Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN GB 

HARI ANUGERAH CEMERLANG 2017

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh..

Terima Kasih Saudari Pengacara Majlis,


Yang Berbahagia Encik Haris Fadilah bin Abd Salam (YDP PIBG SK. PT Bakar Darat) selaku perasmi Hari
Anugerah Cemerlang,
……………………………………………………………………………………………………….
Barisan Guru-guru Penolong Kanan, Guru-guru SKPBD, Pelajar-pelajar yang diraikan dan seterusnya ibu
bapa serta para hadirin yang saya muliakan.

      Izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah
kurnia dan inayahNya maka kita dapat berkumpul dalam dewan yang indah ini bagi melaksanakan satu
lagi agenda pendidikan yang diatur oleh pihak pengurusan sekolah. Ucapan syabas dan tahniah kepada
Jawatankuasa Pengelola Majlis ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan
dengan lancar dan teratur. Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi makna
kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan negara.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

      Saban tahun, pihak sekolah tidak pernah lupa mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan cemerlang
pelajar-pelajar dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Malahan bagi saya, majlis ini diadakan
khusus untuk meraikan para ibu bapa yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak
sebagai agenda pertama dalam kehidupan mereka. Jadi pada kesempatan ini saya bagi pihak sekolah
ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas bukan sahaja kepada para pelajar yang bakal menerima
anugerah malahan ibu bapa juga para guru yang menjadi nadi atau tulang belakang sehingga
membuahkan kejayaan untuk mereka.

      Sebenarnya, kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan yang
dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar, bahawa guru-guru di peringkat sekolah rendah perlu harus
‘Memberi’, agar para pelajar bersedia untuk ‘Menerima’. Selain insan yang ibarat lilin yang membakar diri
ini, ibu bapa juga perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak
mereka. Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang paling utama kejayaan adalah terletak pada
diri para pelajar itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya
ingin mengecapi kecemerlangan. 

     Sesungguhnya kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang
perlu ditempuhi. Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”,
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya.” Oleh itu para hadirin sekalian, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mencipta
kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan
merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan-tuan dan puan-puan sebagai ibu
bapa mereka.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,


      Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua
penerima anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para
penerima akan menjadi pemangkin untuk para pelajar mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam
bidang akademik dan bukan akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan pada hari ini
merupakan penghargaan pihak sekolah kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang
dalam pembelajaran pada tahun ini. Tahap pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh menjadi
contoh serta ikutan kepada para pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada
masa akan datang.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

       Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa pelajar-pelajar yang kita raikan
hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan Negara. Untuk itu, saya menyeru
kepada hadirin sekalian agar dapat sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam
kalangan anak-anak. Sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan
malahan kesihatan minda supaya harapan dan impian tuan-tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama
seperti harapan dan impian seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Maka
saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan-tuan dan puan-puan sekalian, marilah kita saling
bergandingan bagi memastikan para penerima anugerah ini bakal menjadi sebahagian warna-warna
kegembiraan Negara pada masa hadapan dan bukan merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan
dan kelekaan kita. Insya’Allah.
Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah
dan juga syabas kepada semua warga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan Hari Anugerah
Cemerlang  2017 Sekolah Kebangsaan Parit Bakar Darat  pada hari ini.

     Ikan sembilang sepat dan kelah,


              Guna bubu biasa di hujung,
              Pencapaian cemerlang dapat hadiah,
                 Petanda ilmu sentiasa dijunjung.

Sekian sahaja ucapan saya.


Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai