Anda di halaman 1dari 8

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

JXEA 1104

TAJUK : HIKAYAT PUTERI GUNUNG LEDANG

NAMA : NUR FARHANA BINTI AHMAD KHAIRI

NO. MATRIK : JEA 080096

SEMESTER/SESI : 1 (2008/2009)

NAMA PENSYARAH: DR. AMRAN B. MUHAMMAD

FAKULTI : AKADEMI PENGAJIAN MELAYU

MEMINANG “PUTERI GUNUNG LEDANG”

1
‘Hatta berapa lamanya, maka isteri Sultan Mahmud, bonda Raja Ahmad itu pun
mangkat; maka Sultan Mahmud pun sangat bercinta. Maka baginda memberi titah pada
Bendahara dan pada segala Orang Besar-besar, “Apa bicara Orang Kaya sekalian,
kerana negeri Melaka sekarang tiada beraja perempuan?”
Maka sembah Bendahara dengan segala Orang Besar-besar, “Anak raja mana
yang hendak tuanku pinang? Supaya patik sekalian kerjakan.” Maka titah Sultan
Mahmud, “Jikalau kita hendak beristerikan sama anak raja, raja yang lain adalah; yang
kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang kita hendak
peristeri. Akan sekarang kita hendak menyuruh meminang Puteri Gunung Ledang;
Laksamana dan Sang Setialah kita titahkan.”
Maka Tun Mamad dititahkan berjalan dahulu membawa orang Inderagiri akan
menebas jalan, kerana Tun Mamad penghulu orang Inderagiri. Beberapa hari lamanya di
jalan, sampailah ke kaki Gunung Ledang. Maka orang sertanya itupun naiklah ke Gunung
Ledang, Dendang Anak namanya Benua membawa jalan, itupun terlalu sukar; angin pun
bertiup terlalu keras; baharu kira-kira bertengah gunung itu, maka tiadalah ternaik lagi
oleh mereka itu.
Maka Tun Mamad pun naiklah dengan dua orang yang pantas berjalan sertanya,
naik ke Gunung Ledang itu. Setelah datanglah had buluh perindu, maka Tun Mamad dan
dua orang yang naik itu, seperti akan terbanglah rasanya, daripada sangat keras angin
bartiup, dan bunyi buluh perindu itu terlalu indah perbuatannya, burung terbang dengan
suatu taman. Maka Tun Mamad pun masuklah ke taman itu, maka dilihatnya serba bunga
yang ada di dalamnya pelbagai jenis. Setelah segala mergastua melihat Tun Mamad
datang, maka segala burung itu pun berbunyi seperti orang bergurindam.
Maka Tun Mamad pun bertemu dengan sebuah balai itu ada seorang perempuan
tua, baik rupanya. Maka ia bertanya pada Tun Mamad, katanya, “Orang mana kamu ini,
dan hendak ke mana kamu?” Maka kata Tun Mamad, “Kami ini orang Melaka, nama
hamba Tun Mamad, dititahkan oleh Sultan Mahmud Syah meminang Puteri Gunung
Ledang.” Maka sahut perempuan itu, “Nama hamba Dang Raya Rani, hambalah pengetua
Puteri Gunung Ledang. Nantilah hamba persembahkan segala kata tuan hamba pada tuan
puteri. Setelah lenyap, maka kelihatan pula seorang perempuan tua, bongkok belakangnya
lipat tiga. Maka ia berkata kepada Tun Mamad, “Adapun segala kata tuan hamba itu
sudah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada Tuan Puteri Gunung Ledang; Akan
titah tuan puteri, “Jikalau Raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah jambatan emas
satu, dari Melaka ke Gunung Ledang itu. Akan peminangnya hati nyamuk tujuh dulang;
hati kuman tujuh dulang; air mata setempayan; air pinang muda setempayan; darah anak
raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk”. Setelah itu lenyaplah ia.
Setelah itu maka Tun Mamad turunlah dari sana kembali pada Laksamana dan
Sang Setia. Setelah sekaliannya pun turunlah dari Gunung Ledang, berjalan kembali ke
istana. Berapa lamanya di jalan, maka sampailah ke Melaka. Maka Laksamana dan Sang
Setia dan Tun Mamad pun masuklah menghadap Sultan Mahmud Syah; maka segala kata
daripada Puteri Gunung Ledang dipersembahkan pada Sultan Mahmud. Maka titah
baginda, “Semua kehendaknya itu dapat kita adakan, mengeluarkan darah anak kita itu
juga apatah daya; kerana tiada sampai hati kita.”
(Petikan daripada Sejarah Melayu,
“Sulalatus Salatin”; m/s: 212-
215)

2
Cerita peminangan Puteri Gunung Ledang ini mengisahkan tentang Sultan Mahmud

Syah, iaitu Sultan Melaka yang telah kematian isterinya ingin berkahwin dengan Puteri

Gunung Ledang. Baginda memerintahkan sekalian pembesarnya yang setia untuk

meminangkan Puteri Gunung Ledang. Lalu di akhir cerita ini, Puteri Gunung Ledang telah

menetapkan beberapa syarat kepada Sultan Melaka dan antara salah satu syarat yang mesti

dipatuhi baginda ialah Puteri Gunung Ledang menginginkan semangkuk darah anak Sultan

Mahmud Syah iaitu Raja Ahmad sebagai hantaran.

Daripada cerita yang terdapat dalam peminangan Puteri Gunung Ledang ini, banyak

falsafah yang boleh kita kupas. Antaranya, kepatuhan kepada arahan sultan sebagai ketua

negeri Melaka. Sebagai contoh, pengikut-pengikut sultan seperti Laksamana, Sang Setia dan

Tun Mamad sangat patuh kepada arahan Sultan Mahmud Syah yang menginginkan

pembesarnya supaya meminangkan untuknya Puteri Gunung Ledang untuk dijadikan

permaisuri negeri Melaka. Hal ini menunjukkan pengikut-pengikut sultan telah

menunjukkan ketaatan setianya yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Mahmud Syah.

Laksamana, Sang Setia dan Tun Mamad telah menempuh pelbagai halangan dan rintangan

untuk sampai ke Gunung Ledang supaya dapat menyampaikan hajat Sultan Mahmud Syah

untuk menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai permaisuri negeri Melaka. Pada ketika itu

angin bertiup kencang dan ramai pengikut-pengikut yang lain tidak dapat meneruskan

perjalanan untuk berjumpa dengan Puteri Gunung Ledang. Tetapi Tun Mamad serta dua

orang pengikut yang larat untuk meneruskan perjalanan terus mendaki Gunung Ledang. Ini

juga menunjukkan bahawa sultan sebagai pemerintah tertinggi negeri Melaka mempunyai

kuasa mutlak dalam memberikan arahan kepada rakyatnya. Sebagai rakyat, hendaklah

mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh raja/sultan dengan penuh taat setia.

Raja/sultan juga mempunyai kedaulatan dan sesiapa pun tidak boleh membangkang setiap

arahan yang telah dikeluarkan oleh sultan kerana sultan mempunyai kuasa yang mutlak.

3
Bagi rakyat yang mengingkari setiap arahan yang dikeluarkan akan menerima ‘tulah’. Tulah

itu merupakan balasan dan akibat mengingkari arahan raja/sultan. Raja/sultan juga berkuasa

menjatuhi hukuman kepada sesiapa yang baginda kehendaki terutama yang mengingkari

setiap arahannya. Ini menunjukkan sultan mempunyai kuasa mutlak untuk menjatuhi

hukuman kapada setiap rakyatnya yang melakukan kesalahan. Sebagai rakyat yang hidup di

bawah pemerintahan beraja, perlulah menunjukkan taat setia kerana rakyat tidak mempunyai

kuasa melainkan perlu patuh kepada arahan raja/sultan. Ini menunjukkan kedudukan sultan

begitu tinggi dalam sebuah hierarki pemerintahan.

Selain itu, terdapat falsafah lain yang boleh diketengahkan melalui cerita

peminangan Puteri Gunung Ledang ini. Antara falsafah yang terdapat dalam cerita ini

ialah, kesopanan yang ditonjolkan oleh Dang Raya Rani iaitu, pengetua Puteri Gunung

Ledang. Sebagai contoh, Dang Raya Rani bertanya kepada Tun Mamad tentang dari mana

asal-usul Tun Mamad dan apakah hajat beliau datang ke Gunung Ledang dengan bahasa

yang lembut dan elok budi pekertinya. Bahasa yang digunakan oleh Dang Raya Rani tidak

sedikit pun menyakitkan hati orang yang dilawan bercakap iaitu, Tun Mamad. Masyarakat

pada waktu sangat itu mementingkan budi pekerti yang tinggi. Apabila bercakap dengan

seseorang yang tidak dikenali hendaklah menunjukkan sikap sopan santun dan budi bicara

yang elok. Bahasa yang digunakan melambangkan ketinggian budi pekerti sesuatu bangsa

itu. Kesopanan menjadi nilai utama dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat yang

bersopan akan dipandang tinggi oleh masyarakat lain. Sebaliknya, masyarakat yang biadap

akan dihina oleh masyarakat lain. Ini kerana, bahasa yang merupakan jiwa bangsa. Nilai

kesopanan yang ditonjolkan oleh Dang Raya Rani sudah menunjukkan masyarakat pada

waktu itu mempunyai nilai ketamadunan yang tinggi dan elok tutur katanya ketika

bercakap. Apa yang ingin ditonjolkan di sini adalah setiap individu masyarakat haruslah

mempunyai sifat sopan santun. Begitu juga masyarakat pada hari ini, nilai dan sifat sopan

4
santun perlu diterapkan dalam diri generasi-generasi muda agar nilai ini tidak lapuk ditelan

dek arus permodenan. Contohnya, apabila bercakap dengan orang yang lebih tua

hendaklah dengan nada yang lembut. Ini sudah memberikan gambaran yang cukup jelas

bahawa nilai kesopanan perlu ada dalam diri setiap individu yang bertamadun dan perlu

diterapkan sejak dari kecil lagi agar dapat melahirkan masyarakat yang memiliki nilai

kesopanan yang tinggi pada masa akan datang.

Bukan itu sahaja, falsafah lain yang terdapat dalam cerita peminangan Puteri

Gunung Ledang ini adalah menunaikan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan.

Sebagai contoh, dalam cerita peminangan Puteri Gunung Ledang ini terdapat seorang

perempuan tua yang bongkok dan belakangnya lipat tiga. Perempuan tua itu telah

ditugaskan oleh Puteri Gunung Ledang untuk menyampaikan pesanan kepada Tun Mamad

tentang syarat yang harus ditunaikan oleh Sultan Mahmud Syah jika hendak beristerikan

Puteri Gunung Ledang. Segala amanat yang disampaikan oleh Puteri Gunung Ledang

telah disampaikan oleh Dang Raya Rani kepada Tun Mamad tanpa sedikitpun melakukan

pengubahsuaian terhadap amanah yang diberi. Ini menunjukkan Dang Raya Rani seorang

yang jujur dan amanah. Contoh lain seperti Tun Mamad serta pembesar lain iaitu

Laksamana dan Sang Setia sanggup pergi ke Gunung Ledang untuk berjumpa dengan

Puteri Gunung Ledang semata-mata untuk menyampaikan lamaran dan hasrat Sultan

Melaka. Ini menunjukkan setiap amanah yang telah dipertanggungjawabkan hendaklah

ditunaikan dengan sebaiknya. Tun Mamad juga telah menunaikan amanah yang telah

dipertanggungjawabkan kepadanya dengan sebaiknya tanpa bantahan. Beliau menurut

perintah Sultan Mahmud Syah dan segala arahan yang telah dititahkan, dilakukan dengan

penuh rasa tanggungjawab. Ini menunjukkan setiap amanah yang telah

dipertanggungjawabkan hendaklah dilaksanakan sehingga sampai kepada tujuannya. Ini

membuktikan masyarakat pada masa dahulu sangat berpegang teguh dengan amanah yang

5
telah dipertanggungjawabkan kepadanya dan mereka sanggup berdepan dengan cabaran

semata-mata untuk menyampaikan amanah.

Selain itu, falsafah lain yang boleh dikupas dalam cerita peminangan Puteri Gunung

Ledang ini ialah, tahan menghadapi cabaran. Sebagai contoh, apa yang kita boleh lihat

dalam karya ini ialah ketika Tun Mamad serta dua orang pengikut yang lain menaiki

puncak Gunung Ledang. Pada ketika itu, angin bertiup sangat kencang sehingga

menyukarkan Tun Mamad serta rombongan yang lain untuk menaiki puncak Gunung

Ledang sedangkan ramai pengikut yang lain terpaksa menangguhkan perjalanan kerana

tidak larat disebabkan angin terlalu kencang. Tetapi dengan berbekalkan semangat yang

kuat untuk berjumpa dengan Puteri Gunung Ledang semata-mata untuk menyampaikan

hasrat Sultan Mahmud Syah, Tun Mamad serta dua orang pengikut lain yang larat untuk

mendaki Gunung Ledang meneruskan juga perjalanan sehingga sampai ke destinasi yang

hendak dituju. Ini menunjukkan Tun Mamad merupakan seorang pembesar yang tabah

menghadapi cabaran dan tidak hirau angin bertiup kencang sekalipun. Apa yang penting,

segala amanah yang diberi olehnya disiapkan dengan cepat dan tepat pada masa yang

ditetapkan. Kita juga harus mempunyai semangat yang kuat dan tidak boleh putus asa

dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sikap putus asa harus dikikis dalam diri kita agar

setiap pekerjaan yang kita kerjakan dapat dilakukan dengan baik. Semangat Tun Mamad

yang kental harus dicontohi oleh masyarakat pada hari ini. Apa sahaja dugaan yang

berlaku, hendaklah bersabar dan jangan sekali-kali cepat berputus asa. Semangat yang

kuat bukan sahaja ditonjolkan dalam diri Tun Mamad tetapi juga dua orang pengikut yang

lain yang larat meneruskan perjalanan. Mereka bersama-sama dengan Tun Mamad

mendaki puncak Gunung Ledang untuk berjumpa dengan tuan puteri. Oleh yang demikian,

setiap pekerjaan yang dilakukan bersama, akan menjadi mudah seperti yang dilakukan oleh

Tun Mamad serta dua orang pengikut yang lain ketika menaiki puncak Gunung Ledang.

6
Dalam karya ini juga, kita boleh membuat kupasan tentang sifat kasih sayang.

Falsafah yang ditonjolkan di sini merupakan falsafah terakhir yang akan saya kupas iaitu

sifat kasih sayang. Sebagai contoh, sifat kasih sayang ini ditonjolkan dalam diri Sultan

Mahmud Syah iaitu Sultan Melaka yang sangat kasih akan anaknya iaitu Raja Ahmad. Ini

boleh dilihat ketika Tun Mamad serta pembesar dan pengikut sultan pulang selepas

menyampaikan hasrat sultan untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Selepas

dipersembahakan segala kata-kata Puteri Gunung Ledang akan syarat-syarat yang mesti

dipatuhi oleh Sultan Mahmud Syah, baginda setuju akan syarat-syarat yang dikenakan

tetapi hanya satu sahaja yang baginda tidak sampai hati untuk penuhi iaitu, tuan puteri

menginginkan semangkuk darah anak Sultan Mahmud Syah sebagai hantaran. Ini

menunjukkan bahawa Sultan Melaka sangat sayang kepada anaknya dan tidak sampai hati

untuk membunuh anak sendiri semata-mata untuk memenuhi hasrat Puteri Gunung

Ledang. Sebagai seorang bapa, sudah menjadi tanggungjawab untuk menjaga kebajikan

dan melindungi anak sendiri walaupun pada ketika itu kehilangan isteri yang dikasihi.

Segala amanah dan tugas yang dilakukan oleh isteri sebelumnya hendaklah diambil alih

oleh seorang bapa. Bapa juga perlu melindungi anak-anak kerana mereka merupakan dari

darah daging sendiri dan wajarlah bagi seorang bapa menjaga anak-anak dari sebarang

bahaya. Dalam cerita ini, Sultan Melaka tidak sampai hati melihat anak sendiri mati

ditangannya. Sifat tanggungjawab dan kasih sayang Sultan Mahmud Syah ini wajar

diambil contoh dan diteladani.

Kesimpulannya, falsafah yang dikupas dalam karya ini wajar diambil iktibar. Ini

karana semua falsafah yang dikupas mengandungi nilai-nilai murni seperti patuh kepada

arahan ketua, kesopanan ketika bercakap, menunaikan amanah yang

dipertanggungjawabkan, tahan menghadapi cabaran dan nilai kasih sayang. Oleh yang

demikian, falsafah yang dikupas ini boleh dijadikan panduan dalam hidup kita.

7
BIBLIOGRAFI :
Awang Sariyan (2007). Falsafah dan Logika Melayu.Selangor : Synergy Sdn Bhd

A,Samad Ahmad (1997).Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan


Bahasa dan Pustaka

Hashim Musa (2001). Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu. Kuala Lumpur:
Akedemi Pengajian Melayu