Anda di halaman 1dari 2

PENJAGAAN ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Pembangunan adalah sebahagian daripada perkara yang berlaku di sekeliling kita pada setiap hari.
Atas nama pembangunan, saban waktu kita melihat keadaan semula jadi di muka bumi ini terpaksa
dikorbankan sedikit demi sedikit, demi apa? Demi mengejar seribu impian yang terkandung dalam
istilah pembangunan.

Yang dihormati Guru-guru, dan rakan-rakan seperjuanganku sekalian.

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa. Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk
membuang masa hadirin, akan tetapi adalah untuk menyampaikan pidato saya yang bertajuk
penjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama. Di sini saya akan mengungkap beberapa persoalan
yang bersangkutpaut dengan pelestarian alam sekitar tanggungjawab bersama.

Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara, jika kita lihat tajuk pidato ini, ia merupakan
satu tajuk yang meluas dan banyak aspek boleh dibincangkan . Tetapi jika kita renung dan teliti
dengan sedalam-dalamnya maka kita dapat satu perkara yang penting iaitu pada perkataan
‘tanggungjawab bersama’. Saya akan pecahkan tajuk saya ini kepada tiga kompenan utama. Yang
pertama akan saya kupaskan punca-punca kemusnahan alam sekitar, keduanya kesan-kesan
kemusnahan alam sekitar dan seterusnya mencari jalan alternatif dalam melestarikan alam sekitar.
Semuanya tidak lain dan tidak bukan bertunjangkan tema penjagaan alam sekitar tanggungjawab
bersama.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

Kompenan saya yang pertama adalah punca-punca kemusnahan alam sekitar. Kemusnahan terhadap
alam sekitar terjadi angkara perbuatan manusia yang tidak mematuhi peraturan atau undang-undang
Negara. Tindakan tersebut juga dikaitkan dengan sikap ingin mengaut keuntungan maksimum dan
mengurangkan bebanan kos yang ditanggung. Pemimpin tersohor India, Mahatma Gandhi pernah
berpesan bahawa dunia hari ini hanya mencukupi untuk orang biasa tetapi tidak kepada orang yang
tamak dan haloba. Kata-kata yang terlalu besar ertinya itu membuatkan saya cukup terpanggil
mengajak saudara dan saudari sama-sama memikirkan alam sekitar kita.

Terdapat segelintir individu bersikap tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan yang merobek
keindahan alam sekitar secara tidak mematuhi piawaian yang ditetap pihak kerajaan sekaligus
menyebabkan keindahan alam sekitar tercabul. Individu yang tidak bertanggungjawab melakukan
sesuatu berdasarkan mana yang lebih mudah dan menguntungkan mereka. Soal keburukan dan
kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak lain tidak pula dikisahkan. Hal ini umpama jari-jari liar
yang rakus menerkam mangsanya. Batu dilontar ke depan, tangan disorok ke belakang. Yang konon-
kononnya terlalu sarat, terlalu berat untuk difikirkan bersama. Menyesakkan nafas orang yang
melihat. Manusia oh, manusia!

Warga dewan yang dihormati,

Kita terus meneroka dengan komponen kedua saya iaitu kesan-kesan kemusnahan alam sekitar.
Dipetik dari Malaysia Hari Ini, para akademik mendapati bahawa dua pertiga daripada ekosistem
yang seimbang yang dikaji, telah mengalami kerosakan di tangan manusia sepanjang setengah abad
yang lalu. Sepanjang 50 tahun yang lalu, manusia telah mengubah ekosistem dengan pantas dan
meluas berbanding mana-mana waktu dalam sejarah manusia, kebanyakannya bagi memenuhi
permintaan yang meningkat untuk keperluan harian manusia. Seluruh akibatnya, hanya kini, kian
nampak jelas. Lebih kurang 15 dari 24 ekosistem yang utama bagi kehidupan atas bumi telah
mengalami kerosakan yang serius.

Kesan buruk dapat dilihat dan dialami oleh seluruh masyarakat dunia akibat masalah pencemaran. Isu
pencemaran alam merupakan masalah peringkat global yang turut melanda negara seluruh dunia.
Mungkin sesebuah negara itu telah, sedang dan akan mengalami krisis ini. Kegagalan sesebuah negara
menangani pencemaran alam turut melepasi sempadan negara apabila kesannya turut dirasai di negara
lain. Maka, sudah tentulah isu alam sekitar sering menjadi duri dalam daging hubungan dua negara
yang berjiran. Sedekad lalu, masyarakat dunia heboh dengan masalah penipisan lapisan ozon.
Kejadian itu selalu menjadi igauan ngeri bagi generasi kini dan akan datang. Aktiviti harian manusia
sudah pasti tidak lepas daripada menghasilkan bahan buangan.

Namun, apakah tindakan kita? Jangan biarkan diri anda diselubungi dengan misteri. Kita teruskan
dengan komponen ketiga saya iaitu kempen melestari alam sekitar. Sebenarnya, kempen ini bukannya
bertujuan untuk menyusahkan, membebankan mahupun melecehkan hadirin sekalian tetapi bertujuan
mencari alternative untuk meminimumkan kesan daripada aktiviti tersebut. Sebenarnya krisis alam
sekitar bukannya suatu isu yang boleh dianggap remeh. Di peringkat global, pelbagai perbincangan
khusus yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi negara seluruh dunia. Deklarasi demi deklarasi
telah dibuat mengenai tatacara dan usaha mengatasi masalah ini. Memang tidak dinafikan, semua
pihak sedar kepentingan menjaga alam sekitar.

Ramai yang beranggapan bahawa pencemaran secara besar-besaran sahaja boleh mencemarkan alam
sekitar. Namun, hakikatnya memang berbeza seperti yang difikirkan. Saya bawakan contoh puntung
rokok dan kertas pembalut gula-gula. Biarpun kecil, tetapi sekiranya jumlahnya berlipat kali ganda
tetap mencemarkan alam sekitar. Acapkali kita lihat tempat-tempat seperti perhentian bas, tandas
awam dan sebagainya kelihatan agak kotor disebabkan benda-benda kecil ini. Sebenarnya, setiap
antara kita mempunyai peranan untuk melestarikan alam sekitar biarpun perkara itu dianggap remeh.
Jangan disebabkan perkara remeh ini, kelak membawa binasa kepada seluruh komuniti masyarakat.

Hadirin sekalin, warga dewan penuh santun,

Harus dikejut mana yang lena


Harus ditegur mana yang alpa
Sebelum manusia ditimpa bencana
Sebelum alam mulai bicara

Jika dikaji antara flora dan fauna tidak boleh dipisahkan. Asimilasi ini bagai isi dengan kuku, bagai
irama dengan lagu, bak aur dengan tebing. Oleh itu, hutan ditebang, hutan dimusnahkan, hutan
diterokai untuk pembangunan. Maka, sudah pastilah haiwan-haiwan akan pupus. Tidak hairanlah
hadirin sekalian, jika satu hari, monyet-monyet, harimau-harimau mahupun gajah-gajah ingin
berumah bersama kita. Seterusnya, ledakan bom jangka ketiga ini umpama ledakan bom jangka pada
generasi mendatang. Oleh itu, hadirin, bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan anjakan
paradigma dan menanamkan sikap mencintai alam sekitar. Ingat, alam gemilang, hidup pasti
cemerlang. Konklusinya, manusia yang mengancam manusia, manusia jugalah yang terancam.
Persoalannya, untuk mengejar sesuatu kemajuan, haruskah alam menjadi taruhan? Fikir-fikirkanlah
agar bom jangka ini tidak terus-terusan meledak seperti ledakan tsunami di Acheh, gempa bumi di
Pakistan. Tepuk dada tanyalah minda, tepuk dahi fikirlah sendiri. Penjagaan Alam Sekitar
Tanggungjawab Bersama, Wabillahitaufik wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi
wabarkatuh. Pemidato bestari, Izzulaikha Zainal Akmal, mohon permisi!

Anda mungkin juga menyukai