Anda di halaman 1dari 15

Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha
mendidik anak-anak mencintai alam sekitar dan faedah-faedah kepada masyarakat.
Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

“Kurang kesedaran alam sekitar”. Itulah jawapan yang sering kali kita lafazkan apabila
ditanya tentang penyebab utama pencemaran alam sekitar yang berlaku pada masa ini. Salah satu
langkah untuk meningkatkan kesedaran ini adalah melalui pendidikan alam sekitar yang
dijalankan secara berterusan di seluruh sekolah di Malaysia. Pendidikan alam sekitar sebenarnya
dapat didefinisikan sebagai pembelajaran untuk memahami interaksi manusia dengan alam sekitar
dan cara-cara alam sekitar diuruskan dengan bijaksana dan bertanggungjawab ke arah kelestarian
kehidupan di bumi.

Pendidikan alam sekitar di Malaysia diajar dalam konteks merentas kurikulum dan
kokurikulum. Dalam konteks pembelajaran, pendidikan alam sekitar diintegrasikan melalui
pengajaran dalam setiap mata pelajaran seperti Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Geografi, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Islam. Dalam konteks kokurikulum pula,
unit badan beruniform dan kelab digalakkan untuk mengadakan program perkhemahan seperti
kem kesedaran alam sekitar, program gotong-royong, dan aktiviti kitar semula.

Pendidikan alam sekitar sewajarnya dilanjutkan hingga peringkat pengajian tinggi. Hal ini
dapat dilaksanakan secara berkesan apabila diterapkan secara tidak formal melalui aktiviti
berpersatuan. Para mahasiswa di kampus perlu peka terhadap isu-isu alam sekitar yang melanda
dunia. Hal ini demikian kerana mereka merupakan pelapis kepimpinan dunia pada masa akan
datang. Cara lain yang dapat dilakukan adalah dengan menjalankan aktiviti penulisan artikel
tentang alam sekitar melalui majalah dan blog.

Pendidikan alam sekitar di rumah dapat dijayakan andainya ibu bapa benar-benar komited
terhadap usaha murni ini. Usaha-usaha ini termasuklah amalan membuang sampah di tempat yang
betul untuk mendidik generasi agar cinta akan kebersihan dan benci akan kekotoran. Melalui
pendidikan alam sekitar di rumah, anak-anak harus diberi penekanan untuk membuang sampah ke
dalam tong sampah yang disediakan . Usaha lain ialah amalan mengasingkan sampah mengikut
jenis seperti kertas, plastik , botol kaca, dan sisa makanan yang boleh dibudayakan di rumah.
Usaha lain yang berkaitan mencintai alam sekitar ialah amalan penjimatan tenaga elektrik dan air
yang juga perlu dijadikan amalan di rumah.
Anak-anak menghabiskan lebih kurang 60 peratus masa seharian mereka di rumah. Oleh
itu, wajarlah penerapan nilai-nilai murni dalam penjagaan alam sekitar dimulakan di rumah.
Aktiviti mengemas rumah, mencuci kereta, dan membersihkan halaman perlu dijadikan budaya
dalam sesebuah keluarga. Anak-Anak yang diterapkan dengan nilai mencintai kebersihan akan
dapat melahirkan masyarakat yang baik apabila berada di luar rumah.

(Dipetik dan diubahsuai daripada “Langkah Didik


Anak Sayangi Alam Sekitar) Milenia, 2009.

SOALAN 2 : PEMAHAMAN
[35 Markah]

Soalan 2(a) : Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata kelestarian kehidupan.


(2 m)

(ii) Apakah tujuan sebenarnya pendidikan alam sekitar di sekolah?


(2m)

(iii)Pada pandangan anda, mengapakah remaja hari ini tidak ada kesedaran untuk
menjaga alam sekitar? (4 m)
SOALAN 2 (b) : Petikan Prosa Moden
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Cerita bonda suatu hari tatkala saya asyik membelek-belek kitab-kitab lama bertulisan
Jawi di dalam almari yang memperincikan sejarah asal usul bumi mewah ini. Saya pandang mata
bonda dalam-dalam mencari pengertian sebenar saya anak generasi baharu yang belum mengerti
segala-galanya itu, saya faham bonda hanya ingin menghidupkan roh patriotisme dan jati diri
dalam diri saya. semangat cinta akan bangsa sendiri kian terhakis dalam jiwa anak-anak generasi
material ini. Harapan bonda moga-moga saya menjadi pejuang yang berani mempertahankan nilai
dan kepentingan bangsa saya sendiri yang sedikit, demi sedikit mula terhakis di atas tanah
sendiri.

“Tapi, dunia ini sudah berubah, bonda. Kita bukan lagi hidup pada zaman perjuangan
menentang musuh penjajah. Sekarang kita hidup dalam dunia yang mengejar harta, pangkat dan
kekayaan di bumi mewah ini. Tanah air ini bukan milik bangsa kita sahaja. Kita hidup dengan
perkongsian hak dan identiti yang sama rata. Sejarah lama tidak perlu dibangkitkan lagi.” Bonda
merenung mata saya dengan ekor pandangan yang penuh prejudis. Dihela nafas panjang-panjang
berdusta. Bangsa yang membaca dan mengkaji sejarah silam tidak akan melakukan kesilapan kali
kedua. Lihat bangsa Yahudi yang terus mencipta kejayaan besar dari zaman ke zaman kerana
mengkaji sejarah lampau. Mereka membina agenda besar untuk bangsa dan keturunannya.

(Munsyi ms 58 & 59 – Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul)

i) Berikan maksud frasa asal usul berdasarkan petikan. (2M)

ii) Berdasarkan petikan, mengapakah pelajaran sejarah perlu diterapkan kepada generasi
muda? (3M)

iii) Nyatakan satu nilai yang terdapat dalam petikan dan satu nilai yang terdapat dalam
cerpen secara keseluruhan. (4M)
Soalan 2(c)- Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisonal di bawah ini dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat yang sendiri.

Seketika lagi maka Laksamana pun datang membawa syahwat dan keris Kertala Sari.Maka sembah
Bendahara, “Inilah,tuanku pertandaan yang sungguh.Pada bicara patik,jika lain daripada Laksamana,tiada akan
dapat membunuh penjurit itu.Jangankan membunuh dia,menentang matanya pun tiada dapat.”Maka segala
mereka itu pun masing-masing tunduk kemalu-maluan,lalu kembali.
Maka titah baginda, “Bagaimana tipu Laksamana maka dapat membunuh penjurit itu?”
Maka diceritakannya segala hal-ehwalnya.Maka baginda pun hairan terlalu sukacita.Maka baginda pun
memberi anugerah akan Laksamana.Maka sembah Laksamana, “Ya tuanku,baiklah titahkan segala rakyat
berangkut segala harta itu.”
Maka titah raja pada Tun Kasturi, “Pergilah Bentara menghadapi orang mengangkut segala harta dan
kerahkan segala orang mengangkut harta itu.”
Maka Bentara pun menyembah lalu pergi dengan rakyat mengangkut segala harta itu di Bukit Cina.Maka
harta itu pun terlalu banyak.Maka segala harta itu ditimbunkan di halaman balairung itu,tujuh hari tujuh malam
berangkut segala harta itu.

Dipetik daripada ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ dalam


antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Berikan maksud pertandaan yang sungguh. [2 markah]

(ii) Bendahara telah mengemukakan beberapa sebab yang meyakinkan raja bahawa orang
yang sebenarnya membunuh Kertala Sari ialah Laksamana.
Nyatakan sebab-sebab tersebut. [3 markah]

(iii) Sekiranya anda raja,apakah tindakan-tindakan yang akan anda ambil untuk
mengembalikan harta benda rakyat Melaka yang telah dicuri Oleh Kertala Sari itu
semula? [3 markah]
Soalan 2 (d) : Sajak

Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

ERTI HIDUP BERERTI

Aku selalu didatangi


malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi.

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.

Aku bagi mereka


tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.

TEO WEI SING


Antologi Sejarah Rindu
i) Berikan maksud benih keinsafan. (2 markah)

ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan


oleh seseorang anak untuk menghiburkan hati ibu bapa?
(4 markah)

iii) Berikan dua pengajaran yang terdapat dalam sajak tersebut. (3 markah)

SOALAN 3 – Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa


[30 markah]
Jawab semua soalan

(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham
akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan
imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) seniman
(ii) budiman
(iii) hartawan
(iv) karyawan
(v) peragawati
(vi) olahragawati
(6 markah)

(b) Cerakinkan setiap ayat majmuk di bawah kepada dua ayat tunggal tanpa mengubah maksud
asalnya.

1. Pesilat itu tangkas berlawan dan bijak mengambil peluang.


2. Empangan Timah Tasuh sebuah tasik buatan yang terletak di Perlis.
3. Kemalangan jalan raya itu bukan berlaku pada hari ini tetapi semalam.

(6 markah)
(C) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan
penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda
tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan
imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Anggota keselamatan mengetatkan kawalan di segenap pelusuk kampung itu kerana
kejadian penceroboh yang berlaku baru-baru ini.

(ii) Setiap bandaraya di dunia biasanya mempunyai padatan penduduk melebihi sejuta orang.

(iii) Pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka peranan hulu balang sangat penting
untuk jaminan keamanan negeri.

[6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu
kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda
tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan
tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(6 markah)

(i) Pekedai itu menyenaraikan barang-barang jualan yang telah lewat tarikh penggunaannya.
(ii) Berita yang disebarkan oleh pemuda itu bukan benar tetapi sekadar sendaan.
(iii) Tugas utama Suruhanjaya Koperasi Malaysia ialah untuk menetapkan garis panduan bagi
memastikan sesebuah koperasi tidak menyimpang dari objektif asal.

(6 markah)
(e) Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian isi tempat kosong dengan peribahasa
yang sesuai.

Pak Ali kecewa apabila anaknya, Amir sentiasa gagal dalam peperiksaan. Walaupun dia telah
berkali-kali diberi nasihat, semuanya _________(i)___________. Pak Ismail menjelaskan
sesuatu kerja mesti dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh dan tidak bersikap
__________(ii)________. Lagipun, tidak mustahil untuk menempa kejayaan kerana
__________(ii)________. Kemahuan diri yang tinggi pasti menjanjikan kejayaan yang
cemerlang.

[6 markah]

Soalan 4 : Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :

(i) Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip

(a) Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan keistimewaan watak utama dalam
novel tersebut. [7 markah]

(b) Terdapat pelbagai sikap masyarakat dikemukakan oleh pengarang dalam sesebuah novel.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan sikap masyarakat yang dikritik oleh
pengarang. [8 markah]
CADANGAN JAWAPAN

RUMUSAN

PENDAHULUAN: Petikan membincangkan langkah-langkah mendidik anak-anak mencintai


alam sekitar di negara kita.

Isi Tersurat: Langkah-langkah/usaha-usaha

1……pendidikan alam sekitar diintegrasikan melalui pengajaran dalam setiap subjek.

2…..unit badan beruniform dan kelab digalakkan mengadakan program perkhemahan

3…..pendidikan alam sekitar dilanjutkan hingga peringkat pengajian tinggi

4….menjalankan aktiviti penulisan artikel mengenai alam sekitar melalui majalah dan blog

5….amalan membuang sampah di tempat yang betul

6….amalan mengasingkan sampah mengikut jenis

7….amalan penjimatan elektrik dan air diterapkan di rumah lagi

8…..aktiviti mengemas rumah, mencuci kereta dan membersih halaman perlu dijadikan budaya.

ISI TERSIRAT: Faedah-faedah kepada masyarakat

1…..dapat hidup dalam suasana yang bersih dan nyaman

2…..dapat menghindarkan daripada penyakit yang berkaitan alam sekitar- taun /cirit-birit

3…..dapat mengelakkan kerosakan alam sekitar akibat pembangunan.


Penutup:

Kesimpulannya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak mencintai alam sekitar agar mereka
menjadi generasi yang bertanggungjawab.
(2 m)

Atau

Kesimpulannya, semua pihak haruslah bertanggungjawab menjaga alam sekitar agar imej negara
sentiasa baik.
(2m)

Atau

Kesimpulannya, masyarakat haruslah bekerjasama menjaga alam sekitar agar kebersihan negara
kita sentiasa terpelihara.
(2m)

Soalan 2(a)

(i) Maksud kelestarian kehidupan ialah pengekalan / tidak diganggu / tetap terpelihara
benda hidup
(2m)

(ii) Tiga tujuan pendidikan alam sekitar di sekolah adalah untuk:


-memahami interaksi manusia dengan alam sekitar - 1m
-cara-cara alam sekitar diurus dengan bijaksana - 1m
-bertanggungjawab ke arah kelestarian kehidupan - 1m
(Jumlah: 4m)
-mendidik generasi cinta akan kebersihan - 1m

(iii) Pada pandangan saya remaja hari ini tidak ada kesedaran menjaga alam sekitar kerana:
-ibu bapa tidak memberi didikan penjagaan kebersihan sejak di rumah lagi -1m
-kurang pendedahan tentang alam sekitar di sekolah -1m
-penguatkuasaan undang-undang alam sekitar masih longgar -1m
-sektor pembangunan dan pembinaan semakin pesat di bandar-bandar -1m
-pendapat lain yang relevan

(Jumlah: 4 m)
2(b)

i) Asal usul bermaksud susur galur.


ii) Berdasarkan petikan, pelajaran sejarah perlu diterapkan kepada generasi muda kerana
dapat menghidupkan roh patriotisme dan jati diri dalam diri mereka. Selain itu, dapat
menjadi pejuang yang berani mempertahankan nilai dan kepentingan bangsa sendiri.
iii) Satu nilai yang terdapat dalam petikan ialah nilai jati diri (patriotisme). Sebagai
contohnya saya faham bonda hanya ingin menghidupkan roh patriotisme dan jati diri
dalam diri saya. Satu nilai lain daripada keseluruhan cerpen ialan nilai kasih sayang.
Mel sayang akan ibunya.

2( c)

(i) maksud: bukti/alibi yang sahih/jelas/tepat

(ii) Laksamana datang dengan membawa dua bukti yang sahih dan tepat,iaitu
sayhwat dan keris Kertala Sari-pahlawan lain berasa gentar/takut berlawan
dengan Kertala Sari-hanya Laksamana yang berani menentang kehebatan
Kertala Sari.

(iii) Menguar-uarkan berita itu kepada seluruh rakyat yang kehilangan harta benda-
meminta setiap orang mengenal pasti dengan sahih harta kepunyaan mereka
yang telah dicuri oleh Kertala Sari-menubuhkan satu pasukan bagi merekodkan
setiap harta yang diambil semula oleh rakyat untuk mengelakkan
penipuan/ketidakjujuran-menasihati rakyat jelata agar tidak mengambil harta
orang lain kerana perbuatan tersebut salah di sisi agama dan undang-undang-
bertindak tegas terhadap rakyat yang menipu tentang pengambilan harta yang
dicuri itu.

2 (d)

i) Maksud :
- bibit rasa kesedaran / belas kasihan [ 2 markah ]

ii) Usaha-usaha anak : [ isi cukup : 3 isi]


- Menjadi anak yang soleh / mengenang jasa ibu bapa
- Menghormati ibu bapa
-Menjaga ibu bapa dengan penuh kasih sayang
-Memberi wang saraan hidup
-Membawa ibu bapa melancong ke tempat-tempat yang menarik
-Menjadi anak kebanggaan ibu bapa
[ maksimum : 4 markah]
iii) Dua Pengajaran : [ Isi cukup : 2 isi ]
- Kita hendaklah berasa insaf dan sedar bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara
dan Tuhan yang kekal.
- Ibu bapa mestilah bersikap penyayang terhadap anak-anak supaya kehidupan anak-anak
itu mendapat berkat.
- Kita haruslah tabah menghadapi dugaan hidup agar idak dirundung rasa putus asa.
- Ibu bapa hendaklah sentiasa bertanggungjawab terhadap anak-anak supaya mereka
memperoleh keredaan ibu bapa menerusi doa dan restu.
[maksimum : 3 markah]

Soalan 3

3 (a)

(i) seniman - orang yang mempunyai bakat seni dan dapat mencipta hasil seni serta dapat
memperagakan hasil seninya (pelukis, penyair, penyanyi dan lain-lain),
bintang
filem (lelaki) yang telah lama melibatkan diri dalam perfileman
(ii) budiman - berbudi, berakal, bijaksana
(iii) hartawan - berharta, kaya, orang yang mempunyai harta, orang kaya
(iv) karyawan - penghasil karya, pencipta
(v) peragawati - perempuan yang memperagakan pakaian dan lain-lain yang dipakai
(vi) olahragawati - perempuan yang terlatih, mahir atau mengambil bahagian dalam olahraga

3(b)

1 . 1. Pesilat itu tangkas berlawan.


2. Pesilat itu bijak mengambil peluang.

2. 1. Empangan Timah Tasuh sebuah tasik buatan.


2. Empangan Timah Tasuh terletak di Perlis.

3. 1. Kemalangan jalan raya itu bukan berlaku pada hari ini.


2. Kemalangan jalan raya itu berlaku semalam.
3( c)
(i) pelusuk - pelosok
penceroboh - pencerobohan
(ii) bandaraya - bandar raya
padatan - kepadatan
(iii) hulu baling - hulubalang
jaminan - menjamin

3 (d)

(i) menyenaraikan barang-barang – menyenaraikan barang


lewat – luput / tamat
(ii) bukan – tidak
sendaan - gurauan
(iii) ialah – adalah
kursus - khusus

3 (e)

e) Peribahasa

(i) bagai mencurahkan air ke daun keladi/masuk ke telinga kanan, keluar telinga kiri
[2markah]

(ii) hangat-hangat tahi ayam/seperti melepaskan batuk di tangga [2 markah]

(iii) belakang parang diasah lagikan tajam [2 markah]

Soalan 4

(a) Keistimewaan watak utama (Dahlia)

Songket Berbenang Emas

(I) Dia seorang yang berhemah tinggi.


Dahlia tidak membalas dengan kata-kata yang kurang sopan apabila Aton memaki hamun dan
memfitnahnya sebagai perempuan yang rendah akhlak apabila Dahlia dihantar pulang oleh
Azhari.
(ii) Dia seorang yang berpandangan jauh.
Dahlia sanggup menerima tawaran mengikuti Kursus Pengurusan Perniagaan pada peringkat
ijazah pertama selama empat tahun di Jepun sebagai bekalan masa hadapannya walaupn terpaksa
berjauhan dengan keluarga tercinta.

(iii) Dia seorang yang cekal dan tabah.


Dahlia menempuh semua dugaan dan masalah yang berlaku dalam keluarganya sepanjang tempoh
emaknya menerima rawatan di hospital akibat menghidap penyakit kemurungan dengan cekal dan
tabah.

(iv) Dia seorang yang penyayang.


Dahlia amat menyayangi ibu bapa dan ahli keluarganya. Dahlia sanggup berulang alik dari rumah
ke sekolah semata-mata untuk memastikan adik bongsunya mendapat penjagaan yang sempurna
sepanjang ibunya menerima rawatan di hospital.

(v) Dia seorang yang bertanggungjawab.


Dahlia sebagai anak sulung dalam keluarganya menyatakan kesediaannya untuk menjaga adik
bongsunya, Anggerik dan adik-adiknya yang lain sepanjang emaknya menerima rawatan di
hospital.

(b) Sikap masyarakat yang dikritik pengarang

Songket Berbenang Emas (Dahlia)

(I) Masyarakat remaja yang lebih menggemari perkara-perkara yang menyeronokkan.


Golongan remaja ini diwakili oleh watak Abu Bakar, iaitu anak kedua Embong dan Saleha serta
adik Dahlia. Abu Bakar banyak menghabiskan masa untuk berhibur dengan kawan-kawannya. Dia
hanya balik ke rumah untuk bertukar pakaian. Dia tergamak menjual dua ekor kambing milik
ayahnya semata-mata untuk mendapatkan duit bagi membolehkannya berhibur dengan kawan-
kawannya.

(ii)Masyarakat yang masih mengamalkan ilmu hitam dan mempercayai unsur tahyul.
Penemuan dua biji telur ayam berwarna hitam yang berisi jarum, cincin akek, butiran pasir dan
dua batang paku oleh Abu Bakar di bawah rumah mereka menunjukkan bahawa masyarakat masih
mengamalkan ilmu hitam untuk menganiaya orang lain.

(iii) Masyarakat yang suka menghina orang lain.


Mak Aton yang suka menghina Dahlia dan keluarganya disebabkan kemiskinan mereka. Mak
Aton juga suka menabur fitnah tehadap Dahlia dengan mengatakan bahawa Dahlia sudah ditebuk
tupai kerana lelaki datang ke rumahnya silih berganti.

(iv) Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.


Nek Kiah tidak pernah mengambil tahu akan keperitan hidup Dahlia dan adik-adiknya setelah
Saleha dan Embong dimasukkan ke hospital. Sikap Nek Kiah ini berpunca daripada kemiskinan
hidup yang dialami oleh keluarga Dahlia berbanding anaknya yang lain. Dia juga langsung tidak
mahu membantu keluarga Dahlia malah menyalahkan Saleha yang berkahwin dengan Embong
yang pada pandangannya tidak diketahui asal usulnya.

(v) Masyarakat yang suka menyalahkan orang lain.


Mak Aton menyalahkan Dahlia atas kematian Said yang terjatuh ke dalam sungai. Walaupun
Dahlia cuba untuk menyelamatkan Said yang lemas tetapi Mak Aton menyalahkan Dahlia dan
menuduh Dahlia punca kematian Said.

(vi) Masyarakat yang tamak dan ingin hidup mewah hingga sanggup menzalimi saudara kandung.
Seman sanggup mempengaruhi dan meracuni pemikiran ibunya, Kiah agar bersetuju dengan
cadangannya untuk menjual tanah pusaka seluas lima ekar termasuk tapak rumah adik
kandungnya, Saleha disebabkan sifatnya yang tamak akan wang ringgit hingga sanggup
mengetepikan nilai kemanusiaan terhadap keluarga adik kandungnya sendiri.

(terima mana-mana jawapan lain yang relevan)

Anda mungkin juga menyukai