Anda di halaman 1dari 9

CADANGAN JAWAPAN

LATIHAN MENGENAL PASTI ISU, KEHENDAK SOALAN DAN MEMBINA


PENDAHULUAN SERTA PENUTUP ESEI PENGAJIAN AM SEMESTER 1

1. Penetapan gaji minimum dalam sesuatu bidang pekerjaan perlu dilakukan untuk memastikan
golongan pekerja di negara ini memperoleh pendapatan yang berpadanan dengan pekerjaan
yang mereka lakukan. Bincangkan kebaikan pelaksanaan penetapan gaji minimum tersebut.

Isu: Penetapan gaji minimum

Kehendak soalan: Kebaikan pelaksanaan penetapan gaji minimum (5+0)

Ayat pendahuluan:

Dasar gaji minimum yang dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan untuk memastikan golongan
pekerja di negara ini memperoleh pendapatan yang berpadanan dengan pekerjaan yang mereka
lakukan. Pelaksanaan penetapan gaji minimum tersebut memberikan banyak kebaikan kepada
semua pihak.

Ayat kesimpulan:

Kesimpulannya, penetapan dasar gaji minimum ini memberikan banyak kebaikan kepada
semua pihak terutamanya kepada para pekerja. Oleh itu, kerajaan haruslah sentiasa menambah
baik dasar ini dari masa ke masa bagi memastikan kebajikan para pekerja terus dijaga.

2. Warisan budaya dimiliki oleh sesebuah masyarakat mempunyai kepentingannya yang


tersendiri. Oleh itu, langkah-langkah bagi memastikan warisan budaya masyarakat tersebut
terus wujud perlu diambil. Bincangkan.

Isu: Warisan budaya

Kehendak soalan:

Kepentingan dan langkah-langkah bagi memastikan warisan budaya sesebuah masyarakat


terus wujud (3+2 @ 2+3)

Ayat pendahuluan:

Warisan budaya semakin hari semakin dilupakan. Warisan budaya ini mempunyai
kepentingannya yang tersendiri. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil bagi memastikan
warisan budaya masyarakat ini terus wujud.

Ayat kesimpulan:

Kesimpulannya, kita haruslah menggembleng tenaga bagi memastikan warisan budaya ini terus
kekal dan diamalkan oleh generasi muda serta generasi seterusnya.
3. Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis barangan kraf tangan. Usaha perlu
dijalankan untuk menjadikan industri kraf tangan ini sebagai satu industri berskala besar yang
mampu memberikan sumbangan kepada ekonomi negara. Bincangkan.

Isu: Industri kraf tangan

Kehendak soalan: Usaha yang perlu dijalankan untuk menjadikan industri kraf tangan sebagai
satu industri berskala besar (5+0)

Ayat pendahuluan:

Sejak turun-temurun, seni kraf tangan telah diwarisi dan telah dikembangkan menjadi industri
yang mampu menjana pendapatan. Justeru, usaha perlu dilakukan bagi menjadikan industri ini
lebih maju dan memberikan sumbangan kepada ekonomi negara.

Ayat kesimpulan:

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa industri kraf tangan mampu menjadi satu industri yang
berskala besar. Namun begitu, usaha ini memerlukan komitmen dan kesungguhan daripada
pelbagai pihak seperti pengusaha kraf tangan dan kerajaan.

4. Sistem persekolahan mampu memupuk perpaduan kaum di negara ini. Namun demikian,
peranan pelbagai pihak lain tidak boleh diketepikan. Jelaskan.

Isu: Perpaduan kaum

Kehendak soalan: Peranan pelbagai pihak dalam memupuk perpaduan kaum (1+4)

Ayat pendahuluan:

Perpaduan kaum dalam kalangan penduduk boleh dipupuk melalui sistem persekolahan
Malaysia. Namun begitu, pelbagai pihak lain juga berperanan dalam memupuk perpaduan
kaum ini.

Ayat kesimpulan:

Perpaduan kaum amat penting dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara terus
terjamin. Oleh itu, sebarang ancaman terhadap usaha memupuk perpaduan kaum perlu
dibanteras agar negara terus kekal berdaulat.
5. Terdapat pelbagai ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan Malaysia.
Jelaskan.

Isu: Keselamatan dan kedaulatan Malaysia

Kehendak soalan:

Ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan Malaysia (5+0)

Ayat pendahuluan:

Negara yang berdaulat amat penting bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan
penduduknya. Namun begitu, terdapat perkara atau perbuatan yang boleh mengancam
keselamatan dan kedaulatan negara.

Ayat kesimpulan:

Kesimpulannya, semua pihak perlu peka terhadap sebarang bentuk ancaman yang dapat
menggugat keselamatan dan kedaulatan negara. Pelbagai usaha perlu dilakukan bagi
memastikan negara sentiasa dalam keadaan selamat daripada ancaman-ancaman tersebut.

6. Banyak faktor yang mengakibatkan kegiatan rasuah berlaku. Oleh itu, langkah-langkah tertentu
perlu dilakukan untuk mengawal gejala ini daripada terus berkembang. Huraikan.

Isu: Gejala rasuah

Kehendak soalan:

Faktor-faktor berlakunya kegiatan rasuah dan langkah-langkah mengawal gejala tersebut


daripada terus berkembang (3+2 @ 2+3)

Ayat pendahuluan:

Rasuah didefinasikan sebagai memberi atau menerima sesuatu bertujuan untuk mempengaruhi
keputusan yang dibuat oleh seseorang. Terdapat banyak faktor berlakunya rasuah dan langkah-
langkah tertentu perlu diambil bagi mengawal gejala ini daripada terus merebak.

Ayat kesimpulan:

Rasuah boleh menjejaskan imej dan kesejahteraan negara. Oleh itu, semua pihak hendaklah
bekerjasama dalam menangani gejala rasuah ini.
7. Perpaduan kaum memainkan peranan yang penting untuk menjamin keamanan negara.
Lantaran itu, kerajaan hendaklah melaksanakan pelbagai langkah untuk menyatupadukan
rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Jelaskan.

Isu: Perpaduan kaum

Kehendak soalan:

Kepentingan perpaduan kaum dan langkah-langkah untuk menyatupadukan rakyat yang


berbilang kaum di negara ini (3+2 @ 2+3)

Ayat pendahuluan:

Perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini penting untuk menjamin keamanan
negara. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah tertentu untuk menyatupadukan rakyat
berbilang kaum di negara ini.

Ayat kesimpulan:

Perpaduan kaum adalah teras kepada keharmonian dan kesejahteraan negara. Rakyat yang
berbilang kaum harus bersatu padu demi menjamin kemajuan dan kedaulatan negara.

8. Kebelakangan ini, segelintir golongan muda didapati lebih mengutamakan budaya hedonisme
(berseronok). Langkah tertentu perlu dilakukan untuk memastikan golongan ini tidak
melupakan budaya tempatan. Jelaskan.

Isu: Budaya hedonisme

Kehendak soalan:

Sebab golongan muda mengutamakan budaya hedonisme dan langkah-langkah memastikan


budaya tempatan tidak dilupakan (3+2 @ 2+3)

Ayat pendahuluan:

Hedonisme merupakan ajaran atau pandangan bahawa kesenangan atau keseronokan


merupakan tujuan hidup manusia. Terdapat pelbagai sebab golongan muda mengutamakan
budaya ini dan langkah-langkah tertentu perlu diambil bagi memastikan budaya tempatan tidak
dilupakan oleh mereka.

Ayat kesimpulan:

Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama dalam memberi kesedaran kepada golongan
muda akan keburukan hedonisme agar mereka tidak terus lalai dan melupakan budaya
tempatan.
9. Tadbir urus baik memerlukan kecekapan pegawai awam. Oleh itu, pelbagai usaha perlu
dilakukan bagi meningkatkan kualiti pegawai perkhidmatan awam. Huraikan.

Isu: Tadbir urus baik

Kehendak soalan:

Usaha yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kualiti pegawai perkhidmatan awam (5+0)

Ayat pendahuluan:

Amalan tadbir urus yang terbaik akan memudahkan agenda pembangunan nasional dicapai.
Pelbagai usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan kualiti penjawat awam agar tadbir urus
terbaik dapat dilaksanakan.

Ayat kesimpulan:

Kesimpulannya, sikap proaktif dan kemahiran kakitangan kerajaan akan meningkatkan


produktiviti sektor awam. Kemahiran, sikap dan pengetahuan yang dimiliki oleh penjawat
awam juga penting untuk meningkatkan imej perkhidmatan.

10. Teknologi satelit membawa pelbagai manfaat kepada Malaysia, namun kesan negatif
disebaliknya tidak boleh diketepikan. Bincangkan.

Isu: Teknologi satelit

Kehendak soalan: Manfaat dan kesan negatif teknologi satelit (3+2 @ 2+3)

Ayat pendahuluan:

Satelit merupakan objek buatan manusia yang ditempatkan di ruang angkasa bagi
melaksanakan fungsi tertentu yang ditetapkan. Walaupun teknologi satelit membawa banyak
manfaat kepada negara, namun terdapat juga kesan negatif teknologi ini kepada kita.

Ayat kesimpulan:

Konklusinya, teknologi satelit menjadi pemangkin kepada pembangunan negara. Namun


demikian, kita harus memastikan teknologi ini tidak disalahgunakan demi keselamatan negara.
11. Kebelakangan ini, generasi muda yang merupakan benteng pertahanan negara pada masa depan
dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik terhadap negara. Usaha-usaha perlu dilakukan
bagi menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan mereka. Ulaskan.

Isu: Semangat patriotik

Kehendak soalan:

Faktor generasi muda kurang semangat patriotik dan usaha-usaha yang perlu dilakukan bagi
menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan mereka (3+2 @ 2+3)

Ayat pendahuluan:

Semangat patriotik adalah semangat cinta akan negara dan sanggup berkorban demi negara.
Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyebab kepada kurangnya semangat patriotik dan
usaha-usaha bagi menyuburkan kembali semangat ini dalam diri generasi muda.

Ayat kesimpulan:

Kesimpulannya, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-
masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat
terutamanya generasi muda pada masa ini.

12. Kecemerlangan tadbir urus dalam perkhidmatan awam menuntut ciri-ciri kepimpinan yang
berkualiti. Huraikan.

Isu: Tadbir urus

Kehendak soalan: Ciri-ciri kepimpinan yang berkualiti (5+0)

Ayat pendahuluan:

Tadbir urus negara menuntut komitmen setiap individu atau tenaga kerja di setiap peringkat
bagi berusaha membangunkan negara. Oleh itu, pemimpin yang mempunyai ciri-ciri
kepimpinan yang berkualiti perlu untuk negara mengecapi kemajuan.

Ayat kesimpulan:

Jelaslah bahawa kepimpinan yang berkualiti perlu diberi penekanan supaya organisasi yang
cemerlang dapat diwujudkan serta negara dapat bersaing di arena global.
13. Penghijrahan modal insan Malaysia yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan tinggi ke
negara lain terus berlaku. Fenomena ini jika dibiarkan berterusan akan menjejaskan ekonomi
negara. Bincangkan.

Isu: Penghijrahan modal insan Malaysia

Kehendak soalan:

Faktor penghijrahan modal insan Malaysia dan kesan penghijrahan tersebut kepada negara
(3+2 @ 2+3)

Ayat pendahuluan:

Dewasa ini, atas beberapa faktor seorang daripada setiap sepuluh rakyat yang mempunyai
kelayakan pendidikan atau kemahiran telah meninggalkan negara. Fenomena ini akan memberi
kesan yang tidak baik kepada negara.

Ayat kesimpulan:

Konklusinya, pelbagai usaha perlu diambil untuk menarik balik tenaga pakar dan mahir ini serta
menawarkan syarat kerja yang baik untuk memberhentikan penghijrahan cendekiawan ini.

14. Selain dari aspek pemisahan fizikal, terdapat faktor-faktor lain yang menghalang
pengintegrasian dan perpaduan kaum di negara ini. Ulaskan pernyataan tersebut.

Isu: Integrasi dan perpaduan kaum

Kehendak soalan: Faktor-faktor yang menghalang pengintegrasian dan perpaduan kaum (1+4)

Ayat pendahuluan:

Perpaduan merupakan agenda utama sejak negara mencapai kemerdekaan. Tetapi negara
berhadapan dengan pelbagai faktor yang menyebabkan pengintegrasian dan perpaduan kaum
terjejas.

Ayat kesimpulan:

Perpaduan dan pengintegrasian kaum bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
Masyarakat perlu fokus kepada kepentingan nasional iaitu perpaduan dan bukan berasaskan
kehendak perkauman semata-mata.
15. Gejala rasuah telah menjadi ‘duri dalam daging’ sehingga mendatangkan kesan buruk kepada
masyarakat dan negara. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil bagi mengawal gejala ini
daripada berleluasa. Bincangkan.

Isu: Gejala rasuah

Kehendak soalan:

Kesan buruk gejala rasuah dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengawal gejala
tersebut (3+2 @ 2+3)

Ayat pendahuluan:

Rasuah merupakan satu tindakan menyalahgunakan kuasa yang diturunkan kepada seseorang
untuk mendapatkan faedah dan kepentingan sendiri. Gejala ini membawa kesan buruk kepada
semua pihak dan langkah-langkah tertentu perlu diambil bagi mengawalnya.

Ayat kesimpulan:

Kesimpulannya, rasuah merosakkan keseluruhan komuniti dan harus dibanteras dengan tegas
demi memastikan masyarakat dan negara menjadi aman dan sentosa.

16. Laman web rangkaian sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter telah menyerap dengan
pantas dalam masyarakat di seluruh dunia. Namun begitu, ada pihak yang mencadangkan laman
web ini diharamkan penggunaannya. Bincangkan.

Isu: Laman web media sosial / laman web rangkaian sosial

Kehendak soalan: Kebaikan dan keburukan laman web rangkaian sosial (3+2 @ 2+3)

Ayat pendahuluan:

Tidak semua perkara memberikan keburukan sahaja. Setiap sesuatu yang dicipta pasti ada
kebaikannya. Hal ini sama seperti laman web rangkaian sosial yang mempunyai kebaikan dan
keburukannya.

Ayat kesimpulan:

Kepentingan laman web dalam kehidupan manusia memang tidak dapat dinafikan lagi. Setiap
individu harus menggunakan media sosial ini dengan bijak.
17. Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memperkasa pertahanan negara bagi memastikan
kedaulatan negara kita terpelihara, namun terdapat pelbagai halangan untuk merealisasikan
hasrat tersebut. Ulaskan.

Isu: Memperkasakan pertahanan negara

Kehendak soalan:

Usaha-usaha yang dilakukan untuk memperkasa pertahanan negara dan halangan untuk
merealisasikan hasrat tersebut (3+2 @ 2+3)

Ayat pendahuluan:

Pertahanan negara yang kukuh penting bagi memastikan kedaulatan sesebuah negara itu
terjamin. Kerajaan telah berusaha memperkasakan pertahanan negara, namun menghadapi
pelbagai ancaman dalam merealisasikan hasrat tersebut.

Ayat kesimpulan:

Setiap individu memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan keamanan dan
keselamatan negara dengan pelbagai cara. Pertahanan negara tidak boleh dipandang enteng oleh
negara lain.

18. Selain daripada menguruskan pentadbiran negara, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab
yang lain. Bincangkan.

Isu: Tanggungjawab kerajaan

Kehendak soalan: Tanggungjawab- tanggungjawab kerajaan (1+4)

Ayat pendahuluan:

Kerajaan sesebuah negara mempunyai pelbagai tanggungjawab bagi memastikan keharmonian


dan kemajuan negara tersebut. Kerajaan yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka akan
menyebabkan kedaulatan negara tersebut terjejas.

Ayat kesimpulan:

Dalam memastikan kesejahteraan negara, bukannya bergantung sepenuhnya kepada kerajaan


sahaja. Kerjasama setiap pihak dalam negara untuk menjayakan agenda nasional juga sangat
diperlukan.

Nota: Ini hanya cadangan pendahuluan dan kesimpulan bagi soalan-soalan yang
diberikan. Para pelajar boleh menulis pendahuluan dan kesimpulan sendiri yang
difikirkan sesuai dengan isu dan kehendak soalan.

Terima kasih……..
Prepared by: Cikgu Nurul Huda SMKLM

Anda mungkin juga menyukai