Anda di halaman 1dari 2

Bantuan Berharga

“Mak, hari ni kita makan apa?” Tanya Uda kepada emaknya yang sedang sibuk menyediakan
sarapan pagi. “Kita makan apa yang ada je Uda. Mak masakkan lempeng ni.” Balas Mak Leha
kepada anaknya. “Alaaa, lempeng lagi ke?” Uda menjawab dalam nada yang kecewa.

“Uda, bersyukurlah dengan rezeki yang kita ada. Orang lain mungkin ada yang lebih
susah daripada kita. Mungkin ada yang tidak makan berhari-hari.” Sampuk Kak Long yang
sedang mengemas rumah dan tempat tidur adik-adiknya.

Mak Leha terpaksa menyara kehidupan lima orang anak-anaknya yang masih kecil
semenjak kematian suaminya. Suaminya meninggal dunia akibat Covid-19. Sejak itu, Mak
Lehalah yang menjadi tulang belakang dan memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Dia
yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran telah diberhentikan kerja semasa
musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kini, dia hanya bekerja mengemas dan membersihkan rumah orang yang memerlukan
khidmatnya. Dapatlah dia menampung perbelanjaan rumah. Jika ada rezeki lebih, tuan rumah
akan memberikan sedikit makanan untuk dibawa pulang ke rumah. Jiran mereka juga banyak
menghulurkan bantuan dari segi makanan dan wang ringgit.

Tiba-tiba, Ucu yang baru berusia 2 tahun menangis. Kak Long datang menenangkan
adiknya. Badan Ucu panas. “Mak, Ucu demam,” jerit Kak Long. Mak Leha segera mendapatkan
anaknya. Dia mengelap badan Ucu dengan tuala basah. Namun, demam Ucu masih juga tidak
kebah.

Mak Leha segera membawa anaknya ke klinik. Mereka tiada kenderaan. Mak Leha
terpaksa berjalan kaki sambil mendukung anaknya yang masih menangis. Jarak rumahnya
dengan klinik agak jauh. Sebelum ke klinik, Mak Leha sempat berpesan kepada Kak Long
supaya menjaga adik-adiknya dengan baik.

Kak Long berasa tidak sedap hati. Dia masih menunggu kepulangan emak dan adiknya
yang belum pulang dari klinik. Tidak lama kemudian, muncul sebuah kereta di hadapan
rumahnya. Jiran mereka, Pak Majid dan Mak Senah keluar dari dalam kereta.
“Mak..mana mak ni..mana Ucu?” Bisik hati Kak Long. Tiba-tiba, muncul emaknya yang
sedang mendukung Ucu dari dalam kereta. Kak Long berasa sangat lega melihat emak dan
adiknya sudah pulang. Pak Majid dan Mak Senah telah menumpangkan Mak Leha dan Ucu ke
klinik. Kebetulan, pada masa itu Pak Majid dan Mak Senah ingin ke bandar.

Mereka juga telah membelikan makanan dan barang keperluan harian untuk Mak Leha
sekeluarga. Mak Leha berasa sangat gembira dan bersyukur dengan bantuan yang telah diberikan
oleh Pak Majid dan Mak Senah. Sekurang-kurangnya bantuan tersebut dapat meringankan beban
keluarga mereka yang dalam kesempitan. Mereka sangat berterima kasih kepada Pak Majid dan
Mak Senah atas bantuan yang sangat berharga tersebut.