Anda di halaman 1dari 2

Teks Ucapan Pengetua

Sempena Perasmian Minggu Bahasa,


Peringkat Sekolah SMK Muadzam Jaya 2021

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wrt wbr,

Guru-guru, murid-murid serta hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.


Pertamanya marilah kita bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan limpah dan
kurnia-Nya dapat kita berkumpul secara maya pada hari ini dalam keadaan yang
aman, damai dan ceria.

Seterusnya saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada guru-guru


dan murid-murid yang terlibat dalam menjayakan majlis kita pada pagi ini.

Majlis ini diadakan bagi memupuk kesedaran kepentingan Bahasa Malaysia


sebagai bahasa kebangsaan negara kita, Malaysia. Di dalam Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan telah dijelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali
juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai
fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan


pembelajaran juga telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961
(Pindaan 1996). Namun pada masa yang sama bahasa-bahasa lain yang digunakan
oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia, bebas digunakan seperti bahasa Mandarin
oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India. Ini membuktikan bahasa
merupakan penyatu bangsa.

Ikat jerami muat ke kandar,


Selepas makan mandi di telaga,
Ucap difahami wasangka terhindar,
Bahasa Kebangsaan penyatu warga.

Selain itu, tujuan utama penganjuran program ini adalah:

1. Untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra


bangsa Malaysia.
2. Menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
3. Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa
kebangsaan.
4. Menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan
negara bangsa.
Bahasa Melayu merupakan pra-syarat lulus SPM, manakala untuk lulus bahasa
melayu pelajar wajib lulus ULBS ( Ujian Lisan ). Oleh itu penekanan secara berfokus
dengan daya usaha tinggi perlu dilakukan segera segera baik oleh pelajar mahupun
para guru.
Dalam konteks Negara amnya, ketinggian budi dan bahasa sangat dituntut. Kita
perlu menjadi warga yang berbudi bahasa dan keperluan ini adalah sebahagian
daripada ciri-ciri warga negera yang berkualiti. Ketinggian budi bahasa dan adab
sopan pula dapat membezakan antara orang berilmu dengan yang tidak berilmu.

Atas dasar inilah maka Bulan Bahasa Melayu 2021 dilancarkan di SMK
Muadzam Jaya. Saya percaya melalui aktiviti atau program yang diaturkan dalam
Bulan Bahasa ini boleh menjadi titik tolak bagi mempelopori usaha yang lebih besar
untuk mencungkil bakat dan menggilap potensi pelajar. Sekaligus usaha ini akan
memperkasa Bahasa Melayu.

Akhirnya saya berdoa dan berharap agar Bulan Bahasa ini akan dapat
menyedarkan seluruh warga SMK Muadzam Jaya tentang pentingnya mengisi Dasar
Bahasa Kebangsaan yang telah terbukti dapat membentuk perpaduan rakyat dan
dapat mengisi erti kemerdekaan yang kita capai melalui pelaksanaan fungsinya
sebagai bahasa pentadbiran dan Bahasa ilmu.

Bersama harapan itu saya dengan lafaz Bismillaahirrahmanirrahim, dengan


sukacitanya merasmikan Bulan Bahasa 2021 peringkat SMK Muadzam jaya.
Sekian Terima Kasih.

Anda mungkin juga menyukai