Anda di halaman 1dari 5

Pemuda: Peribadi Sang Pahlawan Ilmu

Sejauh mana kecintaan kita pada pelajaran dan keilmuan sehingga ianya melonjak
kecemerlangan kita sebagai penuntut ilmu. Terkadang sebagai pelajar, kita sering tersalah
meletakan keutamaan cinta. Misi kita sebagai pelajar adalah cinta kepada ilmu. Kita belajar
adalah untuk berjaya. Inilah harapan dan kita mengharap untuk berjaya. Namun untuk
mencapai kejayaan ada prasyarat yang harus kita tempuhi. Kejayaan tidak akan pernah datang
bergolek tanpa usaha berbelah bagi. Hanya yang serius cintanya pada keilmuan, akan lahirlah
watak mukmin yang cemerlang. Ya, pada setiap sang pahlawan ilmu, ada keperibadiannya
yang perlu kita contohi.

Imam al-Jauzi berkata, “Hairan aku memikirkan. Untuk mendapatkan segala sesuatu yang
mahal dan sangat penting, jalannya berliku dan menuntut banyak jerih payah. Begitu pula
dengan ilmu. Untuk mendapatkan sesuatu yang paling mulia ini, seseorang harus mahu
bersusah payah, berhempas pulas dan meninggalkan pelbagai kesenangan nafsu.”

Ini prasyarat dari pengalaman Imam al-Jauzi, seorang ulama yang wibawa. Saya suka mengkaji
tabiat dan sikap orang-orang yang berjaya, khususnya kalangan para ilmuan dan ulama Islam.
Kita tidak pernah kekurangan contoh dan model orang mukmin yang berjaya dalam keilmuan.
Mereka adalah generasi yang mengajar kita bagaimana sikap dan berprestasi sebagai pencinta
ilmu. Cuma kita tidak mengkajinya. Ternyata generasi yang berjaya dan luarbiasa keilmuan
mereka, memiliki sikap dan ciri-ciri yang memenuhi pra syarat kejayaan sebagai penuntut ilmu,
antaranya bersungguh, berkorban, bersusah payah, berhempas pulas dan “fight” hawa nafsu
yang suka membuatkan kita malas!

Malas Kerana Jiwa Lemah?

Kenapa kita menjadi seperti tidak bermaya dan kelelahan dalam menuntut ilmu? Apa yang
kurang pada diri kita? Terkadang kita tidak rasa gembira ketika menuntut ilmu dan sering rasa
stress. Maka Ibnu Qayyim merumuskan, “Kebahagiaan ilmu hanya boleh kamu dapatkan jika
kamu mengorbankan waktu luang, benar-benar berusaha mencari dan disertai dengan niat yang
benar.” Perkongsian ibn Qayyim hampir sama dengan Iman al-Jauzi, kita tidak ada momentum
pengorbanan dan kesungguhan. Malas menguasai diri.

Syeikh Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam, pakar motivasi Islami berkata, “Seseorang
yang bercita-cita ingin meraih perkara-perkara yang mulia, ia wajib tekun menempuh dan
mencintai jalan-jalan agama yang menjanjikan kebahagiaan, meskipun pada awalnya sulit
untuk menghindari pelbagai macam ujian, cabaran dan hal-hal yang tidak menyenangkan.
Tetapi jika ia sanggup mengendalikan nafsunya sehingga tunduk dan bersabar menghadapi
segala kesulitan untuk menuju ke sebuah tempat yang mulia, ia akan memperolehi nikmat
kejayaan.”

Sudah bersuluh, jalan menuju kejayaan dipenuhi dengan ujian dan cabaran. Syeikh Muhammad
Ahmad Ismail berpandangan, kekuatan jiwa yang dapat mengawal hawa nafsunya mampu
menjadikan seseorang itu berjaya dalam pelajaran. Bagaimana nafsu kita saat ini? Liar atau
bagaimana?
Deretan Alasan

Tabiat manusia suka memberi alasan. Apatah lagi jiwa nafsu malas menguasai diri. Kenapa
tidak cemerlang, kenapa tidak dapat markah tinggi, kenapa ‘assignment’ tidak siap, maka
deretan alasan dan hujah diberikan. Ada yang menyalahkan masa, menyalahkan komputer,
menyalahkan kewangan yang tidak mencukupi, menyalahkan kawan, menyalahkan
kemiskinan, menyalah guru dan sebagainya. Kita harus membuang sikap suka memberikan
alasan. Semakin banyak kita memberi alasan dan tidak sanggup menempuh ujian dan halangan,
kita akan terus ketinggalan ke belakang.

Syeikh Muhammad Ahmad ar Rasyid hafizhahullah mengatakan;

Pada suatu hari aku pernah mengesyorkan kepada seorang mahasiswa Arab belajar secara
peribadi dengan Ustaz Fuad Sarkin di kediamannya di Frankfrut. Tetapi Ustaz Fuad Sarkin
mensyaratkan si mahasiswa itu harus sedia mahu belajar kepadanya minima enam jam sehari.
Tetapi mahasiswa itu tidak sanggup. Kemudian Ustaz Fuad Sarkin mengkhabarkan ada
beberapa belajar dari Jepun datang belajar dengannya dan sedia memenuhi syarat belajar enam
jam sehari dengannya. Pelajar-pelajar Jepun ini menekuni tulisan-tulisan Arab.

Cuba kita perhatikan kisah di atas. Tidak hairanlah mengapa masyarakat Jepun kehadapan
dalam bidang keilmuan saat ini. Sedangkan generasi pelajar kita lebih suka memilih jalan
mudah dan senang, menolak cabaran dan perjuangan.

Tabiat Cemerlang dari 2 Imam

Apakah kita kenal dengan Muhammad Bin Idris atau lebih dikenali sebagai Imam asy-Syafie?
Beliau adalah guru kepada Imam Ahmad. Beliau lahir di kota Gaza, Palestin dalam keadaan
yatim lagi miskin. Seusia 2 tahun, ibunya membawa beliau berpindah ke Mekah. Imam As
Syafie menceritakan, semasa di Kota Mekah, kehidupan kami dalam kemiskinan. Di sekolah
saya tidak mampu membayar yuran. Dengan sebab kemiskinan, ibu saya tidak mampu
menyediakan peralatan sekolah saya. Oleh itu saya mencari tulang belulang, daun kurma yang
kering dan pelepahnya untuk saya catat padanya ilmu yang dipelajari.” Beliau juga tanpa segan
silu pergi ke majlis umum atau pejabat kerajaan bagi mengutip kertas-kertas yang sudah
dibuang untuk diberikan kepadanya bagi tujuan penulisan.

Beginilah sikap seorang penuntut ilmu yang berjiwa besar, jelas matlamat belajarnya dan tinggi
kesungguhannya. Tidak mengharap bantuan orang lain, sebaliknya berusaha sendiri dan tidak
mencipta alasan untuk tidak boleh belajar dan berjaya. Imam asy-Syafie ada seorang anak
murid bernama Imam Ibnu Ahmad. Imam Ibnu Ahmad menghafal Al Quran ketika berumur
14 tahun. Ibunya sering menangis melihat keazaman anaknya pergi ke majlis ilmu walaupun
tidak berbekalkan apa-apa. Kadang-kadang beliau keluar dari rumahnya awal sebelum orang
lain bangun dari tidur. Sambil mencari ilmu, beliau terpaksa bekerja bagi menampung
keperluan hidupnya. Beliau pernah bekerja sebagai tukang jahit. Beliau juga pernah mengutip
sisa-sisa tuaian gandum di ladang. Pernah mengambil upah menulis, menenun kain dan
kadang-kadang mengambil upah memikul barang dan sebagai buruh kasar. Beliau
menggunakan wang upahnya bagi membiayai kehidupan dan perjalanannya mencari ilmu.
Luarbiasa bukan? Kedua-dua ulama hebat ini mengajarkan kepada kita erti kemandirian,
mampu berdikari sendiri demi untuk meneruskan perjuangan sebagai penuntut ilmu. Inilah
jatidiri seorang pencinta ilmu. Sudahkah kita mencontohinya?
Imam Ahmad mengikuti tips panduan dari Imam asy-Syafie. Kata Imam asy-Syafie “Seseorang
penuntut ilmu yang ingin memperbanyakkan ilmunya wajib mengerah segenap jerih payahnya,
sabar menghadapi segala macam kesulitan yang menghadang, ikhlas kerana Allah dalam
mencari ilmu-Nya dan sentiasa memohon pertolongan-Nya.

Inilah kunci cinta kepada ilmu; bersungguh mengerah usaha, sabar, ikhlas dan sentiasa harap
dengan memohon pertolongan dari Allah. Cinta kepada Allah adalah asas cintanya kepada
ilmu. Ini yang membezakan kesungguhan orang mukmin dan kesungguhan orang kafir dalam
menuntut ilmu. Sebagai pelajar mukmin, Allah SWT adalah tempat bergantungnya. Maka dia
akan sentiasa berdoa dan harap kepada Allah SWT. Kadang-kadang kita jarang berdoa kepada
Allah sebaliknya kita banyak mengeluh dan bergantung kepada diri sendiri semata. Sufyan
ats-Tsauri rahimahullah seorang ulama yang dipercayai, mempunyai hafalan yang kuat,
berilmu luas, wara’ dan zuhud. Beliau mengatakan, “Jika aku hendak menuntut ilmu, aku
katakan, ‘Ya Tuhanku, aku harus punya penghidupan.’ Dan setiap kali melihat ilmu yang harus
dipelajari, aku katakan, ‘Ya Tuhanku, berikanlah kemudahan dan keluasan padaku untuk
mendapatkannya. Dan tolonglah, berikan aku bekal yang cukup.” Begitulah sikap para ulama,
walaupun mereka hebat, berusaha bersungguh, namun mereka tidak pernah lupa mengharap
dan meminta kekuatan dari Allah SWT.

Ilmu Itu Di Cari, Bukan Datang Sendiri

Kita belajar pula satu lagi sikap cemerlang sebagai seorang penuntut ilmu dari Ibnu Abbas RA
atau nama sebenarnya Abdullah bin Abbas. Beliau merupakan sahabat dan sepupu Rasulullah
SAW yang memiliki keilmuan yang tinggi. Rasulullah SAW dan para sahabat
sering mendapatkan pandangan dan pendapat beliau untuk sesuatu perkara. Usia Ibnu Abbas
baru menginjak 15 atau 16 tahun ketika Nabi wafat. Namun pengejarannya terhadap ilmu tidak
pernah usai. Beliau berusaha menemui sahabat-sahabat yang telah lama mengenal Nabi demi
mempelajari apa-apa yang telah Nabi ajarkan kepada mereka semua. Tentang hal ini, Ibnu
Abbas bercerita bagaimana beliau gigih mencari hadis yang belum diketahuinya kepada
seorang sahabat penghafal hadis:

“Aku pergi menemuinya sewaktu dia sedang tidur siang, lalu membentangkan jubahku di pintu
rumahnya. Angin meniupkan debu ke atas mukaku sewaktu aku menunggunya bangun dari
tidurnya. Sekiranya aku ingin, boleh saja aku mendapatkan izinnya untuk masuk dan tentu dia
akan mengizinkannya. Tetapi aku lebih suka menunggunya supaya dia bangun dalam keadaan
segar kembali. Setelah ia keluar dan mendapati diriku dalam keadaan itu, dia pun berkata. ‘Hai
sepupu Rasulullah! Ada apa dengan engkau ini? Kalau engkau mengirimkan seseorang ke mari,
tentulah aku akan datang menemuimu.’ Aku berkata, “Akulah yang sepatutnya datang
menemui engkau, kerana ilmu itu dicari, bukan datang sendiri.’ Aku pun bertanya kepadanya
mengenai hadis yang diketahuinya itu dan mendapatkan riwayat darinya.”

Ibn Abbas adalah cerminan pelajar mukmin untuk berjaya dalam proses menuntut ilmu. Ibnu
Abbas mengajarkan kepada kita erti menghargai ilmu, menghormati dan mengangkat darjat
guru dengan memuliakan mereka. Malangnya hari ini pelajar begitu renggang dengan guru dan
pensyarahnya. Bahkan ada yang sanggup melukai perasaan guru, memusuhi dan bersikap
biadap pada mereka. Kita seperti tidak minat dan bersungguh untuk belajar dari mereka. Justeru
mana mungkin kita mampu menguasai ilmu.

Profail Cemerlang Al-Banna


Adakah anda kenal dengan Imam Hasan Al Banna, beliau seorang tokoh gerakan Islam yang
hebat kurun ke 21. Pada saat beliau masih mahasiwa, beliau amat aktif dengan kegiatan dakwah
kampus dan masyarakat, dan dalam masa yang sama cemerlang akademiknya, terkenal dengan
keperibadian yang mulia. Dari kehidupan Imam al-Banna, kita boleh mencontohi sikap-sikap
seorang pelajar dan mukmin yang cemerlang. Dalam kitab Ahdats Shana’at-Tarikh Imam Al
Banna bercerita: Di malam saat ada ujian peperiksaan, beliau melakukan solat tahajjud seperti
biasanya, dan memohon serta mengadu kepada Allah SWT. Dalam doanya beliau berkata:

“Ya Allah! Sesungguhnya Engkau tahu betapa rindunya diriku kepada ilmu dan betapa cintaku
kepada-Mu, tapi Engkau juga tahu betapa sibuknya diriku dalam mencari ma’isyah untuk
mempertahankan hidup di kota ini, berilah jalan keluar bagiku”.

Ternyata Hasan Al Banna memiliki hubungan yang cukup intim dengan Allah SWT dalam
memohon kekuatan. Tahajjud dan doa adalah amal rutin beliau. Inilah formula utama yang
diajar oleh Rasulullah SAW dalam mendidik generasi sahabat. Formula HDA, Hubungan
Dengan Allah. HDA adalah sumber kekuatan bagi mukmin dan resepi mengawal hawa nafsu.
Formula ini yang sering kita abai dan remehkan.

Al-Banna belajar dalam keadaan daulat Islam telah hancur musnah dikerjakan oleh musuh-
mush Islam. Keadaan umat ketika itu lemah dan berpecah. Namun Al-Banna tidak
meremehkan urusan belajarnya dan urusan membina kekuatan umat kembali. Kecintaan Imam
al-Banna dengan dunia keilmuan dan keghairahan beliau membawa obor dakwah tidak ada
pemisahan malahan keduanya adalah sedaging. Ramai ulama thiqah (hormat) kepada beliau
dan menghormati beliau, baik muda mahupun lebih tua dari beliau. Bila orang bertanya : “Siapa
pemuda? Jawab al-Banna; “Saya membayangkan akulah yang dimaksud, kerananya saya tidak
bermalas-malas dan tidak membodohi diri.” Mendengar jawaban itu, penemuduga itu
mengatakan: “Wahai anakku, dengan demikian aku nyatakan engkau lulus dari Darul ‘Ulum,
dan yang memiliki jawaban seperti ini hanya engkau dan Ustaz Muhammad Abduh. Aku
melihat bahawa engkau akan memiliki masa depan yang gemilang”.

Begitulah tingginya kejelasan matlamat Al Banna, mencontohkan kepada kita di antara


kesungguhan menguasai ilmu dan keghairahan beliau melaksanakan kerja besar, ”dakwah dan
tarbiyah”. Hari ini wahai pelajar dan mahasiswa, janganlah kita lemah serba serbi, lemah
belajar, lemah berdakwah dan lemah dalam tarbiyah diri.

Melakar Sejarah Diri

Akhir kalam, saya tinggalkan anda dengan kisah-kisah hebat di atas buat renungan bersama.
Mereka telah melakar sejarah kehidupan mukmin dan umat. Jejaki langkah mereka, insyaAllah
kita jua mampu meneroka sejarah baru buat diri kita dan umat ini, generasi yang kuat
kecintaannya kepada keilmuan dan keimanan. Penuhi prasyarat kejayaan sebagaimana yang
telah diteladani oleh generasi ulama terdahulu. Barangkali kita tidak mampu mengubah
keadaan, tetapi bukankah kita mampu mengubah sikap kita dalam menghadapi segala macam
cabaran. Kita tidak mampu mengubah arah angin, tapi kita mampu mengubah arah sayap kita.
Maka optimislah! Buka mata, buka hati, buka telinga, buka fikiran, buka tangan, luaskan dada
dan ubahlah tabiat kepada tabiat orang mukmin yang berjaya, insyaAllah kejayaan milik anda
dan milik Islam. Kata al-Banna;
“Ikhlas adalah kunci keberhasilan. Para salafussoleh yang mulia tidak menang dan berjaya
melainkan kerana tiga kekuatan, iaitu kekuatan keimanan, kebersihan hati dan keikhlasan
mereka.

Apabila engkau sudah memiliki ketiga kekuatan tersebut, maka Allah akan mengilhamimu
petunjuk dan bimbingan. Jika engkau beramal maka Allah akan mendukungmu dengan
kemampuan dan keberhasilan…”

Wahai pewaris pahlawan ilmu, bersiaplah dan selamat melakar sejarah!

Anda mungkin juga menyukai