Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan : Pencemaran 

Sungai

Jun 30, 2007 — mindabahasa

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam
negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan
mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran
sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi
Khalid  melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh
dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.

Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang


mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga
penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan
sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara
membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah
penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan.
Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka  diami
adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul
perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha
memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan
lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa
batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah
‘mati’.    

Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan
Saliran,   Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya
semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau
Jabatan Alam  Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke
tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi
setahun  kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai
dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar
meningkat kepada 53. Bagaimanapun,  jumlah sungai yang mengalami pencemaran
teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak
diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002
bertambah baik setahun kemudian.  

Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak
ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai
dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya
rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan
daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang
menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi
sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran
membuang najis dan sampah. Kalau  diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan
rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai.
Ramai ketika itu  menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis.  Sehingga kini
pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi  menganggap sungai sebagai
saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai
masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.

Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi
itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian
ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan
prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya
apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam
sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran
orang  ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.

Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah


kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak
bertanggungjawab ini tetap diteruskan.  Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan
Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya,  apabila
pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah
hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut
menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara
berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian
ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya
boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-
bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai
terbabit.

Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman
dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa
pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

Anda mungkin juga menyukai