Anda di halaman 1dari 9

Empirisisme dan

Nilai Budi Dalam

Pantun.

Tugasan: JXEX 1104

Nama: Rafiqah Binte Sani

1
Nombor Matrik: JEA080714

Pantun, tidak dapat dinafikan adalah wadah terpenting bagi melahirkan

hasrat, pemikiran dan mengolah segala naluri bangsa Melayu. Hasrat atau

pemikiran itu disampaikan dengan penggunaan bahasa yang cukup halus, penuh

dengan kesopanan dan berkias. Teori determinism mengatakan, setiap kewujudan

atau penciptaan adalah kerana sesuatu tujuan, sebab, atau hikmah tertentu (Nes

Smith, 1995). Oleh itu dapat dikaitkan di sini teori tersebut dengan kewujudan

pantun. Pantun berfungsi sebagai wadah untuk menyampaikan nasihat, kritikan,

hasrat dan menyampaikan perasaan kasih dan sayang.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998:977), pantun ialah puisi lama yang

biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap. Dalam setiap rangkap

terdapat dua baris pertama yang merupakan pembayang maksud dan selainnya

ialah maksud yang hendak disampaikan.

Empirisisme Dalam Pantun.

Pantun adalah satu artifak bukan-benda yang mencerminkan peradaban

orang Melayu di mana minda adalah sebahagian daripadanya. Kemampuan

manusia menggunakan minda akan melahirkan apa yang tercipta dalam peradaban

manusia itu sendiri. Pantun adalah warisan lisan yang penuh dengan keindahan. Ia

mengandungi bunyi yang berima yang indah untuk didengar dan mengandungi

maksud-maksud yang hendak disampaikan. Melalui pantun dapat dilihat

kebijaksanaan pemantun itu sendiri sebagai pemantun dan juga sebagai seorang

pemikir. Ia adalah dua tugas berlainan tetapi digabungkan dengan cukup alamiah.

2
Pada dasarnya sesebuah pantun itu akan menggambarkan persekitaran

masyarakat yang melahirkannya. Ini mengukuhkan lagi teori empirisisme yang

berpendapat bahawa sesebuah ilmu pengetahuan itu diperolehi dengan pengalaman

berasaskan pancaindera. Pantun menyatakan latar alam dan budaya masyarakat

itu. Latar sesebuah pantun memperlihatkan sama ada sesebuah masyarakat itu

adalah masyarakat pantai, pesisir, darat, desa, kota atau pendalaman seperti yang

boleh didapati melalui rangkap-rangkap di bawah:

(1) Baik-baik belayar malam,


Arus deras karangnya tajam;
Cari-cari malim yang faham,
Di situ banyak kapal tenggelam.

(2) Belayar masuk ke Kuala Kedah,


Patah Tiang timpa kemudi;
Sekuntum bunga terlalu indah,
Sekalian kumbang asyik berahi.

Jelas dapat dilihat melalui rangkap-rangkap tadi, ia telah dihasilkan oleh

masyarakat pesisir atau masyarakat pantai yang cukup mahir tentang pelayaran dan

kehidupan di laut. Pantun-pantun tadi juga boleh dihasilkan oleh seorang pemikir

yang mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang laut dalam hubungannya

dengan falsafah pemikiran manusia Melayu. Penggunaan pancaindera amat penting

dan menjadi tunggak dalam penghasilan pantun dalam masyarakat Melayu.

Imej alam dan persekitaran yang dilihat secara fizikal sering dijadikan

pembayang bunyi bagi rima. Cebisan alam sering digunakan dalam baris pantun

3
kerana alam selalu hadir dekat dengan masyarakat Melayu secara sedar ataupun

tidak. Persekitaran yang telah menjadi tempat berlindung dan sumber rezeki

masyarakat Melayu telah dihubungkan dengan cara yang terbaik. Interaksi antara

minda dengan alam sekitar tidak hanya terbatas secara fizikal tetapi juga dengan

imaginasi dan pengalaman yang didapati melalui sastera atau sejarah bangsa

Melayu itu sendiri. Seperti contoh:

(3) Helang dipanah Seri Rama,


Dipanah dengan panah sakti;
Hancur luluh bersama-sama,
Kasih terikat di dalam hati.

(4) Raden Inu Kartapati,


Itu pun sudah bersalin nama;
Rindunya abang bagaikan mati,
Akan adinda nilai utama.

Alam yang telah dijadikan sumber-sumber bagi pembayang maksud bukanlah

sesuatu yang direka-reka begitu sahaja. Korpus alamiah digunakan untuk membina

pembayang maksud sejauh mana terjangkau oleh akliah dan inderawi manusia. Ilmu

yang diperolehi melalui sastera dan sejarah juga digunakan dan diselitkan dalam

pembayang maksud pantun. Alam bukan sahaja menjadi sumber kreativiti pantun ,

sehingga korpus alam menjadi kias, menggambarkan dunia maknawi manusia tetapi

alam juga sarat dengan epistemenya yang menjadi panduan hidup manusia seperti

yang tertera di dalam rangkap pantun di bawah:

4
(5) Penakik pisau diraut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang jadikan nyiru;
Setitik jadikan laut,
Sekepal jadikan gunung,
Alam terkembang jadikan guru.

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu banyak mempelajari dan menimba

ilmu dari alam itu sendiri. Alam itu diibaratkan sebagai seorang guru di mana

masyarakat Melayu memperolehi ilmu. Ungkapan “alam terkembang jadikan guru”

dapat dijadikan panduan, pedoman dan iktibar. Banyak yang boleh dipelajari dari

alam kerana alam memberikan pelbagai petua yang boleh digunakan oleh manusia.

Pantun ini juga menjelaskan pentingnya ilmu dan seseorang itu harus meningkatkan

daya keilmuan yang memberi manfaat dan faedah.

Tingginya ilmu pengarang pantun ini berdasarkan apa yang dilihatnya juga

boleh didapati melalui pantun ini. Di sini pengarang pantun ini juga turut menyatakan

tentang proses kejadian laut dan gunung yang terjadi secara evolusi. Pengetahuan

yang sama juga dapat dilihat dalam mantera Melayu di bawah ini:

(6) Asal embun menjadi air,


Asal air menjadi buih;
Asal buih menjadi batu,
Asal batu menjadi biji.

Nilai Budi Dalam Pantun.

5
Masyarakat Melayu juga amat berpegang teguh dengan nilai budi. Menurut

Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998:180) budi membawa erti akal, kebijaksanaan. Budi

dapat dimanefestasikan di dalam satu gugusan hubungan sosio-budaya dan spiritual

yang merangkumi berbudi kepada Tuhan (Allah), berbudi kepada alam, berbudi

kepada bangsa dan tanah air, berbudi kepada masyarakat, berbudi kepada keluarga

dan diri sendiri. Tidak dapat disangkal lagi bahawa nilai budi itu amat tinggi dan

begitu penting nilainya dalam kehidupan masyarakat Melayu sehingga terlahirlah

banyak pantun-pantun budi. Pantun-pantun budi yang dihasilkan ini berfungsi

sebagai nasihat dan peringatan kepada pendengarnya seperti yang boleh didapati

melalui rangkap di bawah:

(7) Tegak rumah kerana sendi,


Runtuh sendi rumah binasa;
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.

Kepentingan nilai budi amat ditekankan sehingga ia menjadi sendi sesebuah

bangsa. Tanpa nilai budi, runtuhlah sesebuah bangsa itu. Budi dianggap sebagai

satu landasan atau orientasi nilai yang mengukuhkan sesebuah bangsa. Tanpa

orientasi nilai atau bebas-nilai, kehidupan adalah tanpa batasan. Batas-batas

kehidupan akan runtuh sama sekali.

Budi dianggap satu nilai yang terlalu penting di dalam perhubungan sosial

dan interaksi sesama individu. Budi bahasa adalah di antara aspek peribadi

seseorang yang dinilai tinggi oleh sesebuah masyarakat. Menurut Hashim Hj. Musa

(2001:80) budi bahasa dan budi bicara di sini merujuk kepada pertuturan seseorang

6
yang dianggap manis, sopan, bijaksana, bernas dan banyak memberi sumbangan

dan pengajaran kepada pendengarnya. Selain dari itu, akal budi dan hati budi pula

bermaksud akal fikiran dan hati kalbu yang sarat dengan ilmu, kebijaksanaan,

ketenangan, kewarasan, kemuliaan dan kebaikan.

Orang yang berbudi diibaratkanseperti sebatang pokok yang berguna. Kali ini

penggunaan perumpamaan mengaitkan diri manusia dengan alam. Sudah tentu

pokok yang berguna adalah pokok yang berbuah. Seseorang yang tanpa nilai budi

dianggap sebagai seseorang yang tanpa ilmu dan tidak akan dapat memberi

sumbangan seperti yang dapat dilihat dalam pantun di bawah:

(8) Cahaya redup menyegar padi,


Ayam berkokok mengikat tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.

Bagi seseorang yang tidak beradat atau rendah nilai budi bahasanya akan

menanggung akibat seperti yang tertera dalam rangkap pantun berikut:

(9) Salah ikat boleh diungkai,


Salah letak boleh dicari;
Salah buat badan merasai,
Salah cakap memburuk diri.

Hidup tanpa budi adalah satu penghinaan kepada seseorang individu itu.

Penghinaan bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi juga penghinaan kepada

orang-orang di sekelilingnya (keluarga). Penghinaan itu dibuat oleh sesebuah

masyarakat itu sendiri. Hidup tidak berbudi pula dibandingkan dengan besi karat:

7
(10) Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Manusia yang berbudi atau budiman adalah manusia mithali. Seseorang yang

patut diteladani dan dicontohi. Berperanan sebagai role-model. Manusia yang

budiman ialah manusia yang sebenar, yang kenal dan mengetahui akan dirinya dan

penciptanya. Seseorang yang tahu menjaga harga dirinya dan yang memiliki

kekuatan diri. Oleh itu, masyarakat Melayu terlalu menitikberatkan nilai dan akhlak

dalam kehidupan. Akhlak dan budi akan menjadi ukur tara seseorang dalam

sesebuah masyarakat.

Kesimpulan:

Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa sumber-sumber yang digunakan dalam

pembayang maksud adalah dari alam, sesuatu yang terjangkau oleh akal dan

pancaindera manusia. Begitu juga dengan maksud, yang merupakan jiwa pantun itu.

Korpus datanya datang dari pengalaman manusia. Maka di peringkat ini pantun

mengandungi persoalan yang rasional dan logikal, kesan dari interaksi manusia

dengan alamnya, sesama manusia dan juga Penciptanya.

Bahan-bahan rujukan:

Abbas Mohd Sharif.(2002).Budaya Dan Falsafah Orang Melayu.Singapura:EDN

Media.

8
Wan Ab.Kadir Wan Yusoff.(1996).Pantun: Menifestasi Minda Masyarakat.Kuala

Lumpur:Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Harun Mat Piah.(2001).Pantun Melayu: Bingkisan Permata.Kuala Lumpur:Yayasan

Karyawan.

Rogayah A.Hamid & Jumaah Ilias.(2006).Pandangan Semesta Melayu:Pantun.Kuala

Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan.(2007).Falsafah & Logika Melayu.Kuala Lumpur:Akademi Pengajian

Melayu Universiti Malaya.

Hashim bin Haji Musa.(2001).Falsafah, Logik, Teori Nilai & Etika Melayu: Suatu

Pengenalan.Kuala Lumpur:Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Anda mungkin juga menyukai