Anda di halaman 1dari 3

SYARAHAN BAHASA MELAYU

GEJALA BULI DI SEKOLAH BERASRAMA DAN LANGKAH MENGATASINYA

Yang saya hormati, tuan pengerusi majlis, yang berbahagia tuan pengetua,penolong kanan 1
dan penolong kanan HEM, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan para
pelajar yang saya hormati sekalian.

Insan baik jadikan teman,


Ahklak indah jadi------------
Ucap salam kepada tuan budiman,
Ingin saya memulakan bicara.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh,

Tajuk syarahan yang saya akan sampaikan ialah gejala buli di sekolah berasrama dan langkah
mengatasinya.

Tuan-tuan yang saya hormati,

Apakah itu kes buli?


Menurut kamus dewan, kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti
memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh
seseorang terhadap pemangsanya.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin
berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan
membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-
lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan
pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”.
Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca
yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

Hadirin sekalian,
Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup
melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk
mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain.
Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak
juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan
bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk
pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya
merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat
diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di asrama sekolah juga menjadi
puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian
mereka terhadap pelajar lain.

Tuan-tuan yang saya hormati sekalian,


Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.
Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras
kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak
sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata
pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya.
Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan
pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan
membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara
berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi
diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai
salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

Namun begitu, pihak asrma sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di
setiap pelosok kawasan asrama seperti di belakang bangunan asrama dan kaki lima asrama yang
sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai
keinginan untuk membuli mangsanya. Pihak asrama juga boleh menggalakkan para pelajar
supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar
akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli
sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan
informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

Para hadirin sekalian,


Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar
biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya
minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-
sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di
sekolah.Di samping itu, para pelajar asrama juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah
dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku
atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak
sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi
kesejahteraan sekolah.
Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus
berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan
menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli
akan semakin bertambah dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar
yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan
masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah
harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi
perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Hadirin sekalian,
Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung
kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka
supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka,
perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik
di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan
sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus
sedangkan dirinya berjalan senget’. Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam
kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang
keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang
sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga
harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar
sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya
bersama-sama.

Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,


Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu
bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat
negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat
Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan
akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa
dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang
penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan
generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada
dunia.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai