Anda di halaman 1dari 16

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Bahasa merupakan satu anugerah kepada manusia yang digunakan untuk tujuan
berkomunikasi antara satu sama lain. Oleh itu, bahasa bukanlah merupakan hak milik
seseorang individu tertentu sebaliknya merupakan satu perkongsian dalam masyarakat
(Asmah 1993). Perkongsian ini terjadi apabila manusia bertembung antara satu sama lain
dan berkomunikasi. Menurut Hockett (1958), apabila dua bahasa bertembung, maka
bahasa tersebut akan saling mempengaruhi. Dalam komunikasi dua hala dan berlaku
secara langsung, penutur dijangka meniru ciri-ciri pengucapan antara satu sama lain,
manakala dalam hubungan secara tidak langsung misalnya ketika membaca, pengaruh
bahasa akan tersebar dalam bentuk satu hala sahaja.

Suasana mempengaruhi antara satu sama lain akibat pertembungan manusia ini
dinamakan sebagai peminjaman bahasa. Bahasa dipinjam apabila diucapkan oleh penutur
bahasa lain yang dipengaruhi oleh bahasa yang baru itu. Definisi peminjaman yang
dicadangkan oleh Hockett (1958: 402) adalah seperti di bawah;

The feature which is imitated is called the model; the idiolect (or language) in
which the model occurs, or the speaker of that idiolect, is called the donor; the
idiolect (or language) which acquires something new in the process is the
borrowing idiolect (or language). The process itself called “borrowing,” but this
2

term requires some caution. Thus, that which is “borrowed” does not have to be
paid back; the donor makes no sacrifice and does not have to be asked for
permission. Indeed, nothing changes the hands: the donor goes on speaking as
before, and only the borrower’s speech is altered.

Pertembungan tidak semestinya menjanjikan peminjaman antara satu bahasa


dengan bahasa yang lain. Hocket (1958) memberikan dua keadaan yang perlu ada dalam
proses peminjaman iaitu yang pertama, seseorang penutur itu perlu yakin bahawa dia
memahami sebutan atau pengucapan penutur bahasa yang dipinjam. Pendapat ini tidak
bertentangan dengan Weinreich (1964) dan Bloomfield (1933) yang menyatakan bahawa
proses peminjaman biasanya bermula dengan kedwibahasaan (bilingualism), di mana
penutur dwibahasa akan mengalami gangguan bahasa (interference phenomena). Keadaan
yang kedua pula, penutur tersebut mesti mempunyai motif untuk meminjam sama ada
secara jelas atau terselindung.

Menurut Hockett (1958) dan Abdullah (1974) dua faktor utama bahasa dipinjam
adalah untuk kemegahan dan keperluan. Bahasa-bahasa di dunia ini seolah-olah
mempunyai taraf atau darjat yang berbeza. Contohnya, imigran yang berhijrah ke
Amerika akan cuba berbahasa Inggeris dalam percakapan mereka kerana bahasa Inggeris
adalah bahasa yang penting dan dianggap mempunyai taraf yang tinggi di negara tersebut.
Di Malaysia misalnya, kosa kata bahasa Inggeris dan bahasa Arab dipinjam dan diselitkan
dalam ujaran dan percakapan seharian kerana kedua-dua bahasa ini mendapat tempat
yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu. Ada juga kemungkinan seseorang itu
berbuat demikian untuk mengelakkan dari disisih oleh masyarakat dan menunjukkan
bahawa dia juga boleh berbahasa lain selain bahasa ibunda. Pendek kata, penggunaan
bahasa asing yang tinggi tarafnya turut mengangkat prestij seseorang individu atau
masyarakat itu. Disebabkan faktor inilah, Bloomfield (1933) menyebut dalam bukunya,
“…it is the lower language which borrows predominantly from the upper.”

Faktor kedua, mengapa berlakunya peminjaman adalah faktor keperluan.


Keperluan yang dimaksudkan di sini adalah untuk memberi nama kepada sesuatu objek
3

atau konsep yang baru, yang masuk melalui pertembungan budaya yang berlaku. Sebagai
contoh, kedatangan pengaruh agama Hindu dan agama Islam ke Semenanjung Tanah
Melayu suatu ketika dahulu membawa konsep-konsep keagamaan sehingga menyebabkan
peminjaman daripada bahasa Sanskrit dan bahasa Arab diperlukan. Antara perkataan-
perkataan yang dipinjam untuk memenuhi keperluan tersebut, seperti raja, dewa,
pancaindera, ugama, kadi, naib, mukim, rezeki, dan hadir. Pengaruh politik oleh penjajah
Inggeris di tanah Melayu pula meninggalkan perkataan-perkataan bahasa Inggeris seperti
gomen, stesen, motokar, feri dan lain-lain (Abdullah 1974). Sesuatu bangsa yang ingin
membina tamadun juga perlu berusaha untuk maju dalam pelbagai bidang. Desakan
pembangunan ini menyebabkan istilah-istilah asing dipinjam misalnya istilah-istilah
perubatan, kejuruteraan, dan teknologi maklumat. Mohd. Isa (2009) dalam makalahnya
ada menyebut bahawa seorang pengkaji Jepun menyatakan bahawa orang Jepun tidak
berasa malu meminjam istilah daripada bahasa Inggeris. Ini menunjukkan bahawa
peminjaman unsur bahasa asing oleh sesuatu bahasa merupakan perkara biasa. Malah,
peminjaman bersistem dianggap satu tanda kemodenan dan kedinamikan bahasa.

1.2 KESAN PEMINJAMAN TERHADAP SISTEM FONOLOGI

Seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini, peminjaman bahasa adalah bersifat
semulajadi. Kemasukan kata-kata asing hasil peminjaman ini bukan sekadar kata leksikal
semata-mata, tetapi kata tersebut turut membawa bersama sistem nahu bahasa sumber
khususnya sistem fonologi. Apabila bahasa meminjam antara satu sama lain, maka salah
satu daripada tiga fenomena akan berlaku terhadap bahasa tersebut. Fenomena yang
pertama ialah Kata Pinjaman Penyerapan Penuh (Well-Integrated Loan Words) (Repetti
2009). Apa yang dimaksudkan dengan penyerapan penuh ini adalah kosa kata yang
dipinjam itu masuk dengan semua ciri linguistik bahasa sumber tanpa sebarang
perubahan. Oleh yang demikian, ciri linguistik bahasa sumber terpaksa diterima masuk ke
dalam bahasa penerima walaupun terdapat ciri linguistik yang nyata bertentangan dengan
sistem nahu bahasa penerima tersebut.
4

Fenomena kedua pula ialah Kata Pinjaman Penyerapan Separa (Partially-


Integrated Loan Words) (Repetti 2009). Apa yang berlaku dalam fenomena kedua ini
adalah sebahagian ciri linguistik bahasa sumber tersebut diterima oleh bahasa penerima
tetapi sebahagian ciri yang lain akan dimodifikasikan mengikut sistem bahasa penerima.
Misalnya, bahasa penerima menerima konsonan asing yang dibawa oleh bahasa sumber,
namun penyukuan kata tetap mengikut sistem bahasa penerima. Fenomena peminjaman
yang ketiga pula ialah Kata Pinjaman Penyerapan Terubah (Modified-Integrated Loan
Words). Dalam suasana ini, kosa kata bahasa sumber dipinjam tetapi dimodifikasikan
mengikut sistem bahasa penerima. Bahasa penerima tidak akan menerima sebarang ciri
linguistik asing yang ada pada perkataan tersebut.

1.3 KEMASUKAN BAHASA ASING KE DALAM BAHASA MELAYU

Dalam konteks peminjaman bahasa di Malaysia, kajian ini akan menyelidiki


fenomena penyerapan unsur linguistik Arab ke dalam bahasa Melayu. Secara ringkas
diutarakan sorotan sejarah kemasukan bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Bahasa
Arab mencorakkan bahasa Melayu selepas kelunturan pengaruh bahasa Sanskrit iaitu
sekitar akhir abad ke-10. Kemasukan pengaruh bahasa Arab ini datang bersama dengan
pengaruh agama Islam yang dibawa masuk oleh para pedagang dan mubaligh-mubaligh
Arab. Misalnya, pengembara Arab Abu Dulaf Misa (940 M) dalam perjalanannya ke
negeri China singgah di Kedah dan sekali lagi singgah di tempat itu pada waktu hendak
pulang dari negeri China ke negeri asalnya (Slametmuljana 1922 dlm. Asmah 1993)
Seterusnya ramai lagi pedagang dan pengembara Arab yang singgah dengan tujuan
menyebarkan agama Islam ke seluruh pelosok dunia. Persinggahan pelayaran dahulu kala
bukanlah seperti pelayaran hari ini, sebaliknya persinggahan itu memakan masa yang
lama sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Oleh yang demikian, hubungan dan
komunikasi yang terjalin dengan penduduk setempat adalah sangat rapat sehinggakan ada
pedagang dan pengembara Arab tersebut yang berumahtangga dengan wanita tempatan.
Komunikasi dan hubungan yang rapat itu bukan sahaja mempengaruhi kepercayaan dan
budaya penduduk tempatan malah bahasa percakapan mereka juga telah dipengaruhi
dengan unsur-unsur Arab.
5

Walaupun pengaruh bahasa Arab ini dikatakan masuk ke Tanah Melayu pada
akhir abad ke-10 namun kekuatan pengaruh bahasa Arab ini hanya terserlah beberapa
abad kemudian. Kerajaan Melayu Melaka yang bangkit bersama-sama dengan peradaban
Islam menegakkan agama Islam dalam pemerintahannya. Kedatangan Islam secara
langsung membawa banyak kosa kata Arab ke dalam bahasa Melayu (Zaharani 2009).
Bukti kukuh akan pengaruh bahasa Arab terhadap bahasa Melayu terdapat pada Batu
Bersurat Terengganu yang bertarikh 22 Februari 1303 yang ditulis dengan huruf Jawi
dalam bahasa Melayu (Mohd. Isa 2009). Pengaruh bahasa Arab ini memberi kesan
kepada perkembangan bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa Melayu mendapat satu bentuk
tulisan baru iaitu tulisan Jawi dan perbendaharaan kata bertambah dengan pesat, terbit
daripada keperluan untuk memperkatakan idea-idea baru yang dibawa oleh peradaban
Islam (Nik Safiah et.al 2008).

1.4 PERMASALAHAN KAJIAN

Penyelidikan bermula dengan permasalahan untuk diselesaikan. Permasalahan ini


merupakan pencetus agar penyelidikan dilakukan. Sesuatu bidang yang dikaji sebenarnya
mempunyai banyak lompang yang harus dipenuhi, namun seseorang pengkaji itu mestilah
bersifat selektif dalam memilih permasalahan yang ingin dijawab dalam kajiannya.

Bidang kata pinjaman juga tidak terlepas daripada kelompangan atau


permasalahan yang perlu diselesaikan. Para sarjana dan penyelidik di Malaysia khususnya
sentiasa giat membuat kajian berkenaan penyerapan unsur linguistik asing ke dalam
bahasa Melayu. Fenomena peminjaman yang telah berlaku sejak berkurun-kurun lamanya
ini sememangnya tidak dapat dihalang kerana sifatnya yang semulajadi. Kajian-kajian
lepas tentang kata pinjaman Arab (seterusnya KPA) yang dilakukan oleh (Ismail 1970),
(Beg 1977), (Amran 1987), (Awang 1993), (Nor Hayati 2005), (Kamariah dan Pabiyah
2007) adalah bersifat deskriptif, iaitu kajian berbentuk pemerhatian terhadap fenomena
yang berlaku apabila bahasa Arab diserap masuk ke dalam bahasa Melayu. Para pengkaji
menemui pelbagai perubahan dari segi struktur suku kata bahasa sumber, perubahan kelas
6

kata, mahupun perubahan segmen yang berlaku akibat peminjaman tersebut. Namun
demikian, pemerhatian yang dilakukan tidak disertakan bersama penjelasan mengapakah
perubahan-perubahan tersebut berlaku. Penjelasan tersebut pula seharusnya berlandaskan
suatu teori yang kukuh. Walau bagaimanapun, pemerhatian yang dilakukan oleh para
pengkaji ini sememangnya bermanfaat dan menjadi permulaan yang baik kepada kajian
dalam bidang kata pinjaman. Nurdekawaty (2006) memulakan langkah dalam mengkaji
KPA secara teoritis dengan menggunakan Teori Templat bagi morfologi kata jamak dan
Teori Relevans dalam mengkaji peluasan makna KPA. Namun, kajian dalam bidang
fonologi masih belum dilakukan.

Permasalahan yang seterusnya ialah penggunaan data yang tidak kontemporari


sifatnya. Data yang biasa digunakan dalam kajian kata pinjaman yang terdahulu adalah
data daripada kamus ataupun perbendaharaan kata pinjaman yang telah disenaraikan dan
dibukukan. Kamus yang digunakan termasuklah Kamus Dewan (1970/1991/2002),
Kamus Arab-Indonesia (1973), Kamus Melayu-Arab (1992), Kamus Al-Hamidi (1951),
dan kamus-kamus yang telah disusun oleh Wilkinson (1908/1961), Winstedt (1952/1964),
serta kumpulan perbendaharaan kata oleh Shellabear (1902), Swettenham (1910), dan
Winstedt-Linggi (1921).

Masalah yang timbul di sini ialah, KPA yang dimuatkan di dalam kamus-kamus
yang ada ini sebahagian besarnya tidak lagi digunakan dalam pertuturan atau penulisan
masyarakat hari ini. Sememangnya kosa kata ini pernah dipinjam oleh bahasa Melayu
suatu ketika dahulu, terutamanya sewaktu perkembangan ilmu agama Islam. Pada waktu
itu, istilah-istilah yang berkaitan dengan falsafah, perundangan, ekonomi, politik, dan
berbagai-bagai bidang lagi dicedok daripada bahasa Arab dalam jumlah yang besar.
Seterusnya, kewujudan dan keaktifan perkataan-perkataan ini dalam penggunaan seharian
masyarakat telah menyebabkan kosa kata ini didaftarkan di dalam kamus. Kamus-kamus
ini seterusnya diulang cetak sehingga ke era ini sedangkan tanpa disedari banyak kosa
kata Arab ini yang tidak lagi aktif dalam penggunaan penutur bahasa Melayu malah ada
sesetengah perkataan yang tidak lagi difahami maknanya oleh generasi hari ini.
7

Berdasarkan kelompangan-kelompangan yang ditemui ini, maka kajian yang akan


dilakukan oleh penulis akan mengaplikasikan Teori Optimaliti (selepas ini TO) dalam
analisis KPA yang bakal dilakukan. Penggunaan teori adalah penting, sesuai dengan
pendapat Sulaiman Masri (2005), penyelidikan ilmiah memerlukan teori. Teori ialah
dasar dan rangka ilmu pengetahuan yang merupakan sekumpulan binaan konsep, definisi,
bukti atau dalil dan saling berkaitan secara sistematis tentang fenomena dengan
menetapkan hubungan sebab-akibat antara beberapa variabel bagi maksud menjelas serta
meramalkan fenomena berkenaan.

TO akan bertindak sebagai alat kepada penyelidikan ini dan diharap dapat
menjawab segala persoalan tentang mengapakah berlakunya perubahan apabila unsur-
unsur linguistik Arab menyerap masuk ke dalam bahasa Melayu. Penerangan tentang
kerangka teori akan dihuraikan dalam subtopik 1.8 Kerangka Teori Kajian. Permasalahan
data pula akan diatasi dengan penggunaan data korpus yang lebih kontemporari sifatnya
iaitu data korpus berkomputer DBP-UKM berjumlah sebanyak 5 juta patah perkataan.
Data korpus ini memiliki sifat keseimbangan dan autentik kerana diambil daripada
pelbagai genre dan merupakan data sebenar. Oleh yang demikian, isu data yang tidak
kontemporari tidak akan berbangkit. Penghuraian yang lebih terperinci tentang data
korpus akan dibincangkan dalam bab 3.

1.5 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian aspek fonologi KPA dalam bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti ini
mempunyai beberapa objektif untuk dilestarikan. Antara objektif kajian ini adalah:
1. Mengenal pasti fenomena fonologi yang berlaku dalam kata Arab apabila
menyerap ke dalam bahasa Melayu.
2. Membuat pemerhatian dan penghuraian terhadap fenomena perubahan yang
berlaku dalam KPA.
3. Menjelaskan sebab-sebab perubahan fonologi KPA berlaku berlandaskan
Teori Optimaliti.
8

4. Membuktikan bahawa TO adalah sebuah teori yang bersifat universal dan


mampu menyelesaikan masalah fonologi yang pelbagai.
5. Menambah baik kajian KPA sedia ada dengan melakukan kajian bersifat
teoritis.

1.6 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian yang baik adalah sebuah kajian yang signifikan kepada masyarakat dan
dapatannya boleh dipertanggungjawabkan. Hal ini penting kerana sesebuah kajian itu
perlu dimasyarakatkan dan tidak hanya tinggal sebagai kajian semata-mata. Idris Aman
(2007) menyatakan bahawa penyelidikan tidak terhenti setelah sesuatu penemuan
diperolehi dan perlu disampaikan atau disebarkan kepada masyarakat. Salah satu
kepentingan kajian ini ialah melakukan penambahbaikan dalam kajian KPA dalam bahasa
Melayu dari segi analisis yang dilakukan. Kajian-kajian KPA yang terdahulu tidak
mencakupi tiga ciri penyelidikan saintifik iaitu kepadaan pemerhatian (observational
adequacy), kepadaan penghuraian (descriptive adequacy) dan kepadaan penjelasan
(explanatory adequacy) (Chomsky 1970). Sebaliknya kajian ini akan memenuhi ketiga-
tiga ciri tersebut. Tidak sekadar membuat pemerhatian terhadap fenomena yang berlaku
akibat proses peminjaman sesuatu perkataan itu, dengan penggunaan TO, kajian ini turut
berjaya menentukan perkaitan sebab-akibat sesuatu fenomena itu berlaku. Kajian-kajian
sebelum ini rata-ratanya hanya sekadar menyatakan apakah fenomena yang berlaku akibat
proses peminjaman tanpa menjawab mengapakah ianya terjadi.

Penggunaan data korpus dalam kajian ini juga sangat besar signifikannya kepada
bidang perkamusan. Penyenaraian KPA dalam bahasa Melayu yang dibuat menggunakan
data korpus dapat menyelongkar lebih banyak lagi KPA dalam bahasa Melayu yang tidak
ditandakan dengan etimologi Arab. Perkataan Arab yang tidak aktif lagi di kalangan
masyarakat Melayu juga boleh ditandakan dengan penandaan arkaik. Penemuan ini boleh
digunakan untuk penambahbaikan dalam bidang perkamusan di negara ini.
9

1.7 BATASAN KAJIAN

Batasan atau ruang lingkup dalam sesebuah kajian adalah sangat penting demi
mengelakkan kajian tersebut menjadi tidak terkawal. Batasan kajian ini juga membantu
penyelidik dalam menemukan permasalahan kajian yang patut diselesaikan. Kajian ini
juga mempunyai batasan yang tersendiri.

1.7.1 Fonologi

Ilmu linguistik adalah sangat luas dan merangkumi beberapa disiplin, antaranya fonologi,
sintaksis, semantik dan leksikografi. Walaupun isu kata pinjaman ini boleh juga dikaji
dalam pelbagai disiplin, namun kajian ini hanya tertumpu dalam bidang fonologi.
Fonologi merupakan cabang linguistik yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan
fungsinya dalam sistem bunyi bahasa tersebut (Kamus Linguistik 1997). Teori yang
digunapakai adalah Teori Optimaliti, sebuah teori linguistik yang muncul pada era 90-an.

1.7.2 Kata Pinjaman Arab

Para penyelidik bahasa dewasa ini tidak lagi memberi tumpuan kepada kajian linguistik
bahasa Melayu natif sahaja. Fenomena kemasukan kosa kata asing ke dalam bahasa
Melayu yang telah berlaku sejak sekian lama menggamit minat para penyelidik bahasa
untuk mengkaji perilaku kata pinjaman asing yang masuk ke dalam bahasa Melayu.
Antara bahasa yang dipinjam oleh bahasa Melayu adalah bahasa Sanskrit, bahasa Arab,
bahasa Inggeris, bahasa Cina, dan bahasa Tamil. Walau bagaimanapun, demi memberikan
dapatan yang jitu hasil daripada analisis yang mendalam, kajian ini akan memberi
tumpuan kepada kata pinjaman Arab sahaja. Data diperolehi daripada data korpus 5 juta
DBP-UKM yang telah dibersihkan.
10

1.7.3 Kata Dasar

Dalam kehidupan kita seharian, penggunaan bahasa adalah bersifat automatik dan
semulajadi sehingga menyebabkan kita tidak memberi perhatian kepada aktiviti
berbahasa ini, seperti mana kita bernafas dan jantung kita berdegup (Hockett 1958).
Apabila bahasa Arab menyerap masuk ke dalam bahasa Melayu, masyarakat Melayu
telah meminjam kata leksikal bahasa Arab dalam jumlah yang agak besar. Kata pinjaman
Arab ini juga dapat meresap dengan baik ke dalam bahasa Melayu dan tanpa disedari,
kata pinjaman tersebut dapat digabungkan dengan imbuhan-imbuhan bahasa Melayu dan
digunakan dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, kajian ini dihadkan kepada
analisis kata dasar KPA sahaja tanpa melibatkan sebarang KPA yang mengalami
pengimbuhan. Keterbatasan ini perlu supaya fenomena yang berlaku tidak menjadi terlalu
rencam sehingga mengganggu proses analisis sekaligus dapatan yang dihasilkan.

1.7.4 Struktur Suku Kata

Fenomena fonologi KPA yang dikenal pasti daripada data korpus adalah pelbagai, namun
penulis hanya akan meneliti dan menganalisis fenomena yang melibatkan perubahan
struktur suku kata sahaja. Struktur suku kata antara bahasa sumber dan bahasa penerima
yang agak ketara membolehkan kajian dalam permasalahan tersebut dilakukan secara
mendalam.

1.8 KERANGKA TEORI KAJIAN

Sesuai dengan permasalahan kajian yang diutarakan, kerangka teori kajian amat
penting dalam kajian ini. Sejak kemunculan pertamanya dalam University of Arizona
Phonology Conference di Tucson pada tahun 1991 semasa Alan Prince dan Paul
Smolensky membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Optimality’, pendekatan fonologi tanpa
rumus (non derivational) semakin berkembang maju (Archangeli dan Langendoen 1997).
Tarikan daripada pendekatan ini adalah masalah fonologi dapat diselesaikan di peringkat
permukaan tanpa memerlukan sebarang rumus atau derivasi. Teori yang telah memberi
11

impak yang besar kepada bidang fonologi dan mula mendominasi dunia linguistik ini
dikenali sebagai Teori Optimaliti.

Seperti mana model linguistik yang lain, analisis TO juga melibatkan input
(representasi dalaman), output (representasi luaran) dan hubungan antara keduanya.
Dalam TO, hubungan antara input (representasi dalaman) dengan output (representasi
luaran) diperantarakan oleh dua mekanisme yang dinamakan sebagai PENJANA (GEN)
dan PENILAI (EVAL). Fungsi PENJANA (GEN) adalah untuk menjanakan seperangkat
calon output yang munasabah dari segi kepurnaan bentuknya daripada satu bentuk input.
PENILAIAN (EVAL) yang mengandungi satu sistem tatatingkat kekangan yang
berhierarki adalah untuk meneliti dan menilai kepurnaan bentuk setiap calon yang ada.
Calon terbaik yang paling berharmoni dengan sistem kekangan ini ataupun yang paling
rendah mengingkari sistem kekangan tersebut dianggap sebagai calon optimal dan
merupakan representasi output sebenar (Prince dan Smolensky 1993). Setiap bahasa
mempunyai tatatingkat kekangan yang tersendiri yang terdiri daripada set kekangan
universal. Rajah 1.1 di bawah menunjukkan representasi grafik TO.

Calon 1
Calon 2
PENILAI

Input PENJANA Calon 3 Output

Calon 4
Calon n

Rajah 1.1 Grafik Representasi TO

Sumber: Davenport dan Hannahs 1998

Menurut Zaharani (1996) gagasan utama TO ialah nahu itu terdiri daripada
seperangkat kekangan kepurnaan bentuk (a set of well-formedness constraints) yang
bersifat universal dan tersusun dalam satu tatatingkat yang berhierarki (hierarchical
ranking). Kekangan yang berada pada tatatingkat yang rendah boleh diengkari secara
12

minimal untuk mematuhi kekangan yang berada pada tatatingkat yang lebih tinggi. Lima
prinsip asas TO adalah seperti yang berikut (McCarthy dan Prince 1994:3):

(a) Kesejagatan (Universality) – Nahu sejagat (Universal Grammar) menyediakan


seperangkat kekangan yang bersifat sejagat dan wujud dalam setiap nahu.
(b) Keteringkaran (Violability) – Kekangan-kekangan ini boleh diingkari, tetapi
pengingkarannya adalah pada tahap minimal.
(c) Tatatingkat (Ranking) – Kekangan-kekangan ini disusun secara bertatatingkat dan
bersifat khusus bahasa, dan gagasan pengingkaran minimal adalah berdasarkan
tatatingkat ini. Nahu ialah satu penyusunan seperangkat kekangan secara
bertatatingkat.
(d) Keterangkuman (Inclusiveness) – Tatatingkat kekangan menilai seperangkat calon
yang pada dasarnya dianggap munasabah menurut struktur kepurnaan bentuk.
(e) Keselarian (Parallelism) – Yang terbaik mematuhi tatatingkat kekangan ini
dinilai secara menyeluruh, yakni meliputi keseluruhan tatatingkat dan juga
kesemua jumlah calon. Derivasi secara berperingkat-peringkat tidak wujud.

Dalam TO, pematuhan dan pengingkaran kekangan dalam tatatingkat kekangan


berhierarki serta hubungan antara input dengan output diringkaskan dalam bentuk tablo
(tableau). Dua (atau mungkin lebih) senarai output hendaklah diletakkan secara vertikal
atau ke bawah manakala tatatingkat kekangan pula disusun menegak atau secara
horizontal bermula dari kiri ke kanan. Hubungan antara input dengan output diringkaskan
dalam bentuk tablo seperti contoh di bawah:

Senarai Calon A B
☞ calon1 *
calon2 *!

Rajah 1.2 Tablo kekangan, A >> B, /ink/


Sumber: Zaharani 1996
13

Tablo 1.2 di atas menunjukkan bahawa kekangan A lebih tinggi kedudukannya


atau lebih dominan daripada kekangan B (secara konvensinya direpresentasikan sebagai
A >> B). Daripada bentuk dalaman /ink/ terhasil dua bentuk output yang dikenali sebagai
calon1 dan calon2. Calon pertama mematuhi kekangan A tetapi mengingkari kekangan B,
manakala calon kedua pula mengingkari kekangan A tetapi sebaliknya mematuhi
kekangan B. Dalam konflik seperti ini, calon pertama dianggap lebih optimal kerana
kekangan yang diingkarinya adalah kekangan yang berada pada tatingkat yang lebih
rendah. Oleh yang demikian, bentuk output calon pertama adalah output sebenar bagi
input /ink/. Interpretasi konvensi yang digunakan dalam TO adalah seperti yang berikut:

i. Kolum dari kiri ke kanan menunjukkan susunan tatingkat kekangan


ii. Pengingkaran ditandai oleh lambang “*”.
iii. Pematuhan ditunjukkan oleh kotak kosong.
iv. Lambang “!” bermaksud kegagalan – calon tewas dalam pemilihan
v. Lambang “☞” menandakan calon yang optimal.

Kadang-kala berlaku calon berada pada kedudukan seri dalam tingkat-tingkat


kekangan tertentu. Apabila keadaan seperti ini berlaku, maka proses penilaian bergantung
kepada kekangan yang seterusnya. Contohnya dalam tablo 1.3 kedua-dua calon mematuhi
kekangan A, manakala dalam tablo 1.4 pula mengingkari kekangan A. Oleh itu, calon-
calon tersebut berada pada kedudukan seri. Penilaian perlu dilakukan pada kekangan yang
berikutnya dan calon pertama terpaksa disingkirkan kerana mengikngkari kekangan B.
Penyingkiran ini membuatkan calon kedua dianggap sebagai calon yang optimal kerana
paling berharmoni dengan tatatingkat kekangan tersebut.

Senarai Calon A B
calon1 *!
☞ calon2

Rajah 1.3 Tablo kekangan, A >> B. /in1/


14

Senarai Calon A B
calon1 * *!
☞ calon2 *

Rajah 1.4 Tablo kekangan, A >> /inm/

Rajah di bawah pula menunjukkan proses penilaian untuk memilih calon yang
paling optimal daripada seperangkat calon setelah melalui tatatingkat kekangan yang
disusun secara berhierarki.

>> >>
Calon a >
C1 C2 Cn
Calon b
Input Calon c
Calon d Output
Calon …

Rajah 1.5 Proses pemilihan calon optimal


Sumber: René Kager 1999

1.9 KESIMPULAN

Proses peminjaman bahasa merupakan satu proses yang semulajadi kerana bahasa
itu bersifat dinamik. Peminjaman bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu bukan sahaja dari
segi leksikalnya malah unsur-unsur linguistiknya juga. Penyelidikan tentang KPA yang
tidak berlandaskan teori telah membuka ruang kepada kajian ini untuk melangkah setapak
lagi dalam melihat permasalahan yang perlu diselesaikan. Oleh yang demikian, Teori
Optimaliti digunakan untuk menerangkan fenomena yang berlaku akibat kemasukan kosa
kata Arab dan unsure linguistiknya ke dalam bahasa Melayu.
15

Selain itu, penggunaan data korpus juga dapat membantu para penyelidik bahasa
dalam membuat kajian. Data korpus yang berketerwakilan dan kontemporari sifatnya,
dapat mengatasi masalah data kamus yang tidak lagi aktif dalam penggunaan masyarakat.
Data korpus juga merupakan data bahasa sebenar masyarakat penutur natif bahasa
Melayu. Jadi, diharap pengaplikasian teori terkini yang bersesuaian dalam analisis dan
data yang terjamin kualiti dan kuantitinya akan menghasilkan sebuah kajian yang autentik
dapatannya dan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat amnya dan pengguna
dan pengkaji bahasa Melayu khasnya.
16