Anda di halaman 1dari 18

Journal on Leadership and Policy Vol.

1 21-38 (2016)
BELIA DAN PEMBANGUNAN NEGARA:
ISU DAN CABARAN INSTITUSI PENDIDIKAN DAN
LATIHAN KEMAHIRAN

1
Abdul Razak Abd Manaf, 2Siti Zubaidah Othman, 2Wan Shakizah Wan
Mohd Noor, 2Mohd Faizal Mohd Isa & 2Khulida Kirana Yahya
1
Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial
2
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan
Universiti Utara Malaysia
1
Corresponding author: a.razak@uum.edu.my

Abstrak

Pembangunan belia yang positif adalah kritikal dan amat penting kepada
kesejahteraan masyarakat dan masa depan negara. Belia yang meliputi hampir
separuh daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini adalah aset
bernilai yang perlu dicungkil dan digilap potensinya bagi memenuhi aspirasi
negara. Kertas kerja konseptual ini secara umumnya membincangkan isu-isu
belia yang sering menjadi perhatian dan perbincangan pelbagai pihak. Isu-isu
semasa berkenaan belia ini sering kali dikaitkan dengan fenomena tidak sihat
yang membimbangkan masyarakat serta memberi kesan secara langsung
kepada kehidupan golongan belia yang merupakan pemimpin masa depan
negara. Kertas kerja konseptual ini juga mengajak pembaca untuk meneliti
sebahagian daripada cabaran – cabaran penting yang dihadapi oleh belia
dan juga inisiatif dan usaha pelbagai pihak dalam memberikan pendidikan
dan latihan kemahiran kepada belia. Dalam konteks ini, terdapat beberapa
isu dan cabaran yang perlu ditangani oleh pemegang taruh terutamanya
institusi penyedia pendidikan dan latihan kemahiran dalam memperkasa
pembangunan belia yang positif terutama dari aspek kebolehpasaran
pekerjaan dalam kalangan belia.

Kata kunci: belia; pendidikan; latihan; kemahiran; Malaysia

21
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
YOUTH AND NATIONAL DEVELOPMENT:
ISSUES AND CHALLENGES OF EDUCATION AND
TRAINING SKILLS INSTITUTIONS

Abstract

Positive youth development is critical and of the utmost important for


societal well-being and the future of the country. Youth, consisting more
than half the country’s population, is an invaluable asset that need to be
potentially developed in order to fulfil national aspiration. This conceptual
paper generally discusses issues on youth that have persistently been the
concerns and discussions among various parties. These contemporary issues
surrounding youth are always associated with unhealthy phenomena that of
worry the society and directly impacted the lives of the youth as future leader
of the nation. This paper also invites the readers to analyse some crucial
challenges faced by the youth as well as initiatives and efforts from various
parties in providing education and training skills to them. In this context, there
are few issues and challenges that need to be dealt with by the stakeholders
especially education and training skills institutions in strengthening positive
youth development particularly in terms of job marketability.

Keywords: youth; education; training; skills; Malaysia

1.0 PENGENALAN

Belia didefinisikan sebagai mereka yang berumur antara 15 ke 40 tahun


(Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668). Belia
mengandungi segmen yang ramai dalam keseluruhan populasi di Malaysia.
Pelbagai peranan yang dimainkan oleh para belia dalam lanskap politik,
ekonomi dan sosial dalam negara ini menggariskan fakta bahawa mereka
merupakan kumpulan demografi kritikal dan signifikan yang wajar dilibatkan
dalam pelbagai aktiviti dan program.

Belia Malaysia merupakan pemegang taruh yang besar dalam


negara ini. Mereka perlu diambilkira secara serius dan dihormati sebagai
rakan kongsi dalam pembinaan negara bangsa. Mengikut Jabatan Perangkaan
Malaysia pada 2010 penduduk Malaysia berjumlah 26.01 juta orang (Jabatan
Perangkaan Malaysia, 2010). Sementara itu, bancian yang dilaksanakan oleh
Jabatan Perangkaan Malaysia (2006-2011) menunjukkan bahawa terdapat
sejumlah 12,015,700 belia di negara ini. Angka tersebut meliputi 42.5%
jumlah keseluruhan penduduk Malaysia pada tahun 2010. Statistik yang
dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia pula menunjukkan
sehingga Disember 2012, belia di Malaysia adalah seramai 13.38 juta orang.
Jumlah belia ini mengandungi hampir separuh atau 50 peratus daripada

22
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
jumlah penduduk Malaysia (Samsudin, 2007). Angka ini menunjukkan
bahawa golongan belia adalah suatu bahagian yang besar dalam masyarakat
dan sikap serta tingkah laku mereka mempunyai kesan dan implikasi yang
penting kepada masyarakat dan masa depan negara yang maju dan moden.

2.0 BELIA DAN REALITI SEMASA: KEMELUT BENCANA


SOSIAL?

Pada masa kini, salah laku dan masalah sosial dalam kalangan belia adalah
amat membimbangkan di Malaysia. Permasalahan sosial yang berlaku
dan menular ke dalam masyarakat dihubung-kait dengan permasalahan
belia. Mereka sering kali dilihat sebagai generasi berisiko dan cenderung
untuk terbabit dalam gejala tidak sihat (Samsudin, 2007; Fazilah, Wendy,
Ezhar, Azimi & Wong, 2008). Kemelut sosial seperti penyalahgunaan
bahan, vandalisme, keganasan, jenayah, seks luar nikah, pengguguran dan
pembuangan bayi, amalan merokok, merempit, gangsterisme, buli dan
sebagainya mencetuskan ‘kejutan moral’ (Samsudin, 2007) dalam kalangan
masyarakat umum serta dan mengundang pelbagai reaksi serta tindakan dari
pelbagai pihak. Laporan seperti seramai 18,000 kes hamil luar nikah setahun
yang direkodkan (Berita Harian, 15 November 2015, ms.15), sebanyak 13,359
pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara terlibat dalam salah
laku disiplin berat atau yang berunsur jenayah dalam tempoh enam bulan
tahun 2014 seperti mana yang direkodkan oleh Kementerian Pendidikan
(Utusan Malaysia, 7 November 2014), hampir dua peratus daripada jumlah
keseluruhan belia adalah penagih dadah dan ianya boleh diklasifikasikan
sebagai berada dalam tahap ‘bahaya’ (Samsudin, 2007), bilangan keciciran
pelajar sekolah menengah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak
9.42% yang mengikuti sistem persekolahan di bawah Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) dicatatkan dari tahun 2006 hingga 2010 dan 50 peratus
yang dijangkiti HIV/AIDS adalah dalam kalangan belia berumur 15-24
tahun (Samsudin, 2007) adalah antara contoh fenomena yang menimbulkan
kebimbangan orang ramai terhadap masa depan dan pembangunan belia
yang positif di negara ini.

Selain itu, isu-isu seperti kemiskinan dan peningkatan kos sara


hidup, pengangguran, pendidikan, kesihatan, alam sekitar, media sosial,
pengisian masa lapang dan terrorisme yang melanda belia wajar diteliti dan
diberi perhatian yang serius. Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan
Belia Malaysia (2011) mendapati peningkatan jumlah masalah sosial,
masalah hutang dan bankrap, kes jenayah, isu bangsa dan spiritual, masalah
politik dan juga pengangguran. Dalam laporan kajian tersebut, kejadian buli,
merempit, aktiviti seksual luar nikah, gangsterisme, pornografi, vandalism
dan aktiviti tidak bermoral dilihat semakin parah dalam kalangan belia. Kes-
kes masalah sosial yang membimbangkan ini dilaporkan meningkat seiring
dengan kepesatan pembangunan nasional. Isu-isu ini tidak boleh dianggap
remeh kerana ianya melibatkan satu golongan yang merupakan penduduk

23
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
terbesar dan generasi pewaris kepada kelestarian negara Malaysia. Tambahan
pula, kita tidak mahu menghabiskan sejumlah peruntukan kewangan yang
besar untuk memulih dan merawat kemelut moral dan sosial yang berlaku
sekaligus meminggirkan atau gagal membuat pelaburan yang sewajarnya
untuk pembangunan potensi dan pengembangan diri belia yang positif.

Sepertimana yang difahami oleh orang ramai, salah laku dan


tingkah laku devian golongan belia sering kali dijadikan kayu pengukur
keberkesanan sesuatu program pembangunan belia. Menurut Samsudin
(2007), banyak kajian telah menunjukkan bahawa generasi muda yang
terpinggir merasakan masa depannya akan suram dan berliku jika tidak
diberikan kemahiran dan motivasi. Menurut Fernandes-Alcantera (2015),
belia sering dianggap berisiko kerana mereka mempunyai kekangan ekonomi
dan halangan terhadap pekerjaan. Belia yang merasa tertekan dan putus asa
dengan keadaan masa depan yang tidak menentu berkemungkinan besar akan
terlibat dalam tingkah laku negatif, dianggap sebagai golongan yang berisiko
tinggi yang akan mencetuskan pelbagai masalah sosial dan akan menjadi
beban kepada masyarakat dan negara (Samsudin, 2007). Dalam konteks
ini, tumpuan kepada pengembangan potensi dan pengupayaan belia harus
diperkasa. Strategi yang memfokus kepada penglibatan dan tanggungjawab,
cabaran dan kemahiran diri untuk berjaya dalam hidup dianggap efektif untuk
menangani masalah tingkah laku negatif dalam kalangan belia sekaligus
membantu mereka mendepani sebarang ujian dan cabaran dengan positif.

Jika diteliti, belia pada hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran
yang boleh mengundang tekanan yang melampau. Persekitaran dunia yang
mencabar, kompleks dan pada masa yang sama memberi banyak ruang dan
peluang boleh menyerlahkan potensi belia dan ketahanan jatidiri dan begitu
juga sebaliknya. Salah satu cabaran yang utama adalah cabaran globalisasi.
Dalam dunia tanpa sempadan ini, pelbagai perkara yang mendedahkan, boleh
mempengaruhi dan memberi kesan kepada seseorang individu terutama
belia sama ada bersifat positif ataupun sebaliknya. Ini termasuklah cabaran
pemikiran dan budaya, teknologi maklumat dan komunikasi, transmigrasi
tenaga buruh, budaya consumer, materialisme dan ledakan kebendaan,
cabaran dalaman dan jatidiri, cabaran mobiliti tenaga kerja mahir dalam
pasaran pekerjaan serantau dan global, dan cabaran ilmu pengetahuan,
kemahiran dan nilai-nilai murni (perbincangan lanjut boleh rujuk Azizan,
2004; Samsudin, 2007). Sehubungan dengan ini, cabaran-cabaran tersebut
seharusnya ditangani dan diambil manfaat dengan sewajarnya agar negara
dapat membangunkan belia sebagai aset yang holistik dan berkualiti, bertaraf
dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi
aspirasi negara (Mahadzirah, Ahmad Rusdi, Wan Norhayati & Manan, 2013).

Secara umumnya, isu-isu dan cabaran yang melibatkan belia cuba ditangani
dengan pelbagai cara khususnya oleh pihak kerajaan. Pelbagai kementerian dan
agensi kerajaan melakukan pelbagai perancangan dan pelaksanaan program
dan aktiviti untuk memperkasa golongan belia dan memenuhi keperluan

24
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
mereka. Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Pengajian Tinggi,
misalnya, berperanan menghasilkan modal insan terutamanya belia yang
mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan dan berkemahiran untuk menangani
cabaran semasa terutamanya dalam dunia pekerjaan. Selain itu, Kementerian
Belia dan Sukan juga berperanan aktif bagi membina masyarakat belia yang
menjalani gaya hidup yang sihat, bersatu, energetik, mempunyai nilai moral
dan sivik yang tinggi serta amalan positif dalam kehidupan mereka. Ianya
dapat disaksikan melalui pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan
oleh kementerian dalam melatih dan mendidik generasi belia dari semasa
ke semasa untuk berterusan progresif dalam segala tindak tanduk mereka.
Usaha dan inisiatif pelbagai pihak ini terutamanya bagi menangani ‘penyakit
sosial’ dan keperluan belia antara lain adalah untuk membentuk individu belia
yang holistik dan sentiasa memperbaiki diri melalui pendidikan berterusan
dan latihan. Ia diharap dapat membawa perubahan dari segi pengetahuan,
kemahiran dan sikap yang lebih baik dalam kalangan belia.

Walaupun pelbagai perancangan dan program dilaksanakan oleh


pihak kerajaan dalam menangani isu-isu yang melibatkan belia, namun ikhtiar
dan usaha yang berterusan wajar diperkasa. Permasalahan belia, sehingga
kini masih menjadi persoalan rumit. Kaedah atau cara yang berkesan bagi
menangani isu-isu yang mendatangani belia masih terus ditagih. Pemahaman
dan analisis permasalahan belia daripada pelbagai perspektif perlu kepada
pendekatan yang lebih menyeluruh bagi merencana inisiatif yang lebih
bersesuaian sejajar dengan kehendak dan keperluan belia dari masa ke
masa. Seiringan dengan ini, proses pendidikan dan latihan untuk belia perlu
diperhebatkan lagi selaras dengan aspirasi negara untuk memartabatkan
modal sosial yang progresif dan berdaya saing.

Ringkasnya, belia di negara ini tidak dapat diragukan lagi berterusan


menjadi faktor penentu kepada usaha gigih Malaysia untuk mencapai
status negara maju yang dipacu oleh ekonomi berasaskan inovasi. Adalah
diharapkan strategi-strategi yang efektif dapat dihasilkan daripada pelbagai
program dan aktiviti yang dilaksanakan agar dapat mencungkil potensi dan
bakat belia serta menggalakkan lebih banyak penglibatan belia Malaysia
dalam aktiviti yang bermanfaat. Pengetahuan dan kemahiran yang diberikan
kepada belia wajar diperkasa bagi meningkatkan keupayaan belia untuk
berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan.

3.0 PENDIDIKAN & LATIHAN KEMAHIRAN BELIA

Kita tidak sewajarnya menafikan bahawa pembangunan belia adalah satu


isu yang penting (Samsudin, 2007) memandangkan golongan ini adalah aset
berharga dan mampu memberi sumbangan positif kepada pembangunan
masyarakat dan negara. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan
asasnya perlu dibangunkan oleh segenap lapisan masyarakat tanpa semata-
mata bergantung kepada perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

25
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
Tugas menyedia dan mempersiapkan belia untuk memasuki pasaran tenaga
kerja memerlukan usaha berterusan pemegang taruh yang mengambil berat
tentang hal ini (Faizah, 2007). Tumpuan sering disasarkan kepada penyediaan
perkhidmatan dan kemudahan yang difikirkan boleh membantu para belia
meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, keupayaan dan pemerkasaan,
penglibatan dan juga sumbangan kepada masyarakat. Menjadi aspirasi
negara secara asasnya untuk menekankan bahawa melalui pelbagai program
dan aktiviti yang dilaksanakan, belia akan dapat membebaskan diri daripada
masalah, mempersiap-siagakan diri untuk mendepani cabaran semasa dan
masa hadapan serta merangsang penglibatan dan sumbangan mereka kepada
masyarakat setempat.

Seiringan dengan usaha membangunkan potensi belia, Samsudin


(2007) menjelaskan bahawa perkhidmatan belia perlu kepada strategi
dan pendekatan baru yang mengambil kira kepada empat elemen berikut:
tanggungjawab pembangunan belia dipertanggungjawabkan kepada
masyarakat dengan dikendalikan oleh badan-badan yang berasaskan
masyarakat; perancangan program pembangunan belia harus dinyahpusatkan
untuk diselaraskan dengan keperluan dan permintaan sesuatu kawasan;
penawaran program pembangunan belia mestilah dipelbagaikan
berorientasikan aktiviti fizikal, kemahiran dan pengetahuan; dan keempatnya,
program pembangunan belia mesti melihat golongan muda sebagai rakan
kongsi dan bukan sebagai pelanggan.

Dalam hal ini, strategi perencanaan dan pelan tindakan adalah penting
untuk memastikan segala bentuk program dan aktiviti pembangunan belia
dilaksanakan secara efektif, sistematik dan efisyen. Ini termasuklah program
ekonomi dan keusahawanan, sosial, pendidikan dan agama dan akhlak
(Azizan, 1995). Sementara itu, salah satu mekanisme untuk membangunkan
potensi dan pengembangan diri belia adalah melalui pendidikan dan latihan
kemahiran yang boleh meningkatkan kebolehpekerjaan belia.

Dari segi pendidikan, Bank Dunia menerusi dokumen pemantauan


ekonomi Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2012, mendapati bahawa
terdapat peningkatan dalam penyertaan pendidikan tinggi bagi golongan
muda di negara ini daripada tahun 2000 ke 2010. Namun demikian, berlaku
pengurangan penglibatan mereka yang berumur 20 tahun ke 24 tahun
dalam sektor tenaga kerja. Laporan tersebut merumuskan bahawa golongan
muda memilih untuk menangguh kemasukan ke tenaga kerja sehinggalah
memperoleh tahap pendidikan tinggi. Dapatan survei belia menyokong
pengamatan Bank Dunia ini dengan menunjukkan bahawa belia Malaysia
berpandangan tahap minima pendidikan yang diperlukan untuk sesuatu
kerja yang dibayar dengan baik adalah di peringkat sarjana muda (35%)
ataupun sijil ataupun diploma (27%) (Asia Foundation, 2012). Dalam pada
itu, terdapat berjuta-juta belia lelaki dan wanita yang gagal untuk menyertai
pasaran tenaga kerja manakala kebanyakan kerja yang ada dibayar dengan
upah yang rendah, tiada jaminan serta kurang faedah-faedah sampingan.

26
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
Malah belia ini mungkin juga tiada kerja sama sekali walaupun memiliki
diploma atau sarjana muda, bekerja dengan upah yang amat kecil dengan
tiada langsung jaminan serta prospek masa depan (Faizah, 2007).

Dalam satu kajian lain yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan


Pembangunan Belia Malaysia (2011), terdapat lima keperluan belia
yang kritikal yang telah dikenal pasti. Kelima-lima keperluan tersebut
adalah pekerjaan, perumahan, kewangan, keperluan pendidikan dan juga
pengangkutan. Dapatan ini menunjukkan bahawa kepentingan pihak berwajib
untuk menangani keperluan belia secara serius terutama yang melibatkan isu
pekerjaan.

Sejajar dengan keperluan tersebut, kajian Talent Corp (2014)


mendapati pencetus utama pengangguran dalam kalangan graduan adalah
disebabkan ketidakpadanan kemahiran graduan dengan kehendak pasaran
atau majikan. Kajian ini juga melaporkan bahawa 81 peratus majikan
melaporkan graduan lepasan universiti kekurangan kemahiran komunikasi,
diikuti dengan 56 peratus mendakwa graduan lemah dalam pemikiran
kritikal dan kreatif. Penemuan kajian juga menunjukkan graduan mempunyai
kekurangan dalam kemahiran analisis dan ketidakupayaan bekerja tanpa
pengawasan atau tunjuk ajar. Kemahiran insaniah (soft skill) yang lemah ini
adalah faktor penting kegagalan graduan memperoleh pekerjaan selepas tamat
pengajian. Kajian tersebut merumuskan bahawa bagi memastikan kemahiran
yang diberikan di institusi pengajian berpadanan dengan keperluan majikan,
maka kolaborasi antara institusi pendidikan dan firma-firma mesti diperkasa
bagi menambah baik kualiti dan pengisian pendidikan di universiti dan juga
institusi latihan.

Dalam laporan belia Malaysia, Faizah (2007) menjelaskan


bahawa isu kebolehpekerjaan dirumitkan lagi dengan ketidakpadanan atau
ketidaksesuaian pendidikan dan kemahiran yang diperlukan dalam realiti
pasaran kerja. Hasil kajian tersebut juga mendedahkan bahawa impak
ketidakpadanan pendidikan dan kerja telah banyak didokumentasikan
dalam sorotan karya ekonomi (Chu Ng, 2001; Dolton dan Vignoles, 2000).
Tambah Faizah (2007) lagi, memperbaiki hasil pendidikan dan latihan
kemahiran serta kebolehpekerjaan belia adalah kritikal seandainya Malaysia
mahu mengurangkan kadar kemiskinan, gangguan sosial dan keluarga serta
pengasingan masyarakat.

Berbanding dengan generasi terdahulu, generasi muda ketika ini
menghadapi tiga kali ganda kemungkinan untuk tidak mendapat pekerjaan
(PPPM, 2015, 4-1). Dijangkakan terdapat permintaan tambahan sebanyak
1.3 juta pekerja dalam industry pendidikan teknikal dan latihan vokasional
(TVET) menjelang tahun 2020 dalam 12 sektor yang dikenal pasti sebagai
bidang ekonomi utama negara (NKEA) dibawah Program Transformasi
Ekonomi (ETP). Walaupun banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan
sederhana telah diwujudkan, namun kekurangan bekalan tenaga tersebut

27
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
masih dihadapi oleh banyak syarikat. Dalam konteks ini, kemudahan TVET
di Malaysia disediakan oleh pelbagai kementerian dan agensi yang terdiri
dari sektor awam dan swasta.

Pada 2013, sebanyak 321,000 pelajar daripada 429,000 lepasan Sijil


Pelajaran Malaysia (SPM) diterima mengikuti pelbagai program pendidikan
tinggi dan latihan (PPPM, 2015). Lebih 50% daripada mereka memasuki
institusi TVET dan kebanyakan mereka bukanlah dari kalangan pelajar yang
cemerlang. Bagaimana pula dengan para belia yang selebihnya? Walaupun
jumlah yang besar telah mengikuti pelbagai program pendidikan dan latihan,
namun kebolehpasaran dan kebolehpekerjaan mereka masih menjadi
tandatanya. Adalah menjadi kekhuatiran dan kebimbangan sekiranya
belia ini tidak melaksanakan sesuatu pekerjaan yang bermanfaat, maka
kebarangkaliannya mereka ini akan terlibat dengan aktviti tidak sihat boleh
meningkat.

Berpanduan kepada laporan dan kajian-kajian yang dijalankan oleh


pelbagai pihak, salah satu cabaran yang jelas dihadapi oleh golongan belia
adalah berkaitan pasaran pekerjaan. Kesukaran memperoleh pekerjaan yang
setimpal dengan kelayakan, pengangguran, penggajian warga asing dalam
pelbagai sektor pekerjaan adalah antara isu utama yang menghantui para
belia (Azizan, 2004). Memperoleh kerja yang baik bagi belia merupakan
elemen yang kritikal dalam kelestarian pembangunan, pengembangan dan
kebajikan untuk semua. Semakin terdapat banyak bukti dalam situasi global
di mana para belia berdepan dengan kesukaran untuk menyertai pasaran kerja
(Faizah, 2007). Sejak sekian lama, usaha pihak kerajaan untuk membantu
golongan belia dalam pelbagai aspek kehidupan untuk memperkasa jati diri
dan kemahiran para belia terutama dalam meningkatkan kebolehpasaran
belia untuk mendapatkan pekerjaan tidak dapat dinafikan. Pelbagai inisiatif
dan program dilaksanakan bagi menangani isu belia yang sukar mendapatkan
pekerjaan dan membekalkan sumber tenaga kerja yang berpendidikan dan
berkemahiran (Faizah, 2007). Keupayaan belia mendapatkan pekerjaan yang
baik dalam pasaran tenaga kerja boleh meningkatkan taraf hidup mereka
dan ahli keluarga mereka. Memperakui kedudukan belia yang menjadi
nadi pembangunan negara, kerajaan telah menyediakan pelbagai institusi
pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional untuk mereka mendapatkan
pengetahuan dan kemahiran. Kerajaan Malaysia telah memulakan program
pengupayaan dengan harapan tenaga kerja Malaysia akan berpengetahuan,
berkemahiran dan berinovasi (Faizah, 2007). Adakah mereka ini mampu
dan berkeupayaan untuk berdaya saing dalam dunia pekerjaan? Mengapa
golongan belia ini yang telah mendapat pendidikan dan latihan kemahiran
masih tidak dapat menceburkan diri mereka dalam pasaran kerja? Bagaimana
pula dengan segelintir golongan belia yang terpinggir daripada arus perdana
yang tiada ruang dan peluang untuk turut serta memandangkan jumlah
institusi tersebut yang agak terhad. Bagaimana pihak kerajaan terutamanya
boleh membantu mereka memperoleh pengetahuan dan kemahiran untuk
mereka memasuki pasaran pekerjaan? Bimbingan latihan kemahiran wajar

28
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
diberikan agar mereka boleh memasuki alam pekerjaan yang boleh menjamin
masa depan belia ini. Inisiatif wajar dilakukan bagi menghapuskan halangan
dan kekangan terhadap kebolehpekerjaan belia dan pengembangan karier
mereka (Brown, Hillier & Warren, 2010).

Strategi pelaburan dalam mendidik dan melatih modal insan dilihat


sebagai satu usaha untuk meningkatkan pengupayaan masyarakat umumnya
dan belia khasnya. Pelaburan jangka pendek dan jangka panjang sentiasa
dilakukan bagi memenuhi keperluan kemahiran para belia. Pelaburan
dalam modal insan ini amat perlu bagi melestari perkembangan ekonomi
yang mapan, berasaskan-pengetahuan sekaligus mendorong komuniti yang
mempunyai nilai tambah yang positif (Faizah, 2007). Jumlah dana dan
peruntukan yang disalurkan begitu besar untuk pembangunan belia terutama
dalam aspek kemahiran dan latihan yang dikhususkan kepada kumpulan
sasaran. Sejak kebelakangan ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan
sejumlah wang yang banyak untuk menyediakan golongan belia dengan
pendidikan dan kemahiran tertentu bagi memudahkan mereka melalui proses
memasuki pasaran kerja. Sebagai contoh, peruntukan yang meningkat bagi
pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dalam bajet 2016 yang
diumumkan baru-baru ini dianggap penting dalam melahirkan golongan
belia yang berkemahiran tinggi dan mampu memenuhi pasaran kerja yang
kompetitif. Menurut Menteri Belia dan Sukan, peruntukan tersebut diharap
dapat mentransformasikan latihan yang ditawarkan di institusi latihan
selain dapat meningkatkan kebolehpasaran lepasan institusi yang berkenaan
(Mingguan Malaysia, 25 Oktober 2015, ms.2) yang rata-ratanya terdiri
daripada para belia dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi. Cabaran
utama TVET adalah untuk memastikan ianya melengkapi keperluan industri
dan menjamin pekerjaan kepada individu yang mengikuti TVET.

Dalam hal ini, apakah hasil modal insan yang dikeluarkan selari
dengan jumlah kewangan yang diperuntukkan? Adakah modal insan yang
dihasilkan daripada pelbagai institusi pendidikan dan latihan kemahiran
menepati keperluan guna tenaga dan sumber manusia yang diperlukan
oleh kerajaan dan industri.  Secara idealnya, penyedia perkhidmatan sama
ada dari pihak kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan dijangka
melaksanakan pelbagai aktiviti dan program kemahiran untuk membangunkan
potensi diri belia sejajar dengan aspirasi negara yang mahu melahirkan
masyarakat sejahtera, resilien dan mapan. Pendekata, melalui pelbagai
usaha dan inisiatif yang dilaksanakan, ia diharap dapat meningkatkan guna
tenaga kerja tempatan dan pada masa yang sama mampu mengurangkan
kebergantungan kepada tenaga kerja buruh asing yang semakin bertambah.

Sepintas lalu, institusi-institusi pendidikan dan latihan kemahiran


seperti Institut Kemahiran Belia Negara, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran
MARA, Institut Latihan Perindustrian, Pusat GiatMara, Kolej Pertanian dan

29
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
Akademi Binaan Malaysia serta lain-lain organisasi latihan dibina untuk
memenuhi keperluan kemahiran teknikal dan vokasional belia di negara ini.
Setiap institusi ini menawarkan pelbagai program kemahiran sama ada dalam
bentuk sijil dan juga peringkat yang lebih tinggi sama ada secara jangka
pendek mahupun dalam tempoh yang lebih panjang. Dalam konteks ini,
peluang-peluang yang disediakan kepada para belia amat terbuka luas dalam
mendapatkan kemahiran-kemahiran yang bersesuaian. Belia digalakkan
mengikuti apa jua program kemahiran yang ditawarkan oleh institusi
mengikut minat dan kehendak mereka serta keperluan pasaran. Secara jelas,
peluang dan ruang bagi para belia untuk mempelajari ilmu pengetahuan dan
kemahiran yang berkaitan secara berterusan sepanjang hayat sememangnya
disediakan oleh pelbagai pihak. Malah, pelbagai insentif lain seperti elaun
pengajian, kemudahan tempat penginapan dan sebagainya turut ditawarkan
bagi menggalakkan belia menceburi bidang-bidang yang bersesuaian dengan
keperluan mereka dan kehendak negara.   

Secara ringkasnya, bakat belia yang berpotensi perlu digilap melalui


pelbagai program latihan agar mereka ini dapat mendepani cabaran semasa
dengan lebih produktif. Dalam konteks ini, program pendidikan dan latihan
bukan sahaja bersifat kemahiran fizikal perlu diterapkan malahan program-
program kemahiran insaniah dan spiritual wajar juga diperkukuhkan. Nilai-
nilai murni ini amat kritikal untuk ditanamkan dalam jiwa dan minda para
belia seiring dengan perubahan global dan cabaran semasa yang memerlukan
ketahanan diri dan bangsa. Penerapan ciri daya saing yang kental, harga
diri yang tinggi, keupayaan asertif yang baik, nilai-nilai jatidiri mereka
yang unggul dan karakter positif yang lain dianggap menjadi teras kepada
keupayaan belia untuk berjaya dalam dunia pekerjaan dan kehidupan
umumnya.

4.0 ISU & CABARAN INSTITUSI PENDIDIKAN DAN LATIHAN

Dalam menangani isu pengangguran, kebolehpasaran dan kebolehpekerjaan


serta membina potensi belia, kerajaan dan pihak pemegang taruh perlu
mengambil perhatian kepada beberapa isu yang berkait rapat dengan institusi
pendidikan dan latihan.

4.1 Penambahbaikan Keberkesanan Program Pendidikan dan


Latihan Kemahiran Seiring dengan Keperluan Industri atau
Majikan

Adalah menjadi satu keperluan untuk meneliti pendidikan dan latihan yang
disediakan kepada para belia dalam usaha untuk membina bangsa Malaysia.
Belia merupakan pemimpin masa depan negara dan mereka akan menentukan

30
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
kemajuan Malaysia sama ada dari segi ekonomi, kewangan, politik, sosial dan
masyarakatnya. Dalam hal ini, banyak program yang disasarkan kepada belia
dilaksanakan oleh pelbagai kementerian tetapi hanya sebahagian kecil telah
menjalankan kajian keberkesanan program atau aktiviti secara terperinci.
Hakikatnya, kajian-kajian sebegini diperlukan untuk menentukan sama ada
aktiviti dan program yang ada selari dengan keperluan belia dan kehendak
negara terutama dalam menghasilkan modal insan yang berwibawa.

RMK-11 menggariskan kepentingan sumbangan belia dalam


pencapaian pembangunan negara maju. Program-program pembangunan
belia perlulah berpanjangan untuk membolehkan kesan yang disasarkan
tercapai. Seiringan dengan hal di atas, keberkesanan program dan aktiviti
yang dilaksanakan perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan
hasil positif dapat diperoleh sejajar dengan pelaburan yang telah dilakukan.
Namun, keberkesanan program berkenaan secara konsisten dalam menjana
perubahan positif kepada pembangunan belia itu sendiri masih tidak dapat
dipastikan dengan jelas.

Kita semua sedia maklum bahawa kebimbangan mengenai kadar


pengangguran yang semakin meningkat dalam kalangan belia dan kegagalan
belia mendapat pekerjaan boleh mendatangkan implikasi negatif kepada
struktur masyarakat secara keseluruhannya dan kepada iklim tenaga
kerja negara secara khususnya. Keperluan industri atau majikan dengan
pengeluaran tenaga kerja tidak selari dan ianya memerlukan penelitian lanjut
secara lebih terperinci agar sumber tenaga belia yang ada dapat dimanfaatkan
dengan sepenuhnya.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk pihak yang


bertanggungjawab untuk meneliti program sedia ada berkaitan dengan
belia dari segi objektif dan hasil yang diperoleh, menilai keberkesanan dan
kerelevan program dan latihan, menentukan jenis pendidikan dan latihan
yang diperlukan oleh belia dan negara serta merangka cadangan strategi
intervensi yang bersesuaian bagi memastikan program dan latihan yang
disediakan mencapai agenda negara.

4.2 Kurikulum Pendidikan dan Latihan Kemahiran Berlandaskan


Keperluan Industri

Bagi memenuhi keperluan industri dan mencapai aspirasi negara ke arah


negara berpendapatan tinggi, pihak pemegang taruh perlu melaksanakan
beberapa strategi dan intervensi penambahbaikan. Antara langkah yang
perlu dilaksanakan adalah dengan menyemak semula program-program di
institusi pendidikan dan latihan kemahiran untuk belia bagi memastikan
kerelevanan dengan keperluan industri. Kurikulum pendidikan dan latihan
kemahiran juga perlu berubah seiring dengan perkembangan semasa dan
berpandukan kepada keperluan dan permintaan industri. Banyak persoalan
yang boleh dikemukakan? Apakah program-program latihan yang disediakan

31
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
berpadanan dan bersesuaian dengan kehendak pasaran? Adakah program-
program latihan ini boleh membantu dan menjamin kebolehpasaran para
belia ini? Adakah ianya menepati keperluan semasa pasaran kerja? Dalam
konteks ini, pihak berkaitan juga sewajarnya cuba menangani kekurangan
atau melakukan penambah baikan kepada program sedia ada. Ini termasuklah
meneliti semula kekangan atau kelompongan yang ada yang mempengaruhi
ketidakboleh pekerjaan belia yang telah memperoleh pendidikan dan latihan
kemahiran di institusi.

Sehubungan dengan ini, salah satu strategi yang boleh digunakan


adalah dengan membina kurikulum pendidikan dan program latihan yang
berlandaskan dan bersesuaian dengan kehendak industri dan pasaran negara.
Langkah kerajaan yang mula memastikan penyedia TVET melibatkan
industri dalam menambah baik program sedia ada dan menjadikannya
lebih relevan (PPPM, 2013) wajar dipuji. Adalah amat perlu menilai secara
berterusan setiap program yang dikendalikan agar kesan yang lebih baik
dapat dimanfaatkan daripadanya (Azizan, 1995). Ini termasuklah penilaian
terhadap sistem penyampaian program belia yang efisyen. Pembangunan
belia tidak memberi sebarang makna sekiranya kandungan, kaedah dan kesan
sebenar daripada program latihan berkenaan tidak berterusan ditambahbaik
dan dimantapkan demi keperluan belia dan perkembangan semasa (Azizan,
1995).

Senario ramai graduan yang telah tamat pengajian di institusi


pendidikan dan latihan kemahiran yang masih tidak bekerja dan memenuhi
pasaran tenaga kerja tempatan dan luar negara menimbulkan pelbagai
persoalan. Ada sejumlah besar daripada mereka yang ‘terpaksa’ dilatih
semula untuk membantu mereka memperoleh pekerjaan yang bersesuaian.
Perbelanjaan dan kos yang tinggi dilaburkan untuk melatih para belia ini
semula bagi membantu mereka mendapat pekerjaan sedangkan pendidikan dan
latihan yang diterima sebelum ini seumpama tidak berupaya memanfaatkan
potensi diri untuk menyumbang kepada tenaga pasaran kerja yang kompetitif
dan berdaya saing. Dalam hal ini, maklum balas dari penyedia perkhidmatan,
pihak industri dan pemegang taruh perlu diambil kira dan ditangani secara
serius agar pelaburan modal insan ini yang menelan perbelanjaan yang besar
berbaloi dan setimpal dengan segala usaha yang dilaksanakan.

4.3 Penawaran Program Yang Sama Oleh Penyedia atau Institusi


Pendidikan dan Latihan Kemahiran

Banyak program yang sama ditawarkan kepada belia oleh institusi


pendidikan dan latihan kemahiran. Walaupun secara zahirnya ia mungkin
memberi kebaikan dan tidak memberikan apa-apa kesan negatif kepada
pembangunan belia, namun ia perlu disemak semula bagi meneliti
pertindanan dan persaingan yang tidak bermanfaat. Tambahan pula, mungkin
program-program yang sama ini tidak berasaskan kepada keperluan industri.
Contohnya, pelbagai penyedia TVET menawarkan program yang sama

32
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
(misalnya program diploma) dan ini menimbulkan persaingan dan duplikasi
yang tidak diingini. Setiap agensi akreditasi mempunyai syarat akreditasi
yang berbeza menyebabkan pembangunan TVET sukar untuk menepati
standard kedua-dua agensi (PPPM, 2013). Oleh itu, adalah wajar untuk pihak
berkenaan untuk mengkaji kebolehlaksanaan program-program yang sama
di samping kos-efektif sesuatu program serta pada masa yang sama meneliti
sama ada ianya menepati permintaan dan keperluan industri.

4.4 Keperluan Program Latihan Yang Menyeluruh

Cabaran kepada institusi pendidikan dan latihan kemahiran adalah untuk


menerapkan bukan sahaja pendidikan dan latihan kemahiran berasaskan
fizikal tetapi kemahiran insaniah juga wajar diperkasakan kepada belia.
Banyak kajian dan bukti menunjukkan kepentingan kemahiran insaniah dalam
kebolehpasaran dan kebolehpekerjaan belia serta keupayaan mendepani
sebarang cabaran dalam kehidupan. Selain daripada memiliki pengetahuan
dan latihan kemahiran yang diperlukan oleh industri, program-program
belia yang menggilap kemahiran insaniah para belia boleh meningkatkan
jati diri dan potensi pembangunan belia yang lebih positif dan menyeluruh.
Berkaitan dengan perkara ini, majikan merasakan bahawa kebolehpasaran
dan kebolehpekerjaan belia antara lain banyak bergantung kepada kemahiran-
kemahiran ciri-ciri peribadi dan antara perseorangan yang sewajarnya
difahami oleh belia dengan sebaiknya (Faizah, 2007). Kemahiran-kemahiran
ini boleh digilap menerusi program dan aktiviti belia secara berterusan dan
menyeluruh bagi meningkatkan peluang kebolehpekerjaan.

4.5 Meningkatkan Kemasukan Ke Program Pendidikan dan


Latihan Kemahiran Teknikal dan Vokasional Bagi Memenuhi
Tenaga Kerja Mahir Dalam Negara.

Pada masa kini, terdapat pelbagai pusat latihan vokasional termasuklah


sekolah vokasional, sekolah teknik dan juga kolej-kolej vokasional di bawah
kementerian pendidikan. Terdapat juga Kolej Komuniti, Politeknik, Pusat
GiatMara, Institut Kemahiran Belia Negara, Akademi Binaan Malaysia,
Institut Latihan Perindustrian, Kolej Pertanian, Institut Kemahiran Mara dan
lain-lain institusi swasta dan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan dengan
hasrat memenuhi tenaga kerja negara.

Adalah amat penting untuk difahami bahawa pasaran tenaga kerja


di Malaysia menjadi semakin lebih mengkhusus dan ekonomi negara ini
menuntut tahap kemahiran yang lebih tinggi dalam kalangan pekerja. Ini
selaras dengan ikhtiar dan usaha untuk menjadi negara maju pada tahun
2020. Kerajaan dan perniagaan dalam negara semakin membuat pelaburan
dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional pada masa hadapan
menerusi institusi latihan awam yang dibiaya dan juga subsidi apperentis
serta pelbagai inisiatif lain.

33
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
Walaupun menyedari kepentingan tersebut, Malaysia masih lagi
kekurangan pelajar terutamanya, golongan belia yang menceburi bidang
kemahiran teknikal dan vokasional bagi memenuhi tenaga kerja mahir
dalam negara. Kita masih terkebelakang dalam usaha menghasilkan tenaga
kerja mahir walhal negara ketika ini amat memerlukan golongan ini, selaras
dengan matlamat mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang
tahun 2020. Kursus atau latihan vokasional adalah perlu dalam rangka
mempersiapkan belia dengan pelbagai kemahiran kerja yang diperlukan
oleh negara (Azizan, 1995). Pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional
(TVET) merupakan laluan penting untuk pendidikan vokasional dan
pembangunan kemahiran (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-
2025 (Pendidikan Tinggi). Di Malaysia, lebih 50% kandungan program
TVET ditumpukan kepada kemahiran vokasional dan teknikal dengan
kelayakan pada peringkat sijil, diploma dan ijazah. Sehubungan dengan ini,
perlu ada usaha untuk menarik minat belia lepasan PMR atau SPM supaya
menceburkan diri dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional. Latihan
kemahiran adalah usaha penting dalam pembangunan modal insan bertaraf
dunia yang dapat mentransformasikan ekonomi negara ke arah status
berpendapatan tinggi.

4.6 Pendidikan dan Program Latihan yang Bersifat Inklusif

Bagi menjayakan pembangunan belia yang positif, pemerkasaan program


pendidikan dan latihan kemahiran wajar bersifat inklusif. Pihak penyedia
perkhidmatan seharusnya merencana dan melaksana pelbagai program
pendidikan dan latihan yang bersifat inklusif – bagi menampung keperluan
semua belia dari pelbagai peringkat berdasarkan keperluan semasa. Ini
termasuklah program-program untuk golongan belia oku, belia Orang Asli,
belia yang keciciran dan sebagainya. Pendekata, program-program latihan
atau kursus harus menampung keperluan semua belia dari pelbagai peringkat
asas, pertengahan mahupun di peringkat yang lebih tinggi (Azizan, 1995).

4.7 Program Pendidikan dan Latihan Kemahiran Bersifat


Keperluan Sesuatu Tempat

Banyak program pendidikan dan latihan kemahiran belia dilaksanakan


secara berpusat. Walau bagaimanapun, kemungkinannya ada keperluan
untuk meneliti dan mengkaji semula perancangan dan pelaksanaan program
yang berpusat dengan mengambil kira keperluan dan masalah setempat
belia. Keperluan dan keinginan belia yang pelbagai di daerah atau tempat
masing-masing menjadikan program pendidikan dan latihan kemahiran yang
hendak dilaksanakan wajar bersesuaian dan berpadanan dengan keperluan
belia setempat dan juga berasaskan kehendak industri. Perancangan
dan pelaksanaan program pembangunan belia wajar diagihkan kepada
peringkat daerah mengambil kira keperluan dan masalah setempat belia bagi
memastikan pendekatan ini efisyen dan efektif dalam mencapai matlamat
strategik pembangunan belia negara (Samsudin, 2007).

34
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
4.8 Penyelarasan Program dan Kolaborasi Sumber

Program dan latihan yang banyak dan bertindanan serta tiada penyelarasan
mendatangkan tanda tanya terhadap keberkesanan dan kos-efektif sesuatu
program pendidikan dan latihan kemahiran yang dilaksanakan. Kewujudan
program-program pendidikan latihan yang ditawarkan sama ada bersifat
jangka pendek dan jangka panjang memerlukan perancangan strategik
selaras dengan aspirasi negara. Program latihan anjuran kerajaan, pihak
swasta, badan-badan bukan kerajaan, program berasaskan komuniti, program
dan latihan kemahiran yang diusahakan atau yang ditawarkan dapat dilihat
saling bertindanan dan mempunyai persamaan serta mensasarkan kelompok
individu yang sama.

Bolehkah diwujudkan penyelarasan program latihan dalam institusi-


institusi ini bagi menjamin sumber-sumber digunakan dengan efisyen tanpa
ketirisan atau pembaziran? Sehubungan dengan ini, adalah wajar, penelitian
sesuatu aktiviti dan program yang dirancang, diselaras dan dilaksanakan
menepati objektif yang hendak diperoleh dan bukan sekadar mengadakan
sesuatu tanpa melihat kepada kepentingan semua pihak. Impak aktiviti dan
program kepada belia sama ada dari segi sosial, ekonomi dan sebagainya
terutama pelaksanaan di peringkat akar umbi perlu dilaksanakan secara
berterusan mengambil kira kos-efektif sesuatu program yang dilaksanakan.
Sebagai contoh, pada masa ini Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di
Kementerian Pengajian Tinggi mengakreditasi program akademik dan
vokasional yang ditawarkan oleh universiti, politeknik dan kolej komuniti.
Manakala Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di Kementerian Sumber
Manusia mengakreditasi program latihan vokasional yang ditawarkan oleh
institusi latihan kemahiran (PPPM, 2015, 4-2). Tidak bolehkah penyelarasan
dilakukan bagi memastikan kepentingan semua pihak terpelihara dan
sumber-sumber dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya?

Salah satu perkara yang juga perlu diberi perhatian adalah kerjasama
yang lebih erat daripada pelbagai agensi pelaksana dalam merangka dan
menjalankan aktiviti atau program pendidikan dan latihan kemahiran untuk
belia. Sewajarnya institusi-institusi ini memperkasa ikatan dan jaringan
mereka dengan pihak majikan (Faizah, 2007). Melalui kerjasama ini, pihak
pemegang taruh akan lebih dapat memfokus kepada sumber-sumber untuk
menangani kekurangan di institusi pendidikan dan latihan kemahiran.
Kolaborasi dan penyelarasan dari pelbagai pihak juga adalah kritikal dalam
memastikan sumber-sumber yang ada dapat digunakan dengan sebaik
mungkin selain daripada penjimatan kos yang ditanggung. Misalnya,
kolaborasi antara industri dan akademia bagi memastikan kebolehpasaran dan
kebolehpekerjaan graduan mungkin boleh dipertingkatkan lagi. Perkongsian
pintar ini sedikit sebanyak boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada
golongan belia malah kepada seluruh jentera pelaksana bagi menjamin hasil
yang dihasratkan tercapai dengan jayanya. Selain itu, akses kepada para belia
dapat diperluaskan lagi melalui rangkaian kerjasama yang dijalinkan.

35
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
4.9 Kekurangan data bersepadu dan sistematik dalam keperluan
tenaga kerja di industri menyukarkan kesepadanan bekalan
dan permintaan tenaga kerja.

Cabaran kepada institusi pendidikan dan latihan kemahiran untuk belia adalah
untuk mengenal pasti jumlah permintaan tenaga kerja daripada pihak industri.
Kekangan data yang bersepadu dan sistematik dalam keperluan tenaga kerja
telah menyukarkan kesepadanan bekalan dan permintaan tenaga kerja dalam
pasaran. Sehubungan ini, satu sistem yang komprehensif boleh dibangunkan
bagi memudahcarakan proses tersebut. Selain itu, institusi pendidikan
dan latihan kemahiran juga wajar membantu meningkatkan kesedaran
belia tentang pilihan-pilihan karier dan juga maklumat pasaran kerja agar
perancangan dan tindakan susulan yang bersesuaian dapat dilakukan demi
kepentingan yang terbaik buat para belia sekelian. Ini boleh dilaksanakan
dengan membentuk sistem data yang integratif bagi memudahkan keperluan
majikan dan kehendak belia dipenuhi.

5.0 RUMUSAN

Ringkasnya, para belia di Malaysia mempunyai banyak ruang dan peluang


untuk memperoleh ilmu pengetahuan dan latihan kemahiran dari pelbagai
institusi dan agensi yang ada. Program-program yang ditawarkan kepada para
belia terutama lepasan sekolah meliputi pelbagai bidang yang boleh dipilih
oleh mereka sejajar dengan minat serta keperluan individu. Sehubungan
dengan itu, ruang dan peluang yang terbentang luas perlu direbut untuk
mengambil keputusan yang tepat demi kelangsungan hidup dan jatidiri yang
holistik sejajar dengan pembentukan modal insan yang seimbang.

Keperluan dalam tenaga kerja bagi mencapai agenda negara perlu
direalisasikan dengan mewujudkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang
bersesuaian menerusi pelbagai institusi latihan yang ada. Ini amat penting
bagi memastikan negara tidak bergantung sepenuhnya kepada lambakan
tenaga kerja asing yang boleh mendatangkan implikasi negatif kepada
kesejahteraan negara. Dalam konteks ini, cabaran kepada negara adalah
untuk menyediakan para belia untuk mengisi peluang pekerjaan yang
memenuhi kehendak industri dan dalam pada masa yang sama membasmi
pengangguran yang boleh mencetuskan pelbagai bencana sosial kepada
masyarakat dan negara.

Kesemua isu dan masalah yang dinyatakan di atas menunjukkan


bahawa proses pembinaan negara bangsa dalam kalangan belia merupakan
tugas mencabar. Sepertimana yang telah dirujuk daripada pelbagai sumber,
inisiatif dan usaha melalui pelbagai program pendidikan dan latihan untuk
memperkasa dan mengupaya generasi belia ini telah secara berterusan
dilaksanakan bagi mempersiapkan mereka untuk menjadi warganegara yang
baik.

36
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
RUJUKAN

Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia. (2007). (Akta 668).


Azizan Bahari (1995). Belia dan masyarakat. Institut Kajian Dasar. Kuala
Lumpur.
Azizan Bahari (Ed) (2004). Generasi muda menangani cabaran. Yayasan Dr
Rodzi: Alor Star.
Berita Harian (2015). 18,000 kes hamil luar nikah setahun. 15 November
2015, ms.15
Brown, T., Hillier, T-L. & Warren, A. M. (2010). Youth employability
training: two experiments. Career Developmental International,
15(2), 166-187. http://dx.doi.org/10.1108/13620431011040950
Buku Maklumat Ringkas Pertubuhan Belia di Malaysia (t. b.) Pejabat
Pendaftar Pertubuhan Belia: Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Faizah Yunus (2007). Youth employment and employability in Malaysia.
Dicapai daripada http://www.iyres.gov.my/jdownloads/kertaskerja/
youth-employment-and-employability-in-malaysia.pdf
Fazilah Idris, Wendy Yee Mei Tien, Ezhar Tamam, Azimi Hamzah & Wong
Su Luan (2008). Patterns of involvement in negative behaviour and
profile of the college youth at risk. Jurnal Pengajian Umum Asia
Tenggara (SEA Journal of General Studies), 9, 87-99.
Fernandes-Alcantara, A.L. (2015). Vulnerable youth: Employment and job
training programs. Congressional Research Service. Dicapai daripada
https://www.fas.org/sgp/crs/misc/R40929.pdf
Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (2011). Kementerian
Belia dan Sukan, Putrajaya.
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2010). Putrajaya.
Mahadzirah Mohamad, Ahmad Rusdi Abdullah, Wan Norhayati Mohamed
& Manan Ali (2013). Positive youth development, satisfaction and
problem behaviour model amongst Malaysian youth population.
Journal of Business and Social Development. 1, 21-28.
McWhiter, J. J., McWhiter, B. T., McWhiter, A. M., & McWhiter E. H. (2nd
ed.) (1998). At-risk youth: A comprehensive response. Singapore:
Brooks/Cole Publishing Company.
Mingguan Malaysia (2015). Bajet RM 4.8 bilion untuk TVET tepat. 25
Oktober 2015, ms.2
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan
Prasekolah hingga Lepas Menengah). (2013). Kementerian
Pendidikan Malaysia; Putrajaya
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Tinggi).
(2013). Kementerian Pendidikan Malaysia; Putrajaya
Samsudin A. Rahim (2007). Generasi belia: satu cetusan pandangan.
Putrajaya: Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia
(IPPBM).

37
Journal on Leadership and Policy Vol. 1 21-38 (2016)
Talent Corp (2014). Matching talent to jobs: Trends in graduate employability.
Dicapai daripada https://www.talentcorp.com.my/facts-and-figures/
matching-talents-to-jobs
The World Bank. (2012). Malaysia Economic Monitor: Modern
Jobs.   Bangkok: The  World   Bank.   Dicapai daripada http://www.
wds.worldbank.org/external/default/WDSContentServer/WDSP/IB/
2012/04/10/000333037_20120410004410/Rendered/PDF/679440W
P0P12750c0Monitor0April02012.pdf
The Youth Factor 2012 Survey of Malaysian Youth Opinion. The Asia
Foundation (2012). Dicapai daripada https://asiafoundation.org/
resources/pdfs/2012NationalYouthSurvey.pdf
Utusan Malaysia (2014). 13,359 pelajar terlibat salah laku disiplin berat. 7
November 2014, ms.24.

38

Anda mungkin juga menyukai