Anda di halaman 1dari 3

Kesan buruk rokok dari rambut ke kaki

Oleh Abu Bakar Abdul Majeed

2010/06/01
KIRA-KIRA 20 peratus daripada lebih satu bilion perokok di dunia sekarang ini adalah wanita.
Namun begitu, wanita yang merokok semakin meningkat di beberapa negara.

Untuk menangani isu ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih ‘Gender dan tembakau
dengan penekanan pemasaran kepada wanita’ sebagai tema hari tanpa tembakau sedunia tahun
ini, yang disambut setiap 31 Mei.
Hari Tanpa Tembakau Sedunia diadakan setiap tahun bertujuan memberi kesedaran bahaya
tabiat merokok secara berterusan. Mengawal penggunaan rokok di kalangan wanita adalah
penting sebagai sebahagian strategi pengawalan tembakau.
Industri tembakau menjadikan wanita sebagai sasaran utama. Pihak industri perlu mewujudkan
perokok baru bagi menggantikan perokok tegar yang separuh daripadanya sudah meninggal
dunia akibat rokok.

Wanita yang merokok bermula sejak remaja boleh meningkatkan risiko putus haid dua hingga
tiga tahun lebih awal daripada sepatutnya. Masalah ketidaktentuan haid seperti pendarahan yang
tidak normal, haid yang tidak teratur atau tiada haid adalah masalah yang sering dihadapi
perokok wanita.

Haid yang tidak normal dan putus haid awal mungkin disebabkan oleh kesan toksik bahan kimia
dalam asap rokok terhadap ovari, atau pengurangan hormon estrogen yang signifikan. Tambahan
pula, wanita yang merokok sekotak rokok setiap hari akan menghadapi kehilangan ketumpatan
tulang sebanyak lima hingga 10 peratus lebih berbanding yang tidak merokok.

Kajian mendapati perokok wanita mempunyai 80 peratus risiko untuk mendapat barah pangkal
rahim. Kajian diterbitkan Persatuan Barah Amerika Syarikat pada 1994 menunjukkan risiko
kematian di kalangan pesakit barah payudara meningkat kepada 75 peratus apabila merokok dua
kotak atau lebih sehari.
Merokok adalah risiko yang dikaitkan dengan penyakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD),
penambahan jumlah wanita yang merokok kebelakangan ini menyebabkan kadar penyakit ini
meningkat.

Di beberapa negara, peningkatan kadar perokok di kalangan wanita amat membimbangkan.


WHO sudah mengeluarkan laporan bertajuk ‘Women and health: today’s evidence, tomorrow’s
agenda’ yang mempunyai bukti berkaitan peningkatan iklan rokok yang menjadikan wanita
sebagai sasaran utama.
Data dari 151 negara menunjukkan hampir tujuh peratus gadis remaja merokok, berbanding 12
peratus remaja lelaki. Di sesetengah negara, bilangan remaja perempuan yang merokok hampir
sama dengan remaja lelaki. Mempromosi dan melindungi kesihatan wanita adalah penting bukan
saja untuk hari ini malah untuk generasi akan datang.

Lebih banyak bukti saintifik mengenai bagaimana merokok mendatangkan bahaya kepada
kesihatan ditemui pada 1980-an. Sejak itu kerajaan Malaysia menggiatkan kempen anti-
merokok. Namun demikian, secara umumnya kempen hanya didapati berkesan terhadap
golongan berpelajaran dan berpendapatan tinggi.

Merokok adalah satu polemik yang paling kerap diperkatakan. Setiap isu yang diketengahkan
oleh kumpulan anti-merokok akan ditentang sama ada secara tersurat atau tersirat oleh kumpulan
yang menggalakkan merokok,
terutama sekali industri tembakau. Maka dengan itu, usaha untuk mengubah tabiat merokok
menjadi amat sukar.

Bukti saintifik semakin jelas menunjukkan bahawa rokok menyebabkan kematian, penyakit dan
hilang upaya. Wujud asas kukuh menyatakan rokok menjadi penyebab utama kepada kematian
yang boleh dielakkan. Setiap tahun, kira-kira lima juta orang mati disebabkan rokok.
Kebanyakan kematian berlaku di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Mengimbas kesan buruk merokok, ia merangkumi segala sistem yang ada di dalam tubuh
manusia dan boleh dikatakan bahawa kesan buruk rokok berlaku dari hujung rambut sehingga
hujung kuku. Masalah serangan angin ahmar atau strok boleh berlaku dalam sistem saraf pusat
iaitu di bahagian otak.

Serangan ini boleh membawa padah kepada perokok, jika saluran darah yang pecah terletak di
bahagian utama otak yang mengawal pergerakan, pertuturan, memori dan sebagainya. Hilanglah
keupayaan menjaga diri sendiri ketika itu, dan seseorang mungkin terpaksa bergantung kepada
penjagaan orang lain sepanjang hayat.

Serangan jantung juga boleh berlaku disebabkan penyempitan saluran darah koronari di jantung.
Serangan jantung yang serius boleh saja membawa maut dalam masa beberapa ketika. Kalau pun
ditakdirkan hidup, tempoh pemulihan mungkin mengambil masa yang sangat panjang dan kualiti
kehidupan tidak lagi sama baik seperti sebelumnya.

Merokok menyumbang kepada lebih 25 jenis barah. Antaranya barah mulut, paru-paru, tekak,
esofagus, perut, pundi kencing, pankreas dan ginjal. Sembilan puluh peratus daripada kes kanser
jenis ini adalah disebabkan oleh tabiat merokok. Merokok juga menyebabkan ulser atau radang
perut, masalah penghazaman makanan dan gangguan selera makan.

Bagi lelaki, tahap kesuburan perokok didapati lebih rendah daripada biasa. Perokok akan
mengalami masalah kekurangan bilangan sperma, di samping masalah sperma tidak sihat dan
tidak normal. Perokok juga lebih terdedah kepada masalah mati pucuk kerana tindakan bahan
kimia dalam rokok menyebabkan saluran darah di alat kelamin mengalami penguncupan, justeru
darah tidak dapat mengalir ke situ.

Seperti perokok lelaki, perokok wanita turut terdedah dengan risiko barah, termasuk barah paru-
paru, mulut, tekak, kerongkong, buah pinggang, pankreas dan pundi kencing. Jika tabiat
merokok diteruskan ketika hamil, maka janin dalam kandungan mengalami masalah
pertumbuhan dada, kepala dan saiz keseluruhan tubuh yang lebih kecil daripada biasa.

Bayi juga apabila dilahirkan akan menghadapi lebih tinggi risiko terdedah kepada jangkitan
paru-paru, pengurangan keupayaan fungsi jantung, dan sindrom kematian bayi secara tiba-tiba
atau sudden infant death syndrome (SIDS).

Mengikut fakta, tahap kesuburan perokok wanita adalah lebih rendah iaitu sebanyak 72 peratus
jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok. Hakikatnya, perokok muda terutama di
kalangan golongan hawa semakin meningkat.

Melalui iklan dan promosi yang tidak beretika, ramai wanita beranggapan merokok boleh
mengurangkan berat badan. Walhal ia hanya untuk mengelirukan generasi muda untuk merokok.

Penulis ialah Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) Institut Pengurusan Penyelidikan


(RMI) UiTM, Shah Alam

Anda mungkin juga menyukai