Anda di halaman 1dari 3

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua anak2


Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran kepada
Tuhan kerana pada hari yang ceria ini, kita dapat bersama-sama dalam chanel cg
ini untuk mendengar perkongsian cg mengenai 'Ciri-ciri Pelajar Cemerlang'.

anak2 sekalian,

       Semua insan inginkan kecemerlangan dalam kehidupan mereka.   Malah,


semua pelajar di ahadapan cg sekarang juga ingin menjadi pelajar yang
cemerlang. Pendek kata,  semua pelajar ingin cemerlang dalam semua bidang
yang diceburi.  Contohnya, sudah pasti pelajar ingin cemerlang dalam bidang
akademik, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya.  Pelajar cemerlang umpama
benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau.   Persoalanya, apakah sebenarnya
ciri-ciri pelajar cemerlang?  Bagaimanakah caranya untuk menjadi cemerlang?
Apakah pelajar di hadapan saya ini pelajar yang cemerlang?  Bersedialah wahai
pelajar-pelajar, kerana sebentar lagi kita akan bersama-sama mengupas tajuk
ciri-ciri pelajar yang cemerlang.

Para pelajar yang disayangi,

         Memang tidak dapat dinafikan, ciri pelajar cemerlang yang sering


ditonjolkan ialah dari segi pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan
berusaha untuk memastikan pecapaian akademik mereka sentiasa
memberangsangkan dalam setiap ujian dan peperiksaan.  Contohnya, pelajar
cemerlang akan mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik
darjah, dan pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik
darjah. Pelajar cemerlang sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang
ada dalam diri mereka bagi memperoleh hasil pembelajaran yang optimum.
Mereka menetapkan matlamat pembelajaran yang munasabah, dan berusaha
untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang
bentuk gangguan bagi memastikan pencapaian akademik mereka sentiasa
cemerlang.

         Selain itu, semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi


tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Sebagai
contoh, pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran yang
maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah bahagi.
Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang daripada
dalam diri sendiri  mahupun persekitarannya. Pelajar cemerlang tidak meletakkan
terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di hati.
Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru
yang sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka mampu
bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya.

           Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun


menyertai kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang
seimbang, iaitu tidak terlalu menonjol dan tidak hanya sebagai
penumpang. Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi bersabar mendengar
idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai
perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan adil.
Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan tangan kosong.
Maka, kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran
berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di
tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak disuruh.

pelajar-pelajar sekalian,

           Selanjutnya ialah, pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi


dalam peperiksaan awam. Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong,
tetapi dibuktikan menerusi strategi dan usaha yang optimum. Mereka tidak
bergantung kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus terhadap perancangan
jawapan yang menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang menggunakan segala
pengalaman pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi segala kehendak
sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan
awam. Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam,
pelajar cemerlang berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam
bidang yang diklasifikasikan sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping
melamar tempat di institut pengajian tinggi terkemuka dengan tajaan biasiswa
yang berprestij.

          Apakah tindakan ke sana ke mari dengan buku sehingga digelar sebagai


'ulat buku' merupakan ciri pelajar yang cemerlang?  Sebenarnya,  Pelajar
cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka
juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum.
Sebenarnya bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik
darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan
kemahiran kurikulum. Pelajar cemerlang menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai
kesempatan bagi menggilap bakat kepimpinan, memupuk semangat suka rela
dalam perkhidmatan sosial dan mendekati aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang
akan menggunakan kapasiti diri sama ada sebagai pemimpin, peserta atau
petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam, permainan dan
sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap
ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti
kokurikulum.

Pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian,

          Disiplin asas kejayaan.  Oleh itu, pelajar cemerlang juga sinonim dengan
amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar sebagai pelajar skema
yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan berbeza
dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak berasa kekok
untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun rakan
yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul sebagai
peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya bersikap
positif dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu
membutirkan tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku
yang disenangi. Sebagai contoh, pelajar cemerlang mementingkan ketepatan
masa, dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna mungkin. Setiap
kali diberi tugasan, pelajar cemerlang tidak melaksanakannya dengan sambalewa
semata-mata seperti "melepaskan batuk di tangga".  Jelaslah prinsip pelajar
cemerlang ialah mementingkan disiplin dalam memacu kecemerlangan hidup
mereka.

          Seterusnya, pelajar cemerlang juga perlu menampilkan sahsiah dan budi


pekerti yang mulia dan murni. Percakapan mereka dihiasi dengan sopan santun
bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan berasa selamat dan
dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta tidak
mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa,
pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba
melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada
mana-mana pihak.

                Akhirnya, satu lagi ciri yang sangat penting ialah, pelajar cemerlang
sentiasa berpegang teguh pada tali agama.  Kepercayaan dan kepatuhan kepada
suruhanNya sepatutnyalah menjadi perkara utama dalam kehidupan ini.
Contohnya, pelajar yang cemerlang sentiasa berusaha melaksanakan suruhan
Tuhan dan menjauhi larangannya.  Malah pegangan agama yang kukuh menjadi
penyuluh dan petunjuk jalan dalam kehidupan pelajar supaya sentiasa berada
pada jalan kebenaran.  Hal ini demikian kerana, pelajar yang cemerlang sentiasa
meninginkan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

          Sebagai kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri


yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin, sahsiah dan pegangan
agama.   Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut
sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk
meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Oleh itu pelajar cemerlang
haruslah sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan setiap masa dan jangan
sesekali menganggap bahawa diri mereka serba sempurna.

         Sebelum cg menamatkan perkongsian cg pada hari ini, cg percaya tentu


pelajar-pelajar yang berada di hadapan cg ini sedang tertanya-tanya kepada diri
sendiri. Antara persoalan yang mundar-mandir di minda ialah adakah ciri-ciri
yang telah dinyatakan tadi dalam diriku?  Mampukah saya menggarab ciri-ciri
kecemerlangan tersebut.  Jawapanya ialah, jika hanya satu atau dua ciri sahaja
yang ada dalam diri pelajar-pelajar ketika ini, syabas dan tahniah saya ucapkan.
Satu permulaan yang baik dan teruskan untuk mencapai ciri-ciri kecemerlangan
itu.  cg percaya dan penuh keyakinan bahawa semua pelajar akan mampu menjadi
pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang.  Di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan.  Tepuk dada tanya selera.

Sekian.  Terima Kasih.

Anda mungkin juga menyukai