Anda di halaman 1dari 20

JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH

SEKTOR PENGURUSAN AKADEMIK

940/2 STPM 2021

MODUL PERCUBAAN STPM SEMESTER 2

SEJARAH
SEJARAH ISLAM (500-1918)

SEMESTER 2

CADANGAN SKEMA JAWAPAN


(SET 2)

JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH


(SABAH EDUCATION DEPARTMENT)

SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA


( MALAYSIA HIGHER SCHOOL CERTIFICATE )

__________________________________________________________________________________
Skema Jawapan ini terdiri daripada 20 halaman bercetak.
@Jabatan Pendidikan Negeri SABAH 2021

STPM 2021 - 940/2 [Lihat halaman sebelah


*Skema jawapan ini SULIT sehingga peperiksaan kertas ini tamat. SULIT*

STPM 2021 SULIT


940/2

CADANGAN SOALAN DAN SKEMA SET 2

1. Jelaskan etika dan strategi peperangan pada zaman Nabi Muhammad SAW (20M)

2. Bincangkan pelaksanaan naungan melalui Jizyah pada zaman Khalifah al-Rasyidin (20M)

3. Sumbangan Ibn Sina dalam bidang perubatan telah banyak memberikan manfaat kepada
masyarakat dunia. Bincangkan. (20M)

4. Huraikan faktor-faktor perkembangan ekonomi semasa Kerajaan Abbasiyah pada abad ke-11
hingga ke-12 Masihi (20M)

5. Sejauhmanakah peranan kewartawanan mempengaruhi kemunculan gerakan nasionalisme di


Syria pada abad ke-20 masihi. (20M)

6. Bincangkan konflik Kerajaan Uthmaniyah dengan Eropah dan kesannya terhadap kerajaan
Uthmaniyah. (20M)
KERTAS SOALAN TAMAT
CADANGAN SKEMA JAWAPAN SET 2

1. Jelaskan etika dan strategi peperangan pada zaman Nabi Muhammad saw.

Pendahuluan

 Peperangan tidak dibenarkan dalam Islam kecuali bagi tujuan mempertahankan kesucian agama
Islam, maruah diri, keluarga dan negara, menegakkan hukum Allah, menjamin kesejahteraan
umat manusia sejagat dan memberikan pengajaran kepada musuh-musuh Islam.
 Dua jenis perang yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW iaitu Perang Sariyah(Kecil)
dan juga peperangan Ghazwah(Besar)
 Nabi Muhammad saw telah menyumbangkan banyak strategi peperangan seperti Perang Badar,
Perang Uhud dan Perang Khandak.
 Antara etika perang yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW adalah seperti larangan
membunuh golongan lemah, merosakkan harta benda dan lain lain. Manakala strategi yang
diperkenalkan pula adalah strategi menunggu, bertahan dan lain-lain.

Isi-isi

A. Etika peperangan

1. Tawaran perdamaian sebelum berperang

 Dalam konteks sebelum peperangan, tentera Islam dikehendaki memberi pilihan kepada pihak
lawan sama ada menerima Islam, membayar jizyah iaitu cukai perlindungan atau berperang jika
pihak musuh yang memulakan terlebih dahulu.
 Tentera Islam hanya akan melakukan serang balas sekiranya pihak musuh memulakan serangan.
 Umat Islam dilarang sama sekali mengangkat senjata terlebih dahulu/memulakan peperangan

2. Mengutamakan perdamaian dan mematuhi perjanjian damai

 Bila berlaku situasi musuh inginkan perdamaian maka tentera Islam hendaklah menerima
perdamaian tersebut dengan hati terbuka.
 Keadaan ini berlaku ketika Nabi Muhammad saw dan tentera Islam berhasrat melancarkan
serangan ke atas kota Makkah, pihak musuh memohon perdamaian sehingga termeterainya
Perjanjian Hudaibiah.
 Selepas perang, Islam menetapkan bahawa sebarang perjanjian damai yang dimeterai wajib
dipatuhi setiap individu muslim yang terlibat dalam peperangan sama ada secara langsung atau
sebaliknya.
 Contoh terbaik ialah kesetiaan umat Islam terhadap gencatan senjata selama 10 tahun yang telah
diputuskan dalam Perjanjian Hudaibiyah.
 Setelah perjanjian damai termeterai, kedua-dua belah pihak hendaklah mematuhi isi perjanjian
yang telah dipersetujui selagi mana pihak musuh tidak memungkiri janji.

3. Larangan memerangi golongan lemah dan harta benda awam

 Semasa peperangan, tentera Islam dilarang memerangi orang kafir yang lemah seperti kanak-
kanak, kaum wanita, orang kurang upaya, lumpuh termasuklah juga paderi atau pendeta.
 Contohnya sewaktu peristiwa penaklukan kota Mekah oleh Nabi Muhammad s.a.w, baginda
melarang tenteranya membunuh wanita, kanak-kanak, orang yang tidak berupaya, orang tua dan
orang yang berlindung di rumah ibadat mereka.
 Selain itu, tentera Islam juga dilarang merosakkan harta benda, menebang pokok, kebun-kebun
atau membakar rumah kecuali dalam keadaan darurat.
 Hal ini membuktikan betapa Islam mementingkan keamanan dan kedamaian. Islam juga
melarang tenteranya memerangi orang yang telah menyerah kalah, kafir ‘dhimmi’ atau sesiapa
sahaja yang telah mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia kepada pemerintah Islam.

4. Taat kepada Ketua dan Larangan Mengaibkan tentera Musuh

 Mentaati arahan ketua khususnya perintah Nabi Muhammad SAW sebelum, semasa dan selepas
perang adalah suatu yang sangat dituntut dalam Islam
 Kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud adalah salah satu bukti ketidaktaatan pasukan
pemanah tentera Islam yang telah mengingkari perintah Nabi Muhammad SAW iaitu jangan
meninggalkan Bukit Uhud selagi tidak diarahkan.
 Islam juga melarang sebarang perbuatan yang boleh mengaibkan musuh
 Situasi yang berlaku seperti mencincang mayat musuh yang dilakukan Hindun binti Utbah yang
mencincang mayat Saidina Hamzah iaitu bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. dalam Perang
Uhud.
 Perbuatan ini telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap umat Islam.

5. Layanan baik terhadap tawanan perang

 Islam menyeru agar semua tawanan perang akan dilayan dengan baik.
 Perkara ini sebenarnya merupakan salah satu cara berdakwah yang diajar Nabi Muhammad s.a.w.
 Walau bagaimanapun, etika ini tidak akan digunakan ke atas musuh yang benar-benar berbahaya
terutama kepada umat Islam.

B. Strategi peperangan

1. Menguasai tempat strategik

 Berlaku semasa Perang Badar pada 17 Ramadan tahun ke- 2 Hijrah atau 624 Masihi antara
tentera Islam dan tentera Quraisy
 Tentera Islam berjaya mengalahkan tentera Quraisy kerana mereka bertindak pantas menguasai
kawasan strategik iaitu kawasan punca air .
 Akhirnya musuh kehabisan bekalan air sehingga memaksa mereka menceroboh benteng tentera
Islam dalam keadaan lemah.
 Kebijaksanaan tentera Islam menguasai Lembah Badar terlebih dahulu telah menyebabkan
kemenangan berpihak kepada tentera Islam.
 Pada Perang Uhud pula, nabi menempatkan tentera pemanah di atas Bukit Uhud untuk
menghujani panah bagi mengucar-ngacirkan tentera musuh. Bukit yang berada di situ mestilah
terlebih dahulu dikuasai dan diduduki oleh pasukan pemanah untuk memberi perlindungan yang
berkesan kepada tentera pejalan kaki dan berkuda yang bertempur di lereng bukit.
2. Menempatkan pasukan pemanah di atas bukit Uhud

 Berlaku semasa Perang Uhud pada tahun ke-3 Hijrah atau 625 Masihi.
 Dalam perang ini tentera berjalan kaki akan disokong oleh pasukan pemanah yang diletakkan di
atas Bukit Uhud.
 Strategi ini berjaya berjaya mengalahkan musuh pada peringkat awal.
 Namun,pada peringkat akhir tentera Islam tewas.
 Ini disebabkan mereka dikaburi oleh harta musuh yang bertaburan menyebabkan mereka
meninggalkan posisi masing-masing, sekali gus melanggar arahan Nabi Muhammad SAW.

3. Bertahan dan menggali parit

 Berlaku semasa Perang Khandak atau Perang al-Ahzab pada bulan Syawal tahun ke- 5 Hijrah.
 Tentera Islam membina benteng pertahanan dengan menggali parit di sekeliling Kota Madinah.
 Strategi ini digunakan berikutan cadangan daripada seorang sahabat iaitu Salman al-Farisi.
 Parit ini telah menghalang tentera musuh daripada memasuki Kota Madinah ,manakala tentera
Islam bertahan di dalam kota.
 Parit yang digali telah menghalang tentera musuh daripada memasuki kota Madinah manakala
tentera Islam pula bertahan di dalam kota. Strategi ini telah mengelirukan pihak musuh dan
memaksa mereka berundur diri dari medan pertempuran. Nabi Muhammad saw telah
menampilkan ciri kepimpinan Islam apabila bersedia menerima pendapat tentera biasa yang
difikirkan bernas.

4. Penyamaran/Tipu helah

 Strategi ini digunakan dalam Perang Khandak.


 Nu’aim bin Mas’ud telah diarahkan memecahbelahkan benteng pertahanan musuh serta kekuatan
tentera Quraisy dan Yahudi.
 Nu’aim telah menyamar sebagai musuh Islam.
 Akhirnya pakatan antara tentera Quraisy dan Yahudi berjaya dipecah belahkan.
 Contoh lain apabila musuh-musuh Islam berniat untuk membunuh nabi. Oleh itu, penyamaran
untuk mengelirukan musuh supaya sukar mengenali nabi telah dilaksanakan baginda dengan
memakai pakaian seragam yang sama dengan beberapa sahabat.
 Penyamaran ini amat berjaya di mana dalam Perang Uhud, seorang tentera kafir telah membunuh
Mas’ab bin Umair. Sesudah itu, beliau memberitahu kepada pasukannya bahawa nabi telah
berjaya dibunuh.
 Sedangkan apa yang berlau ialah nabi memakai pakaian dan tutup muka yang sama dengan yang
dipakai oleh Mas’ab bin Umair.
 Strategi ini juga memberi kelebihan kepada tentera Islam dan membawa kejayaan.

5. Memeterai perjanjian persahabatan dengan musuh

 Nabi Muhammad SAW telah mengadakan Perjanjian Hudaibiyah dengan pihak Quraisy
Makkah.
 Perjanjian ini dipertikaikan oleh para sahabat kerana syarat-syarat yang dikatakan tidak adil bagi
umat Islam.
 Namun,Nabi Muhammad SAW tetap menerima syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian
tersebut kerana yakin umat Islam akan menang.
 Telahan Nabi Muhammad SAW tepat kerana pihak Quraisy Makkah mencabuli perjanjian
tersebut.
 Kesannya, Nabi Muhammad SAW dan 10 000 tentera Islam berjaya membuka Kota Makkah
tanpa pertumpahan darah pada 10 Ramadan tahun ke- 8 Hijrah atau 630 Masihi.
 Selain itu, nabi telah membuat perjanjian persahabatan dengan Bani Zomrah di Waddan sebelum
berlakunya Perang Badar. Kedua pihak berjanji akan setia menolong jika salah satu pihak
diserang musuh. Dengan adanya Pakatan sedemikian telah menggerunkan musuh Quraisy
Makkah dan akhirnya berjaya mengalahkan mereka yang datang menyerang Madinah.

6. Taktik menunggu

 Taktik menunggu ini telah digunakan oleh pasukan tentera Islam dalam Perang Badar.
 Tentera Islam hanya menanti ketibaan tentera musuh dan akan bertindak menyerang secara
spontan.

7. Taktik mengepung

 Digunakan dalam Perang Taif


 Pasukan tentera Islam menggunakan taktik mengepung sehingga berjaya memutuskan bekalan
makanan dan seterusnya melancarkan serangan bertubi-tubi sehingga tentera musuh tidak sempat
bersedia menyerang balas.
 Pelbagai jenis senjata juga untuk memecahkan kubu pertahanan musuh.

8. Taktik risikan

 Nabi Muhammad saw mengutuskan seseorang untuk menyamar atau merisik bagi mendapatkan
sesuatu maklumat daripada musuh.
 Contohnya, peranan Naim bin Mas’ud memecah belahkan perpaduan di kalangan pakatan
golongan Quraisy Makkah dan Yahudi Madinah yang mengepung kota Madinah dalam Perang
Khandak.

9. Strategi al-Saf dan gerak serentak

 Dalam Perang Badar, susunan tentera berasaskan sistem al-Saf di mana satu saf (barisan)
mengandungi 10 hingga 100 tentera diketuai pembawa bendera.
 Tentera Islam disusun dalam dua barisan iaitu barisan pertama terdiri daripada tentera pejalan
kaki dan penunggang kuda bersenjatakan pedang, tombak, lembing dan perisai dan diikuti oleh
barisan kedua iaitu tentera pemanah.
 Barisan pertama untuk menentang tentera berkuda musuh dan barisan kedua untuk memberi
perlindungan kepada tentera pejalan kaki dan membuat serangan. Tentera berkuda dijadikan
tentera sokongan untuk menguatkan jentera serangan dan memantapkan benteng pertahanan.
 Bergerak serentak di dalam sesuatu pasukan tentera adalah strategi peperangan yang
diperkenalkan oleh Nabi Muhammad saw semasa menghadapi tentera musuh. Perbarisan adalah
strategi terbaik menyatukan segala kekuatan tentera yang ada untuk menghancurkan pasukan
musuh.

10.Taktik tidak mengejar musuh

 Islam melarang mengejar musuh yang lari ke sempadan ketika Perang.


 Dalam Perang Tabuk, antara tentera Islam dan tentera Rom yang berlangsung pada tahun 9H.
Tindakan ini terpaksa dilakukan nabi demi keselamatan tentera yang berkemungkinan
terperangkap dengan strategi musuh serta menggambarkan sikap tentera Islam yang tidak agresif
semata-mata untuk mendapatkan kemenangan.

11. Merahsiakan jumlah tentera musuh

 Merahsiakan jumlah anggota tentera musuh yang akan dihadapi di dalam pertempuran
merupakan satu strategi Nabi Muhammad SAW sebelum berlakunya sesuatu peperangan.
 Keadaan ini adalah untuk mengekalkan momentom kejihadan umat Islam jika berlaku Perang
 Contohnya, dalam Perang Badar, nabi tidak langsung membayangkan jumlah orang kafir
Makkah yang melebihi 1,000 orang itu.
 Kebenaran jumlah tentera musuh hanya diketahui ketiak perang berlangsung.
 Setelah seruan ke medan Perang Badar diisytiharkan oleh Nabi Muhammad saw, keseluruhan
tentera Islam berjumlah 313 orang telah melafazkan taat setia dan kesanggupan berjihad.

12. Merahsiakan tujuan persiapan perang

 Nabi Muhammad saw pernah berbuat demikian ketika mengarahkan tentera Islam yang
jumlahnya melebihi 10,000 orang bersiap sedia.
 Matlamat nabi itu sebenarnya adalah untuk membuka kota Makkah secara aman pada tahun 8H.
Untuk mengelirukan lagi musuh, nabi telah mengarahkan sepasukan tentera Islam untuk menuju
satu tempat yang berlainan iaitu ke Najd di sebelah timur Madinah.
 Pergerakan tentera Islam ini telah ditafsirkan oleh kafir Makkah sebagai pergerakan yang bukan
menggugat keselamatan Makkah. Dengan ini mereka tidak bersedia menghadapi peperangan.
Sebelum memasuki kota Makkah, tentera Islam bermalam di satu tempat berhampiran dengan
kota Makkah.
 Di waktu malam, nabi memerintahkan tenteranya menyalakan beberapa longgok api di sekeliling
khemah masing-masing. Kebetulan perisik kafir Makkah datang meninjau kekuatan tentera
Islam, antaranya Abu Sufyan. Mereka amat terkejut dengan keadaan perkhemahan tentera Islam
terang benderang yang dianggarkan oleh mereka berpuluh-puluh ribu orang tentera. Berita
kekuatan angkatan tentera Islam telah disampaikan kepada kafir Makkah.
 Mereka kebanyakkannya menggeletar ketakutan. Akibatnya, ada antara mereka datang ke
perkhemahan nabi pada malam itu untuk memeluk Islam seperti Abu Sufyan dan lain-lainnya.
Kekuatan tentera Islam itu kemudiannya diperbesar-besarkan oleh Abu Sufyan kepada penduduk
Makkah hingga menghancur luluhkan semangat keperwiraan yang pernah berkobar-kobar di hati
sanubari mereka.
 Keesokkan harinya, kebanyakkan orang kafir Makkah menutup rumah masing-masing kerana
ketakutan.
 Apabila nabi dan tentera Islam memasuki Makkah, mereka tidak sedikitpun menghadapi
sebarang tentangan daripada kafir Makkah.

Kesimpulan

 Strategi yang digunakan pada zaman nabi diwarisi oleh pemerintah Islam pada zaman Khalifah
al-Rasyidin bagi menghadapi tentera Rom dan Parsi.
 Kejayaan demi kejayaan telah dicapai dalam ekpedisi tentera Islam selepas kewafatan Nabi
Muhammad SAW dalam menguasai hampir keseluruhan peta dunia.
2. Jelaskan pelaksanaan hubungan naungan melalui Jizyah semasa zaman pemerintahan
Khalifah al-Rasyidin.

Pendahuluan
 Naungan merujuk kepada perlindungan yang diberikan oleh kerajaan Islam yang lebih kuat
dan berpengaruh terhadap kerajaan yang lemah atau yang berjaya dikuasai melalui kempen
ketenteraan.
 Kesan daripada pelaksanaan konsep naungan ini, negara Islam menjanjikan keselamatan
nyawa dan harta benda terhadap golongan bukan Islam. Sebagai balasan, golongan ini
dikehendaki membayar jizyah.
 Jizyah bermaksud ganti rugi atau cukai perlindungan. Jizyah merupakan pemberian ufti oleh
seseorang individu atau kerajaan bukan Islam kepada kerajaan Islam sebagai tanda berada
dibawah naungan kerajaan Islam. Mereka diberi hak seperti orang-orang Islam.
 Pelaksanaan jizyah melalui naungan dilakukan sewaktu pemerintahan khalifah al-Rasyidin
iaitu semasa zaman pemerintahan Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman Al-Affan
dan Ali bin Abi Talib.

Isi- isi

1. Jenis Jizyah

 Secara amnya, naungan melalui pembayaran jizyah terbahagi kepada dua kategori iaitu
jizyah secara rela dan jizyah secara paksaan.
 Jizyah secara rela ialah kadarnya ditetapkan secara persetujuan bersama.
 Manakala jizyah secara paksaan pula ialah kadarnya ditentukan oleh pemerintah Islam.

2. Kadar Jizyah

 Jizyah dibayar setiap awal tahun dan kadar minimumnya ialah satu dinar.
 Namun bagi mazhab seperti mazhab Hanafi dan Hambali, kadarnya antara 12 hingga 48
dirham bergantung kepada status atau seseorang individu tersebut.

3. Golongan yang dikenakan Jizyah

 Jizyah- cukai politik yang dikenakan oleh kerajaan Islam terhadap kafir zimmi sebagai
perlindungan dan jaminan keselamatan jiwa dan harta benda mereka.
 Kewajipan membayar jizyah akan termansuh seandainya seseorang kafir zimmi itu
memeluk Islam atau kerajaan Islam gagal memberikan jaminan keselamatan ke atas
nyawa dan harta benda mereka
 Golongan yang dikenakan jizyah ialah kafir zimmi yang memenuhi syarat dikenakan
jizyah antaranya lelaki, sihat fizikal dan mental, akil baligh, berkemampuan, merdeka
dan bukan ahli agama seperti paderi dan pendeta.

4. Zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq


 Semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, jizyah diambil daripada wilayah
bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam.
 Sebelum menaungi wilayah bukan Islam beliau memberi tiga pilihan kepada penduduk Iraq
dan Syria iaitu memeluk Islam, membayar jizyah atau berperang
 Beliau berjaya menguasai beberapa beberapa wilayah seperti Iraq dan Syria yang
pemimpinnya bersetuju membayar jizyah sebanyak 19 ribu dirham kepada kerajaan Islam di
Madinah.
 Dalam ekspedisi ke Daumat al-Jandal panglima Khalid bin al-Walid telah menawan
kerajaan di Hirah, al-Anbar dan Ain al-Tamar . Wilayah berkenaan rela membayar jizyah
sebanyak satu dinar setiap individu.

5. Era Khalifah Umar al-Khattab

 Berlaku peningkatan cukai Jizyah selepas kejayaan ekspedisi ketenteraan di Mesir, Iraq dan
Syam yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab
 Khalifah Umar juga telah mengarahkan gabenor-gabenor untuk melaksana dan menentukan
kadar jizyah ke atas wilayah masing-masing. Hasil Jizyah digunakan untuk manfaat negara
dan wilayah.
 Khalifah Umar al-Khattab juga telah membuat perjanjian dengan pemimpin Baitulmuqaddis
serta pemerintah Babylon yang diwakili oleh Muqauqis. Hasil perjanjian mereka telah
bersetuju membayar Jizyah dengan menerima perlindungan kerajaan Islam.
 Pelaksanaan Jizyah di Syria ditentukan dengan kadar Jizyahnya ialah 1 hingga 4 dinar
bergantung pada status dan kemampuan individu, manakala penduduk Qibti di Mesir,
penduduknya membayar Jizyah dengan kadar 2 dinar setahun kepada kerajaan Islam
Madinah kerana bersetuju bernaung di bawah kerajaan Islam.

6. Zaman Khalifah Uthman bin al-Affan

 Semasa zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin al-Affan pelaksanaan jizyah


diteruskan berikutan kawasan wilayah naungan kerajaan Islam semakin luas.
 Wilayah-wilayah seperti Tarablus, Tripoli, Nubah dan Qairawan di Afrika Utara
menyatakan kesanggupan untuk berada di bawah naungan kerajaan Islam melalui
pembayaran jizyah. Wilayah-wilayah tersebut bersetuju untuk berdamai dan sebahagian
penduduknya pula bersedia untuk memeluk Islam.

7. Zaman Khalifah Ali bin Abi Talib

 Walaupun keadaan negara yang tidak aman, berlaku pergolakan politik, pemberontakan
dan perang saudara seperti Perang Jamal dan Perang Siffin tetapi Cukia Jizyah masih di
jalankan.
 Contohnya, surat khalifah Ali kepada al-Asytar dan al-Nakha’I meminta beliau tidak
menolak perjanjian damai yang diminta oleh kafir Zimmi melalui pembayaran Jizyah.
 Khalifah Ali masih menerima Jizyah dari wilayah taklukan khalifah sebelumnya seperti
Azerbaijan, Palestin dan Jordan.
 Pada akhir pemerintahan khalifah Ali, negara-negara yang dinaungi selama ini oleh
kerajaan Islam sudah mula membebaskan diri daripada mendapat naungan negara Islam
seperti negara Mesir.
Kesimpulan

 Pelaksanaan hubungan naungan secara jizyah telah membuktikan kekuatan kerajaan


Islam di samping dapat meningkatkan pendapatan negara.
 Naungan melalui Jizyah ini telah diteruskan lagi walaupun pelaksanaannya agak berbeza
pada zaman khalifah Umayyah dan Abbasiyah dan juga kerajaan Islam selepasnya.

3. Sumbangan Ibn Sina dalam bidang perubatan telah banyak memberikan manfaat kepada
masyarakat dunia. Bincangkan.
Pendahuluan
 Abu al-Husain bin Hassan Ali bin Sina merupakan nama sebenar bagi Ibu Sina.
 Digelar sebagai Avicenna bagi masyarakat Barat.
 Berbangsa Parsi dan dilahirkan pada tahun 980M di desa Afshamah berhampiran
Bukhara,Turkistan.
 Ibnu Sina berjaya menghafal al-Quran dan menguasai ilmu-ilmu agama seperti tafsir, fiqh,
Usuluddin, Tasawuf dan lain-lain ketika berumur 10 tahun. Bidang ilmu lain yang dikiasai
dikuasai beliau termasuklah Falsafah, Kedoktoran, Astronomi dan Fizik.
 Beliau merupakan tokoh pemikir dan penulis termasyhur pada zaman keemasan tamadun Islam
abad ke-11 hingga 13 Masihi.
 Beliau digelar dalam bidang perubatan sebagai Raja Para Doktor dan Raja Ubat.

Isi-isi
1. Sumbangan hasil karya perubatan

 Ibnu Sina telah menghasilkan pelbagai karya dalam bidang perubatan


 Antara karya yang terkenal ialah karya Al-Qanun Fil Tibb yang menyentuh tentang peraturan
perubatan.
 Karya ini boleh dianggap sebuah ensiklopedia lengkap dalam bidang perubatan yang
mengandungi 14 jilid dan merupakan himpunan perbendaharaan ilmu perubatan.
 Dalam karya ini senarai ubat-ubatan serta penyakit-penyakit yang melibatkan semua bahagian
anggota badan terkandung
 Ilmu perubatan moden dan abad kini boleh mendapat manfaat dari karya beliau khususnya untuk
rujukan penggunaan ubat, diagnosis dan pembedahan.
 Sebanyak 250 karya lain dan masih kekal hinga ke hari ini termasuklah 116 buah karya dalam
bidang perubatan.
 Hasil karya beliau ditulis dalam bahasa Arab dan beberapa buah karya dalam bahasa Parsi.
 Antara karya perubatan lain adalah aal-Alfiyyah al-Tibbiyyuh, al-Qanun Fi at-Tibb dan Kitah al-
Sifa.

2. Bidang psikologi
 Penemuan baharu yang dipelopori oleh Ibnu sina ialah ilmu psikotogi dalam perubatan dan kini
dikenali sebagai ilmu perubutan Psikosomatik atau Psychosomatic Medicine
 Kaedah rawatan penyakit jiwa juga turut diperkenalkan kerana beliau menyedari kepentingan
emosi dalam proses pemulihan pesakit jiwa dan tekanan perasaan.
 Ini terbukti apabila beliau telah berjaya mengubati seorang pembesar dan seorang kerabat
pemerintah di wilayah Jurjan
 Beliau juga dikatakan mahir dalam mengubati penyakit jiwa atau psikologi pasangan kekasih
yang berpisah.
 Kajian terhadap kesan gangguan minda ke atas tubuh badan manusia juga dilakukan untuk
melihat perkaitan gangguan emosi dengan jasad.

3.Bidang anatomi dan fisiologi

 Teori-teori anatomi dan fisiologi dalam buku al-Qunun Fit Tibb menggambarkan analogi
manusia terhadap negara dan mikrokosmos (dunia kecil) terhadap alam semesta sebagai
makrokosmos (alam besar).
 Sebagai contoh, digambarkan bahawa syurga kayangan bulat dan bumi berbentuk persegi.
Maka, kepala itu bulat dan kaki itu empat segi.
 Terdapat empat musim dan 12 bulan setahun, jadinya manusia memiliki empat tangkai dan
lengan serta mempunyai 12 tulang sendi. Begini lah keadaan yang digambarkan oleh Ibu Sina
dalam bidang ini.
 Karya beliau juga menegaskan bahawa darah mengalir secara berterusan dalam sistemnya tanpa
berhenti.

4. Sumbangan dalam bidang pembedahan


 Dalam karya al-Qanun Fit Tibb Ibn Sina telah mengemukakan cara pembedahan yang
menekankan pembersihan luka terlebih dahulu sebelum pembedahan dimulakan bagi
mengelakkan jangkitan kuman. Kaedah ini juga masih diguna pakai pada zaman moden bagi
kebanyakan kes pembedahan.
 Beliau juga turut mengaitkan kaedah pembedahan dengan lakaran anatomi tubuh manusia
seperti mana kecanggihan pada ketika ini melalui proses sinar X Ray yang akan
menggambarkan apa saja bentuk dalam tubuh badan manusia yang diperlukan sebelum sesuatu
proses perubatan diperlukan.

5. Penemuan baharu bidang perubatan.


 Ibn Sina telah berjaya mengenal pasti penyakit baharu seperti rubella, alahan, cacar dan penyakit
jiwa.
 Beliau telah berjaya menemui penyakit baharu dan puncanya seperti kaitan pengaruh kuman dan
penyakit yang berkaitan dengannya
 Dalam bidang farmasi penghasilan ubat untuk pelbagai jenis penyakit dan ubat bius yang
diperlukan dalam pembendahan turut dilakukan
 Pelbagai peralatan perubatan antaranya mencipta picagari, benang khas untuk menjahit luka
pembedalan dan sebagainya turut dihasilkan.

6. Sumbangan sebagai seorang doktor


 Digelar sebagai Medicorum Principal (Raja Diraja Doktor) oleh masyarakat Latin Skolastik
manakala dalam dunia Islam beliau sebagai Zenith, iaitu puncak tertinggi dalam ilmu perubatan.
 Pernah berkhidmat sebagai doktor diraja kepada Sultan Nuh II bin Mansur di Bukhara puda
tahun 997 M ketika berusia 18 tahun. Beliau berjaya mengubati Perdana Menteri kerajaan
Saman lalu dilantik sebagai doktor istana.
 Digelar 'as-Syeikh al-Ra'is iaitu guru para raja manakala dalam bidang kedoktoran, beliau
digelar "Raja Para Doktor' dan "Raja Ubat.

7. Sumbangan kepada dunia perubatan Barat


 Al-Qunun Fit Tibb merupakan karya beliau yang telah dicetak sebanyak 21 kali di Eropah pada
zaman Renaisans dan menjadi buku teks kedoktoran di universiti-universiti Eropah hingga ke
abad 17M.
 Karya ini telah digunakan sebagai rujukan kepada beberapa buat pusat pengajian antaranya
Sekolah Tinggi Kedoktoran Montpellier dari Louvin, Perancis.
 Penterjemahan karya ini ke dalam bahasa Latin, Yahudi, Sepanyol, Inggeris, Perancis dan Itali
turut dilakukan
 Sebagai contoh, pada abad ke-12M, Gerard of Cremona telah menterjemahkan karya ini kepada
bahasa Latin. Karya ini juga telah disalin atau dicetak sebanyak 16 kali dan 15 edisi dalam
bahasa Latin dan sebuah edisi dalam bahasa Hebrew (Yahudi).
 Pengikhtirafan yang diberi oleh Sejarawan Barat terhadap Ibn Sina sebagai "Bapa Kedoktoran
kerana beliau telah berjaya menyatukan teori perubatan Yunani oleh Hippocrates dan juga
Galen, serta pengalaman ahli-ahli perubatan India dan Parsi dengan pengalamannya sendiri.
 Phillip K. Hitti menganggap karya Al-Qunun Fit Tibb merupakan sebuah Ensiklopedia
Kedoktoran yang hebat.

8. Sumbangan dalam bidang perubatan lain


 Merupakan perintis kepada
- Pengenalan penyakit saraf
- Menemui sistem peredaran darah manusia
- Kejayaan mengubati penyakit radang selaput otak.
- Kejayaan mengubati penyakit serius seperti barah termasuk barah usus
- Teori yang menyatakan bahawa penyakit barah lebih banyak menyerang golongan
wanita.
- Perkembangan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung.
- Mengenal pasti ketidakseimbangan hormon dalam beberapa detik sahaja melalui ilmu
diagnosis ini. Kaedah ini masih dipraktikkan oleh ramai doktor di Pakistan, Afghanistan,
China dan India zaman kini. Mereka mempunyai kepakaran dalam menentukan penyakit
seseorang melalui denyutan jantung.
- Penemuan bahawa penyakit paru-paru (plumonary tuberculosis) merupakan suatu
penyakit boleh berjangkit.
- Kejayaan mengenalpasti tanda-tanda penyakit kencing manis dan kesan-kesan penyakit
ini pada badan manusia.
- Penemuan dalam ilmu anatomi dengan mengetahui kedudukan organ dalam tubuh
manusia dan membuat kajian tentang mata dan fungsinya.
Kesimpulan
 Sumbangan dan pengaruh Ibnu Sina dalam bidang perubatan sehingga kini masih dimanfaat dan
diguna pakai oleh dunia perubatan Islam dan Barat.
4. Huraikan faktor-faktor perkembangan ekonomi semasa Kerajaan Abbasiyah pada abad
ke-11 hingga ke-12 Masihi. (20 M)
Pendahuluan.

 Kerajaan Abbasiyah abad ke-11 hingga ke-12 M, telah mengalami perkembangan ekonomi yang
makmur sehingga dikenali Zaman Keemasan kerajaan khalifah Islam terutama Khalifah Harun al-
Rashid
 Kemajuan ekonomi Kerajaan Abbasiyyah ini menyebabkan Kota Baghdad iaitu ibu kota kerajaan
Abbasiyah menjadi tumpuan pedagangan antarabangsa yang memberi imej baharu kepada
keagungan kerajaan dan agama Islam
 Ibu kota Baghdad yang berperanan sebagai pusat perdagangan bertaraf antarabangsa dalam bentuk
tiga dimensi antara Baghdad-Eropah, Baghdad-India dan Baghdad-China
 Perkembangan ekonomi Kerajaan Abbasiyah telah dipengaruhi oleh kestabilan politik, amalan
percukaian yang adil dan kebijaksanaan pemerintah.

Isi-isi

1. Kebijaksanaan Pemerintah

 Faktor utama perkembangan ekonomi Kerajaan Abbasiyah dipengaruhi oleh kebijaksanaan


pemerintah iaitu khalifah
 Para khalifah pemerintah telah berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan berupaya membasmi
kemiskinan dengan pelbagai program ekonomi yang dilaksanakan
 contohnya, Khalifah Harun al-Rashid dan al-Makmun pula mengamalkan dasar mesra rakyat dengan
pengenalan cukai yang adil
 Manakala wilayah-wilayah yang miskin diberikan bantuan dengan mengurangkan kadar cukai ke
atas hasil keluaran petani mengikut hasil pada satu-satu musim contohnya di wilayah Khurasan dan
Isfahan
 Malah pemerintah seperti Khalifah Harun al-Rashid telah meneroka tanah-tanah baharu untuk
dijadikan kawasan pertanian, membekalkan biji benih secara percuma kepada petani.
 Khalifah Harun juga mengagihkan tanah kerajaan dan tanah rampasan perang kepada pesara tentera
dan rakyat miskin untuk diusahakan
 Jelaslah bahawa, kebijaksanaan pemerintah mempengaruhi perkembangan pesat ekonomi Kerajaan
Abbasiyyah abad ke-11 hingga 12 Masihi

2. Kestabilan politik

 Selain itu, kestabilan politik dalam dan luar negara semasa kerajaan Abbasiyah membolehkan
ekonomi berkembang pesat
 Tindakan Khalifah Harun al-Rashid menghalang ancaman musuh dalam negeri dengan
menghapuskan pengaruh Keluarga Barmaki dapat mengukuhkan kerajaan Abbasiyah
 Khalifah Harun turut menghapuskan pemberontakan di Armenia dan Afrika Utara
 Mengukuhkan hubungan dengan negara luar seperti Rom (Byzantine), Sepanyol (Andalusia) dan
musuh tradisi iaitu Perancis
 Contohnya wakil Raja Rom (Byzantine) iaitu Maharani Irene Leo IV sanggup berdamai dengan
Khalifah Harun dan bersedia membayar ufti tahunan sebanyak 90 ribu dinar
 Tindakan mengukuhkan kestabilan politik dalam dan luar negara, di samping tidak mengabaikan
kebajikan rakyat membawa kepada perkembangan pesat ekonomi

3. Dasar Percukaian negara yang adil dan saksama

 Perkembangan pesat ekonomi Kerajaan Abbasiyah pada abad ke-11 dan 12 Masihi dipengaruhi oleh
dasar percukaian negara yang adil dan saksama
 Urusan percukaian negara yang diuruskan oleh Diwan al-Kharaj sentiasa dikemaskini mengikut
kesesuaian semasa adil, bertimbang rasa mesra rakyat
 Penetapan kadar cukai berdasarkan jumlah hasil pertanian dalam satu-satu musim dan bukannya
bergantung kepada keluasan tanah yang dimiliki seseorang
 Malah petani akan diberikan pengecualian cukai kharaj jika hasil pertanian musnah akibat bencana
alam
 Lazimnya kadar minima 10 dirham dikenakan bagi setiap unit tanah pertanian yang diusahakan
 Khalifah al-Mahdi telah memperkenalkan Muqasamah iaitu sistem percukaian yang dikenakan ke
atas sebahagian daripada hasil pertanian
 Demikian juga, golongan petani khususnya golongan Zimmi dan Mawali diberikan pemilikan tanah
dengan taksiran cukai yang adil
 Dengan adanya, dasar percukaian yang teratur dan adil manjadikan rakyat berpuas hati dan situasi ini
turut menyumbang keamanan dan perkembangan ekonomi
4. Adanya kemudahan prasarana dan pelabuhan

 Seterusnya, perkembangan pesat ekonomi disebabkan oleh adanya kemudahan prasarana dan
pelabuhan disediakan kerajaan
 Jalinan jalan raya dibina bagi menghubungkan satu-satu kawasan terutamanya di kawasan pertanian,
perdagangan, dan perlombongan
 Pelabuhan-pelabuhan baharu diwujudkan seperti pelabuhan Basrah, Cairo dan Alexandria yang
menjadi nadi perdagangan darat dan maritim
 Kerajaan turut menyediakan kemudahan rumah tumpangan, telaga air, sistem pos
 Empangan dan tali air dibina untuk membantu para petani mengairi kawasan pertanian dan sekaligus
meningkatkan pengeluaran pertanian
 Contohnya, menggali Sungai Isa, Sungai Sasar, Sungai al-Malik bersambung dengan Sungai Tigris
dan Euphrates untuk mengairi kawasan penanaman dan sumber ikan air tawar

5. Kemunculan industri kecil dan sederhana

 Selain itu, perkembangan pesat ekonomi juga disebabkan oleh kemunculan industri kecil dan
sederhana
 Semasa pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid, industri kecil dan sederhana muncul di kota-kota,
akibat permintaan semakin meningkat seiring dengan pertambahan penduduk
 Pertembungan kemahiran dalam kalangan artisan Islam dan bukan Islam dapat menghasilkan
produk yang bermutu tinggi
 Contohnya dalam industri menenun permaidani dan perkilangan tekstil di Parsi dan Iraq
 Selain itu, di Asia Barat dalam industri kapas, satin, perabot dan perkakasan dapur untuk tujuan
kegunaan tempatan dan dieksport
 Kegiatan perlombongan emas, perak, tembaga dan besi yang dijalankan semasa Kerajaan Abbasiyah
di Mesir, Asfahan dan Bukhara telah membantu meningkatkan aktiviti perindustrian kecil dan
sederhana
6. Pemilihan pegawai Kerajaan yang berkebolehan

 Selain itu, kerajaan Abbasiyah turut memilih dan melantik para pegawai yang mahir dan
berkebolehan
 Para pegawai yang dipilih telah melalui tapisan kemahiran matematik dan hukum feqah
 Malah pegawai yang dilantik mempunyai sikap amanah, cekap dalam menjalankan tugas sebagai
pengurus cukai dan zakat
 Jika didapati mana-mana pegawai yang tidak amanah dalam menjalankan tugas, mereka akan
dipecat, digantikan dengan pegawai yang lebih cekap dan amanah
 kecekapan pemerintah menjalankan pentadbiran amat perlu bagi menjamin kesejahteraan hidup
rakyat

7. Kemunculan pusat perdagangan

 perkembangan dan kemajuan dalam pelbagai kegiatan ekonomi menyebabkan munculnya pusat
perdagangan yang merancakkan kegiatan ekonomi kerajaan Abbasiyah
 pusat perdagangan ini berkembang menjadi bandar-bandar baharu seperti Baghdad, Kufah,
Basrah, Madinah, Makkah, Damsyik dan Qairawan
 kemunculan bandar baharu ini menjadi tumpuan para pedagang antarabangsa
 contohnya, Baghdad menjadi pusat perdagangan utama yang makmur dikunjungi oleh para
pedagang dari tiga dimensi Eropah Selatan, Afrika Utara, Asia Tengah dan dari negara Arab
sendiri
 selain itu, Baghdad berkembang menjadi pusat ilmu pengetahuan dan kebudayaan Islam
 Pertembungan idea, pemikiran dan ilmu pengetahuan masyarakat Islam dengan masyarakat
daripada tamadun Barat, Afrika, China dan India telah mencetuskan perubahan dalam cara
pemikiran umat Islam

Kesimpulan.

 Perkembangan dan kemakmuran ekonomi membawa kepada kekayaan perbendaharaan


(baitulmal) kerajaan dan kesejahteraan rakyat sehingga dikenali Zaman Keemasan Kerajaan
Khalifah
 Kebijaksanaan dan kecekapan pemerintah telah membawa kemajuan dalam pendidikan dan
intelektual rakyat semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyah

5. Sejauhmanakah pengaruh kewartawanan telah mempengaruhi kebangkitan semangat


nasionalisme di Syria pada abad 19 hingga abad ke-20 masihi.

Pendahuluan

 Nasionalisme bermaksud perasaan cinta dan taat setia akan negara dan bercita-cita
membebaskan negara dan bangsa daripada penguasaan kuasa asing.
 Setelah tamatnya Perang Dunia Pertama, kuasa Barat telah mula mengambil alih peranan
empayar Turki Uthmaniyah yang semakin lemah dengan menyaksikan sebahagian
wilayah kekuasaannya diletakkan di bawah pengawasan Liga Bangsa.
 Hasil keputusan Konferensi San Remo yang ditandatangani di London pada tahun 1922,
Perancis telah diberi kuasa oleh Liga Bangsa untuk menjaga hal ehwal Syria dan
Lebanon yang merupakan sebahagian wilayah Turki Uthmaniyah..
 Gerakan nasionalisme di Syria berlaku kesan pencerobohan kuasa Barat yang menguasai
politik dan ekonomi Syria yang telah membangkitkan kemarahan masyarakat tempatan.
Isi- isi

1. Pengaruh Kewartawanan

 Pengaruh kewartawanan telah mencetuskan semangat nasionalisme di Syria. Penerbitan


majalah Al-Manar yang merupakan majalah bulanan yang membahaskan idea
pembaharuan dan yang berkaitan tajdid di Kaherah dan majalah tersebut dipelopori oleh
Rasyid Rida yang dilahirkan di Syria.
 Majalah ini telah mengungkapkan dan mengutarakan pemikiran baru yang berasaskan
idea-idea pembaharuan yang dicetuskan oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad
Abduh dalam majalahnya iaitu al-Urwa al-Wuthqa. Fokus pemikiran ini adalah ke arah
usaha pembaharuan dan perkembangan dakwah Islamiah. Di Syria. Akhbar lain turut
membicarakan keburukan penjajahan dan kegawatan dunai Islam Ketika itu. Al -Manar
pula mencadangkan penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat islam.
 Al-Manar juga menggerakkan perbincangan tentang dakwah, idealisme dan islah,
menerangkan dasar-dasar Pan-Islamisme, meneroka persoalan yang berkait dengan
ajaran aqidah dan hukum, membincangkan fahaman modenisme, sekularisme,
nasionalisme dan mempelopori dan mempopularkan bidang diaolog dan pertukaran idea
antara budaya dan pemikiran baharu berkait dengan falsafah agama dan budaya, serta
menangani isu-isu sosial dan peradaban.
 Penerbitan bulanan Al-Manar telah tersebar dengan meluas ke seluruh jajahan Islam
telah mempercepatkan penerimaan masyarakat terhadap Gerakan nasionalisme untuk
membebaskan diri daripada penjajahan.

2. Pengaruh Agama

 Kewujudan Gerakan nasionalisme di Syria adalah disebabkan pengaruh agama


khususnya agama Islam bagi menyatukan semua penduduk dan negara Islam bersatu
dibawah satu panji Islam.
 Isu Palestin yang bersempadan di bahagian Barat Daya Syria menyebabkan penduduk
Syria sangat mengambil berat perihal saudara Islam mereka di Palestin ditindas penjajah
British.
 Gerakan Yahudi yang mahu menempatkan penduduk mereka di Palestin jelas kelihatan
apabila golongan Turki Muda yang memerintah Turki dikuasai oleh al-Ittihad wa al-
Taraqqi yang didalangi oleh orang Yahudi.
 Situasi ini menyemarakkan lagi sentimen agama dan semangat penduduk tempatan di
Syria menentang penjajah.

3. Peranan Bahasa dan Kesusasteraan


 Abad ke-19 hingga abad ke-20, berlaku perkembangan dalam kesusateraan Arab bagi
menangani cabaran yang dihadapi oleh dunia Arab.
 Antara karya yang muncul adalah seperti Karya Francis Marrash iaitu Ghabat-al-Haqq
pada 1865 dan Qustaki al-Hilmi dengan karyanya The Reseacher’s Source in the Science
of Critisme.
 Kedua-dua karya ini berkaitan dengan idea-idea keamanan, kebebasan dan kesaksamaan.
 Khalil Gibran (1883-1931) turut menyumbang kepada pembangunan puisi Arab yang
bertemakan kebangsaan dan kenegaraan.
 Perkembangan bahasa dan sastera ini turut menyuntik dan menyemarakkan kebangkitan
Gerakan nasionalisme di Syria di mana sebelum ini istilah-istilah Turki dan bahasa asing
banyak mempengaruhi kehidupan rakyat dan telah digantikan dengan bahasa dan sastera
tempatan. Keadaan ini dapat meningkatkan perkembangan semangat nasionalisme di
Syria.
 Peranan Perancis yang ingin menunjukkan bahawa mereka merupakan pemerintah yang
memperjuangkan hak dan kepentingan golongan minoriti di Syria
 Akhirnya golongan minoriti bangkit untuk memperjuangkan bahasa ibunda mereka
seperti Kurdis, Druze,Armenia, Jacobites dan Assyrian.
 Penggunaan Bahasa Perancis untuk menyebarkan gerakan nasionalisme bangsa minoriti
di Syria telah mempengruhi perkembangan nasionalisme

4. Peranan pendidikan

 Sebuah akademi di Syria telah ditubuhkan untuk menjemput dan mengumpul ahli-ahli
bahasa dari pelusuk Tanah Arab untuk bertukar-tukar fikiran dengan memberi tumpuan
mennyesuaikan dan mengharmonikan bahasa masing-masing dengan keadaan
masyarakat Arab yang mengamalkan pelbagai budaya. Dalam hal ini, walaupun secara
politiknya wujud perbezaan mereka bersatu di bawah satu perkara iaitu bahasa Arab
 Tokoh yang menyokong usaha penubuhan negara Syria yang merdeka ialah Abu
Khaldun Sati al-Husni. Beliau dilahirkan di Aleppo dan pernah bekerja sebagai pegawai
Pendidikan dalam kerajaan Turki Uthmaniyah.
 Di Damsyik dan Beirut pula, beberapa buah universiti telah dibina dan menjadi medan
perdebatan golongan terpelajar tempatan. Keadaan ini telah mencetuskan idea-idea
nasionalisme di Syria.

5. Peranan golongan intelektual

 Rasyid Rida yang merupakan golongan intelektual Muslim dari Syria yang
mengembangkan gagasan modenisme Islam yang pada awalnya dipelopori oleh tokoh-
tokoh nasionalisme Mesir iaitu Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh.
 Beliau turut mengkaji kelemahan masyarakat Islam ketika itu dan membandingkannya
dengan masyarakat Barat. Beliau berpendapat bahawa kelemahan ini dapat diatasi
apabila masyarakat Islam kembali kepada prinsip-prinsip dasar Islam dan melakukan
transformasi serta ijtihad dalam menghadapi kehidupan moden yang semakin mencabar

6. Pengaruh luar

 Syria pada awal abad ke-20M, masih berada di bawah pemerintahan Empayar Turki
Uthmaniyah. Oleh kerana dasar Pan-Islamisme menjadi dasar kerajaan Turki
Uthmaniyah, maka dasar ini telah menyemarakkan semangat penduduk tempatan dalam
menangkis dan menentang ancaman daripada pihak Barat.
 Misalnya Shakid Arselan dari Lubnan melalui tulisannya, menyeru penduduk Syria
supaya bersatu padu di bawah kerajaan Turki Uthmaniyah dan menolak konspirasi barat
yang mahukan penduduk Syria menentang penguasaan kerajaan Turki Uthmaniyah.
 Beliau juga menolak konspirasi dan dakyah Barat yang inginkan penduduk Syria
menentang penguasaan kerajaan Turki Uthmaniyah dan turut menggesa penduduk Syria
bangun secara sukarela menentang pihak British semasa Perang Dunia Pertama.
 Kemunculan Mustafa Kamal Attaturk dengan idea negara bangsa telah berjaya
memecahbelahkan kesatuan negara-negara Islam yang akhirnya membentuk perjuangan
berdasarkan bangsa dan wilayah.

Kesimpulan

 Kebangkitan semangat nasionalisme di Syria berlaku akibat kesedaran masyarakat


tentang pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam.
 Gerakan nasionalisme yang digerakkan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam dan
kebangsaan memainkan peranan dalam usaha pembebasan Syria daripada penguasaan
Turki Uthmaniyah, menuntut kemerdekaan daripada Perancis dan pembentukan negara
bangsa Syria.

6. Bincangkan konflik Kerajaan Uthmaniyah dengan Eropah dan kesannya terhadap


kerajaan Uthmaniyah.
Pendahuluan.
 Kerajaan Turki Uthmaniyah merupakan kerajaan Islam yang memerintah selepas
kejatuhan Kerajaan Umayyah dan telah menjadi kuasa Islam yang besar pada awal
pemerintahannya sehingga abad ke 18 masihi. Zaman kemerosotan kerajaan Uthmaniyah
bermula pada permulaan abad ke 18 masihi di mana wujudnya wilayah-wilayah kecil
yang menuntut kuasa autonomi dan kemerdekaan.
 Campur tangan daripada pihak Eropah dalam membantu wilayah-wilayah kecil tersebut
untuk menuntut kemerdekaan telah mencetuskan konflik di antara kerajaan Uthmaniyah
dengan negara-negara Eropah.
 Terdapat beberapa konflik Kerajaan Uthmaniyah dengan Eropah dan kesannya terhadap
kerajaan Uthmaniyah.
Isi-isi
1. Konflik dalam Perang Crimea 1850

 Konflik Uthmaniyah dengan Eropah tercetus apabila Perancis dan Britain melibatkan
diri di dalam pada tahun 1850-an dalam menentang kerajaan Uthmaniyah. Autsria pula
berjaya menguasai Bosnia dengan bantuan Russia yang mana merupakan wilayah
jajahan kerajaan Uthmaniyah pada masa itu.
 Pihak Uthmaniyah juga terpaksa berdepan dengan percaturan politik daripada jiran-
jirannya di Balkan yang mana wilayah-wilayah yang berada di bawah kekuasaan
Uthmaniyah seperti Greek dan Montenegro telah membentuk revolusi untuk menentang
kerajaan Uthmaniyah.
 Revolusi tersebut telah mencetuskan konflik yang membawa kepada peperangan di
wilayah Balkan iaitu Perang Balkan. Ini membuktikan bahawa Perang Crimea
merupakan salah satu konflik Uthmaniyah-Eropah.

2. Konflik dalam Perang Balkan.

 Konflik Uthmaniyah-Eropah yang berlaku ialah Perang Balkan yang pertama tercetus
apabila pasukan tentera Montenegro bergerak masuk ke Utara Albania dan Novia Pazar
pada tahun 1912 masihi. Montenegro relah menuntut kuasa autonomi ke atas wilayah
Eropah.Tutuntan tersebut telah ditolak dengan keras oleh pihak Uthmaniyah.
 Hal ini menyebabkan Greek dan Montenegro teleh menceroboh ke Istanbul dan
menguasai Macedonia dan Edirne. Siri kedua Perang Balkan pula menyaksikan kerajaan
Uthmaniyah memperoleh kekalahan dan Albania telah memperoleh kemerdekaan dan
memberi sokongan kepada Itali untuk menguasai Adriatik.
 Kekalahan kerajaan Uthmaniyah ini telah menyebabkan mereka menandatangani
Perjanjian Damai dengan Albania pada September 1912 yang menyebabkan mereka
kehilangan sebilangan besar wilayah jajahan. Jelaslah, Perang Balkan merupakan salah
satu konflk Uthmaniyah dan Eropah.

3. Kesan Perjanjian Jassy 1792

 Kesan daripada konflik Uthmaniyah-Eropah tersebut, maka perjanjian Jassy berlaku


terhadap kerajaan Uthmaniyah berlaku termanterainya pada tahun 1792. Perjanjian ini
telah dipersetujui oleh kerajaan Uthmaniyah dengan Rusia yang berlaku pada zaman
pemerintahan Sultan Salim ketiga.
 Kesan daripada perjanjian ini ialah kerajaan Uthmaniyah hendaklah menyerahkan
wilayah Crimea yamg merupakan kota penting berhampiran laut hitam kepada Rusia
manakala Maldova dan Wallachia pula diserahkan kembali kepada Uthmaniyah.
 Jelaslah, perjanjian Jassy menunjukkan kesan daripada konflik Uthmaniyah-Eropah.

4. Kesan Perjanjian Dardanela 1809

 Kesan daripada konflik Uthmaniyah-Eropah juga telah menyebabkan termeterainya


Perjanjian Dardanela pada tahun 1809 masihi. Perjanjian ini merupakan perjanjian yang
dipersetujui diantara pihak Uthmaniyah dan pihak British.
 Hasil daripada perjanjian ini, Kerajaan Uthmaniyah perlu mengakui semua konsulat
British di wilayahnya secara rasmi dan British akan berjanji untuk meninggalkan ke
semua wilayah kekuasaan Uthmaniyah termasuk Mesir.
 Ini membuktikan konflik Uthmaniyah-Eropah telah menyebabkan Perjanjian Dardanela
termeterai yang memberi keuntungan kepada pihak British.

5. Kesan Perjanjian San Stefano 1878

 Kesan daripada konflik Uthmaniyah-Eropah juga telah menyebabkan termeterainya


Perjanjian San Stefano pada tahun 1878 masihi. Perjanjian ini telah dipersetujui oleh
kerajaan Uthmaniyah dengan Rusia bagi mengakhiri perang terakhir diantara dua negara
berkenaan.
 Kesan daripada perjanjian ini adalah wilayah-wilayah jajahan Uthmaniyah di Rantau
Balkan seperti Romania, Serbia dan Montenegro telah mendapat kemerdekaan manakala
Bulgaria pula telah disahkan menjadi wilayah dibawah penguasaan Russia. Ini
membuktikan perjanjian San Stefano adalah kesan daripada konflik Uthmaniyah-Eropah
yang memihak kepada Eropah.
Kesimpulan.
 Konflik Uthmiyah Eropah berpunca daripada Perang Crimea dan Perang Balkan. Konflik
ini telah meninggalkan beberapa kesan iaitu Perjanjian Jassy, Perjanjian Dardanela dan
Perjanjian San Stefano.
 Konflik Uthmaniyah-Eropah telah mendatangkan kesan mendalam khususnya kepada
kejatuhan empayar Islam. Hal ini kerana Kerajaan Turki Uthmaniyah telah kehilangan
sebilangan besar wilayah jajahan dan mengalami kekalahan yang besar dalam beberapa
siri peperangan
 Akhirnya, Kerajaan Islam Uthmaniyah telab membentuk sebuah kerajaan republik Turki
yang sekular di bawah pemerintahan Mustafa Kamal Attarturk dan berakhirnya zaman
Kerajaan Turki Uthmaniyah.

SKEMA JAWAPAN TAMAT

Anda mungkin juga menyukai