut.
Di samping itu, menurut kajian yang dilakukan oleh Samuni dan Kanyo (2013), yang
bertajuk ‘Usaha Malaysia Dalam Membanteras Jenayah Pemerdagangan Orang’ telah
menerangkan secara ringkas berkenaan usaha-usaha dan pendirian yang dijalankan oleh
pihak kerajaan Malaysia dalam membanteras isu ini. Menurut kajian tersebut, antara usaha
yang dilakukan oleh Malaysia dalam membanteras pemerdagangan manusia termasuklah
menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO),
menguatkuasakan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran
(ATIPSOM 2007), mewujudkan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang
(2010-2015), menjalankan rundingan dengan negara luar, penguatkuasaan, pendakwaan
dan perlindungan. Kajian ini turut menyatakan bahawa kerajaan Malaysia telah mengambil
langkah holistik dan proaktif dalam membanteras pemerdagangan manusia. Oleh itu,
menjadi satu tanggungjawab kepada masyarakat pula untuk membantu pihak penguatkuasa
bagi memastikan pemerdagangan manusia dapat dibanteras dengan berkesan.

Selain kewujudan akta serta usaha-usaha diatas, terdapat tindakan-tindakan yang


boleh dilakukan bagi membanteras masalah isu pemerdagangan manusia ini seperti,
pemimpin-pemimpin negara serantau perlu bekerjasama untuk mengurangkan jurang
ekonomi. Sebagai contoh, Komuniti ASEAN dapat dilihat sebagai asas yang kuat dalam
menjalinkan kerjasama serantau yang diyakini mampu mengurangkan jenayah merentasi
sempadan apabila negara-negara di Asia Tenggara menjalin kerjasama politik, ekonomi dan
sosial. Sekiranya negara-negara serantau membangun secara serentak, keperluan rakyat
sesebuah negara untuk bekerja di negara jiran akan berkurang kerana mempunyai taraf
ekonomi yang stabil. Secara tidak langsung, keadaan ini seterusnya akan mengurangkan
pemerdagangan manusia.

Selain pentingnya usaha serta tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan,
masyarakat juga perlu memainkan peranan yang penting dalam membantu mengurangkan
masalah isi pemerdagangan ini. Sebagai contoh, masyrakat perlulah bersikap proaktif serta
berani untuk melaporkan gerak-geri yang mencurigakan di sekeliling mereka. Mereka
seharusnya bekerjasama bagi memastikan kawasan tempat tinggal mereka tidak dijadikan
sebagai markas pemerdagangan manusia. Contohnya, Persatuan Rukun Tetangga perlu
sentiasa menjalankan pelbagai langkah untuk membanteras perlakuan jenayah di kawasan
perumahan mereka. Dengan adanya laporan secara berkala, setiap aktiviti pemerdagangan
manusia dapat dijejak dari peringkat awal. Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan
jenayah pemerdagangan manusia kepad pihak berkuasa kerana identiti mereka akan
dirahsiakan (Shaari, 2011).. Maka, sekiranya setiap kawasan mempunyai komuniti yang
bertanggungjawab serta proaktif seperti ini, pasti masalah isu jenayah pemerdagangan
manusia dapat dibendung dan diatasi dengan mudah.
Secara logiknya, dapat kita lihat bahawa isu pemerdagangan manusia ini banyak
melibatkan pendatang tanpa izin dari Bangladesh, Filipina, India, Indonesia, Kemboja,
Myanmar, Nepal dan Pakistan. Sebagai contoh, Sabah sememanganya menjadi tumpuan
warga Filipina dan Indonesia untuk mencari pekerjaan dan kehidupan yang sempurna.
Biasanya, mereka memasuki negeri itu secara haram melalui utara Sabah dan Wallace Bay.
Aktiviti sebegini jelas berlaku melalui laluan laut. Ancaman sebegini turut menjadi cabaran
kepada negara dalam menanganinya. Namun, kerajaan telah menetapkan tugas dan
tanggung jawab bagi setiap pasukan yang menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Menurut (Othman et al, 2015) ancaman seperti ini akan ditangani oleh Polis Marin dan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Tidak dilupakan juga TLDM yang turut
membantu dalam menangani ancaman seperti ini dengan menjalankan rondaan dan akan
melaporkan kepada APMM dan Polis Marin jika mendapati aktiviti seperti ini berlaku di
kawasan rondaan. Selain agensi-agensi ini, terdapat jabatan-jabatan lain yang membantu
dalam menjaga perairan negara, salah satu contoh yang dapat kita lihat ialah Jabatan
Perikanan yang mengawal penangkapan ikan secara haram oleh warganegara atau bukan
warganegara.

Tuntasnya, pemerdagangan manusia merupakan satu isu yang serius yang sedang
melanda dunia dan bukan sahaja berlaku di Malaysia. Isu pemerdagangan manusia tidak
boleh dibiarkan daripada terus berlaku di Malaysia kerana ianya akan membawa pelbagai
kesan negatif khususnya merencatkan pembangunan negara ini dari aspek politik, ekonomi
dan sosial. Oleh yang demikian, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah
efektif untuk menangani isu ini. Langkah-langkah yang diambil jelas menunjukkan bahawa
kerajaan Malaysia sentiasa berusaha dengan gigih dan proaktif dalam membanteras isu
pemerdagangan manusia secara holistik. Langkah-langkah yang telah dijalankan ini juga
menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam menangani
isu pemerdagangan manusia dengan mengikut dasar negara serta mengambil kira aspek
kedaulatan, keselamatan dan integriti. Pada masa yang sama, langkah-langkah yang
diambil oleh kerajaan ini akan memberikan hasil yang positif sekiranya masyarakat sekeliling
memahami, mempunyai kesedaran serta tanggungjawab sosial dalam membantu pihak
kerajaan menangani isu pemerdagangan manusia hingga ke peringkat akar umbi.

Rujukan

Adewiyatun, Lestari, E., & Yasiroh, W. (2019). Kerja Sama Negara-negara Asia Tenggara.
doi:10.31227/osf.io/g4s7r
Hamzah, N. A., Othman, N., & Musa, W. A. (2019). Pemerdagangan Manusia di Malaysia:
Isu dan Usaha Membanteras. International Journal of Law, Government, and
Communication, 4(15), 130-140.

Norraiha Mohamad Eusof. (2016). Jenayah Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan


Migran Di Malaysia: Pandangan Undang-Undang Dan Islam. (Tesis Sarjana). Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Othman, Z., Idris, N. A. (2015). Migrasi dan keselamatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Samuni, N., & Kanyo, N. I. (2013). Usaha Malaysia Dalam Membanteras Jenayah
Pemerdagangan Orang: Satu Tinjauan. International Journal of Environment, Society and
Space (IJESS), 1(1), 62-74.

Shaari, S. A. (2011). Pemerdagangan manusia dan kesannya terhadap isu keselamatan di


Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai