Anda di halaman 1dari 4

KESAHAN

Kesahan ialah kesesuaian, ketepatan, interpretasi dan kegunaan keputusan pentaksiran sesuatu
prosedur pentaksiran untuk sekumpulan individu, bukan prosedur semata-mata (Miller, Linn &
Gronlund, 2009). Dalam perkataan lain, kesahan merujuk takat sesuatu pentaksiran itu mengukur
secara tepat apa-apa yang ingin diukur. Kesahan terdiri daripada kesahan kandungan, kesahan
konstruk, kriteria dan ramalan.

Kesahan kandungan

Kesahan kandungan merujuk proses untuk menentukan tahap sesuatu ujian dapat menyediakan
sampel yang relevan dan mewakili domain kandungan yang diajarkan dan takat interpretasi skor
ujian dibuat. Ujian yang disediakan perlu mengandungi topik-topik yang telah diajar dan jumlah
soalan setiap topik akan bergantung kepada kewajaran masa mengajar setiap topik tersebut dalam
kurikulum. Kesahan interpretasi skor ujian ditentukan oleh betapa tepatnya item-item diwakili dalam
domain tugasan untuk murid tersebut. Satu spesifikasi ujian yang teliti perlu disediakan sebelum
penggubalan item dalam ujian dilaksanakan.

Kesahan konstruk

Kesahan konstruk merujuk suatu ujian yang boleh menguji kesemua atribut yang ingin diukur.
Konstruk: satu kualiti psikologikal yang menerangkan beberapa aspek tingkah laku seperti kreativiti,
kecerdasan, motivasi, kejujuran, kebolehan menaakul, kefahaman membaca dan sebagainya. Dua
persoalan utama dalam kesahan konstruk:

- Sama ada pentaksiran dapat mewakili konstruk yang diingini dengan secukupnya ataupun
tidak.
- Sama ada prestasi dipengaruhi oleh faktor-faktor yang tidak relevan kepada konstruk
tersebut

Sesuatu ujian yang cuba mengukur daya kreatif dikatakan sah dari segi konstruk jika ia dapat
membezakan antara mereka yang mempunyai daya imaginasi dengan yang tidak. Jika ujian tidak
menggambarkan konstruk yang ingin diukur, maka ujian/instrumen itu tidak sah. Sesuatu ujian yang
digubal untuk mengukur motivasi intrinsik dalam kalangan murid tidak sah jika item dalam ujian itu
juga boleh mengukur motivasi ekstrinsik.

Kesahan ramalan

Kesahan ramalan bermaksud ketepatan sesuatu ujian meramal kebolehan sebenar seseorang calon
untuk menjalankan sesuatu tugas dalam situasi lain pada masa hadapan. Contohnya, ujian
percubaan yang dilaksanakan sebelum peperiksaan awam. Berdasarkan ujian percubaan, guru dapat
meramal prestasi murid pada ujian yang sebenarnya. Ujian dikatakan sah dari segi ramalan jika ia
dapat meramal watak atau perubahan seseorang pada masa hadapan.
Faktor yang mempengaruhi kesahan

1. Faktor ujian itu sendiri:


- Arahan kurang jelaS
- Perbendaharaan kata dan struktur ayat yang mengelirukan
- Pernyataan dalam tugasan yang kabur
- Tempoh masa yang tidak mencukupi
- Item ujian tidak sesuai dengan hasil pembelajaran yang ingin diukur
- Item ujian yang tidak digubal dengan baik
- Ujian yang terlalu pendek
- Susun atur item dalam ujian yang kurang kemas
2. Faktor pentadbiran dan penskoran:
- Masa yang tidak mencukupi untuk menyelesaikan ujian
- Ketidakadilan (memberikan bantuan kepada calon tertentu)
- Penipuan semasa peperiksaan
- Ujian terlalu sukar/panjang dengan tempoh masa yang tidak berpadanan
- Arahan tidak jelas atau tempoh masa tidak dipatuhi
- Pemarkahan yang tidak boleh dipercayai
- Faktor respons murid:
- Gangguan emosi daripada luaran atau dalaman yang menjejaskan prestasi murid

KEBOLEHPERCAYAAN

Kebolehpercayaan merujuk ketekalan sesuatu pengukuran. Suatu keputusan yang boleh dipercayai
merupakan suatu yang menunjukkan pencapaian yang sama pada masa yang berlainan. Contoh:
Calon memperoleh 80 markah dalam satu ujian dan mendapat skor yang hampir sama apabila ujian
tersebut dilaksanakan pada minggu berikutnya. Maka ujian itu dikatakan sebagai mempunyai sifat
kebolehpercayaan yang tinggi. Kebolehpercayaan perlu dirujuk kepada keputusan ujian, bukan ujian
itu sendiri. Anggaran kebolehpercayaan sentiasa dirujuk kepada jenis ketekalan tertentu.
Kebolehpercayaan adalah perlu tetapi bukan syarat untuk kesahan. Kebolehpercayaan berkait secara
langsung dengan ralat dan skor diperhatikan bersamaan skor sebenar + ralat.

Punca ralat pentaksiran

1. Ralat dalaman (murid)


- Emosi
- Pemakanan
- Motivasi
- Kerisauan
- Kepenatan
- Kemahiran menghadapi peperiksaan
- Kebolehan
2. Ralat luaran
- Arahan peperiksaan
- Kekaburan item
- Ketidakselesaan di dalam bilik peperiksaan
- Persampelan item
- Perbezaan dari segi pemerhati
- Gangguan semasa ujian
- Penskoran
- Bias

Faktor yang Mempengaruhi Kebolehpercayaan

1. Bilangan tugasan pentaksiran/item - Semakin banyak bilangan tugasan dalam suatu


pentaksiran, maka semakin tinggi kebolehpercayaannya.
2. Serakan skor - Semakin besar serakan skor, semakin tinggi kebolehpercayaan.
3. Objektiviti ujian - Semakin objektif cara penskoran, semakin tinggi kebolehpercayaan.

Cara untuk Menganggarkan Kebolehpercayaan

- Uji-ulang uji (test-retest reliability)


- Ujian bentuk setara (equivalent forms)
- Ujian bahagi dua (split-half reliability)
- Koefisien alpha
- Konsistensi antara pemeriksa (inter-rater)

KEOBJEKTIFAN

Keobjektifan ujian merujuk tahap instrumen itu bebas daripada ralat personal, iaitu subjektiviti
pemeriksa. Keobjektifan penskoran bermaksud seorang atau banyak pemeriksa yang berlainan akan
mencapai keputusan yang sama untuk skrip ujian pada bila-bila masa tanpa ada ralat peluang.
Keobjektifan item bermaksud item yang dikemukakan akan mempunyai satu jawapan yang tetap.

KEMUDAHTADBIRAN

Kemudahtadbiran merujuk pentadbiran ujian secara baik dan berjalan lancer dari segi penyediaan
ujian sebelum, semasa dan selepas ujian. Hal ini merangkumi:

- Penyediaan dewan peperiksaan, pemberian kertas ujian, pengawasan dan pengumpulan


skrip jawapan secara sistematik dan cekap
- Arahan yang jelas dan mudah difahami
- Format ujian
- Tempoh masa yang sesuai

KEMUDAHTAFSIRAN

Keputusan ujian yang mudah ditafsir untuk penambahbaikan dan diambil tindakan secara berguna
merupakan satu aspek dalam kemudahtafsiran. Di dalam bilik darjah, keputusan ujian harus boleh
ditafsir dengan memberikan gambaran umum kepada murid tentang pencapaian individu
berbanding dengan kumpulan murid; kekuatan dan kelemahan murid serta punca kelemahan dan
kesilapan yang dilakukan. Tafsiran akan lebih mudah jika guru merancang sebelum pentaksiran dan
cara untuk menggunakan keputusan.

Anda mungkin juga menyukai