Anda di halaman 1dari 2

Soalan :

Peningkatan kes penyakit berjangkit dikatakan berpunca daripada sikap anggota masyarakat yang
tidak menjaga kebersihan persekitaran. Sejauhmanakah anda bersetuju dengan pernyataan ini?

Sejak kebelakangan ini, kes penyakit berjangkit semakin berleluasa di negara kita. Tidak
dapat dinafikan bahawa penyakit berjangkit merupakan sesuatu yang negatif dan perlu dipandang
serius oleh semua pihak. Kes penyakit berjangkit ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana lama-
kelamaan perkara tersebut akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada diri kita serta
orang lain. Walaupun agak sukar untuk mengekang masalah ini, peribahasa ada mengatakan bahawa
hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian, punca-punca peningkatan kes
penyakit berjangkit perlulah diperincikan demi kepentingan Bersama.

Saya bersetuju bahawa peningkatan kes penyakit berjangkit dikatakan berpunca daripada
sikap anggota masyarakat yang tidak menjaga kebersihan persekitaran. Hal ini dikatakan demikian
kerana Kawasan persekitaran yang kotor akan menyebabkan seseorang itu mudah dijangkiti
penyakit. Sebagai contoh, terdapat segelintir masyarakat yang tidak menghiraukan kebersihan
persekitaran dengan membuang sampah ke dalam longkang. Situasi ini akan membuatkan longkang
tersumbat. Longkang yang tersumbat akan menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes. Sehubungan
dengan itu, kes demam denggi akan meningkat dari semasa ke semasa. Demam denggi berisiko
meragut nyawa penghidapnya. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah mengambil pendekatan
yang proaktif untuk mengatasi masalah ini.

Selain itu, punca peningkatan kes penyakit berjangkit ialah sikap sesetengah individu yang
tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Kita hendaklah makan mengikut piramid makanan
sebagaimana yang telah disyorkan oleh pakar-pakar pemakanan. Hal ini penting bagi membekalkan
nutrien yang secukupnya untuk tubuh badan. Nutrien seperti Vitamin yang terdapat dalam sayur-
sayuran dan buah-buahan berfungsi untuk menghalang penyakit dengan penghasilan antibodi .
Antibodi yang lemah tidak dapat menghalang serangan penyakit berjangkit. Sehubungan dengan itu,
seseorang individu akan mudah dijangkiti penyakit seperti batuk dan demam selesema. Kita juga
digalakkan untuk mengambil suplemen tambahan agar tubuh badan kita sentiasa mendapat khasiat
yang secukupnya bagi mengukuhkan sistem pertahanan badan.

Di samping itu, punca peningkatan kes penyakit berjangkit ialah sikap sesetengah individu
yang mementingkan diri sendiri. Mereka sering mengambil mudah tentang isu penyakit berjangkit
yang sedang hangat diperkatakan misalnya wabak Covid-19. Bagi mengelakkan penularan wabak
tersebut, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka,
kerap mencuci tangan dengan sabun, dan tidak pergi ke kawasan yang menjadi tumpuan orang
ramai. Terdapat segelintir individu yang tidak mengendahkan perkara tersebut. Mereka

melakukan perbuatan yang dilarang sehingga menyebabkan penularan wabak penyakit itu sukar
untuk ditangani. Sebagai warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab, kita hendaklah sama-
sama membantu pihak kerajaan untuk mengekang penularan penyakit berjangkit demi
kesejahteraan bersama.

Punca peningkatan penyakit berjangkit yang seterusnya ialah perbuatan segelintir individu
yang mengamalkan tabiat buruk dalam kehidupan mereka. Antara tabiat buruk tersebut ialah
amalan seks bebas dan penagihan dadah. Individu yang gemar melakukan seks bebas atau bertukar-
tukar jarum suntikan semasa aktiviti penagihan dadah sangat berisiko untuk terkena jangkitan
penyakit kelamin seperti AIDS dan Sifilis. Penyakit-penyakit tersebut selalunya sangat sukar untuk
diubati. Hal ini akan menyebabkan penghidap penyakit tersebut mengalami penderitaan yang
berpanjangan. Dalam pada itu, mereka juga akan dicemuh oleh masyarakat . Hal ini sudah tentu
akan membuatkan seluruh ahli keluarga mereka mendapat malu. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa
menjauhkan diri daripada tabiat-tabiat buruk yang akhirnya akan membawa padah yang besar dalam
hidup kita.

Lain daripada itu, sikap sesetengah orang yang tidak menitikberatkan kebersihan diri juga
merupakan punca penularan penyakit berjangkit. Terdapat individu yang sering mengabaikan aspek
penjagaan diri seperti tidak memotong kuku, mandi secara ala kadar, memakai pakaian yang tidak
dicuci dan sebagainya. Sikap sebegini akan membuatkan mereka lebih mudah dijangkiti penyakit
berjangkit kerana kuman-kuman akan mudah membiak di tempat yang kotor. Pengusaha kedai
makanan yang mengabaikan kebersihan diri juga boleh menyebabkan kes penyakit berjangkit seperti
keracunan makanan. Keracunan makanan mengakibatkan seseorang mengalami muntah-muntah
dan cirit-birit. Terdapat dapat juga kes keracunan makanan yang sangat kritikal sehingga membawa
maut.

Sebagai kesimpulannya, jelaslah bahawa terdapat pelbagai punca yang menyebabkan


berlakunya peningkatan kes penyakit berjangkit dalam kehidupan kita. Penyakit berjangkit
membawa kesan yang sangat buruk jika tidak ditangani dengan segera. Oleh itu, semua pihak
perlukah berganding bahu mengambil pendekatan yang berkesan untuk menjauhinya. Semoga
komitmen yang bersepadu dan berterusan ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang
bahaya penyakit berjangkit. Kita percaya sekiranya segala usaha telah dilaksanakan tanpa mengenal
erti jemu, sudah pastilah masalah penyakit berjangkit ini dapat diatasi dengan jayanya.

Anda mungkin juga menyukai